^ Scroll to Top

Thursday, February 5, 2009

Nabi Yusuf dan godaan Zulaikha

DAN wanita (Zulaikha) yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu seraya berkata: "Marilah memperlakukan aku dengan baik." Sesungguhnya orang yang zalim tidak akan beruntung. Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu dengan Yusuf dan Yusuf bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andai dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, agar kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba yang terpilih. (Yusuf: 23-24)
Zulaikha merupakan isteri kepada pembesar Mesir yang membeli Nabi Yusuf daripada rombongan kalifah yang menjualkan. Zulaikha tertarik dengan ketampanan yang dimiliki oleh Nabi Yusuf. Ketampanan Nabi Yusuf ini juga telah membuatkan Zulaikha jatuh cinta terhadapnya.
Pada suatu hari, Zulaikha berniat untuk menggoda Nabi Yusuf. Ketika itu, suaminya tidak ada di rumah. Zulaikha telah menutup kesemua pintu rumahnya lalu mendekati Nabi Yusuf sambil berkata, "Wahai Yusuf, kemarilah engkau ke sini," ajak Zulaikha.
"Aku berlindung kepada Allah dan memohon keampunan daripada-Nya. Sesungguhnya suamimu telah memperlakukan aku dengan baik," jawab Nabi Yusuf.
Zulaikha tidak mengendahkan kata-kata Nabi Yusuf itu. Zulaikha menghulurkan tangannya untuk memeluk Nabi Yusuf tetapi Nabi Yusuf berjaya mengelakkan dirinya. Nabi Yusuf terus berlalu ke muka pintu. Zulaikha mengejarnya dan sempat menarik baju Nabi Yusuf sehingga terkoyak.
Pintu bilik terus dibuka. Zulaikha amat terkejut apabila melihat suaminya berdiri di muka pintu. Pembesar tersebut memandang mereka dengan wajah yang penuh curiga. Untuk membela dirinya, Zulaikha telah menuduh Nabi Yusuf cuba menggodanya.
"Wahai suamiku, balasan apakah yang patut diberikan kepada orang yang cuba menggoda isterimu?" kata Zulaikha, berpura-pura tidak bersalah.
"Dia yang menggodaku. Aku menolak ajakan isterimu, lantas dia menarik bajuku lalu terkoyak," jelas Nabi Yusuf sebagai membela dirinya.
Pembesar tersebut mendengar penjelasan daripada Zulaikha dan juga Nabi Yusuf. Untuk mendapatkan kebenaran dan keadilan, pembesar itu telah mengambil seorang saksi daripada ahli keluarga untuk mengadili perkara tersebut.
"Jika pakaian Yusuf ini koyak di hadapan, maka kata-kata Zulaikha itu benar dan Yusuf telah berdusta. Tetapi, jika baju itu koyak di belakang, maka Zulaikhalah yang berdusta dan Yusuf bercakap benar," kata wanita itu.
Apabila melihat kepada pakaian Nabi Yusuf itu, maka terbuktilah bahawa Zulaikha yang berdusta dalam perkara itu. Pembesar tersebut meminta maaf dan Nabi Yusuf akhirnya terlepas daripada fitnah yang dilemparkan oleh Zulaikha.


- Petikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Kekufuran adalah kegelapan

ALLAH pelindung (yang mengawal dan menolong) orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (al-Baqarah: 257)
Huraian
Hanya Allah SWT yang berkuasa memberi hidayat kepada hamba-hamba-Nya. Ia berkuasa mengeluarkan manusia daripada kekufuran kepada keimanan. Iman kepada Allah berpaksikan akal yang waras mendorong manusia tunduk dan patuh kepada syariat Allah.
Namun terdapat segolongan manusia yang melanggar batasan agama.
Mereka menjadikan berhala sebagai dewa dan memimpin manusia ke arah kekufuran, inilah yang disebut dengan perkataan taghut. Pimpinan sebegini pastilah akan menjadikan tempat yang terang kembali gelap.
Cahaya terang akan diselimuti kabut yang membawa kegelapan kerana mereka mewarnainya dengan perlakuan fitnah, hasad dengki, perzinaan dan pelbagai maksiat yang sukar dibendung.
Mereka inilah penghuni neraka dan kekal selama-lamanya. Balasan tersebut adalah setimpal dengan perlakuan jahat mereka semasa di dunia.
Kesimpulan
Allah berkuasa atas segala-galanya, memberi cahaya petunjuk setelah melalui kegelapan. Namun terdapat segolongan manusia yang kembali kepada kegelapan akibat kekufuran terhadap Allah SWT. Neraka Jahannam merupakan tempat tinggal mereka yang abadi







