^ Scroll to Top

Monday, November 10, 2008

APA YANG KITA SOMBONGKAN - SATU PENCERMINAN DIRI

Oleh :M. Rian Rahardi

Seorang lelaki yang bertamu ke rumah seorang guru terpegun kehairanan ketika melihat Guru tersebut sedang sibuk bekerja; ia mengangkut air dengan timba dan membersih lantai rumahnya dengan bersungguh-sunguh. Peluhnya bercucuran. Menyaksikan keganjilan itu lelaki berkenaan bertanya, apa yang sedang Anda lakukan ?. Si Guru menjawab, tadi saya didatangi serombongan tetamu yang meminta nasihat. Saya memberikan banyak nasihat yang bermanfaat bagi mereka. Mereka pun nampaknya berpuas hati. Namun, setelah mereka pulang tiba-tiba saya merasa menjadi orang yang hebat. Kesombongan mula muncul dalam diri saya. Kerana itu, saya melakukan ini untuk membunuh perasaan sombong saya.

Sombong adalah penyakit yang sering menghinggapi kita semua, yang benih-benihnya terlalu kerap muncul tanpa kita sedari.Ia penyakit yang diwarisi dari Iblis dan disebarkan oleh tenteranya Syaitan dan ia kekal sehingga kita menemui ajal. Di peringkat terbawah, sombong disebabkan oleh faktor material. Kita merasa lebih kaya, lebih rupawan, dan lebih terhormat daripada orang lain. Di tingkat kedua, sombong disebabkan oleh faktor kecerdasan. Kita merasa lebih pintar, lebih kompeten, dan lebih berwawasan dibandingkan orang lain. Di tingkat ketiga, sombong disebabkan oleh faktor kebaikan. Kita sering menganggap diri kita lebih bermoral, lebih pemurah, dan lebih tulus dibandingkan dengan orang lain. Kita lupa bahawa sombong adalah hak ALLAH, kerana ALLAH MAHA SEGALANYA.Yang menarik, semakin tinggi tingkat kesombongan, semakin sukar pula kita mengesannya. Sombong kerana material sangat mudah terlihat, namun sombong kerana pengetahuan, apalagi sombong kerana kebaikan, amat sukar dikesan kerana ia seringkali hanya berbentuk benih-benih halus di dalam batin atau naluri kita.

Akar dari kesombongan ini adalah ego yang berlebihan. Pada tahap yang lumrah, ego menampilkan dirinya dalam bentuk harga diri (self-esteem) dan kepercayaan diri (self-confidence). Akan tetapi, apabila kedua hal ini berubah menjadi kebanggaan (pride), Anda sudah berada sangat dekat dengan kesombongan. Batas antara bangga dan sombong tidaklah terlalu jelas. Kita sebenarnya terdiri dari dua kutub, iaitu ego di satu kutub dan kesedaran sejati di kutub lain. Pada masa kita dilahirkan ke dunia, kita dalam keadaan telanjang dan tak punya apa-apa. Akan tetapi seiring dengan pembesaran dan waktu, kita mulai memupuk berbagai keinginan, lebih dari sekadar yang kita perlukan dalam hidup. Keenam-enam indra kita selalu mengatakan bahawa kita memerlukan lebih banyak lagi.

Perjalanan hidup manusia cenderung menggiringi kita menuju ke kutub ego. Ilusi ego inilah yang memperkenalkan kita kepada dualisme, ketamakan dan kebencian . Inilah akar dari segala permasalahan. Perjuangan melawan kesombongan merupakan perjuangan menuju kesedaran sejati. Untuk dapat melawan kesombongan dengan segala bentuknya, ada dua perubahan paradigma yang perlu kita lakukan.

