^ Scroll to Top

Thursday, February 5, 2009

Amalan saling membantu tunjang utama hidup masyarakat

AKHLAK yang mulia sesungguhnya daripada pantulan keimanan yang mengisi dada seseorang. Jika tahap imannya rendah, maka akan tampak lemah akhlaknya begitulah jika tinggi nilai keimanan, budi pekertinya jelas terpuji.

Diri yang kaya dengan kebaikan akhlak mencerminkan kesempurnaan iman seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya.” - (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Manusia secara fitrahnya perlu hidup bermasyarakat dan tidak sempurna jika menjalani kehidupan sendirian. Bagi memastikan masyarakat terbina dalam keadaan selari kehendak Islam, maka setiap anggota masyarakat sewajarnya memiliki akhlak yang baik.

Dengan itu, hubungan antara sesama insan terjalin erat, hidup dalam suasana mesra, berkasih-sayang, selesa serta maju jaya. Sikap mementingkan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri adalah suatu keperluan hidup bermasyarakat.

Ia membayangkan adanya suasana persaudaraan jitu dan sewarna dengan arahan agama bahawa setiap Muslim itu semuanya bersaudara. Meskipun begitu, bukanlah bermakna harus mengabaikan kepentingan diri atau keluarga sendiri.

Ini adalah gambaran antara ciri orang beriman seperti dinyatakan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang kamu hinggalah dikehendakinya berlaku pada saudaranya apa yang dikehendakinya berlaku pada dirinya.” - (Hadis Muttafaqun ‘alaih)
Apabila berlaku sesuatu bencana, musibah atau kesusahan menimpa orang lain seperti kebakaran rumah, kematian ahli keluarga, dilanda banjir yang memusnahkan harta benda, kejadian tanah runtuh, kemalangan jalan raya, sebagai seorang Islam yang cintakan kebaikan hendaklah segera berlumba memberi pertolongan dengan rasa tanggungjawab mengikut kemampuan masing-masing.

Tindakan yang dilakukan atas dasar iman serta hubungan ukhuwah mencerminkan akhlak yang baik. Jika memilih sikap tidak peduli, tidak ingin ambil tahu, bermakna sombong dan mementingkan diri sendiri.

Kebaikan yang dilakukan mengikut syariat tidak sia-sia, tetap diberi ganjaran pahala seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu memperoleh (balasan) di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan paling besar pahalanya dan mohonlah ampunan kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” - (Surah al-Muzammil, ayat 20)

Jika kita renung halaman sirah Nabi SAW di Madinah, betapa tinggi dan mulianya akhlak kaum Ansar terhadap Muhajirin. Mereka sanggup mengorbankan apa saja demi keselesaan hidup kaum Muhajirin yang baru sampai dari Makkah. Ada yang rela menghulurkan makanan, pakaian, tempat tinggal dan menjadikan mereka saudara. Sungguh mengagumkan sekali.
Diceritakan ada seorang tamu baru balik dari sebuah keluarga dikunjunginya, tetapi keluarga itu tidak mempunyai apa-apa lalu berjumpa Rasulullah SAW. Lalu datang seorang lelaki dari kaum Ansar membawa tamu tadi ke rumahnya dan diletakkannya makanan di hadapan tamu itu sambil menyuruh isterinya memadamkan lampu.

Lalu ia (lelaki Ansar) menggapai tangannya kepada makanan seolah-olah ia makan tetapi (sebenarnya) ia tidak makan hinggalah tamu itu selesai makan kerana mengutamakan tamu daripada dirinya dan keluarganya.

Setelah kisah itu sampai kepada Rasulullah SAW, maka sabda Baginda kepadanya: “Sesungguhnya Allah berasa ajaib melihat kelakuanmu malam tadi terhadap tamumu.”

Maka ayat suci pun turun yang bermaksud: “Dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan, dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang yang beruntung.” - (Surah al-Hasyr, ayat 9)



Mengutamakan orang lain membuahkan suasana tolong-menolong dan terhapus sifat sombong atau mementing diri sendiri. Seterusnya akan hidup suburlah sifat berkasih-sayang kerana Allah dalam masyarakat.

