^ Scroll to Top

Tuesday, November 11, 2008

Haji, suatu 'perjalanan kerinduan'

IBADAH haji adalah ibadah yang paling fundamental atau asas dalam agama Islam. Ketika Nabi Muhammad SAW menyebutkan 'struktur' bangunan Islam, maka baginda meletakkan ibadah haji sebagai bahagian yang tidak terpisah.
Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud: "Padanya terdapat tanda- tanda yang nyata (diantaranya) makam Ibrahim; barangsaiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang- orang yang mampu mengadakan perjalanan ke Baitullah". (Surah Ali-Imran ayat 97).
Haji dan umrah sememangnya menyimpan rahsia tersendiri yang sukar difahami secara lahiriah. Ibadah haji, sebagaimana erti harfiahnya adalah berjalan dengan tujuan tertentu, yakni kerana Allah. Satu 'perjalanan kerinduan' untuk mencari dan menggapai keredaan Allah SWT. Meskipun tidak semua orang mempunyai tujuan yang sama dalam melaksanakan ibadah ini, namun biasanya orang yang melakukan haji tujuannya ingin 'bertemu' dengan Allah, dengan kapasitinya yang berbeza-beza.
Orang yang datang dengan iman tebal akan menemukan kebahagiaan tersendiri saat berada di sekitar Mekah dan Madinah, terutama saat-saat dia 'menyapa' Allah di hadapan Kaabah. Sementara orang yang kurang imannya juga mengalami pengalamannya tersendiri ketika berada di bawah naungan Allah di tirai Kaabah tersebut.
Banyak kisah yang kita dengar di mana seseorang mendapatkan jawapan dari kesulitannya saat dia menunaikan haji. Misalnya di mana sebelum ini mereka tidak mendapat anak, namun apabila pulang dari mengerjakan haji, mereka memperoleh anak. Ada sesetengahnya sulit atau sukar dalam menentukan pasangan hidupnya, namun pulang dari Tanah Suci mereka bertemu jodoh; malah ada yang sakit, kemudian sembuh dan sebagainya.
Bagi mereka yang imannya kuat, dia 'menemukan' Allah di sana. Doanya dikabulkan, hatinya diisi kegembiraan, dapat merasakan manisnya berdoa, nikmatnya melakukan solat, damainya jiwa dan segala bentuk kenikmatan psikologi dan spiritual yang tidak mudah untuk dikisahkan secara verbal. Namun, itulah berkat yang diperoleh daripada mengerjakan haji sama ada kecil atau besar, semuanya anugerah Allah.
Di antara 'rahsia' ibadah haji yang diperintahkan kepada kita adalah untuk mengingat kembali pengalaman Nabi Ibrahim as. yang begitu besar jasa dan pengorbanannya dalam menyebarkan fahaman tauhid.
Salah satu pengorbanan Ibrahim as adalah ketika baginda diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya Ismail yang amat dikasihi dan dicintainya, Meskipun perintah ini amat berat, namun demi melaksanakan perintah Allah, Ibrahim as bersedia mengorbankan puteranya dan menganggap segalanya itu adalah ujian daripada Allah SWT untuk menguji sejauh mana keimanannya terhadap Maha Pencipta.
Perintah
Setelah Ibrahim benar-benar ingin melaksanakan perintah dan Ismail telah dibaringkan untuk disembelih serta pisau telah diletakkan di lehernya, datanglah seruan daripada Allah yang bermaksud: Ibrahim, cukuplah, kamu sudah membuktikan dirimu sebagai orang yang setia kepada Tuhan! (Surah Al-Shaffat ayat 104-105).
Inilah sebesar-besar pengorbanan yang didasarkan pada keikhlasan kerana Allah SWT.
