^ Scroll to Top

Wednesday, July 1, 2009

Empat syarat mohon ampun kepada Tuhan, sesama manusia

“MAAFKAN saya”, ungkapan yang dinisbahkan kepada manusia dalam memohon maaf sesama manusia. Ia cukup berat diucapkan kecuali menjelang hari raya. “Ya Allah! Ampunkanlah dosaku” suatu lafaz menjadi kelaziman seharian memohon keampunan Allah. Pepatah Melayu menyatakan, bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora. Perumpamaan yang menyatakan persoalan, pasti semua orang ada jawapannya. Begitulah kehidupan manusia, terpalit dan dipalit dosa, kecil mahupun besar.

Sebagai manusia kita tidak dapat lari daripada melakukan dosa sama ada sesama makhluk atau dengan Allah. Tabir Ramadan hadir dengan kerahmatan, keampunan dan pembebasan daripada api neraka bagi hamba Allah yang beriman dan bertakwa.

Sepanjang Ramadan kita sering mendengar doa diajar Rasulullah SAW menerusi hadis diriwayatkan oleh At-Tirmidzi, An-Nasai’e dan Ibn Majah. Daripada Saidatina Aisyah katanya, wahai Rasulullah, jika aku melihat Lailatul Qadr, apakah doa yang boleh dibaca? Sabda Baginda SAW, katakanlah (berdoa): Ya Allah ya Tuhan kami! Sesungguhnya engkau yang maha pengampun, ampunkanlah (dosa) aku.”

Berdasarkan doa ini, sebagai Muslim kita sewajarnya menyandarkan harapan kepada Allah supaya mengampunkan dosa yang dilakukan. Allah juga meletakkan keutamaan taubat seseorang dengan keampunan daripada-Nya sehingga keburukan mereka digantikan dengan kebaikan.

Keluasan keampunan Allah dan rahmat-Nya meliputi seluruh dosa orang bertaubat. Perkara itu dirakamkan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hambaKu yang sudah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah juga yang maha pengampun, lagi maha mengasihani.” (Surah az-Zumar, ayat 53)

Imam Nawawi dalam kitabnya Riadhus Solihin menyatakan ulama berpendapat bertaubat daripada setiap dosa yang dilakukan hukumnya wajib. Jika dosa itu berkaitan dengan Khaliq (Allah) dan dengan manusia. Ia terangkum dengan empat syarat taubat utama iaitu:

* Berhenti daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah.
* Menyesali perbuatan yang sudah dilakukan.
* Berazam tidak mengulangi perbuatan itu selama-lamanya.
* Jika dosa itu berkaitan dengan manusia perlu diselesaikan seperti mengembalikan harta diambil dengan cara salah kepada tuannya. Jika barang sudah hilang atau habis digunakan perlu diminta halal daripada tuannya. Jika menuduh atau memfitnah wajar memohon maaf atas segala perbuatan.

Nilai kemaafan bagi setiap mukmin di sisi Allah dengan keutamaan kepada orang yang bertaubat kepada-Nya ialah darjat tertinggi iaitu kasih sayang Allah Tuhan semesta alam. Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri.” (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Firman Allah yang bermaksud:

“Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang jahil (degil dengan kejahilannya).” (Surah al-’Araf, ayat 199)

Imam Ibn Abi Hatim dalam tafsirnya menyatakan hadis Nabi SAW. Daripada Yunus bin Abdul A’la, katanya tatkala turun ayat ini (ayat 199 surah al-’Araf), Rasulullah SAW bertanya kepada Malaikat Jibril apakah (maksud ayat) ini, wahai Jibril? Jawab Jibril: “Sesungguhnya Allah memerintahkan engkau supaya memaafkan orang yang menzalimi engkau dan memberi kepada siapa yang menghalang (menentang) engkau dan hubungkanlah tali kekeluargaan dan persaudaraan (silaturahim) bagi siapa yang memutuskannya.” (Tafsir Ibn Abi Hatim)






