^ Scroll to Top

Thursday, February 5, 2009

Pembimbing manusia

ALANGKAH seronok, sekiranya tiada undang-undang yang mengikat kebebasan hidup, dapat melakukan sesuatu mengikut kehendak. Tetapi yang pasti, itu hanya satu fantasi kerana di mana-mana tertakluk kepada sistem undang-undang.

Undang-undang adalah satu sistem peraturan yang digubal bagi kebaikan semua pihak sama ada berasaskan adat, agama atau gandingan keduanya, malah di kebanyakan tempat cenderung kepada ideologi dianuti pemerintah dan rakyatnya.

Cuma yang dominan hari ini ialah sistem undang-undang Islam, walaupun pada satu ketika mereka yang mencemburui dengan agama terbabit mengklasifikasikannya sebagai undang-undang rimba.

Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan, sistem perundangan berdasarkan agama Islam kini sudah tergolong dalam tiga sistem perundangan paling berpengaruh di seluruh dunia, di samping undang-undang sivil dan undang-undang lazim (common law).

Undang-undang Islam atau dikenali juga undang-undang syariah adalah berdasarkan al-Quran, iaitu kitab yang diturunkan Pencipta dan sunnah Nabi s.a.w, yang menjadikannya lebih sempurna dan unggul, sesuai untuk umat manusia sepanjang zaman.

Apa tidaknya, Sang Pencipta lebih mengetahui makhluk yang diciptanya, sekali gus menjadikannya suatu manual yang paling lengkap dalam mencari kesentosaan dan keselamatan, baik di dunia mahupun di akhirat, iaitu alam kehidupan yang berkekalan.

Perundangan syariah membabitkan banyak aspek dalam kehidupan manusia termasuk dalam bidang politik, ekonomi, perbankan, perniagaan, kontrak, kekeluargaan, seksual, kesihatan dan isu sosial termasuk jenayah serta pendidikan.

Sebelum kurun ke-19, teori perundangan dilihat mengikut aliran perundangan tradisional, dengan kebanyakan Muslim beraliran Sunnah mengikut imam Hanafi, Hambali, Maliki atau Syafie, manakala kebanyakan golongan Syiah, khususnya pengikut imam dua belas cenderung kepada aliran Jaafari.

Pada satu ketika iaitu sepanjang zaman keemasan Islam, undang-undang klasik Islam banyak mempengaruhi pembentukan undang-undang lazim dan beberapa institusi undang-undang sivil.

Syariah adalah perkataan Arab, berasal daripada kata kerja ‘syara’a’ dan menurut kamus al-Quran Abdul Manan Omar, berhubung kait kepada idea ‘sistem’ undang-undang Tuhan; cara percaya dan praktik.

Secara umum, hal berkaitan syariah dikenali juga dalam masyarakat Islam bidang fiqah, iaitu suatu disiplin yang membincangkan aspek perundangan dan hukum-hakam dalam banyak bidang termasuk hudud dan qisas, yang terkandung di dalamnya.

Dr Abd Kareem Zaidan dilaporkan berkata: “Sumber fiqah berdasarkan wahyu Allah, sama ada al-Quran atau sunnah. Begitupun kita memilih untuk membahagikan sumber ini kepada sumber asli, dinamakan al-Quran dan sunnah; dan sumber, kedua yang dirujukkan kepada teks al-Quran dan sunnah seperti ijmak dan qiyas.

Selain itu, pendapat sahabat, istihsan (pertimbangan), sadd al-dharaaia (menghalang tujuan yang membawa kepada kejahatan), istishaab, uruf (adat), perundangan yang datang sebelum kita, masaalih mursalah (perkara yang membawa kebaikan umum Muslim).

Mutakhir ini, jika diperhatikan, sistem perundangan dan norma kehidupan secara Islam semakin diterima ramai termasuk oleh bukan Islam. Paling ketara ketika ini ialah dalam bidang muamalah dan institusi perbankan, walaupun tidak semua sistem terbabit diguna pakai.

Arab Saudi dilaporkan memanfaatkan sistem undang-undang Islam yang tulen, namun ada yang mendakwa ia turut memasukkan sesetengah aspek budaya puak penduduk semenanjung itu.

Beberapa negara di Asia Barat seperti Iran dan Mesir juga mengguna pakai sistem perundangan syariah, sekali gus menjadi contoh kepada dunia antarabangsa dalam penerimaan undang-undang Islam.