Kedalaman makna ibadah haji tidak dapat difahami dengan baik dan jelas, malah akan menimbulkan kekeliruan jika kita tidak memahami siapa Nabi Ibrahim as dan keistimewaannya. Hakikatnya ibadah tersebut amat berkaitan dengan pengalaman rohani Nabi yang mulia dan agung itu.
Haji seperti inilah yang disebut haji mabrur. Haji yang sangat mulia dan amat bernilai dan oleh hal yang demikian itu, ia menjadi harapan setiap orang yang beriman; yang secara umumnya, kata mabrur bererti baik. Dalam surah Ali-Imran ayat 92, al-Quran mengggunakan kata 'birr': Kamu tidak akan memperoleh kebajikan (al-birr) kecuali kamu mendermakan sebahagian dari hartamu yang kamu cintai. 'Di sinilah kebajikan kepada sesama manusia. Inilah hakikat ajaran Islam, yang memang dirancang untuk memperkuat hubungan manusia dengan Allah dan sekali gus hubungan dengan sesama manusia.
Terdapat tiga keistimewaan Nabi Ibrahim yang tidak dimiliki oleh nabi dan manusia lain, yang sekaligus dicerminkan dalam ibadah haji.
Pertama: Ibrahim menemui Tuhan melalui pencarian dan pengalaman rohani. Kedua, melalui baginda, kebiasaan mengorbankan manusia sebagai tumbal (korban untuk memperoleh sesuatu yang lebih baik) dibatalkan oleh Allah SWT. Ini bermaksud bukan kerana manusia itu terlalu mahal untuk pengorbanan itu. Justeru apabila panggilan Ilahi tiba, tiada satupun yang mahal.Ini semua kerana rahmat dan kasih Tuhan.Dan yang ketiga,nabi Ibrahim adalah satu-satunya nabi yang bermohon agar diperlihatkan bagaimana Tuhan menghidupkannya yang mati, dan permohonan tersebut dikabulkan oleh-Nya.Ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 260 yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika nabi Ibrahim merayu dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati." Allah berfirman yang bermaksud "Adakah Engkau belum percaya (kepada Kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan(aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang sangat-sangat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "Jika demikian, ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincangkanlah semuanya). Setelah itu letakkanlah diatas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu, nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah maha kuasa lagi maha bijaksana,''.
Allah Yang Maha Esa, kemanusiaan dan keyakinan akan adanya hari Akhirat adalah makna-makna yang amat dalam dari setiap amalan ibadah haji. Tanpa menghayatinya, ibadah tersebut tidak banyak erti dan maknanya bagi jiwa manusia. Dengan keyakinan itu, lahir keyakinan tentang persamaan dan bahawa semua manusia sama darjatnya dari segi kemanusiaannya. Ini dicerminkan melalui kewajipan memakai pakaian ihram, kerana 'pakaian biasa' seringkali menggambarkan status manusia.
Demikianlah, betapa besar janji Allah tentang ibadah haji ini dan betapa mulianya orang yang mendapatkan kesempatan melakukannya. Kita yang mampu memang diwajibkan berhaji sekurang-kurang sekali seumur hidup. Namun, disebabkan fadilat atau keutamaannya yang sedemikian besar, sebahagian kaum Muslimin yang mampu akhirnya melakukannya berulang-ulang lantaran ingin memperoleh pahalanya yang besar itu.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Monday, November 10, 2008