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Doa menghindari sihir

Menurut Ibn Abi Hatim dan Abu al-Sheikh daripada Laith bin Abi Sulaim r.a, beliau berkata: “Ayat ini dapat menjadi penawar kepada perbuatan sihir dengan izin Allah”.
Allah SWT menjelaskan perjuangan Nabi Musa a.s dan penentangannya kepada Firaun, menyebabkan Firaun mengumpulkan semua ahli sihir terkemuka pada zamannya untuk melawan utusan Allah itu.
Apabila Nabi Musa a.s dan ahli-ahli sihir sudah dihimpunkan di hadapan khalayak ramai pada hari yang dijanjikan itu, maka pertandingan dimulakan dengan dialog, siapakah yang akan memulakan kehebatan masing-masing.
Ahli-ahli sihir sudah pun dijanjikan dengan pelbagai nikmat dunia seperti pangkat, harta dan sebagainya jika berjaya mengalahkan Nabi Musa.
Ahli-ahli sihir mula mencampakkan tali-tali mereka lalu gemparlah suasana melihat ular-ular besar yang menakutkan di hadapan mereka. Nabi Musa turut rasa gentar sehinggalah turun wahyu Allah kepadanya supaya bertenang dan membaca ayat-ayat di atas.
Kemudian, giliran Nabi Musa pun sampai. Lalu tongkatnya dilepaskan. Ahli-ahli sihir menjadi gamat kerana apa yang berlaku di hadapan mereka bukanlah sihir olok-olok. Ia adalah kebenaran dari langit tinggi. Mereka akhirnya beriman kepada Musa meninggalkan Firaun dalam kebingungan. (Fi Zilalil Quran, tafsir surah Yunus ayat 81-82).
Khasiat dan kaifiat beramal
Caranya ialah dengan membacakan ayat-ayat ini bersama ayat ke 118 hingga 121 surah al-A’raaf dan ayat ke 69 surah Taha kepada bekas yang mengandungi air.
Kemudian air itu disiram ke atas kepala orang yang terkena sihir itu. (al-Durrul Manthur, tafsir ayat 81-82 surah Yunus)
* Petikan buku 101 Doa Para Nabi dan Rasul dalam al-Quran Khasiat & Kaifiat Beramal terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Tiga Golongan Manusia (Baca, Teliti & Faham)

Surah al-Fatihah adalah surah yang paling agung. Surah ini mempunyai beberapa nama, antaranya ia dinamakan dengan Ummul Kitab (Induk al-Quran). Ia dinamakan demikian kerana seluruh isi kandungan al-Quran secara garis besarnya terkandung di dalamnya. Dan di antara kandungan al-Quran ialah tentang keimanan, ibadah, hidayah, kisah umat masa silam, kisah-kisah yang akan datang, alam ghaib dan lain-lain.

Di dalam surah yang agung ini Allah telah menceritakan tentang tiga golongan manusia iaitu:

1) Golongan yang telah mendapat nikmat Allah

2) Golongan yang dimurkai Allah, dan

3) Golongan yang sesat

Dan kerana ketiga-tiga golongan tersebut dimaktubkan oleh Allah di dalam induk al-Quran, ini seolah-olah memberi isyarat bahwa inilah pembahagian yang sebenarnya (hakiki) bagi umat manusia di atas muka bumi ini.

Siapakah yang dimaksudkan dengan mereka itu? Apakah sifat-sifat yang telah mereka miliki sehingga digolongkan demikian? Termasuk ke dalam golongan yang manakah kita ini? Ikutilah tafsiran ringkas saya berikut ini.

Semua kita memohon kepada Allah saban hari: Tunjukilah kami ke jalan yang lurus. Doa ini kita ulangi minimal 17 kali dalam sehari. Apakah yang dimaksudkan: JALAN YANG LURUS?