Negara di Asia Tenggara tidak terkecuali cuba memanfaatkan perundangan Islam dengan sistem tersendiri seperti Malaysia, misalnya melalui sistem undang-undang yang diguna pakai di Mahkmah Syariah.

Indonesia, negara yang mempunyai kira-kira 200 juta umat Islam, iaitu negara paling ramai penduduk Islam di dunia, juga mempunyai Mahkamah Syariah yang ditubuhkan pertama kali di Aceh pada 2003, tetapi dengan sistem undang-undang Islam secara sederhana.

Bagaimanapun, versi undang-undang Islam diperkenalkan di wilayah itu lebih awal iaitu pada 2001, termasuk mengharamkan judi, minuman keras dan mewajibkan wanita memakai tudung kepala.

Dalam satu tinjauan kebangsaan baru-baru ini, majoriti rakyat negara itu menyokong penubuhan undang-undang Islam tetapi tidak sampai separuh mahu hukuman berat seperti memotong tangan pencuri atau memaksa wanita memakai pakaian menutup aurat dilaksanakan.

Agensi tinjauan Australia, Roy Morgan Research, menyatakan kira-kira 52 peratus penduduk negara itu yang disoal antara Julai 2007 hingga Mac 2008 menyokong pengenalan beberapa bentuk undang-undang syariah di kawasan mereka.

Tinjauan di Indonesia itu juga tidak memberikan definisi undang-undang syariah kepada responden tetapi soalan susulan mahukan pandangan mereka mengenai amalan di negara Islam di Asia Barat.

Apabila ditanya sama ada wanita perlu memakai purdah, iaitu pakaian yang menutup keseluruhan tubuh kecuali tangan dan kaki, sebanyak 45 peratus menjawab ‘ya’ manakala 40 peratus berkata, mereka mahu pencuri dipotong tangan sebagai hukuman.

Ketika ini, sesetengah negara bukan Islam dan minoriti Muslim yang mendiami negara terbabit termasuk di rantau Balkan, juga tidak terkecuali daripada menerima pengaruh sistem perundangan dan nilai Islam, malah segelintirnya berani bersuara atas dasar hak asasi kemanusiaan.

Britain misalnya dengan penduduk Islam yang semakin meningkat, mempunyai puluhan Mahkamah Syariah menyelesaikan masalah masyarakat Islam, meskipun tidak diiktiraf kerajaan, ia digunakan untuk menyelesaikan isu keluarga.

Majlis Syariah terbesar terletak di Leyton, timur London. Sejak ditubuhkan pada 1982, ia menangani 7,000 kes perceraian berdasarkan ketetapan syariah. Badan itu bukanlah pengganti Mahkamah Sivil tetapi menyediakan khidmat tambahan, membenarkan atau menafikan perceraian antara pasangan Islam.

Menurut kaji selidik pada Februari 2006, 40 peratus daripada 1.6 juta warga Islam Britain mengalu-alukan pelaksanaan undang-undang syariah di kawasan didiami majoriti penduduk Islam.

Biskop Cantenbury, Robin Williams, baru-baru ini dilaporkan membuat kejutan dengan mengumumkan negara itu perlu mengguna pakai undang-undang syariah dalam peraturan harian kehidupan moden mereka.

Akibatnya, Williams didesak meletak jawatan manakala pemimpin pula mengelak daripada mengulas mengenai pandangan penuh kontroversi itu dan menegaskan Britain hanya akan mengguna pakai perlembagaan moden sedia ada.

Bagaimanapun, dalam menggubal dan mempraktikkan sistem perundangan Islam, ia tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya harus dilakukan dengan penuh penelitian supaya imej Islam tetap terpelihara dan matlamat pemakaiannya tercapai.

Imam Syafie pernah berkata: “Tiada seorang pun mempunyai hak apa-apa untuk berkata sesuatu itu halal atau haram kecuali berdasarkan pengetahuan dan pengetahuan adalah teks dalam al-Quran atau sunnah atau ijmak atau qiyas.”