Pertama, kita perlu sedar bahawa pada hakikatnya kita bukanlah makhluk fizik, tetapi makhluk spiritual. Kesejatian kita adalah spirituality, sementara tubuh fizikal hanyalah sarana untuk hidup di dunia. Kita lahir dengan tangan kosong, dan (ingat!) kita pun akan mati dengan tangan kosong. Kita yang mencorakkan fizikal.Justeru itulah adanya istilah patung bernyawa bagi mereka yang rosak spiritualnya.

Pandangan seperti ini akan membuatkan kita melihat semua makhluk dalam kesetaraan universal. Kita tidak akan lagi terkelabui oleh penampilan, label, dan segala sifat luaran lainnya. Yang kini kita lihat adalah kesan dalaman. Pandangan seperti ini akan membantu menjauhkan kita dari berbagai kesombongan atau ilusi ego.

Kedua, kita perlu menyedari bahawa apa pun perbuatan baik yang kita lakukan, semuanya itu semata-mata adalah juga demi diri kita sendiri. Kita memberikan sesuatu kepada orang lain juga demi kita sendiri. Dalam hidup ini berlaku hukum tenaga kekal . Energi yang kita berikan kepada dunia tak akan pernah habis. Energi itu akan kembali kepada kita dalam bentuk yang lain. Kebaikan yang kita lakukan pasti akan kembali kepada kita dalam bentuk persahabatan, cinta kasih, makna hidup, maupun kepuasan batin yang mendalam. Jadi, setiap perbuatan baik kepada pihak lain, kita sebenarnya sedang berbuat baik kepada diri kita sendiri.

Kalau begitu, apa yang boleh kita sombongkan ?..









"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Kejadian Nabi Adam

Pada suatu ketika, Allah SWT menitahkan kepada malaikat Jibril supaya turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanahnya untuk mencipta Adam. Akan tetapi apabila beliau sampai ke bumi, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam kerana bumi khuatir Adam akan melakukan kemungkaran kepada Allah. Lalu Jibril kembali ke hadrat Allah memberitahu bahawa ia tidak dapat berbuat apa-apa apabila mendengar mendengar sumpah bumi.
Setelah itu, Allah memerintah malaikat Mikail. Jawapan bumi masih sama lalu Allah memerintahkan malaikat Israfil dan jawapan bumi masih tidak berganjak.Masing-masing kembali dengan jawapan yang hampa. Akhirnya, Allah menyuruh malaikat Izrail turun ke bumi.
Kata Allah: "Hai Izrail! Engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah. Meskipun bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan, jangan engkau mundur. Katakan bahawa kerjamu atas perintah dan atas namaKu." Apabila Izrail turun ke bumi dan menyampaikan perintah Allah kepada bumi, maka akhirnya bumi mengizinkan tanahnya diambil. Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, kembalilah ia ke hadrat Allah.