Perihal tentang kematian

Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan
mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata :

"Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut".

Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu :
"Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh".

Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu :

"Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka
dengan keluarnya roh".

Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.

Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan :

"Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meniggalkan isteriku menjadi Balu. Maka janganlah kamu menyakitinya.Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian Menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya".

Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan
mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.

Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan:

"Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku".
"Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak
mahu menanggung kesalahanku".

"Adapun didunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku".

Ada satu riwayat drp Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar
dari duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di
muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia
bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu.

Maka mayat itu menjawab:

"Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk drpd
anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan
aku".

Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya. Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur dimukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.

Baginda Rasullullah S.A.W berkata:
Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat asuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:

"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat JibrailA.S. akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S.

" Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:

"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah SW.T."

Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain."

Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan:

"Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh org mukmin dari arah kaki,maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir."

Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."

Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu diitelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu."

Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang. Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: "Roh itu menuju ketujuh tempat:

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak dibumi tidak dilangit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat.

" Telah bersabda Rasullullah S.A.W :"Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya :
1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah. Sekian untuk ingatan kita bersama.

Wassallam.
*Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah mati..Insyallah..






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Hak Dalam Islam Yang Perlu Dipelihara

Islam sebagai satu-satunya agama yang diperakui di sisi Allah SWT, tidak pernah meninggalkan sesuatu ajarannya dengan kabur hingga manusia menjadi celaru dan meraba-raba hingga boleh membawa kesesatan yang tidak berkesudahan.

Justeru, antara ajaran Islam yang jitu lagi terarah kepada kebenaran, ia memperkenalkan kepada manusia sejagat beberapa ketentuan hak yang mesti ditunai dan dihormati iaitu; hak kepada Allah, hak kepada Rasulullah, hak kedua ibu bapa, hak muslim sesama muslim yang lain dan hak jiran adalah antara ajaran Islam yang berjaya membentuk jati diri muslim yang unggul dari segi pegangan, kepercayaan dan pelaksanaan hidup yang diredai Allah.

Inilah yang membezakan antara keunggulan agama Islam dengan agama-agama yang lain di dunia, ia tidak lebih daripada pengaruh atau pendekatan individu tertentu yang berkepentingan, malah ia bersifat terbatas dan sesuai pada waktu tertentu sahaja, malah Islam yang diperkenalkan oleh Allah SWT sejak azali lagi yang sifatnya serba sempurna menjana pendekatan, ajaran serta hala tuju yang jelas untuk memartabatkan bangsa manusia ke arah kecemerlangan mutlak di sisi-Nya.

Sesungguhnya dengan pelaksanaan hak-hak yang diperkenalkan Islam itu, maka manusia menuju ke jalan kesempurnaan yang dijanjikan Allah SWT.

HAK KEPADA ALLAH

Allah SWT adalah matlamat hidup setiap muslim, Dialah yang menjadikan segala-galanya di muka bumi ini untuk kelangsungan kehidupan mereka tanpa sebarang masalah, ia juga adalah kemudahan buat mereka untuk melakukan ibadat kepada-Nya, justeru hak Allah yang mesti ditunaikan oleh setiap manusia adalah seperti berikut :

1. Mentauhidkan- Nya pada zat, nama, sifat dan perbuatan-Nya dengan kefahaman yang mendalam pada Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah.

2. Tidak beribadat melainkan hanya kepada-Nya, kerana Dialah Yang Mencipta, Memberi rezeki dan menerima segala permohonan hamba-hamba- Nya.

3. Bersyukur kepada-Nya atas segala nikmat yang tidak terhingga, nikmat hidup, kesihatan, makanan dan lain-lain.

HAK KEPADA RASULULLAH

Perutusan baginda Rasulullah sebagai nabi dan rasul terakhir merupakan satu nikmat yang paling besar kepada seluruh manusia, kerana kerasulan baginda adalah untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan hidup kepada cahaya dan menunjuk-ajar mereka kejalan kebenaran.

Hak Rasul yang wajib umat Islam tunaikan ialah dengan mencintainya, mentaati ajarannya, melaksana ajaran dan meninggalkan larangannya.

HAK KEDUA IBU BAPA

Islam amat menitik-beratkan persoalan institusi kekeluargaan yang berasaskan kasih-sayang, antara ajaran Islam ialah menghormati kedua ibu bapa yang diletakkan selepas taat kepada Allah dan Rasulullah.

Kedua; ibu bapa berhak untuk dihormati, ditaati serta dipatuh segala perintah keduanya seperti yang diarahkan Allah dalam al-Quran.