Beliau berkata lagi: “Tiada pendapat dijilidkan (diguna pakai) kecuali ia berasaskan kitab Allah atau sunnah Rasulullah s.a.w. Setiap perkara selainnya sepatutnya berasaskan kepadanya







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Nabi Yusuf dan godaan Zulaikha

DAN wanita (Zulaikha) yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu seraya berkata: "Marilah memperlakukan aku dengan baik." Sesungguhnya orang yang zalim tidak akan beruntung. Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu dengan Yusuf dan Yusuf bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andai dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, agar kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba yang terpilih. (Yusuf: 23-24)
Zulaikha merupakan isteri kepada pembesar Mesir yang membeli Nabi Yusuf daripada rombongan kalifah yang menjualkan. Zulaikha tertarik dengan ketampanan yang dimiliki oleh Nabi Yusuf. Ketampanan Nabi Yusuf ini juga telah membuatkan Zulaikha jatuh cinta terhadapnya.
Pada suatu hari, Zulaikha berniat untuk menggoda Nabi Yusuf. Ketika itu, suaminya tidak ada di rumah. Zulaikha telah menutup kesemua pintu rumahnya lalu mendekati Nabi Yusuf sambil berkata, "Wahai Yusuf, kemarilah engkau ke sini," ajak Zulaikha.
"Aku berlindung kepada Allah dan memohon keampunan daripada-Nya. Sesungguhnya suamimu telah memperlakukan aku dengan baik," jawab Nabi Yusuf.
Zulaikha tidak mengendahkan kata-kata Nabi Yusuf itu. Zulaikha menghulurkan tangannya untuk memeluk Nabi Yusuf tetapi Nabi Yusuf berjaya mengelakkan dirinya. Nabi Yusuf terus berlalu ke muka pintu. Zulaikha mengejarnya dan sempat menarik baju Nabi Yusuf sehingga terkoyak.
Pintu bilik terus dibuka. Zulaikha amat terkejut apabila melihat suaminya berdiri di muka pintu. Pembesar tersebut memandang mereka dengan wajah yang penuh curiga. Untuk membela dirinya, Zulaikha telah menuduh Nabi Yusuf cuba menggodanya.
"Wahai suamiku, balasan apakah yang patut diberikan kepada orang yang cuba menggoda isterimu?" kata Zulaikha, berpura-pura tidak bersalah.
"Dia yang menggodaku. Aku menolak ajakan isterimu, lantas dia menarik bajuku lalu terkoyak," jelas Nabi Yusuf sebagai membela dirinya.
Pembesar tersebut mendengar penjelasan daripada Zulaikha dan juga Nabi Yusuf. Untuk mendapatkan kebenaran dan keadilan, pembesar itu telah mengambil seorang saksi daripada ahli keluarga untuk mengadili perkara tersebut.
"Jika pakaian Yusuf ini koyak di hadapan, maka kata-kata Zulaikha itu benar dan Yusuf telah berdusta. Tetapi, jika baju itu koyak di belakang, maka Zulaikhalah yang berdusta dan Yusuf bercakap benar," kata wanita itu.
Apabila melihat kepada pakaian Nabi Yusuf itu, maka terbuktilah bahawa Zulaikha yang berdusta dalam perkara itu. Pembesar tersebut meminta maaf dan Nabi Yusuf akhirnya terlepas daripada fitnah yang dilemparkan oleh Zulaikha.


- Petikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Kekufuran adalah kegelapan

ALLAH pelindung (yang mengawal dan menolong) orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (al-Baqarah: 257)
Huraian
Hanya Allah SWT yang berkuasa memberi hidayat kepada hamba-hamba-Nya. Ia berkuasa mengeluarkan manusia daripada kekufuran kepada keimanan. Iman kepada Allah berpaksikan akal yang waras mendorong manusia tunduk dan patuh kepada syariat Allah.
Namun terdapat segolongan manusia yang melanggar batasan agama.
Mereka menjadikan berhala sebagai dewa dan memimpin manusia ke arah kekufuran, inilah yang disebut dengan perkataan taghut. Pimpinan sebegini pastilah akan menjadikan tempat yang terang kembali gelap.
Cahaya terang akan diselimuti kabut yang membawa kegelapan kerana mereka mewarnainya dengan perlakuan fitnah, hasad dengki, perzinaan dan pelbagai maksiat yang sukar dibendung.
Mereka inilah penghuni neraka dan kekal selama-lamanya. Balasan tersebut adalah setimpal dengan perlakuan jahat mereka semasa di dunia.
Kesimpulan
Allah berkuasa atas segala-galanya, memberi cahaya petunjuk setelah melalui kegelapan. Namun terdapat segolongan manusia yang kembali kepada kegelapan akibat kekufuran terhadap Allah SWT. Neraka Jahannam merupakan tempat tinggal mereka yang abadi







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Awas Berteman dan Bermesra

TEMAN tapi mesra. Ungkapan terbabit sering kedengaran di bibir anak muda, tetapi kadangkala mengelirukan bagi sesetengah pihak, namun yang pasti ia merujuk kepada perhubungan antara lelaki dan perempuan.