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Awas Berteman dan Bermesra

TEMAN tapi mesra. Ungkapan terbabit sering kedengaran di bibir anak muda, tetapi kadangkala mengelirukan bagi sesetengah pihak, namun yang pasti ia merujuk kepada perhubungan antara lelaki dan perempuan.

Berkawan tidak salah, bahkan digalakkan kerana ia selaras dengan fitrah dan membawa banyak manfaat sehinggakan dapat membuatkan hidup lebih ceria.

Cuma, berwaspada apabila kawan lebih daripada had, terlalu rapat dan intim, malah sanggup mengorbankan harga diri.

Justeru, Islam menasihati umatnya sentiasa memelihara kesopanan dan tata cara sepanjang masa, terutama apabila bersosial dan berkawan, supaya kebaikan terjaga.

Ulama tersohor, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, berkata hubungan di antara lelaki dan wanita tidak ditolak secara keseluruhan.

Bagaimanapun, beliau menggariskan beberapa syarat hubungan di antara kedua-dua jantina terbabit, dengan saling merendahkan pandangan dan memastikan tiada pandangan yang disusuli nafsu.

Menurutnya, wanita Islam juga patut prihatin terhadap kod pakaian Islam, yang menutupi seluruh badan, tidak ketat dan menggambarkan bentuk badan.

"Akhlak yang umum sepatutnya diamalkan. Dalam perkataan lain, seorang wanita sepatutnya serius dalam ucapan dan tertib cara berjalan dan melawan godaan syaitan. Tiada wangian dipakai dari rumah."

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Mana-mana wanita yang memakai wangian dan kemudian berjalan melalui sekumpulan lelaki dan mereka mencium wangian itu, dia adalah penzina."

Al-Qaradawi juga berkata, lelaki dan wanita (bukan mahram) tidak dibenarkan bersama di satu tempat yang tiada lelaki lain.

Bagaimanapun, perkembangan mutakhir mendapati fenomena memiliki teman istimewa kian menjadi-jadi, seolah-olah ia suatu kebiasaan.

Bagaimanpun, apabila teman terbabit berkelakuan di luar jangkaan, timbullah keburukan, malah bagi pelajar prestasi pelajaran merosot, selera makan menurun, bahkan untuk hidup pun tidak bersemangat.

Bekas Presiden Masyarakat Islam Amerika Utara (ISNA), Dr Muzammil Siddiqi, berkata Muslim memang sepatutnya mempunyai hubungan yang baik dengan semua orang, lelaki dan wanita, di sekolah, tempat kerja dan kawasan kejiranan.

"Tetapi Islam tidak membenarkan mengambil orang bukan mahram sebagai kawan rapat kerana hubungan seperti itu kerap membawa perkara haram.

"Ini memungkinkan mereka melakukan dosa atau menghabiskan banyak masa bersama," katanya sambil mengemukakan ayat 25 Surah an-Nisa sebagai satu hujah atas dakwaan berkenaan.

Perhubungan intim yang membawa kepada pertemuan sosial atau 'dating' boleh mengundang pelbagai mala petaka, seperti rogol, pembunuhan dan persundalan.

Fenomena itu mula bercambah ketika muzik Barat mula memekik dari kereta dan pasangan muda berpegangan tangan di kafeteria. Malah, seks sebelum perkahwinan menjadi suatu fenomena yang semakin menjadi-jadi sejak era revolusi seks 1960-an.

Jurnal Persatuan Perubatan Amerika ada melaporkan, peningkatan bilangan gadis mengadakan pertemuan sosial, berisiko berdepan dengan kekejaman, hamil, penderaan, bahaya tingkah laku seksual dan membahayakan diri.

Berikutan itu, ramai di kalangan gadis menderita secara senyap, tidak memberitahu sesiapa kerana takut atau malu.