Allah menafsirkan jalan yang lurus itu dengan ayat berikutnya iaitu:

Jalan orang yang telah Engkau berikan nikmat ke atas mereka. Dan kita masih kabur lagi tentang siapakah sebenarnya orang yang telah diberikan oleh Allah nikmatNya. Kekaburan ini diperjelaskan lagi oleh Allah dalam ayat yang lain, iaitu:


Maksudnya:

Dan barangsiapa yang patuh kepada Allah dan Rasul, maka mereka akan bersama-sama dengan orang-orang yang telah Allah berikan nikmat ke atas mereka, iaitu para Nabi, para shiddiq, para syahid dan orang-orang yang salih, dan mereka adalah sebaik-baik teman.
[an-Nisa’ 4:69]

Berdasarkan penjelasan ayat ini, dapatlah diketahui siapakah mereka yang telah mendapat nikmat dari Allah itu. Dan di atas dasar ini pulalah, sekiranya kita benar-benar ingin agar dimasukkan ke dalam golongan tersebut maka kita mestilah berusaha agar mengikuti jejak langkah mereka dalam segala aspek hidup, lebih-lebih lagi dalam hal yang bersangkutan dengan akidah, amal ibadah dan akhlak.

Selanjutnya kita memohon agar Allah SWT melindungi kita dari dua golongan iaitu golongan yang dimurkai dan golongan yang sesat. Siapa pulakah mereka ini? Nabi (sallallahu alayhi wasalam) pernah ditanya oleh para sahabat.

Ya Rasulullah, siapakah orang-orang yang dimurkai? Dan siapa pulakah orang-orang yang sesat?

Nabi (sallallahu alayhi wasalam) menjawab:

Orang-orang yang dimurkai ialah orang Yahudi, dan orang-orang yang sesat adalah orang Nashrani.

Mengapakah Yahudi dimurkai oleh Allah, dan mengapakah Nashrani (Kristian) sesat? Karena sifat yang menonjol bagi orang Yahudi ialah ‘INAD (degil), sedangkan sifat yang menonjol pada orang Nashrani pula ialah JAHIL (kebodohan).

Sifat ‘inad yang ada pada orang Yahudi ialah karena mereka mempunyai pengetahuan (ilmu) tentang suatu kebenaran (al-Haq) tetapi mereka enggan melaksanakan kebenaran tersebut, malahan mereka ingkar terhadapnya. Seperti umpamanya mereka tahu tentang kebenaran Nabi Muhammad (sallallahu alayhi wasalam) sebagai Rasul akhir zaman kerana telah tertera berita dan ciri-cirinya di dalam Taurat, tetapi mereka tolak kerasulan baginda hanya atas sebab kerana baginda bukan dari kalangan Bani Israil.

Sedangkan sifat jahil yang dimiliki oleh Nashrani pula ialah kerana sikap mereka yang terlalu ta’ashshub dengan paderi (ulama) mereka. Apa saja yang ditetapkan oleh paderi mesti dipatuhi walaupun tidak demikian tertera di dalam Kitab Injil.

Kuasa menghalalkan sesuatu atau mengaharmkannya terletak di tangan paderi. Demikian juga dengan kuasa memberi keampunan dan keyakinan trinity dan sebagainya.

Kita umat Islam, selain memohon kepada Allah agar ditunjukki ke jalan yang lurus iaitu jalan empat kelompok di atas, kita juga memohon agar Allah hindarkan kita dari dua golongan yang terakhir ini iaitu Yahudi dan Nashrani.

Apakah kemurkaan Allah hanya terbatas untuk orang Yahudi dan kesesatan untuk orang Nashrani? Tidak! Kerana kaedah dalam ilmu tafsir al-Quran: Segala pengajaran dalam al-Quran adalah seumum lafaz itu, ia bukan khas untuk orang-orang yang kerananya ayat itu diturunkan oleh Allah.

Atas dasar ini, maka siapa saja yang memiliki sifat sebagaimana sifat Yahudi iaitu degil maka ia juga akan mendapat kemurkaan Allah, begitu juga jika pada seseorang ada sifat Nashrani iaitu ta’ashshub (fanatik) maka ia juga digolongkan ke dalam golongan yang sesat.