Menurut ajaran Islam, seorang ibu lebih perlu ditaati, kerana ibu telah mengandungkan anak-anaknya, melahir dan menyusukan mereka, hal ini diperakui oleh baginda Rasulullah menerusi sebuah hadis ketika seorang lelakai bertemu baginda dan bertanya, "Wahai Rasulullah! Siapakah di kalangan manusia yang berhak untuk ditaati perintahnya, " baginda menjawab,"Ibumu" (sebanyak 3 kali) dan pada kali keempat barulah baginda sebut ayahmu.

HAK MUSLIM SESAMA MUSLIM

Umat Islam sesama mereka adalah bersaudara, bagaikan batu-bata yang memperkukuh bangunan antara satu sama lain, mereka berkasih-sayang kerana Allah berasaskan ajaran al-Quran dan petunjuk baginda Nabi Muhammad s. a. w untuk menuju satu umat yang kuat.

Justeru bagi mengekalkan kasih sayang yang sedia ada, Islam menganjurkan agar mereka menunaikan hak-hak bagi tujuan tersebut, antara lain menjawab salam, menziarahi ketika mereka sedang sakit, sahut undangannya, mendoakan ketika bersin, mengurus jenazah hingga ke perkuburan.

Kesemua hak jika dapat dilakukan dengan baik, umat Islam pasti akan berjaya dan mampu menghadapi sebarang kemungkinan khususnya ketika mereka berada di zaman yang penuh dengan fitnah sekarang ini.

HAK KEJIRANAN

Jiran merupakan anggota masyarakat yang paling hampir dengan diri kita, dia diumpamakan oleh baginda sebagai anggota tubuh badan manusia, malah digambarkan sebagai golongan yang sepatutnya boleh menerima harta pusaka.

Hak yang sepatutnya diberikan kepada jiran antara lain, memberi salam jika mereka orang Islam, menjenguknya jika sakit, mengucapkan takziah atas sesuatu musibah, mengucapkan tahniah atas sesuatu kegembiraan, menasihatinya jika tidak menutup aurat dengan sempurna, bersabar atas karenahnya.

Islam melarang umatnya dari menyakiti jiran, menggangunya, apatah lagi mencuri harta bendanya, malah mereka patut dibri sokongan untuk meneruskan kehidupan jika didapati mereka berada dalam kesempitan.

Dan banyak lagi yang tak dapat nak disenaraikan satu persatu dalam kesempatan yang terbatas ini, namun sebagai muslim yang iltizam dengan Islam, meyakini bahawa segala ajaran, tunjuk ajar serta arahan yang disampaikan oleh baginda Rasulullah s. a. w itu terdapat konsep pendidikan (tarbiah) yang mampu melahirkan sebaik-baik umat yang dilahirkan buat umat manusia sejagat..Insyallah.
.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

APA YANG KITA SOMBONGKAN - SATU PENCERMINAN DIRI

Oleh :M. Rian Rahardi

Seorang lelaki yang bertamu ke rumah seorang guru terpegun kehairanan ketika melihat Guru tersebut sedang sibuk bekerja; ia mengangkut air dengan timba dan membersih lantai rumahnya dengan bersungguh-sunguh. Peluhnya bercucuran. Menyaksikan keganjilan itu lelaki berkenaan bertanya, apa yang sedang Anda lakukan ?. Si Guru menjawab, tadi saya didatangi serombongan tetamu yang meminta nasihat. Saya memberikan banyak nasihat yang bermanfaat bagi mereka. Mereka pun nampaknya berpuas hati. Namun, setelah mereka pulang tiba-tiba saya merasa menjadi orang yang hebat. Kesombongan mula muncul dalam diri saya. Kerana itu, saya melakukan ini untuk membunuh perasaan sombong saya.