Lalu Allah berfirman: "Ya Izrail, pertama engkau yang Ku tugaskan mengambil tanah dan kemudian di belakang hari kelak akan ku tugaskan engkau mencabut roh manusia."
Maka khuatirlah Izrail kerana bimbang akan dibenci oleh umat manusia. Lalu Allah berfirman lagi : "Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu. Aku yang mengaturnya dan Aku jadikan kematian mereka itu bersebab antaranya
terbunuh, terbakar, sakit dan sebagainya.
JENIS TANAH YANG DIGUNAKAN:-
1. Tanah tempat bakal berdirinya Baitul Muqaddis
2. Tanah Bukit Tursina
3. Tanah Iraq
4. Tanah Aden
5. Tanah Al-Kautsar
6. Tanah tempat bakal berdirinya Baitullah
7. Tanah Paris
8. Tanah Khurasan
9. Tanah(Babylon)
10.Tanah India
11.Tanah syurga
12.Tanah Tha'if
MENURUT IBNU ABBAS:-
1. Kepala Adam dari tanah Baitul-Muqaddis kerana disitulah berada otak manusia dan disitulah tempatnya akal.
2. Telinganya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat pendengar dan tempat menerima nasihat.
3. Dahinya dari tanah Iraq,kerana disitu tempat sujud kepada Allah.
4. Mukanya dari tanah Aden, kerana disitu tempat berhias dan tempat kecantikan.
5. Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar, tempat menarik perhatian.
6. Giginya dari tanah Al-Kautsar, tempat memanis-manis.
7. Tangan kanannya dari tanah Kaabah, untuk mencari nafkah dan kerjasama sesama manusia.
8. Tangan kirinya dari tanah Paris, tempat beristinjak.
9.Perutnya dari tanah Babylon. Disitulah tempat seks (berahi) dan tipudaya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.
10. Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.
11. Dua kakinya dari tanah India, tempat berdiri dan jalan.
12. Hatinya dari tanah syurga Firdaus, kerana disitulah iman, keyakinan, ilmu, kemahuan dan sebagainya.
13. Lidahnya dari tanah Tha'if, tempat mengucap Syahadat, bersyukur dan berdoakan kepada Tuhan.
PROSES KEJADIANNYA:-
1. Ketika Allah jadikan Adam,tanah itu dicampur dengan air tawar, air masin, air hanyir, angin dan api. Kemudian Allah resapkan Nur(cahaya) kebenaran dalam diri Adam dengan berbagai macam "sifat".
2. Lalu tubuh Adam itu digenggam dengan genggaman "Jabarut" kemudian diletakkan didalam "Alam Malakut".
3. Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan "tubuh Adam" adalah tanah pilihan. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah dan wangi-wangian dari sifat Nur sifat Allah dan dirasmikan dengan air hujan "Barul Uluhiyah".
4. Kemudian tubuh itu dibenamkan didalam air "Kudral-Izzah-Nya" iaitu sifat "Jalan dan Jammal". Lalu terciptalah tubuh Adam yang sempurna.
5. Demikian pula roh,ketika itu diperintah masuk kedalam tubuh Adam, ia merasa malas dan enggan, lalu ia berputar-putar, mengelilingi patung Adam yang terlantar. Kemudian Allah menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk. Akhirnya mahu tidak mahu roh itupun masuk dan menyerah kepada Izrail. Menurut riwayat ketika Adam masih berada di syurga,sangat baik sekali kulitnya.Tidak seperti warna kulit manusia.Kerana Adam telah diturunkan kedunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya.Sebagai pengetahuan, yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia. Oleh itu, meskipun orang kulitnya hitam,tetapi warna kukunya adalah sama, ialah putih kemerah-merahan. Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang. Tujuh buah liang dikepala,dan dua buah liang di bawah badan letaknya.
TUJUH BUAH LETAKNYA ADALAH:-
1. Di Kepala ialad Dua liang mata, Dua liang telinga, Dua liang hidung dan sebuah liang mulut.
2. Dibawah ialah Sebuah liang kemaluan dan liang dubur. Dijadikan pula lima buah pancaindera:
A. Mata alat penglihatan
B. Hidung alat penciuman
D. Mulut alat merasa manis, masin dan sebagainya.
E. Anggota tubuh lainya seperti kulit, telapak tangan, untuk merasa halus, kasar dan sebagainya.
Setelah Roh masuk kedalam tubuh Adam, lalu roh itu masuk perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun. Demikianlah Allah memberi kekuatan pada Izrail untuk memasukkan roh ke dalam tubuh Adam. Setelah roh meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusunlah urat-urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya dan seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik kekiri, ke kanan dan kebawah dimana pada masa itu bahagian badannya masih merupakan tanah keras.
Dilihatnya kiri dan kanan para malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia. Ketika itu dia telah dapat mendengar para malaikat mengucapkan tasbih dengan suara yang merdu dan mengasyikkan. Kemudian ketika roh sampai kehidungnya lalu ia bersin, serta mulutnya terbuka. Ketika itulah Allah ajarkan padanya ucapan Alhamdulillah. Itulah ucapan Adam pertama kalinya kehadrat Allah. Lalu Allah berkata "Yarhamukallah" yang membawa erti: "Semoga engkau diberi rahmat Allah".
Oleh kerana itu jika seseorang itu bersin, menjadi sunat mengucap "Alhamdulillah" dan orang yang mendengarnya disunatkan pula mengucapkan "Yarhamukallah". Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal sebahagian bawah badannya masih tanah dan keras. Disini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar). Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: "Dan adalah manusia itu suka tergesa-gesa".(Al-Israk:II)
Maka ketika roh itu sampai dibahagian perutnya,maka terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Maka seketika itu terasalah lapar. Kemudian terus roh itu meresap sampai ke seluruh tubuh, tangan, kaki lalu terjadi darah daging dan tulang. Urat-urat berkulit dengan sempurna,yang mana kulit itu kian lama kian cantik dan halus.
Begitulah proses kejadian-kejadian tubuh Adam. Setelah kejadian Adam sempurna sebagai manusia, maka dialah merupakan makhluk manusia yang pertama. Wajahnya cukup cantik,semua malaikat berasa kagum melihat Adam
yang begitu menawan. Kemudian Adam diarak oleh malaikat-malaikat selama 100 tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni dari langit pertama hinggalah kelangit tujuh sebelum dibawa ke Syurga tempat mula-mula Adam
dijadikan."