Apakah sifat yang paling menonjol dan ketara pada ketiga-tiga golongan di atas? Sebenarnya pada prinsipnya hanya ada dua sifat yang berkisar pada ketiga-tiga golongan tersebut iaitu:

1) Ilmu yang benar

2) Amal yang salih

Golongan pertama (Mukminun), mereka memiliki kedua-dua sifat tersebut. Itulah sebabnya golongan ini senantiasa bersikap sami’naa wa atha’naa (kami dengar dan kami patuhi). Dengan mendengar mereka mendapat ilmu pengetahuan yang berguna. Dan dengan sikap mematuhi kebenaran yang mereka dengar maka akan muncullah amal salih yang mereka.

Golongan kedua (Yahudi), mereka memiliki yang pertama iaitu ilmu pengetahuan, tetapi syangnya mereka enggan mengamalkannya. Itulah sebabnya Yahudi selalu berkata kepada Nabi Musa (as): sami’naa wa ‘ashainaa (kami dengar dan kami ingkari). Dengan mendengar mereka mendapat ilmu, dan dengan mengingkari maka tidak muncul amal yang soleh

Golongan ketiga (Nashrani), mereka memiliki sifat yang kedua iaitu banyak beramal, tetapi sayangnya tidak berdasarkan ilmu pengetahuan yang berfaedah kerana sikap fanatik (ta’ashshub) mereka yang sangat mendalam. Mereka sanggup ketepikan ketentuan Allah dan Rasul kerana terlalu fanatik kepada paderi-paderi mereka.

Kerana sifat dan sikap kedua-dua golongan inilah akhirnya mereka masing-masing dimurkai olih Allah dan digolongkan sesat. Oleh itu siapa saja yang memiliki sifat sebagaimana sifat mereka maka ia akan termasuk ke dalam golongan mereka, wal’iyadzubillah min dzaalik (semoga Allah melindungi kita daripada hal demikian).

Bagaimanakah cara kita mendapatkan ilmu yang benar lagi meyakinkan? Petunjuk siapakah yang paling betul? Bagi kita orang yang beriman sudah tentu segala ilmu yang datang daripada Allah SWT, itulah ilmu yang paling betul dan paling meyakinkan, sedangkan petunjuk yang paling baik adalah petunjuk daripada Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam).

Betapa tidak! Kerana Allah Pencipta kita umat manusia maka wajarlah kalau Dia-lah yang paling mengetahui apa yang boleh mendatangkan manfaat dan apa yang boleh mendatangkan mudarat kepada kita. Oleh sebab itu kita sepatutnya hanya bersikap: sami’naa wa atha’naa apa saja yang datang daripada Allah.

Hanya saja, kerana Allah tidak menyampaikan kehendakNya secara langsung kepada kita. Dia hanya memberitakan kehendakNya melalui wahyu kepada manusia pilihanNya, lalu manusia pilihan itulah yang ditugaskan agar menyampaikan pesananNya kepada umat manusia. Bagi kita manusia pilihan itulah Nabi Muhammad (sallallahu alayhi wasalam). Oleh sebab itu kita tidak akan dapat mematuhi Allah sekiranya kita enggan mengikuti Baginda (sallallahu alayhi wasalam).

Barangkali inilah munasabahnya mengapa mentaati Allah dan RasulNya menjadi syarat untuk membolehkan kita kelak bersama orang-orang yang telah mendapat nikmat Allah iaitu para Nabi, para Shaddiq, para Syahid dan orang-orang Salih. Ini sebagaimana yang dinyatakan olih Allah dalam ayat 69 dari Surah an-Nisa’ di atas.

Jadi langkah pertama untuk mencapai derjat MUKMININ ialah kita mesti berusaha untuk TAFAQQUH FIDDIN (memahami selok-belok agama) dari sumbernya yang asal iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi (sallallahu alayhi wasalam) Dan selanjutnya berdasarkan kefahaman itulah kita beramal.