Jika umat Islam menyedari bahawa gemar melakukan kebajikan dan mementingkan orang lain akan mendapat balasan baik di akhirat, sudah tentu setiap individu Muslim tidak berdiam diri dalam hal ini.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta menafkahkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka sama ada dengan senyap-senyap mahupun dengan terang-terangan mereka mengharapkan perniagaan yang tiada akan rugi, kerana Allah akan membayar hadiahnya kepada mereka dan akan memberi mereka tambahan dari kurnia-Nya, sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penerima syukur.” - (Surah Fatir, ayat 29-30)

Dalam masyarakat kita, bukan semua hidup mewah dan bahagia, pastinya ada yang tidak bernasib baik dan mengalami pelbagai masalah hidup serta memerlukan pertolongan. Seorang Muslim sejati memang tidak sanggup sama sekali melihat saudaranya terbiar hidup dalam derita tanpa berusaha membantu.

Oleh itu, jadilah Muslim yang selalu mempamerkan sahsiah diri dan akhlak mulia serta berlumba melakukan kebaikan dengan membantu saudara yang menghadapi masalah kerana pastinya kita ingin melihat saudara hidup selesa seperti mana hidup kita.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Pembimbing manusia

ALANGKAH seronok, sekiranya tiada undang-undang yang mengikat kebebasan hidup, dapat melakukan sesuatu mengikut kehendak. Tetapi yang pasti, itu hanya satu fantasi kerana di mana-mana tertakluk kepada sistem undang-undang.

Undang-undang adalah satu sistem peraturan yang digubal bagi kebaikan semua pihak sama ada berasaskan adat, agama atau gandingan keduanya, malah di kebanyakan tempat cenderung kepada ideologi dianuti pemerintah dan rakyatnya.

Cuma yang dominan hari ini ialah sistem undang-undang Islam, walaupun pada satu ketika mereka yang mencemburui dengan agama terbabit mengklasifikasikannya sebagai undang-undang rimba.

Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan, sistem perundangan berdasarkan agama Islam kini sudah tergolong dalam tiga sistem perundangan paling berpengaruh di seluruh dunia, di samping undang-undang sivil dan undang-undang lazim (common law).

Undang-undang Islam atau dikenali juga undang-undang syariah adalah berdasarkan al-Quran, iaitu kitab yang diturunkan Pencipta dan sunnah Nabi s.a.w, yang menjadikannya lebih sempurna dan unggul, sesuai untuk umat manusia sepanjang zaman.

Apa tidaknya, Sang Pencipta lebih mengetahui makhluk yang diciptanya, sekali gus menjadikannya suatu manual yang paling lengkap dalam mencari kesentosaan dan keselamatan, baik di dunia mahupun di akhirat, iaitu alam kehidupan yang berkekalan.

Perundangan syariah membabitkan banyak aspek dalam kehidupan manusia termasuk dalam bidang politik, ekonomi, perbankan, perniagaan, kontrak, kekeluargaan, seksual, kesihatan dan isu sosial termasuk jenayah serta pendidikan.

Sebelum kurun ke-19, teori perundangan dilihat mengikut aliran perundangan tradisional, dengan kebanyakan Muslim beraliran Sunnah mengikut imam Hanafi, Hambali, Maliki atau Syafie, manakala kebanyakan golongan Syiah, khususnya pengikut imam dua belas cenderung kepada aliran Jaafari.

Pada satu ketika iaitu sepanjang zaman keemasan Islam, undang-undang klasik Islam banyak mempengaruhi pembentukan undang-undang lazim dan beberapa institusi undang-undang sivil.

Syariah adalah perkataan Arab, berasal daripada kata kerja ‘syara’a’ dan menurut kamus al-Quran Abdul Manan Omar, berhubung kait kepada idea ‘sistem’ undang-undang Tuhan; cara percaya dan praktik.