Wallahualam...








"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Perjalanan haji ibarat menuju ke syurga

IBADAT haji adalah wadah untuk Muslim memohon keampunan kerana kesalahan lalu dan meminta dimakbulkan hajat.

Jemaah perlu pastikan niat ikhlas, sihat serta rela belanjakan harta untuk jadi tetamu di Tanah Suci

SESIAPAPUN boleh berkata bahawa mereka sudah mengunjungi suatu tempat paling cantik di dunia, namun cantik pada mata, belum tentu hati setuju. Jika hati akur pada pandangan mata sehingga boleh menggetarkan sukma paling halus barulah boleh dikatakan tempat itu memang membawa kedamaian.

Seperti ketika memandang Kaabah al-Musyarrafah yang berdiri dengan mesranya, seolah ia memanggil tetamu Allah SWT dengan panggilan dari syurga. Maka hati yang datang dengan susah payah itu berusaha masuk ke pintu rahmat-Nya. Tenggelam dalam suasana syurga dijanjikan, gambaran kenikmatan syurga itu boleh dirasai dengan cara menyerahkan hati di bawah naungan Kaabah.

Bukankah Baginda SAW mengungkapkan keindahan syurga dalam perjalanan haji melalui sabda yang bermaksud: "Haji mabrur itu tiada lain ganjarannya kecuali syurga." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Syurga di akhirat yang belum pernah dirasai tetapi di dunia seolah-olah sudah merasai nikmatnya iaitu saat memandang Kaabah dalam kekhusyukan ibadah.

Aneh dan menakjubkan! Orang yang mampu tetapi belum bersedia menyerahkan hatinya kepada Baitullah. Mungkin mereka takut sebab pernah mendengar ancaman daripada sesetengah orang bahawa siapa yang melakukan kejahatan akan dibalas tuntas di Tanah Haram.
Padahal, tidak ada satu pun dalil daripada nas al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW yang membenarkan cerita karut itu. Kita mungkin pernah membaca pengalaman jemaah haji yang serba pelik dan ditokok tambah dengan pembohongan serta kepalsuan sehingga ada yang memberi gambaran menakutkan mengenai kembara cinta di kaki Kaabah.