Berkawan tidak salah, bahkan digalakkan kerana ia selaras dengan fitrah dan membawa banyak manfaat sehinggakan dapat membuatkan hidup lebih ceria.

Cuma, berwaspada apabila kawan lebih daripada had, terlalu rapat dan intim, malah sanggup mengorbankan harga diri.

Justeru, Islam menasihati umatnya sentiasa memelihara kesopanan dan tata cara sepanjang masa, terutama apabila bersosial dan berkawan, supaya kebaikan terjaga.

Ulama tersohor, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, berkata hubungan di antara lelaki dan wanita tidak ditolak secara keseluruhan.

Bagaimanapun, beliau menggariskan beberapa syarat hubungan di antara kedua-dua jantina terbabit, dengan saling merendahkan pandangan dan memastikan tiada pandangan yang disusuli nafsu.

Menurutnya, wanita Islam juga patut prihatin terhadap kod pakaian Islam, yang menutupi seluruh badan, tidak ketat dan menggambarkan bentuk badan.

"Akhlak yang umum sepatutnya diamalkan. Dalam perkataan lain, seorang wanita sepatutnya serius dalam ucapan dan tertib cara berjalan dan melawan godaan syaitan. Tiada wangian dipakai dari rumah."

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Mana-mana wanita yang memakai wangian dan kemudian berjalan melalui sekumpulan lelaki dan mereka mencium wangian itu, dia adalah penzina."

Al-Qaradawi juga berkata, lelaki dan wanita (bukan mahram) tidak dibenarkan bersama di satu tempat yang tiada lelaki lain.

Bagaimanapun, perkembangan mutakhir mendapati fenomena memiliki teman istimewa kian menjadi-jadi, seolah-olah ia suatu kebiasaan.

Bagaimanpun, apabila teman terbabit berkelakuan di luar jangkaan, timbullah keburukan, malah bagi pelajar prestasi pelajaran merosot, selera makan menurun, bahkan untuk hidup pun tidak bersemangat.

Bekas Presiden Masyarakat Islam Amerika Utara (ISNA), Dr Muzammil Siddiqi, berkata Muslim memang sepatutnya mempunyai hubungan yang baik dengan semua orang, lelaki dan wanita, di sekolah, tempat kerja dan kawasan kejiranan.

"Tetapi Islam tidak membenarkan mengambil orang bukan mahram sebagai kawan rapat kerana hubungan seperti itu kerap membawa perkara haram.

"Ini memungkinkan mereka melakukan dosa atau menghabiskan banyak masa bersama," katanya sambil mengemukakan ayat 25 Surah an-Nisa sebagai satu hujah atas dakwaan berkenaan.

Perhubungan intim yang membawa kepada pertemuan sosial atau 'dating' boleh mengundang pelbagai mala petaka, seperti rogol, pembunuhan dan persundalan.

Fenomena itu mula bercambah ketika muzik Barat mula memekik dari kereta dan pasangan muda berpegangan tangan di kafeteria. Malah, seks sebelum perkahwinan menjadi suatu fenomena yang semakin menjadi-jadi sejak era revolusi seks 1960-an.

Jurnal Persatuan Perubatan Amerika ada melaporkan, peningkatan bilangan gadis mengadakan pertemuan sosial, berisiko berdepan dengan kekejaman, hamil, penderaan, bahaya tingkah laku seksual dan membahayakan diri.

Berikutan itu, ramai di kalangan gadis menderita secara senyap, tidak memberitahu sesiapa kerana takut atau malu.

Walaupun sesetengah mereka cuba memilih untuk bersuara bagi mendapatkan pembelaan, ia hanya membabitkan sebilangan kes tertentu.

Hari ini, bukan sedikit anak muda yang berada dalam keadaan mengelirukan dan keterpaksaan, bersama masa depan yang kabur selepas terjebak dalam perhubungan intim dengan pasangan masing-masing.