Sombong adalah penyakit yang sering menghinggapi kita semua, yang benih-benihnya terlalu kerap muncul tanpa kita sedari.Ia penyakit yang diwarisi dari Iblis dan disebarkan oleh tenteranya Syaitan dan ia kekal sehingga kita menemui ajal. Di peringkat terbawah, sombong disebabkan oleh faktor material. Kita merasa lebih kaya, lebih rupawan, dan lebih terhormat daripada orang lain. Di tingkat kedua, sombong disebabkan oleh faktor kecerdasan. Kita merasa lebih pintar, lebih kompeten, dan lebih berwawasan dibandingkan orang lain. Di tingkat ketiga, sombong disebabkan oleh faktor kebaikan. Kita sering menganggap diri kita lebih bermoral, lebih pemurah, dan lebih tulus dibandingkan dengan orang lain. Kita lupa bahawa sombong adalah hak ALLAH, kerana ALLAH MAHA SEGALANYA.Yang menarik, semakin tinggi tingkat kesombongan, semakin sukar pula kita mengesannya. Sombong kerana material sangat mudah terlihat, namun sombong kerana pengetahuan, apalagi sombong kerana kebaikan, amat sukar dikesan kerana ia seringkali hanya berbentuk benih-benih halus di dalam batin atau naluri kita.

Akar dari kesombongan ini adalah ego yang berlebihan. Pada tahap yang lumrah, ego menampilkan dirinya dalam bentuk harga diri (self-esteem) dan kepercayaan diri (self-confidence). Akan tetapi, apabila kedua hal ini berubah menjadi kebanggaan (pride), Anda sudah berada sangat dekat dengan kesombongan. Batas antara bangga dan sombong tidaklah terlalu jelas. Kita sebenarnya terdiri dari dua kutub, iaitu ego di satu kutub dan kesedaran sejati di kutub lain. Pada masa kita dilahirkan ke dunia, kita dalam keadaan telanjang dan tak punya apa-apa. Akan tetapi seiring dengan pembesaran dan waktu, kita mulai memupuk berbagai keinginan, lebih dari sekadar yang kita perlukan dalam hidup. Keenam-enam indra kita selalu mengatakan bahawa kita memerlukan lebih banyak lagi.

Perjalanan hidup manusia cenderung menggiringi kita menuju ke kutub ego. Ilusi ego inilah yang memperkenalkan kita kepada dualisme, ketamakan dan kebencian . Inilah akar dari segala permasalahan. Perjuangan melawan kesombongan merupakan perjuangan menuju kesedaran sejati. Untuk dapat melawan kesombongan dengan segala bentuknya, ada dua perubahan paradigma yang perlu kita lakukan.

Pertama, kita perlu sedar bahawa pada hakikatnya kita bukanlah makhluk fizik, tetapi makhluk spiritual. Kesejatian kita adalah spirituality, sementara tubuh fizikal hanyalah sarana untuk hidup di dunia. Kita lahir dengan tangan kosong, dan (ingat!) kita pun akan mati dengan tangan kosong. Kita yang mencorakkan fizikal.Justeru itulah adanya istilah patung bernyawa bagi mereka yang rosak spiritualnya.

Pandangan seperti ini akan membuatkan kita melihat semua makhluk dalam kesetaraan universal. Kita tidak akan lagi terkelabui oleh penampilan, label, dan segala sifat luaran lainnya. Yang kini kita lihat adalah kesan dalaman. Pandangan seperti ini akan membantu menjauhkan kita dari berbagai kesombongan atau ilusi ego.

Kedua, kita perlu menyedari bahawa apa pun perbuatan baik yang kita lakukan, semuanya itu semata-mata adalah juga demi diri kita sendiri. Kita memberikan sesuatu kepada orang lain juga demi kita sendiri. Dalam hidup ini berlaku hukum tenaga kekal . Energi yang kita berikan kepada dunia tak akan pernah habis. Energi itu akan kembali kepada kita dalam bentuk yang lain. Kebaikan yang kita lakukan pasti akan kembali kepada kita dalam bentuk persahabatan, cinta kasih, makna hidup, maupun kepuasan batin yang mendalam. Jadi, setiap perbuatan baik kepada pihak lain, kita sebenarnya sedang berbuat baik kepada diri kita sendiri.