Padahal Allah SWT tidak akan pernah mengurangi setitis pun rahmat-Nya kepada orang yang menyerahkan hatinya untuk Allah SWT. Mereka yang datang sebagai tetamu Allah SWT ini bahkan dijanjikan keampunan dan di makbulkan setiap permintaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jemaah haji dan umrah adalah tetamu Allah, jika mereka meminta daripada-Nya, Dia akan memakbulkannya. Dan jika mereka meminta ampunan-Nya, Dia akan mengampunkan mereka." (Hadis riwayat al-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Untuk mendapatkan syurga, ampunan dan dimakbulkan doa, diperlukan persediaan rapi, pengorbanan yang tidak sedikit dan keberanian menghadapi risiko tidak diduga kerana haji adalah ibadah paling besar selepas beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud: Nabi SAW ditanya: "Apakah amalan yang paling afdal? Baginda bersabda: Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Baginda ditanya lagi: Kemudian apa lagi? Sabda baginda SAW: Haji yang mabrur." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Persediaan yang dilakukan mestilah lebih hebat daripada persediaan menghadap seorang raja yang berkuasa. Masuk ke dalam istana mesti membawa imej bersih dan kedudukan terpuji di mata manusia sehingga dia layak dipanggil sebagai tetamu diraja.

Untuk memastikan diri kita layak dipanggil sebagai tetamu Yang Maha Agung, seharusnya disediakan bekalan menuju ke istana cinta-Nya di Tanah Haram iaitu:

l Persediaan ruhiyah.

Langkah pertama wajib dilakukan setiap orang yang berhajat mengerjakan haji ialah mengikhlaskan niat kerana Allah SWT. Sesungguhnya ikhlas itu menjadi rahsia antara Allah SWT dan hamba-Nya, sehingga malaikat pun tidak mampu membuka hijab rahsia itu.

Mereka tidak dapat mengetahui niat manusia walaupun mereka menuliskan apa saja yang dikerjakannya. Ikhlas juga menjadi musuh terhebat bagi tentera syaitan sehingga mereka tidak mampu menceroboh hati manusia yang menyimpan keikhlasan kepada Allah SWT.

Seperti jaminan Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud: "Iblis berkata: Wahai Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan. Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk orang yang diberi tangguh sampai kepada hari yang sudah ditentukan waktunya (hari kiamat). Iblis menjawab: Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka." (Surah Shaad, ayat 79-83)

Niat ibadah haji dimulakan dengan kesungguhan membaca kalimah talbiyah. Talbiyah mengandungi janji seorang hamba kepada Allah SWT. Janji untuk mengikhlaskan ibadahnya dengan laungan yang mengalir dari hati yang suci: "Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Ya Allah, tiada sekutu bagi-Mu. Semua kenikmatan aku tinggalkan, duniaku, tanah airku, harta, istana, anak dan isteri, ayah dan bondaku, pangkat dan jawatanku, aku memilih menyahut seruan-Mu Ya Allah! Tiada sekutu bagi-Mu!"

Semua kenikmatan tidak lagi menyilaukan mata, mempengaruhi hati dan perasaan, melainkan keinginan seorang hamba yang mahu Tuhan menerimanya sebagai tetamu dirahmati. Untuk memperoleh hati yang ikhlas mestilah melalui jalan pencarian ilmu.

Imam Al-Ghazali pernah berkata: "Semua manusia celaka melainkan orang yang berilmu dan semua yang berilmu itu celaka kecuali yang beramal dan semua yang beramal itu celaka melainkan yang ikhlas. Dan orang yang ikhlas sentiasa terdedah bahaya yang besar."

Bagaimana mungkin mendapat haji mabrur tanpa ilmu dan keikhlasan, hanya membawa bekalan harta untuk percutian atau untuk mencari gelaran panggilan haji atau hajah. Alangkah terkejutnya orang yang tidak berilmu apabila melihat dugaan mencabar di Tanah Haram sehingga hatinya memberontak menuntut kesenangan yang biasa dirasai ketika di tanah air sendiri.

Di manakah adab sebagai tetamu? Jika lidah tidak bersyukur dan reda menerima ujian ketika berada di rumah Allah SWT, jika hati mengeluh atas layanan Allah SWT kepadanya? Sesungguhnya keindahan ibadah haji itu tergambar dengan perhiasan hati berkilauan.