Walaupun sesetengah mereka cuba memilih untuk bersuara bagi mendapatkan pembelaan, ia hanya membabitkan sebilangan kes tertentu.

Hari ini, bukan sedikit anak muda yang berada dalam keadaan mengelirukan dan keterpaksaan, bersama masa depan yang kabur selepas terjebak dalam perhubungan intim dengan pasangan masing-masing.

Oleh itu Islam menasihati umatnya berwaspada apabila bersosial dan jangan sampai merugikan diri dan keluarga.

Hakikatnya berkawan tidak salah tetapi jika melanggar nilai agama lebih-lebih lagi bertemu dan berdua-duaan, ia dilarang sama sekali.

Sheikh Ahmad Kutty, dari Institut Islam Toronto, Kanada, berkata pertemuan sosial tentu tidak dibenarkan.

Menurutnya, Islam melarang umatnya berdua-duaan dengan pasangan berlainan jantina kecuali hubungan persaudaraan atau perkahwinan.

"Tidak dibenarkan menurut kehendak nafsu secara bebas, bergaul sembarangan dan bercampur dengan kawan berlainan jantina," katanya.

Nabi Muhammad s.a.w menegaskan: "Apabila seorang lelaki dan wanita duduk bersama mereka ditemani teman ketiga (yang membisikkan kejahatan kepada mereka)."

Katanya, Allah memerintahkan kita bukan saja menahan diri daripada zina tetapi menjauhi daripadanya.

"Menurut hukum ahli fiqah, perkara yang membawa kepada haram juga diputuskan haram. Justeru, apabila pertemuan sosial itu membawa kepada dosa, ia diputuskan haram.

"Jika untuk mengetahui wanita terbabit bagi tujuan perkahwinan, ia dibenarkan tetapi tertakluk kepada etika Islam," katanya.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Ulul Albab: Takwim Hijrah beri keadilan laksana ibadah

Amalan dalam Islam tidak statik tetapi berlaku pada setiap musim untuk uji iman umat

DARIPADA beberapa tanda yang menunjukkan Islam agama yang adil ialah penggunaan kalendar Hijrah dalam sistem pentarikhan.. Oleh itu, kita berpuasa Ramadan pada semua musim; hujan dan kemarau; sejuk, panas, bunga dan gugur. Begitu juga pelaksanaan haji dan merayakan hari kebesaran Islam lain.

Dengan perkataan lain, sistem ibadah dalam Islam tidak dihadkan pelaksanaannya pada masa yang tetap dan statik, tapi berubah mengikuti perubahan iklim. Sistem ini memberikan keadilan kepada semua masa untuk berasakan nuansa keislaman di dalamnya. Sebagai contoh, jika Ramadan pada Julai saja, tentu kita tidak akan berasakan keindahan berpuasa pada musim sejuk. Begitu pula sebaliknya, jika kita tetapkan puasa Ramadan pada Disember saja, tentu kita tidak akan berasa betapa beratnya berpuasa pada musim panas.


Sistem pentarikhan pertama diajarkan Nabi Adam AS kepada anaknya, Nabi Syits AS yang bermakna pemberian Allah sebagai pengganti anaknya, Habil yang dibunuh Qabil dalam peristiwa pembunuhan manusia pertama berpunca daripada kisah pengorbanan. (Ayat 27-31 Surah al-Maidah)

Kepada Nabi Syits, Allah turunkan 50 lembaran (suhuf) yang berisi ajaran Allah SWT. Untuk pengetahuan tambahan, empat kitab suci yang diturunkan Allah ialah Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran, manakala suhuf ialah 104 dan 50 daripadanya diturunkan kepada Nabi Syits seperti diriwayatkan Ibn Hibban daripada Abu Darda’ secara marfu’.

Imam Ibnu Kathir dalam kitabnya Qishashul Anbiya’ (Kisah Nabi) menukil perkataan Muhammad ibn Ishaq bahawa ketika Nabi Adam mendekati ajalnya, Baginda berpesan kepada anaknya, Syits dan mengajarkan kepadanya perihal waktu malam dan siang. Baginda juga mengajarkan ibadah pada waktu berkenaan serta memberitahu kepadanya taufan yang akan berlaku.