Oleh itu Islam menasihati umatnya berwaspada apabila bersosial dan jangan sampai merugikan diri dan keluarga.

Hakikatnya berkawan tidak salah tetapi jika melanggar nilai agama lebih-lebih lagi bertemu dan berdua-duaan, ia dilarang sama sekali.

Sheikh Ahmad Kutty, dari Institut Islam Toronto, Kanada, berkata pertemuan sosial tentu tidak dibenarkan.

Menurutnya, Islam melarang umatnya berdua-duaan dengan pasangan berlainan jantina kecuali hubungan persaudaraan atau perkahwinan.

"Tidak dibenarkan menurut kehendak nafsu secara bebas, bergaul sembarangan dan bercampur dengan kawan berlainan jantina," katanya.

Nabi Muhammad s.a.w menegaskan: "Apabila seorang lelaki dan wanita duduk bersama mereka ditemani teman ketiga (yang membisikkan kejahatan kepada mereka)."

Katanya, Allah memerintahkan kita bukan saja menahan diri daripada zina tetapi menjauhi daripadanya.

"Menurut hukum ahli fiqah, perkara yang membawa kepada haram juga diputuskan haram. Justeru, apabila pertemuan sosial itu membawa kepada dosa, ia diputuskan haram.

"Jika untuk mengetahui wanita terbabit bagi tujuan perkahwinan, ia dibenarkan tetapi tertakluk kepada etika Islam," katanya.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Ulul Albab: Takwim Hijrah beri keadilan laksana ibadah

Amalan dalam Islam tidak statik tetapi berlaku pada setiap musim untuk uji iman umat

DARIPADA beberapa tanda yang menunjukkan Islam agama yang adil ialah penggunaan kalendar Hijrah dalam sistem pentarikhan.. Oleh itu, kita berpuasa Ramadan pada semua musim; hujan dan kemarau; sejuk, panas, bunga dan gugur. Begitu juga pelaksanaan haji dan merayakan hari kebesaran Islam lain.

Dengan perkataan lain, sistem ibadah dalam Islam tidak dihadkan pelaksanaannya pada masa yang tetap dan statik, tapi berubah mengikuti perubahan iklim. Sistem ini memberikan keadilan kepada semua masa untuk berasakan nuansa keislaman di dalamnya. Sebagai contoh, jika Ramadan pada Julai saja, tentu kita tidak akan berasakan keindahan berpuasa pada musim sejuk. Begitu pula sebaliknya, jika kita tetapkan puasa Ramadan pada Disember saja, tentu kita tidak akan berasa betapa beratnya berpuasa pada musim panas.


Sistem pentarikhan pertama diajarkan Nabi Adam AS kepada anaknya, Nabi Syits AS yang bermakna pemberian Allah sebagai pengganti anaknya, Habil yang dibunuh Qabil dalam peristiwa pembunuhan manusia pertama berpunca daripada kisah pengorbanan. (Ayat 27-31 Surah al-Maidah)

Kepada Nabi Syits, Allah turunkan 50 lembaran (suhuf) yang berisi ajaran Allah SWT. Untuk pengetahuan tambahan, empat kitab suci yang diturunkan Allah ialah Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran, manakala suhuf ialah 104 dan 50 daripadanya diturunkan kepada Nabi Syits seperti diriwayatkan Ibn Hibban daripada Abu Darda’ secara marfu’.

Imam Ibnu Kathir dalam kitabnya Qishashul Anbiya’ (Kisah Nabi) menukil perkataan Muhammad ibn Ishaq bahawa ketika Nabi Adam mendekati ajalnya, Baginda berpesan kepada anaknya, Syits dan mengajarkan kepadanya perihal waktu malam dan siang. Baginda juga mengajarkan ibadah pada waktu berkenaan serta memberitahu kepadanya taufan yang akan berlaku.

Siang dan malam adalah tanda kebesaran Allah dengan diputar-Nya matahari dan bulan, menerusinya kita boleh mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah berfirman maksudnya: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan setiap satu itu (berpindah-pindah) di tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semua itu melainkan dengan faedah. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya).” (Surah Yunus: ayat 5)

Kita juga boleh menjumpai makna sama dengan ayat ini dalam Surah al-Isra ayat 12.