Dimulakan dengan ikhlas, tawakal, syukur, reda, sabar, warak, zuhud, tafakur, muhasabah dan mahabbah akhirnya bermuara di telaga takwa seperti firman-Nya yang bermaksud: "(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats (mengeluarkan perkataan yang menimbulkan berahi yang tidak senonoh atau bersetubuh) berbuat fasik dan berbantah-bantahan ketika mengerjakan haji dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal." (Surah al-Baqarah, ayat 197)

l Jasadiyah.

Bekalan pertama sudah disediakan dengan sempurna dan yang tidak kalah pentingnya juga ialah bekalan jasadiyah, tubuh badan yang sihat. Perjalanan yang jauh, tempat tinggal dan keperluan asas kurang selesa, makan minum ala kadar, rehat tidak cukup dan gangguan semasa perjalanan sedikit sebanyak mempengaruhi tahap kesihatan tetamu Allah SWT.

Hakikat itu mesti dihadapi dengan kekuatan jasmani dan penjagaan kesihatan yang rapi sebelum berangkat, ketika di Tanah Suci dan perjalanan pulang kembali. Kadang-kadang ada yang merajuk tidak mahu makan, kesal dengan layanan petugas dan menuntut macam-macam untuk keselesaan. Apakan daya manusia hanya mampu mentadbir namun Allah SWT yang mentakdir.

l Maaliyah

Perbelanjaan untuk mengerjakan haji tidaklah sedikit, jika seseorang memilih untuk melaburkannya, mungkin ia akan mendapat banyak keuntungan dan terus menerus menunda keberangkatannya. Hanya orang yang dipilih Allah SWT mahu menyerahkan hartanya di jalan Allah SWT.

Ia beranggapan harta itu milik Allah SWT, hak Allah SWT dan tidak ada sebab baginya untuk menyimpan, menghitung dan melonggoknya tanpa memberi manfaat untuk agamanya. Sesungguhnya harta yang dikeluarkan untuk mengerjakan haji sama pahalanya dengan nafkah fisabilillah.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Pengeluaran untuk melaksanakan haji sama seperti nafkah fi sabilillah (jihad atau usaha di jalan Allah), satu dirham dibalas dengan tujuh ratus kali ganda." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Ramai orang terikat dengan hartanya sehingga menampakkan sifat kedekut, takut hartanya berkurangan, menghitung setiap sen dikeluarkan dengan perasaan takut jatuh miskin.

Orang yang apabila menerima rezeki mengharap yang banyak tapi jika memberi amat sedikit. Perjalanan haji memaksa seseorang melepaskan rasa terikat kepada harta dan menyerahkan segala kepada Allah. Apabila ketiga-tiga bekalan itu mampu disiapkan maka kejarlah pahala ibadat dengan gembira dan nantikan suasana syurga dalam naungan Kaabah








"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Tabiat asal manusia cenderung pada kebaikan

ORANG yang berakhlak dirujuk mereka yang sopan budi bahasa dan elok tingkah laku, manakala tidak berakhlak iaitu mereka yang berperibadi buruk.

Tetapi, apakah orang yang dikatakan tidak berakhlak itu tiada sisa kebaikan, sehingga dia memang jahat, tiada belas ihsan dan adab langsung?

Suatu hakikat yang diakui, manusia mempunyai kesedaran akhlak.

Ini menunjukkan manusia ada akhlaknya, walaupun kadang kala dengan mudah mengatakan seseorang itu tidak berakhlak.

Bukti tersematnya perasaan ini ialah adanya di dalam diri kita yang mencela tindakan tidak berakhlak, sehingga kita tidak senang dengan nilai dan amalan tidak berakhlak.

Malah, keadaan itu memaksa kita menyerahkan diri kepada pihak yang berkuasa supaya diambil tindakan dan hukuman.

Demikian juga, perasaan yang mendorong orang ramai membantu golongan susah dan teraniaya.