Kalau begitu, apa yang boleh kita sombongkan ?..









"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Kejadian Nabi Adam

Pada suatu ketika, Allah SWT menitahkan kepada malaikat Jibril supaya turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanahnya untuk mencipta Adam. Akan tetapi apabila beliau sampai ke bumi, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam kerana bumi khuatir Adam akan melakukan kemungkaran kepada Allah. Lalu Jibril kembali ke hadrat Allah memberitahu bahawa ia tidak dapat berbuat apa-apa apabila mendengar mendengar sumpah bumi.
Setelah itu, Allah memerintah malaikat Mikail. Jawapan bumi masih sama lalu Allah memerintahkan malaikat Israfil dan jawapan bumi masih tidak berganjak.Masing-masing kembali dengan jawapan yang hampa. Akhirnya, Allah menyuruh malaikat Izrail turun ke bumi.
Kata Allah: "Hai Izrail! Engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah. Meskipun bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan, jangan engkau mundur. Katakan bahawa kerjamu atas perintah dan atas namaKu." Apabila Izrail turun ke bumi dan menyampaikan perintah Allah kepada bumi, maka akhirnya bumi mengizinkan tanahnya diambil. Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, kembalilah ia ke hadrat Allah.

Lalu Allah berfirman: "Ya Izrail, pertama engkau yang Ku tugaskan mengambil tanah dan kemudian di belakang hari kelak akan ku tugaskan engkau mencabut roh manusia."
Maka khuatirlah Izrail kerana bimbang akan dibenci oleh umat manusia. Lalu Allah berfirman lagi : "Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu. Aku yang mengaturnya dan Aku jadikan kematian mereka itu bersebab antaranya
terbunuh, terbakar, sakit dan sebagainya.
JENIS TANAH YANG DIGUNAKAN:-
1. Tanah tempat bakal berdirinya Baitul Muqaddis
2. Tanah Bukit Tursina
3. Tanah Iraq
4. Tanah Aden
5. Tanah Al-Kautsar
6. Tanah tempat bakal berdirinya Baitullah
7. Tanah Paris
8. Tanah Khurasan
9. Tanah(Babylon)
10.Tanah India
11.Tanah syurga
12.Tanah Tha'if
MENURUT IBNU ABBAS:-
1. Kepala Adam dari tanah Baitul-Muqaddis kerana disitulah berada otak manusia dan disitulah tempatnya akal.
2. Telinganya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat pendengar dan tempat menerima nasihat.
3. Dahinya dari tanah Iraq,kerana disitu tempat sujud kepada Allah.
4. Mukanya dari tanah Aden, kerana disitu tempat berhias dan tempat kecantikan.
5. Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar, tempat menarik perhatian.
6. Giginya dari tanah Al-Kautsar, tempat memanis-manis.
7. Tangan kanannya dari tanah Kaabah, untuk mencari nafkah dan kerjasama sesama manusia.
8. Tangan kirinya dari tanah Paris, tempat beristinjak.
9.Perutnya dari tanah Babylon. Disitulah tempat seks (berahi) dan tipudaya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.
10. Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.
11. Dua kakinya dari tanah India, tempat berdiri dan jalan.
12. Hatinya dari tanah syurga Firdaus, kerana disitulah iman, keyakinan, ilmu, kemahuan dan sebagainya.
13. Lidahnya dari tanah Tha'if, tempat mengucap Syahadat, bersyukur dan berdoakan kepada Tuhan.
PROSES KEJADIANNYA:-
1. Ketika Allah jadikan Adam,tanah itu dicampur dengan air tawar, air masin, air hanyir, angin dan api. Kemudian Allah resapkan Nur(cahaya) kebenaran dalam diri Adam dengan berbagai macam "sifat".
2. Lalu tubuh Adam itu digenggam dengan genggaman "Jabarut" kemudian diletakkan didalam "Alam Malakut".
3. Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan "tubuh Adam" adalah tanah pilihan. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah dan wangi-wangian dari sifat Nur sifat Allah dan dirasmikan dengan air hujan "Barul Uluhiyah".