Secara umum, hal berkaitan syariah dikenali juga dalam masyarakat Islam bidang fiqah, iaitu suatu disiplin yang membincangkan aspek perundangan dan hukum-hakam dalam banyak bidang termasuk hudud dan qisas, yang terkandung di dalamnya.

Dr Abd Kareem Zaidan dilaporkan berkata: “Sumber fiqah berdasarkan wahyu Allah, sama ada al-Quran atau sunnah. Begitupun kita memilih untuk membahagikan sumber ini kepada sumber asli, dinamakan al-Quran dan sunnah; dan sumber, kedua yang dirujukkan kepada teks al-Quran dan sunnah seperti ijmak dan qiyas.

Selain itu, pendapat sahabat, istihsan (pertimbangan), sadd al-dharaaia (menghalang tujuan yang membawa kepada kejahatan), istishaab, uruf (adat), perundangan yang datang sebelum kita, masaalih mursalah (perkara yang membawa kebaikan umum Muslim).

Mutakhir ini, jika diperhatikan, sistem perundangan dan norma kehidupan secara Islam semakin diterima ramai termasuk oleh bukan Islam. Paling ketara ketika ini ialah dalam bidang muamalah dan institusi perbankan, walaupun tidak semua sistem terbabit diguna pakai.

Arab Saudi dilaporkan memanfaatkan sistem undang-undang Islam yang tulen, namun ada yang mendakwa ia turut memasukkan sesetengah aspek budaya puak penduduk semenanjung itu.

Beberapa negara di Asia Barat seperti Iran dan Mesir juga mengguna pakai sistem perundangan syariah, sekali gus menjadi contoh kepada dunia antarabangsa dalam penerimaan undang-undang Islam.

Negara di Asia Tenggara tidak terkecuali cuba memanfaatkan perundangan Islam dengan sistem tersendiri seperti Malaysia, misalnya melalui sistem undang-undang yang diguna pakai di Mahkmah Syariah.

Indonesia, negara yang mempunyai kira-kira 200 juta umat Islam, iaitu negara paling ramai penduduk Islam di dunia, juga mempunyai Mahkamah Syariah yang ditubuhkan pertama kali di Aceh pada 2003, tetapi dengan sistem undang-undang Islam secara sederhana.

Bagaimanapun, versi undang-undang Islam diperkenalkan di wilayah itu lebih awal iaitu pada 2001, termasuk mengharamkan judi, minuman keras dan mewajibkan wanita memakai tudung kepala.

Dalam satu tinjauan kebangsaan baru-baru ini, majoriti rakyat negara itu menyokong penubuhan undang-undang Islam tetapi tidak sampai separuh mahu hukuman berat seperti memotong tangan pencuri atau memaksa wanita memakai pakaian menutup aurat dilaksanakan.

Agensi tinjauan Australia, Roy Morgan Research, menyatakan kira-kira 52 peratus penduduk negara itu yang disoal antara Julai 2007 hingga Mac 2008 menyokong pengenalan beberapa bentuk undang-undang syariah di kawasan mereka.

Tinjauan di Indonesia itu juga tidak memberikan definisi undang-undang syariah kepada responden tetapi soalan susulan mahukan pandangan mereka mengenai amalan di negara Islam di Asia Barat.

Apabila ditanya sama ada wanita perlu memakai purdah, iaitu pakaian yang menutup keseluruhan tubuh kecuali tangan dan kaki, sebanyak 45 peratus menjawab ‘ya’ manakala 40 peratus berkata, mereka mahu pencuri dipotong tangan sebagai hukuman.

Ketika ini, sesetengah negara bukan Islam dan minoriti Muslim yang mendiami negara terbabit termasuk di rantau Balkan, juga tidak terkecuali daripada menerima pengaruh sistem perundangan dan nilai Islam, malah segelintirnya berani bersuara atas dasar hak asasi kemanusiaan.

Britain misalnya dengan penduduk Islam yang semakin meningkat, mempunyai puluhan Mahkamah Syariah menyelesaikan masalah masyarakat Islam, meskipun tidak diiktiraf kerajaan, ia digunakan untuk menyelesaikan isu keluarga.