Begitu juga kebiasaan untuk menilai dan mengukur orang lain dengan ukuran kebaikan atau keadilan dalam semua bentuk kegiatan hidup manusia.

Oleh kerana perasaan ini begitu mendalam di dalam diri manusia, kebanyakan cerdik pandai berpendapat perasaaan akhlak ini adalah fitrah semulajadi yang sedia ada sejak awal kejadiannya. Pendapat ini dapat dibahagi kepada tiga, iaitu:

1. Pendapat yang mengatakan asal manusia ialah jahat. Maksudnya di sini, manusia dijadikan dengan tabiat asalnya memang jahat, manakala tabiat baik hanya datang kemudian. Pendapat ini menurut pengkaji jelas dalam fahaman Buddha dan Kristian melalui konsep “Penebusan Dosa Anak Adam” dengan menyalib seorang yang dikatakan Nabi Isa a.s.

2. Pendapat yang mengatakan tabiat asal manusia ialah baik. Maksudnya ialah manusia dijadikan dengan tabiat asal yang baik. Tabiat jahat yang ada hanyalah datang kemudian. Pendapat ini mula dikemukakan Socrates dan aliran Stoicisme di zaman Greek Tua, yang kemudian ditonjolkan oleh Jan Jack Ronsaux.

3. Pendapat yang mengatakan manusia dijadikan dengan tabiat asal baik dan jahat, iaitu mempunyai dua persediaan semulajadinya, persediaan untuk baik dan jahat.

Pendapat ini adalah agak sederhana berbanding dua pendapat di atas dan ia dipersetujui banyak pihak.

Sebelum ini pendapat yang ketiga ini dikemukakan dua tokoh ahli fikir Islam, Imam al-Ghazali dan Ibn Khaldum, dengan sedikit penambahan di antara kedua-dua tabiat semula jadi yang ada pada diri seseorang, mereka lebih cenderung kepada kebaikan daripada kejahatan.

Jika diperhalusi, ketiga-tiga pendapat itu melihat dari sudut berlainan. Aliran pertama melihat dari sudut jasmani semata-mata, kedua melihat dari unsur rohani manakala ketiga dari kedua-dua sudut jasmani dan rohani.

Dibandingkan di antara ketiga-tiga pendapat itu, aliran ketiga lebih tepat kerana ia membabitkan jasmani dan rohani.

Ada beberapa nas al-Quran yang bertepatan dengan pendapat ketiga, seperti firman-Nya, bermaksud:

“Serta bumi dan yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-Nya). Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan ketakwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya susut dan terbenam kebersihannya. (as-Syams:6-10)

Terdapat juga ayat yang menjelaskan lagi pendapat mengatakan manusia lebih cenderung kepada kebaikan daripada kejahatan, seperti maksud ayat ini, yang bermaksud:

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik.” (Ali 'Imran: 110)

Sama ada tabiat baik lebih dulu lahir pada seseorang atau tabiat jahat, tabiat semulajadi itu boleh menerima perubahan dan pembentukan.

Ketiga-tiga aliran ini juga berpendapat tabiat baik dan jahat tidak diberikan dengan sama rata.

Tetapi, sebenarnya ada yang dijadikan dengan tabiat baiknya lebih mendahului daripada tabiat jahatnya. Demikian juga sebaliknya.








"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Awasi Nafsu

NAFSU adalah sebahagian daripada manusia dan manusia tidak boleh berpisah daripadanya selagi bernafas.

Malah, dengan nafsu dunia menjadi indah dan begitu menarik. Dengan nafsu juga manusia mempunyai keturunan dan manusia boleh membangunkan diri dan tamadun, sehinggakan dengan nafsu manusia boleh menjadi pincang.

Barangkali ada juga orang beranggapan, jika tiada nafsu di dalam dirinya, tidaklah dia terikut-ikut dengan nafsu. Tetapi nafsu adalah anugerah Allah. Di dalamnya ada ilham baik dan buruk, seperti maksud firman-Nya: "Kami ilhamkan kebaikan dan keburukan di dalam hati manusia."