Siang dan malam adalah tanda kebesaran Allah dengan diputar-Nya matahari dan bulan, menerusinya kita boleh mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah berfirman maksudnya: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan setiap satu itu (berpindah-pindah) di tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semua itu melainkan dengan faedah. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya).” (Surah Yunus: ayat 5)

Kita juga boleh menjumpai makna sama dengan ayat ini dalam Surah al-Isra ayat 12.

Daripada apa yang diajarkan Adam kepada Syits ialah Allah menetapkan 12 bulan dalam setahun. Al-Quran menjelaskan maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang ditetapkan) dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang lurus, maka jangan kamu menganiaya diri kamu pada bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya seperti mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa.” (Surah al-Taubah: ayat 36)

Bulan pada tahun Hijrah bermula dengan Muharam dan tahun Masihi bermula dengan Mac pada asalnya. Kedua-dua bulan ini berkaitan dengan perang. Nama Muharam diberikan orang Arab terdahulu kerana di dalamnya dilarang peperangan selepas pelaksanaan haji pada Zulhijjah. Sedangkan Mac adalah nama tuhan perang orang Rom..
Jika diperhatikan sejarah penamaan bulan dalam tradisi Masihi dan Hijrah dan tahun lain kita dapati semuanya menggunakan bulan sebagai asal pengiraan masa. Pada mulanya bulan pada tahun Masihi hanya 10 bermula dari Mac hingga Disember yang bermakna bulan ke-10.

Mereka menambah Januari dan Februari ke dalam kalendar kerana pada dua bulan tidak ada kegiatan kehidupan bermakna bulan berkenaan adalah musim sejuk.

Lain halnya dengan bulan pada Hijrah. Ia dari awal berjumlah 12 seperti diajarkan Syits dengan ketetapan Allah. Ketika orang Arab terdahulu hendak menamakan bulan, mereka sepakat awal tahun dimulakan selepas selesainya pelaksanaan haji pada Zulhijjah supaya mudah diingati kerana ibadah itu adalah penyatuan bangsa Arab yang mengikuti ajaran Nabi Ibrahim AS.

Selepas menentukan bahawa permulaan bulan adalah dengan melihat anak bulan, mereka sepakat menamakan bulan pertama dengan Muharam kerana bersetuju untuk tidak berperang pada bulan itu. Ketika ru’yat hilal bulan kedua mereka melihat cuaca cerah maka, mereka menamakannya dengan Safar yang bermakna kuning atau kosong.

Bulan berikutnya dinamakan Rabi’ kerana mereka mendapati keadaan alam berbunga dan berlanjutan pada bulan berikutnya, maka Rabi’ ada dua yakni Rabiulawal dan Rabiulakhir. Selepas musim bunga datang pula musim sejuk yang membekukan bumi Arab, maka dinamakan bulan berikutnya Jamad yang ertinya beku.

Ia sama dengan musim bunga selama dua bulan maka dinamakan Jamadilawal dan Jamadilakhir. Musim beku habis, maka datang musim penghormatan kepada suku paling terhormat di kalangan orang Arab iaitu bani Mudhr yang menghormati Rajab sebagai bulan tidak dibenarkan perang. Rajab dijadikan ungkapan bahasa Arab berbunyi ‘Isy rajaban tara ‘ajaban atau ‘hiduplah dari Rajab ke Rajab lagi maka engkau akan melihat pelbagai keajaiban’. Selepas penghormatan diberikan kepada suku Mudhr, akhirnya mereka berpecah dan menamakan bulan berpecah untuk berperang atau mencari air untuk persiapan bulan berikutnya dengan Syaaban. Selepas Syaaban datang Ramadan kerana ketika itu musim panas.

Selepas musim panas berlalu, mereka memerhatikan bulan itu banyak unta bunting maka dinamakan bulan itu Syawal. Bulan ke-11 adalah Zulkaedah yang bermakna duduk. Ia dinamakan demikian kerana orang Arab bersiap menunaikan ibadah haji pada bulan berikutnya.