Kita mesti hindarkan sifat YAHUDI yang enggan melakukan kebenaran yang mereka ketahui. Dan jangan pula ta’ashshub (fanatik) kepada seseorang walau bagaimanapun ketinggian ilmunya, kerana itu adalah sifat orang yang sesat NASHRANI. Bagi kita, manusia yang ma’shum (tidak pernah salah) yang wajib kita patuhi hanyalah Nabi Muhammad (sallallahu alayhi wasalam)






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Tuntutan wuduk secara sempurna membolehkan solat penuh khusyuk

DARIPADA Nu’aim bin Abdullah katanya, dia melihat Abu Hurairah berwuduk. Dia mencuci muka dan tangannya hingga sampai ke batas bahu. Kemudian dicucinya kedua kakinya hingga sampai ke betis. Sesudah itu dia berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya umatku akan datang kelak pada hari kiamat bercahaya-cahaya wuduknya. Maka siapa yang dapat melebihi batas yang wajib, lebihkanlah.” (Hadis riwayat Muslim)

Salah satu syarat sah sembahyang ialah mengambil wuduk dan wuduk yang sempurna membolehkan seseorang mengerjakan solat dengan penuh khusyuk.

Ketika berwuduk diharuskan membaca doa tertentu seperti berikut:

l Ketika berkumur, berniatlah: “Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini.”

l Ketika membasuh muka, berniatlah: “Ya Allah, putihkanlah (berikanlah cahaya) pada mukaku di akhirat kelak. Janganlah Kau hitamkan mukaku ini.”

l Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah: “Ya Allah, berikanlah buku hisabku di tangan kananku ini.”
l Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah: “Ya Allah, janganlah Kau berikan buku hisabku di tangan kiriku ini.”

l Ketika membasuh kepala, berniatlah: “Ya Allah, lindunglah aku daripada terik matahari di padang Mahsyar dengan ArasyMu.”

l Ketika membasuh telinga, berniatlah: “Ya Allah, ampunilah dosa telingaku ini.”

l Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah: “Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqim.”
l Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah: “Ya Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid, surau dan bukan tempat maksiat.”

Berwuduk tidak saja diperlukan ketika hendak mengerjakan solat tetapi kita juga disarankan supaya berwuduk apabila hendak membaca al-Quran, mempelajari sesuatu ilmu dan ketika hendak masuk tidur kerana sesungguhnya wuduk dapat menggugurkan dosa kecil yang dilakukan dan menjadikan seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan bersih di samping menambah keserian wajah.

Daripada Umar bin al-Khattab katanya: “Ada seorang lelaki berwuduk tetapi ada kakinya yang tidak terkena air selebar kuku. Dan hal itu dilihat oleh Nabi SAW. Disebabkan itu Baginda bersabda yang bermaksud: “Ulang kembali wudukmu dengan sempurna dan sebagus-bagusnya.” Orang itu pun berwuduk kembali dan sesudah itu dia solat.” (Hadis riwayat Muslim)







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Tawaduk perlu dilatih

TAKBUR dan tawaduk adalah dua sifat yang berlawanan. Sifat yang pertama itu sangat dibenci dan manusia wajib menjauhinya kerana ia sifat iblis, manakala yang kedua dipuji dan patut menjadi perhiasan diri setiap individu.

Disebabkan takbur, iblis dikutuk Allah dan berbekalkan sifatnya itu jugalah ia menggoda manusia tanpa mengira sempadan daerah dan waktu supaya mengikut jejak langkah menjadi bongkak.

Sungguh jelek sifat takbur, bukan saja dikeji, bahkan membawa kecelakaan kepada diri, sebagaimana iblis yang dijanjikan seburuk-buruk tempat di akhirat.

Begitupun, sifat tawaduk tidak mudah digapai melainkan melalui latihan jiwa dan mujahadah yang penuh kesungguhan dan keazaman. Justeru, ada yang bersifat takbur dan susah untuk menjadi tawaduk.

Antara kaedah membantu ialah bersahabat dengan mereka yang bersifat tawaduk untuk mendapat nasihat, tunjuk ajar dan mencontohi mereka.

Asas pertama menjadi tawaduk ialah melalui ibadat solat, kerana di antara gerak rukun perbuatannya mengandungi latihan untuk tawaduk.

Kemudian, menatap kisah generasi yang bersifat tawaduk seperti nabi, rasul dan pewaris mereka.