Daripada apa yang diajarkan Adam kepada Syits ialah Allah menetapkan 12 bulan dalam setahun. Al-Quran menjelaskan maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang ditetapkan) dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang lurus, maka jangan kamu menganiaya diri kamu pada bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya seperti mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa.” (Surah al-Taubah: ayat 36)

Bulan pada tahun Hijrah bermula dengan Muharam dan tahun Masihi bermula dengan Mac pada asalnya. Kedua-dua bulan ini berkaitan dengan perang. Nama Muharam diberikan orang Arab terdahulu kerana di dalamnya dilarang peperangan selepas pelaksanaan haji pada Zulhijjah. Sedangkan Mac adalah nama tuhan perang orang Rom..
Jika diperhatikan sejarah penamaan bulan dalam tradisi Masihi dan Hijrah dan tahun lain kita dapati semuanya menggunakan bulan sebagai asal pengiraan masa. Pada mulanya bulan pada tahun Masihi hanya 10 bermula dari Mac hingga Disember yang bermakna bulan ke-10.

Mereka menambah Januari dan Februari ke dalam kalendar kerana pada dua bulan tidak ada kegiatan kehidupan bermakna bulan berkenaan adalah musim sejuk.

Lain halnya dengan bulan pada Hijrah. Ia dari awal berjumlah 12 seperti diajarkan Syits dengan ketetapan Allah. Ketika orang Arab terdahulu hendak menamakan bulan, mereka sepakat awal tahun dimulakan selepas selesainya pelaksanaan haji pada Zulhijjah supaya mudah diingati kerana ibadah itu adalah penyatuan bangsa Arab yang mengikuti ajaran Nabi Ibrahim AS.

Selepas menentukan bahawa permulaan bulan adalah dengan melihat anak bulan, mereka sepakat menamakan bulan pertama dengan Muharam kerana bersetuju untuk tidak berperang pada bulan itu. Ketika ru’yat hilal bulan kedua mereka melihat cuaca cerah maka, mereka menamakannya dengan Safar yang bermakna kuning atau kosong.

Bulan berikutnya dinamakan Rabi’ kerana mereka mendapati keadaan alam berbunga dan berlanjutan pada bulan berikutnya, maka Rabi’ ada dua yakni Rabiulawal dan Rabiulakhir. Selepas musim bunga datang pula musim sejuk yang membekukan bumi Arab, maka dinamakan bulan berikutnya Jamad yang ertinya beku.

Ia sama dengan musim bunga selama dua bulan maka dinamakan Jamadilawal dan Jamadilakhir. Musim beku habis, maka datang musim penghormatan kepada suku paling terhormat di kalangan orang Arab iaitu bani Mudhr yang menghormati Rajab sebagai bulan tidak dibenarkan perang. Rajab dijadikan ungkapan bahasa Arab berbunyi ‘Isy rajaban tara ‘ajaban atau ‘hiduplah dari Rajab ke Rajab lagi maka engkau akan melihat pelbagai keajaiban’. Selepas penghormatan diberikan kepada suku Mudhr, akhirnya mereka berpecah dan menamakan bulan berpecah untuk berperang atau mencari air untuk persiapan bulan berikutnya dengan Syaaban. Selepas Syaaban datang Ramadan kerana ketika itu musim panas.

Selepas musim panas berlalu, mereka memerhatikan bulan itu banyak unta bunting maka dinamakan bulan itu Syawal. Bulan ke-11 adalah Zulkaedah yang bermakna duduk. Ia dinamakan demikian kerana orang Arab bersiap menunaikan ibadah haji pada bulan berikutnya.

Mereka dilarang berperang pada bulan ini dan bulan ke-12 iaitu Zulhijjah kerana haji berlangsung sepanjang bulan. Inilah ringkasan sejarah penamaan bulan orang Arab terdahulu yang kemudian dijadikan takwim Hijrah oleh Saidina Umar ketika pemerintahannya antara 12 hingga 20 Hijrah.

Masa berlalu begitu pantas sehingga melalaikan kita terhadap tugas membangunkannya. Sudah tiba masanya bagi kita berlaku adil terhadap waktu yang dianugerahkan Allah sempena kedatangan Maal Hijrah 1430 esok. Seandainya kita memahami kepentingan masa dalam hidup, maka kita akan sependapat dengan Imam Ibnul Jauzi yang ketika diajak temannya: “Marilah kita sejenak bersembang santai.”

Beliau menjawab: “Kalau begitu, hentikanlah matahari untuk sementara waktu.” Wallahu a'lam.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template