Mereka dilarang berperang pada bulan ini dan bulan ke-12 iaitu Zulhijjah kerana haji berlangsung sepanjang bulan. Inilah ringkasan sejarah penamaan bulan orang Arab terdahulu yang kemudian dijadikan takwim Hijrah oleh Saidina Umar ketika pemerintahannya antara 12 hingga 20 Hijrah.

Masa berlalu begitu pantas sehingga melalaikan kita terhadap tugas membangunkannya. Sudah tiba masanya bagi kita berlaku adil terhadap waktu yang dianugerahkan Allah sempena kedatangan Maal Hijrah 1430 esok. Seandainya kita memahami kepentingan masa dalam hidup, maka kita akan sependapat dengan Imam Ibnul Jauzi yang ketika diajak temannya: “Marilah kita sejenak bersembang santai.”

Beliau menjawab: “Kalau begitu, hentikanlah matahari untuk sementara waktu.” Wallahu a'lam.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Sunday, February 1, 2009

Sejarah Hidup Imam Nasa'i

Imam Nasa'i juga merupakan tokoh ulama kenamaan ahli hadith pada masanya. Selain Shahih Bukhari, Shahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Jami' At-Tirmidzi, juga karya besar Imam Nasa'i, Sunan us-Sughra termasuk jajaran kitab hadith pokok yang dapat dipercayai dalam pandangan ahli hadith dan para kritikus hadith.



Ia adalah seorang imam ahli hadith syaikhul Islam sebagaimana diungkapkan az-Zahabi dalam Tazkirah-nya Abu 'Abdurrahman Ahmad bin 'Ali bin Syu'aib 'Ali bin Sinan bin Bahr al-Khurasani al-Qadi, pengarang kitab Sunan dan kitab-kitab berharga lainnya. Juga ia adalah seorang ulama hadith yang jadi ikutan dan ulama terkemuka melebihi para ulama yang hidup pada zamannya.



Dilahirkan di sebuah tempat bernama Nasa' pada tahun 215 H. Ada yang mengatakan pada tahun 214 H.





Pengembaraannya



Ia lahir dan tumbuh berkembang di Nasa', sebuah kota di Khurasan yang banyak melahirkan ulama-ulama dan tokoh-tokoh besar. Di madrasah negeri kelahirannya itulah ia menghafal Al-Qur'an dan dari guru-guru negerinya ia menerima pelajaran ilmu-ilmu agama yang pokok. Setelah meningkat remaja, ia senang mengembara untuk mendapatkan hadith. Belum lagi berusia 15 tahun, ia berangkat mengembara menuju Hijaz, Iraq, Syam, Mesir dan Jazirah. Kepada ulama-ulama negeri tersebut ia belajar hadith, sehingga ia menjadi seorang yang sangat terkemuka dalam bidang hadith yang mempunyai sanad yang 'Ali (sedikit sanadnya) dan dalam bidang kekuatan periwayatan hadith.



Nasa'i merasa serasi tinggal di Mesir. Kerananya, ia kemudian menetap di negeri itu, di jalan Qanadil. Dan seterusnya menetap di kampung itu hingga setahun menjelang wafatnya. Kemudian ia berpindah ke Damsyik. Di tempatnya yang baru ini ia mengalami suatu peristiwa tragis yang menyebabkan ia menjadi syahid. Alkisah, ia dimintai pendapat tentang keutamaan Mu'awiyyah r.a. Tindakan ini seakan-akan mereka minta kepada Nasa'i agar menulis sebuah buku tentang keutamaan Mu'awiyyah, sebagaimana ia telah menulis mengenai keutamaan Ali r.a.



Oleh kerana itu ia menjawab kepada penanya tersebut dengan "Tidakkah Engkau merasa puas dengan adanya kesamaan darjat (antara Mu'awiyyah dengan Ali), sehingga Engkau merasa perlu untuk mengutamakannya?" Mendapat jawaban seperti ini mereka naik pitam, lalu memukulinya sampai-sampai buah kemaluannya pun dipukul, dan menginjak-injaknya yang kemudian menyeretnya keluar dari masjid, sehingga ia nyaris menemui kematiannya.