Lihatlah kehidupan Rasulullah s.a.w yang diakui sebagai manusia paling agung dan mulia tetapi baginda sentiasa merendah diri sehingga makan di atas tanah, lalu bersabda:

“Aku hanyalah seorang hamba. Apabila suatu hari nanti aku dimerdekakan (maksudnya bebas di akhirat) barulah aku akan memakai pakaian baru.”

Menurut kisah diceritakan Abu Sa’id al-Khudri r.a, Rasulullah memberi makan unta, mengikatnya, membersih atau menyapu rumah, memerah susu kambingnya, membaiki kasutnya, menampal bajunya dan makan bersama khadam.

Rasulullah juga menggantinya (khadam) mengisar gandum apabila khadamnya kepenatan, membeli sendiri barang keperluannya dari pasar dan membawanya kembali ke rumah, berjabat salam dengan si kaya dan miskin, yang tua dan kanak-kanak.

Baginda mendahului salam kepada setiap yang menemuinya, baik yang dewasa atau kanak-kanak, yang hitam atau selainnya, merdeka atau hamba sahaya.

Dalam satu perjalanan, Rasulullah meminta sahabatnya memasak daging kambing. Sesetengah sahabatnya ada yang bersedia untuk menyembelihnya, sebilangan lagi bersedia untuk melapahnya dan sebilangan lagi bersedia untuk memasaknya.

Rasulullah s.a.w menyatakan kesediaannya mencari kayu api. Tindakan Rasulullah itu tidak disenangi sahabat, lalu menyarankan:

“Kami cukup untuk kerja ini wahai Rasulullah.” Jawab Rasululllah: Aku tahu...kamu semua sudah mencukupi, tetapi aku tidak suka dibezakan daripada kamu. Allah tidak menyukai hamba-Nya yang dilihat berbeza daripada kalangan sahabatnya.”

Rasulullah s.a.w menaiki apa saja tunggangan yang didapatinya, kadangkala kuda, ba’ir, kaldai dan himar, malah berjalan kaki tanpa kasut, selendang, kopiah atau serban.

Baginda juga menerima pemberian sekalipun seteguk susu atau seketul kaki arnab, kemudian membalas dan memakannya.

Semua ini menggambarkan sifat tawaduk atau rendah diri Rasulullah. Jika manusia yang sebegini mulia rela bersifat tawaduk, jadi apatah lagi insan kerdil seperti kita.

Kita boleh menguji diri sama ada mempunyai sifat tawaduk atau takbur, iaitu melalui cara berikut:

  • Mendedahkan diri kepada kritikan membina dan benar. Jika hati berasa berat untuk menerima kebenaran, sukar untuk mengakui dan patuh kepada arahannya, malah berat untuk berterima kasih atas kritikan dan teguran itu, menunjukkan takbur masih tersemat di dalam diri.

    Justeru, perlulah kita melatih diri sehingga biasa dengan teguran dan kritikan. Pada masa yang sama hati tidak berat untuk mendengarnya.

  • Bergaul dengan teman sebaya dalam majlis keramaian dan cuba mengutamakan mereka, cuba berjalan di belakang mereka dan cuba duduk di bawah mereka. Jika hati terasa berat, itu menunjukkan masih ada sifat takbur.

    Tetapi dalam keadaan ini, kita juga perlu berwaspada daripada tipu daya syaitan yang membisik supaya bergaul dengan orang dianggap rendah dan hina supaya disangkanya bersifat tawaduk, sedangkan hakikatnya tidak.

    Jika demikian, tanpa disedari sebenarnya dia sudah bersifat takbur di sebalik tawaduk yang dicari-cari dan cuba dilakonkan itu.

  • Menghadiri jemputan orang fakir dan miskin, malah sanggup ke pasar untuk mendapatkan keperluan keluarga serta teman. Jika hatinya berat, itu menunjukkan masih ada sifat takbur dalam dirinya.

  • Boleh juga diuji dengan memakai pakaian buruk, kerana nafsu biasanya berat untuk memakai pakaian buruk.







  • "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

     
    Dear Diary Blogger Template