Berjayalah sesiapa yang dapat mendidik hati sebagaimana kalangan nabi dan rasul. Ini kerana mereka yang boleh menguasai hati mampu menguasai nafsu. Sebaliknya, mereka yang rosak hati menjadi tunggangan nafsu.

Mulia atau hinanya manusia bergantung kepada sejauh mana manusia boleh atau tidak mengawal nafsu tetapi nafsu pula bukan untuk dibunuh atau dinyah daripada diri, cuma ia perlu dididik, diasuh dan dikawal sebaik yang mungkin.

Al-Quran membahagikan nafsu kepada tiga iaitu nafsu 'amarah' (nafsu jahat), 'lawwamah' (menyesal apabila buat kejahatan) dan 'mutmainnah' (tenang).

Apabila buta martabat nafsu, manusia akan teraba-raba dalam kegelapan, malah tidak tahu kedudukan di sisi Tuhannya.

Ada orang menyangka diri mereka mulia tetapi sebenarnya hina di sisi Allah. Ada orang dihina tetapi mulia di sisi Allah sebab berjaya mengawal nafsu. Ada juga orang berasa dia sepatutnya dimuliakan dengan kedudukan tetapi patut dihina di sisi Allah.

Bagi mengendalikan nafsu sama ada remaja atau orang dewasa, mereka kena mengetahui terlebih dulu pintu kemasukan syaitan yang boleh merosakkan nafsu, iaitu:

  • Terlalu cinta kepada dunia, sehingga tewas cinta Allah.

  • Tamak haloba, hingga lupa kemahuan dan kemampuan diri. Maknanya, walaupun tidak mampu, mereka tetap mahukannya.

  • Hasad dengki, iaitu berasa senang apabila orang lain mendapat musibah tetapi susah hati apabila orang lain mendapat kesenangan. Tidakkah dengki namanya itu?

  • Wanita. Nafsu boleh rosak kerana wanita. Bagi lelaki, nafsu boleh jadi tidak terkawal apabila berdepan wanita.

  • Gopoh gapah, maksudnya tidak berfikir panjang dalam melakukan sesuatu.

  • Taksub, iaitu sifat atau pegangan yang keterlaluan dalam menghadapi sesuatu. Disebut juga fanatik.

    Selepas mengetahui pintu atau punca nafsu menjadi jahat, remaja perlu juga mengetahui cara untuk mengawal dan mengelakkan daripada bahaya nafsu jahat terbabit, antaranya:

  • Tutup pintu kemasukan syaitan yang boleh merosakkan nafsu tadi rapat-rapat.

  • Hapuskan segala sikap kotor, jangan dengki lagi, jangan bersikap tamak dan jangan terlalu mencintai dunia.

  • Hancurkan gangguan syaitan, iaitu dengan selalu berzikir terutama dengan zikir yang diajarkan Rasul seperti 'ma'thurat' dan baca al-Quran.

  • Perbanyakkan solat sunat dan rajin-rajinlah bangun solat malam (qiyamullail).

  • Banyak bersedekah.

  • Berkawan dengan orang miskin.

    Remaja sekalian! Sebagai Muslim, kita juga kena membiasakan diri mempunyai al-Quran kecil di tangan. Ini kerana apabila tiba gangguan syaitan tadi, terus buka Quran kecil, mudah-mudahan kita sentiasa dilindungi Allah, sebab keinginan kita untuk berzikir (mengingati Allah).

    Kemudian, biasakan diri selalu menziarahi orang sakit atau orang yang hendak meninggal dunia, ziarah kubur dan tulis wasiat kerana perkara ini boleh mengingatkan kepada kematian, menginsafkan kita dan paling penting mendidik dan menguatkan hati supaya dapat menewaskan nafsu.







  • "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

     
    Dear Diary Blogger Template