Wafatnya



Tidak ada kesepakatan pendapat tentang di mana ia meninggal dunia. Imam Daraqutni menjelaskan, bahawa di saat mendapat cubaan tragis di Damsyik itu ia meminta supaya dibawa ke Makkah. Permohonannya ini dikabulkan dan ia meninggal di Makkah, kemudian dikebumikan di suatu tempat antara Safa dan Marwah. Pendapat yang sama dikemukakan pula oleh Abdullah bin Mandah dari Hamzah al-'Uqbi al-Misri dan ulama yang lain.



Imam az-Zahabi tidak sependapat dengan pendapat di atas.. Menurutnya yang benar ialah bahawa Nasa'i meningal di Ramlah, suatu tempat di Palestina. Ibn Yunus dalam Tarikhnya setuju dengan pendapat ini, demikian juga Abu Ja'far at-Tahawi dan Abu Bakar bin Naqatah. Selain pendapat ini menyatakan bahawa ia meninggal di Ramlah, tetapi yang jelas ia dikebumikan di Baitul Maqdis. Ia wafat pada tahun 303 H.





Sifat-Sifatnya



Ia bermuka tampan. Warna kulitnya kemerah-merahan dan ia senang mengenakan pakaian garis-garis buatan Yaman. Ia adalah seorang yang banyak melakukan ibadah, baik di waktu malam atau siang hari, dan selalu beribadah haji dan berjihad.

Ia sering ikut bertempur bersama-sama dengan gabenor Mesir. Mereka mengakui kesatriaan dan keberaniannya, serta sikap konsistensinya yang berpegang teguh pada sunnah dalam menangani masalah penebusan kaum Muslimin yang tetangkap lawan. Dengan demikian ia dikenal senantiasa "menjaga jarak" dengan majlis sang Amir, padahal ia tidak jarang ikut bertempur besamanya. Demikianlah. Maka, hendaklah para ulama itu senantiasa menyebar luaskan ilmu dan pengetahuan. Namun ada panggilan untuk berjihad, hendaklah mereka segera memenuhi panggilan itu. Selain itu, Nasa'i telah mengikuti jejak Nabi Dawud, sehari puasa dan sehari tidak.





Fiqh Nasa'i



Ia tidak saja ahli dan hafal hadith, mengetahui para perawi dan kelemahan-kelemahan hadith yang diriwayatkan, tetapi ia juga ahli fiqh yang berwawasan luas.

Imam Daraqutni pernah berkata mengenai Nasa'i bahawa ia adalah salah seorang Syaikh di Mesir yang paling ahli dalam bidang fiqh pada masanya dan paling mengetahui tentang hadith dan perawi-perawi.



Ibnul Asirr al-Jazairi menerangkan dalam mukadimah Jami'ul Usul-nya, bahawa Nasa'i bermazhab Syafi'i dan ia mempunyai kitab Manasik yang ditulis berdasarkan mazhab Safi'i, rahimahullah.





Karya-Karyanya



Imam Nasa'i telah menusil beberapa kitab besar yang tidak sedikit jumlahnya. Di antaranya:



• As-Sunan ul-Kuba.

• As-Sunan us-Sughra, tekenal dengan nama Al-Mujtaba.

• Al-Khasa'is.

• Fada'ilus-Sahabah.

• Al-Manasik.



Di antara karya-karya tersebut, yang paling besar dan bemutu adalah Kitab As-Sunan.





Sekilas Tentang Sunan An-Nasa'i



Nasa'i menerima hadith dari sejumlah guru hadith terkemuka. Di antaranya ialah Qutaibah Imam Nasa'i Sa'id. Ia mengunjungi kutaibah ketika berusia 15 tahun, dan selama 14 bulan belajar di bawah asuhannya. Guru lainnya adalah Ishaq bin Rahawaih, al-Haris bin Miskin, 'Ali bin Khasyram dan Abu Dawud penulis as-Sunan, serta Tirmidzi, penulis al-Jami'.



Hadith-hadithnya diriwayatkan oleh para ulama yang tidak sedikit jumlahnya. Antara lain Abul Qasim at-Tabarani, penulis tiga buah Mu'jam, Abu Ja'far at-Tahawi, al-Hasan bin al-Khadir as-Suyuti, Muhammad bin Mu'awiyyah bin al-Ahmar al-Andalusi dan Abu Bakar bin Ahmad as-Sunni, perawi Sunan Nasa'i.