4. Kemudian tubuh itu dibenamkan didalam air "Kudral-Izzah-Nya" iaitu sifat "Jalan dan Jammal". Lalu terciptalah tubuh Adam yang sempurna.
5. Demikian pula roh,ketika itu diperintah masuk kedalam tubuh Adam, ia merasa malas dan enggan, lalu ia berputar-putar, mengelilingi patung Adam yang terlantar. Kemudian Allah menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk. Akhirnya mahu tidak mahu roh itupun masuk dan menyerah kepada Izrail. Menurut riwayat ketika Adam masih berada di syurga,sangat baik sekali kulitnya.Tidak seperti warna kulit manusia.Kerana Adam telah diturunkan kedunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya.Sebagai pengetahuan, yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia. Oleh itu, meskipun orang kulitnya hitam,tetapi warna kukunya adalah sama, ialah putih kemerah-merahan. Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang. Tujuh buah liang dikepala,dan dua buah liang di bawah badan letaknya.
TUJUH BUAH LETAKNYA ADALAH:-
1. Di Kepala ialad Dua liang mata, Dua liang telinga, Dua liang hidung dan sebuah liang mulut.
2. Dibawah ialah Sebuah liang kemaluan dan liang dubur. Dijadikan pula lima buah pancaindera:
A. Mata alat penglihatan
B. Hidung alat penciuman
D. Mulut alat merasa manis, masin dan sebagainya.
E. Anggota tubuh lainya seperti kulit, telapak tangan, untuk merasa halus, kasar dan sebagainya.
Setelah Roh masuk kedalam tubuh Adam, lalu roh itu masuk perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun. Demikianlah Allah memberi kekuatan pada Izrail untuk memasukkan roh ke dalam tubuh Adam. Setelah roh meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusunlah urat-urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya dan seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik kekiri, ke kanan dan kebawah dimana pada masa itu bahagian badannya masih merupakan tanah keras.
Dilihatnya kiri dan kanan para malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia. Ketika itu dia telah dapat mendengar para malaikat mengucapkan tasbih dengan suara yang merdu dan mengasyikkan. Kemudian ketika roh sampai kehidungnya lalu ia bersin, serta mulutnya terbuka. Ketika itulah Allah ajarkan padanya ucapan Alhamdulillah. Itulah ucapan Adam pertama kalinya kehadrat Allah. Lalu Allah berkata "Yarhamukallah" yang membawa erti: "Semoga engkau diberi rahmat Allah".
Oleh kerana itu jika seseorang itu bersin, menjadi sunat mengucap "Alhamdulillah" dan orang yang mendengarnya disunatkan pula mengucapkan "Yarhamukallah". Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal sebahagian bawah badannya masih tanah dan keras. Disini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar). Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: "Dan adalah manusia itu suka tergesa-gesa".(Al-Israk:II)
Maka ketika roh itu sampai dibahagian perutnya,maka terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Maka seketika itu terasalah lapar. Kemudian terus roh itu meresap sampai ke seluruh tubuh, tangan, kaki lalu terjadi darah daging dan tulang. Urat-urat berkulit dengan sempurna,yang mana kulit itu kian lama kian cantik dan halus.
Begitulah proses kejadian-kejadian tubuh Adam. Setelah kejadian Adam sempurna sebagai manusia, maka dialah merupakan makhluk manusia yang pertama. Wajahnya cukup cantik,semua malaikat berasa kagum melihat Adam
yang begitu menawan. Kemudian Adam diarak oleh malaikat-malaikat selama 100 tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni dari langit pertama hinggalah kelangit tujuh sebelum dibawa ke Syurga tempat mula-mula Adam
dijadikan."

Wallahualam...








"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template