Majlis Syariah terbesar terletak di Leyton, timur London. Sejak ditubuhkan pada 1982, ia menangani 7,000 kes perceraian berdasarkan ketetapan syariah. Badan itu bukanlah pengganti Mahkamah Sivil tetapi menyediakan khidmat tambahan, membenarkan atau menafikan perceraian antara pasangan Islam.

Menurut kaji selidik pada Februari 2006, 40 peratus daripada 1.6 juta warga Islam Britain mengalu-alukan pelaksanaan undang-undang syariah di kawasan didiami majoriti penduduk Islam.

Biskop Cantenbury, Robin Williams, baru-baru ini dilaporkan membuat kejutan dengan mengumumkan negara itu perlu mengguna pakai undang-undang syariah dalam peraturan harian kehidupan moden mereka.

Akibatnya, Williams didesak meletak jawatan manakala pemimpin pula mengelak daripada mengulas mengenai pandangan penuh kontroversi itu dan menegaskan Britain hanya akan mengguna pakai perlembagaan moden sedia ada.

Bagaimanapun, dalam menggubal dan mempraktikkan sistem perundangan Islam, ia tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya harus dilakukan dengan penuh penelitian supaya imej Islam tetap terpelihara dan matlamat pemakaiannya tercapai.

Imam Syafie pernah berkata: “Tiada seorang pun mempunyai hak apa-apa untuk berkata sesuatu itu halal atau haram kecuali berdasarkan pengetahuan dan pengetahuan adalah teks dalam al-Quran atau sunnah atau ijmak atau qiyas.”

Beliau berkata lagi: “Tiada pendapat dijilidkan (diguna pakai) kecuali ia berasaskan kitab Allah atau sunnah Rasulullah s.a.w. Setiap perkara selainnya sepatutnya berasaskan kepadanya







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Nabi Yusuf dan godaan Zulaikha

DAN wanita (Zulaikha) yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu seraya berkata: "Marilah memperlakukan aku dengan baik." Sesungguhnya orang yang zalim tidak akan beruntung. Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu dengan Yusuf dan Yusuf bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andai dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, agar kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba yang terpilih. (Yusuf: 23-24)
Zulaikha merupakan isteri kepada pembesar Mesir yang membeli Nabi Yusuf daripada rombongan kalifah yang menjualkan. Zulaikha tertarik dengan ketampanan yang dimiliki oleh Nabi Yusuf. Ketampanan Nabi Yusuf ini juga telah membuatkan Zulaikha jatuh cinta terhadapnya.
Pada suatu hari, Zulaikha berniat untuk menggoda Nabi Yusuf. Ketika itu, suaminya tidak ada di rumah. Zulaikha telah menutup kesemua pintu rumahnya lalu mendekati Nabi Yusuf sambil berkata, "Wahai Yusuf, kemarilah engkau ke sini," ajak Zulaikha.
"Aku berlindung kepada Allah dan memohon keampunan daripada-Nya. Sesungguhnya suamimu telah memperlakukan aku dengan baik," jawab Nabi Yusuf.
Zulaikha tidak mengendahkan kata-kata Nabi Yusuf itu. Zulaikha menghulurkan tangannya untuk memeluk Nabi Yusuf tetapi Nabi Yusuf berjaya mengelakkan dirinya. Nabi Yusuf terus berlalu ke muka pintu. Zulaikha mengejarnya dan sempat menarik baju Nabi Yusuf sehingga terkoyak.
Pintu bilik terus dibuka. Zulaikha amat terkejut apabila melihat suaminya berdiri di muka pintu. Pembesar tersebut memandang mereka dengan wajah yang penuh curiga. Untuk membela dirinya, Zulaikha telah menuduh Nabi Yusuf cuba menggodanya.
"Wahai suamiku, balasan apakah yang patut diberikan kepada orang yang cuba menggoda isterimu?" kata Zulaikha, berpura-pura tidak bersalah.
"Dia yang menggodaku. Aku menolak ajakan isterimu, lantas dia menarik bajuku lalu terkoyak," jelas Nabi Yusuf sebagai membela dirinya.
Pembesar tersebut mendengar penjelasan daripada Zulaikha dan juga Nabi Yusuf. Untuk mendapatkan kebenaran dan keadilan, pembesar itu telah mengambil seorang saksi daripada ahli keluarga untuk mengadili perkara tersebut.
"Jika pakaian Yusuf ini koyak di hadapan, maka kata-kata Zulaikha itu benar dan Yusuf telah berdusta. Tetapi, jika baju itu koyak di belakang, maka Zulaikhalah yang berdusta dan Yusuf bercakap benar," kata wanita itu.
Apabila melihat kepada pakaian Nabi Yusuf itu, maka terbuktilah bahawa Zulaikha yang berdusta dalam perkara itu. Pembesar tersebut meminta maaf dan Nabi Yusuf akhirnya terlepas daripada fitnah yang dilemparkan oleh Zulaikha.


- Petikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Kekufuran adalah kegelapan

ALLAH pelindung (yang mengawal dan menolong) orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (al-Baqarah: 257)
Huraian
Hanya Allah SWT yang berkuasa memberi hidayat kepada hamba-hamba-Nya. Ia berkuasa mengeluarkan manusia daripada kekufuran kepada keimanan. Iman kepada Allah berpaksikan akal yang waras mendorong manusia tunduk dan patuh kepada syariat Allah.
Namun terdapat segolongan manusia yang melanggar batasan agama.
Mereka menjadikan berhala sebagai dewa dan memimpin manusia ke arah kekufuran, inilah yang disebut dengan perkataan taghut. Pimpinan sebegini pastilah akan menjadikan tempat yang terang kembali gelap.
Cahaya terang akan diselimuti kabut yang membawa kegelapan kerana mereka mewarnainya dengan perlakuan fitnah, hasad dengki, perzinaan dan pelbagai maksiat yang sukar dibendung.
Mereka inilah penghuni neraka dan kekal selama-lamanya. Balasan tersebut adalah setimpal dengan perlakuan jahat mereka semasa di dunia.
Kesimpulan
Allah berkuasa atas segala-galanya, memberi cahaya petunjuk setelah melalui kegelapan. Namun terdapat segolongan manusia yang kembali kepada kegelapan akibat kekufuran terhadap Allah SWT. Neraka Jahannam merupakan tempat tinggal mereka yang abadi







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Awas Berteman dan Bermesra

TEMAN tapi mesra. Ungkapan terbabit sering kedengaran di bibir anak muda, tetapi kadangkala mengelirukan bagi sesetengah pihak, namun yang pasti ia merujuk kepada perhubungan antara lelaki dan perempuan.

Berkawan tidak salah, bahkan digalakkan kerana ia selaras dengan fitrah dan membawa banyak manfaat sehinggakan dapat membuatkan hidup lebih ceria.

Cuma, berwaspada apabila kawan lebih daripada had, terlalu rapat dan intim, malah sanggup mengorbankan harga diri.

Justeru, Islam menasihati umatnya sentiasa memelihara kesopanan dan tata cara sepanjang masa, terutama apabila bersosial dan berkawan, supaya kebaikan terjaga.

Ulama tersohor, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, berkata hubungan di antara lelaki dan wanita tidak ditolak secara keseluruhan.

Bagaimanapun, beliau menggariskan beberapa syarat hubungan di antara kedua-dua jantina terbabit, dengan saling merendahkan pandangan dan memastikan tiada pandangan yang disusuli nafsu.

Menurutnya, wanita Islam juga patut prihatin terhadap kod pakaian Islam, yang menutupi seluruh badan, tidak ketat dan menggambarkan bentuk badan.

"Akhlak yang umum sepatutnya diamalkan. Dalam perkataan lain, seorang wanita sepatutnya serius dalam ucapan dan tertib cara berjalan dan melawan godaan syaitan. Tiada wangian dipakai dari rumah."