Ketika Imam Nasa'i selesai menyusun kitabnya, As-Sunan ul-Kubra, ia lalu menghadiahkannya kepada Amir ar-Ramlah. Amir itu bertanya: "Apakah isi kitab ini shahih seluruhnya?" "Ada yang shahih, ada yang hasan dan ada pula yang hampir serupa dengan keduanya," jawabnya. "Kalau demikian," kata sang Amir, "Pisahkan hadith-hadith yang shahih saja." Atas permintaan Amir ini maka Nasa'i berusaha menyeleksinya, memilih yang shahih-shahih saja, kemudian dihimpunnya dalam suatu kitab yang dinamakan As-Sunan us-Sughra. Dan kitab ini disusun menurut sistematika fiqh sebagaimana kitab-kitab Sunan yang lain.



Imam Nasa'i sangat teliti dalam menyususn kitab Sunan us-Sughra. Kerananya ulama berkata: "Kedudukan kitab Sunan Sughra ini di bawah darjat Shahih Bukhari dan Shahih Muslim, kerana sedikit sekali hadith dha'if yang tedapat di dalamnya."



Oleh kerana itu, kita dapatkan bahawa hadith-hadith Sunan Sughra yang dikritik oleh Abul Faraj ibnul al-Jauzi dan dinilainya sebagai hadith maudhu’ kepada hadith-hadith tersebut tidak sepenuhnya dapat diterima. As-Suyuti telah menyanggahnya dan mengemukakan pandangan yang berbeda dengannya mengenai sebahagian besar hadith yang dikritik itu. Dalam Sunan Nasa'i terdapat hadith-hadith shahih, hasan, dan dha'if, hanya saja hadith yang dha'if sedikit sekali jumlahnya. Adapun pendapat sebahagian ulama yang menyatakan bahawa isi kitab Sunan ini shahih semuanya, adalah suatu anggapan yang terlalu sembrono, tanpa didukung oleh penelitian mendalam. Atau maksud pernyataan itu adalah bahawa sebahagian besar ini Sunan adalah hadith shahih.



Sunan us-Sughra inilah yang dikategorikan sebagai salah satu kitab hadith pokok yang dapat dipercaya dalam pandangan ahli hadith dan para kritikus hadith. Sedangkan Sunan ul-Kubra, kaedah yang ditempuh Nasa'i dalam penyusunannya adalah tidak meriwayatkan sesuatu hadith yang telah disepakati oleh ulama kritik hadith untuk ditinggalkan.



Apabila sesuatu hadith yang dinisbahkan kepada Nasa'i, misalnya dikatakan, "hadith riwayat Nasa'i", maka yang dimaksudkan ialah "riwayat yang di dalam Sunan us-Sughra, bukan Sunan ul-Kubra", kecuali yang dilakukan oleh sebahagian kecil para penulis. Hal itu sebagaimana telah diterangkan oleh penulis kitab 'Aunul-Ma'bud Syarhu Sunan Abi Dawud pada bahagian akhir huraiannya: "Ketahuilah, pekataan al-Munziri dalam Mukhtasar-nya dan perkataan al-Mizzi dalam Al-Atraf-nya, hadith ini diriwayatkan oleh Nasa'i", maka yang dimaksudkan ialah riwayatnya dalam As-Sunan ul-Kubra, bukan Sunan us-Sughra yang kini beredar di hampir seluruh negeri, seperti India, Arabia, dan negeri-negeri lain. Sunan us-Sughra ini merupakan ringkasan dari Sunan ul-Kubra dan kitab ini hampir-hampir sulit ditemukan. Oleh kerana itu hadith-hadith yang dikatakan oleh al-Munziri dan al-Mizzi, "diriwayatkan oleh Nasa'i" adalah tedapat dalam Sunan ul-Kubra. Kita tidak perlu bingung dengan tiadanya kitab ini, sebab setiap hadith yang tedapat dalam Sunan us-Sughra, terdapat pula dalam Sunanul-Kubra dan tidak sebaliknya.



Mengakhiri pengkajian ini, perlu ditegaskan kembali, bahawa Sunan Nasa'i adalah salah satu kitab hadith pokok yang menjadi pegangan.


Oleh : Muhammad Nazir






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template