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Mana-mana wanita yang memakai wangian dan kemudian berjalan melalui sekumpulan lelaki dan mereka mencium wangian itu, dia adalah penzina."

Al-Qaradawi juga berkata, lelaki dan wanita (bukan mahram) tidak dibenarkan bersama di satu tempat yang tiada lelaki lain.

Bagaimanapun, perkembangan mutakhir mendapati fenomena memiliki teman istimewa kian menjadi-jadi, seolah-olah ia suatu kebiasaan.

Bagaimanpun, apabila teman terbabit berkelakuan di luar jangkaan, timbullah keburukan, malah bagi pelajar prestasi pelajaran merosot, selera makan menurun, bahkan untuk hidup pun tidak bersemangat.

Bekas Presiden Masyarakat Islam Amerika Utara (ISNA), Dr Muzammil Siddiqi, berkata Muslim memang sepatutnya mempunyai hubungan yang baik dengan semua orang, lelaki dan wanita, di sekolah, tempat kerja dan kawasan kejiranan.

"Tetapi Islam tidak membenarkan mengambil orang bukan mahram sebagai kawan rapat kerana hubungan seperti itu kerap membawa perkara haram.

"Ini memungkinkan mereka melakukan dosa atau menghabiskan banyak masa bersama," katanya sambil mengemukakan ayat 25 Surah an-Nisa sebagai satu hujah atas dakwaan berkenaan.

Perhubungan intim yang membawa kepada pertemuan sosial atau 'dating' boleh mengundang pelbagai mala petaka, seperti rogol, pembunuhan dan persundalan.

Fenomena itu mula bercambah ketika muzik Barat mula memekik dari kereta dan pasangan muda berpegangan tangan di kafeteria. Malah, seks sebelum perkahwinan menjadi suatu fenomena yang semakin menjadi-jadi sejak era revolusi seks 1960-an.

Jurnal Persatuan Perubatan Amerika ada melaporkan, peningkatan bilangan gadis mengadakan pertemuan sosial, berisiko berdepan dengan kekejaman, hamil, penderaan, bahaya tingkah laku seksual dan membahayakan diri.

Berikutan itu, ramai di kalangan gadis menderita secara senyap, tidak memberitahu sesiapa kerana takut atau malu.

Walaupun sesetengah mereka cuba memilih untuk bersuara bagi mendapatkan pembelaan, ia hanya membabitkan sebilangan kes tertentu.

Hari ini, bukan sedikit anak muda yang berada dalam keadaan mengelirukan dan keterpaksaan, bersama masa depan yang kabur selepas terjebak dalam perhubungan intim dengan pasangan masing-masing.

Oleh itu Islam menasihati umatnya berwaspada apabila bersosial dan jangan sampai merugikan diri dan keluarga.

Hakikatnya berkawan tidak salah tetapi jika melanggar nilai agama lebih-lebih lagi bertemu dan berdua-duaan, ia dilarang sama sekali.

Sheikh Ahmad Kutty, dari Institut Islam Toronto, Kanada, berkata pertemuan sosial tentu tidak dibenarkan.

Menurutnya, Islam melarang umatnya berdua-duaan dengan pasangan berlainan jantina kecuali hubungan persaudaraan atau perkahwinan.

"Tidak dibenarkan menurut kehendak nafsu secara bebas, bergaul sembarangan dan bercampur dengan kawan berlainan jantina," katanya.

Nabi Muhammad s.a.w menegaskan: "Apabila seorang lelaki dan wanita duduk bersama mereka ditemani teman ketiga (yang membisikkan kejahatan kepada mereka)."

Katanya, Allah memerintahkan kita bukan saja menahan diri daripada zina tetapi menjauhi daripadanya.

"Menurut hukum ahli fiqah, perkara yang membawa kepada haram juga diputuskan haram. Justeru, apabila pertemuan sosial itu membawa kepada dosa, ia diputuskan haram.

"Jika untuk mengetahui wanita terbabit bagi tujuan perkahwinan, ia dibenarkan tetapi tertakluk kepada etika Islam," katanya.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template