^ Scroll to Top

Sunday, September 28, 2008

Kuasa, kekayaan tak jejas ketakwaan, iman Nabi Sulaiman

NABI Sulaiman memohon daripada Allah supaya dikurniakan sebuah kerajaan yang besar dan luas. Allah memperkenankan permohonan Nabi Sulaiman itu yang tidak diberikan kepada kerajaan lain selepasnya.

Allah juga mempermudah angin yang bertiup mengikut arahan Baginda. Jika angin diperintah bertiup, nescaya bertiuplah ia dan apabila diperintah berhenti, angin pun berhenti. Baginda juga berupaya memerintah angin bertiup menjadi ribut kencang atau bayu lembut yang nyaman.

Baginda boleh mengarahkan angin bertiup membawa awan dan menurunkan hujan di kawasan kering dan gersang dalam wilayahnya. Bumi gersang itu pun bertukar subur menghijau membawa kemewahan kepada petani.
Pada waktu negara jiran mengalami kemarau panjang, negara Israel mewah dengan air hujan yang dibawa awan. Ribut taufan menjadi bala tentera Baginda ketika bertindak memecahbelahkan barisan pertahanan musuh.

Allah juga mempermudahkan jin berkhidmat kepada Nabi Sulaiman dan jin digunakan sebagai buruh lombong tembaga dan bijih besinya. Jin juga bekerja menyediakan perhiasan dan perabot untuk istana dan rumah ibadah Baginda.

Di samping itu, syaitan juga patuh kepada perintah dan arahan Nabi Sulaiman. Syaitan diperintah Baginda untuk menyelam di laut dalam, bagi mengeluarkan mutiara. Begitulah kekuasaan Nabi Sulaiman yang dikurniakan Allah kepadanya.
Nabi Sulaiman juga memahami bahasa serangga seperti semut. Ketika bala tentera Nabi Sulaiman terdiri daripada manusia, jin dan burung sampai di suatu lembah yang dikenali dengan 'Lembah Semut' seekor daripada semut itu mengarahkan semut lain supaya masuk ke sarang masing masing.

Mereka diminta berbuat demikian supaya tidak dipijak oleh bala tentera Nabi Sulaiman yang ramai. Nabi Sulaiman memahami bahasa percakapan semut lalu tersenyum dan ketawa. Lantas memuji Allah, Pencipta Alam yang memberi nikmat kepadanya dan kedua ibu bapanya.

Biarpun diberi Allah kekayaan dan kekuasaan namun Nabi Sulaiman tidak lupa daratan. Malah segala-galanya menjadikan iman dan takwa baginda kepada Allah, bertambah kuat.

Melalui perkhabaran diterima daripada burung belatuk, ada seorang raja perempuan memerintah negeri Saba' dan mereka menyembah matahari. Lalu Nabi Sulaiman mengutus surat untuk berdakwah kepada pemerintah wanita itu.

Surat Nabi Sulaiman dimaklumkan Puteri Balqis kepada pembesar negara dan walaupun bersedia untuk menghadapi peperangan tetapi Puteri Balqis tidak mahu kerana memikirkan kesannya nanti kepada negara Baginda.

Sebaliknya Puteri Balqis lebih suka mengadakan hubungan baik dengan Nabi Sulaiman lalu mencadangkan supaya dikirim utusan membawa hadiah dan barang barang berharga kepada Baginda.

Nabi Sulaiman menolak hadiah dikirimkan seterusnya memaklumkan bahawa Baginda tidak mengharapkan harta benda. Malah apa diberi Allah kepa-danya jauh lebih baik daripa-da apa yang dimiliki Puteri Balqis.

Menurut pendapat yang masyhur, Nabi Sulaiman memperisterikan Ratu Balqis dan mengasaskan masyarakat Yahudi di negaranya.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

BULAN Ramadan bulan kemaafan

BULAN Ramadan adalah bulan kemaafan dan bulan keampunan. Kita digesa supaya banyak bertaubat atas segala dosa sebab bulan ini memang Allah buka pintu taubat dan keampunan dengan seluas-luasnya.

Amatlah rugi sesiapa yang apabila berakhirnya bulan Ramadan sedangkan dosa-dosanya tidak diampunkan Allah dan nanti tidak berapa lama lagi akan tiba hari raya.

Dengan dendangan lagu-lagu raya yang sudah mula berkumandang, perkataan ‘ampunkan dosa’, ‘mencuci dosa’ dan lain-lain mendorong kita untuk bermaafan.

Namun yang ingin penulis uar-uarkan di sini ialah permohonan maaf yang berlaku itu kadangkala secara sambil lewa, tanpa keikhlasan mahupun kesedaran di dalam hati mana-mana pihak.

Perbuatan saling bermaafan itu dilakukan hanya kerana ‘masa’ sudah tiba dan bukannya kerana keinsafan serta kemahuan untuk mensucikan diri, mahupun untuk memaafkan orang lain.

Amat malang sekali apabila permohonan dan pemberian maaf - sesuatu yang amat dituntut - hanya menjadi satu budaya dan bukannya dihayati dengan semangat yang sebenarnya.

Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain amat dituntut agama Islam sehingga ia dijanjikan dengan ganjaran yang begitu besar sekali.

Ini jelas dalam surah Ali-Imran, ayat 134-136, maksudnya: “Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan tiada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu, sedangkan mereka mengetahui.

Mereka itu balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.”

Apakah sebenarnya pengertian memaafkan? 1) Anda melupakan hasrat membenci mereka. 2) Anda membatalkan hasrat untuk membalas dendam. 3) Anda membatalkan hasrat menghukum mereka. 4) Anda membatalkan untuk menyimpan dendam.

Jelas bahawa perbuatan memohon maaf dan memberi maaf adalah perbuatan mulia yang dianjurkan agama Islam.

Ia wajib dan mendapat pahala pula apabila dilafazkan dan diamalkan. Justeru, mengapa tuntutan semulia ini kita amalkan secara sambil lewa saja? Bagaimanakah sebenarnya cara untuk kita memohon dan memberi maaf?

Kepada pemohon maaf, ungkapan memohon maaf itu hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas, dengan rendah hati, dengan penuh rasa kesal terhadap apa yang sudah dilakukan serta niat untuk tidak mengulanginya lagi.

Kepada pemberi maaf pula, kemaafan yang diberi perlulah diberi dengan tulus ikhlas, dengan penuh sedar untuk melupakan kesalahan terbabit dan tidak lagi mengungkit-ungkit mengenainya.

Ada yang mengatakan bahawa ketika memohon maaf, kita perlu menyenaraikan segala kesalahan yang sudah kita lakukan supaya pihak satu lagi maklum mengenainya dan boleh mempertimbangkan sama ada dia akan memaafkan atau tidak.

Namun, dalam semangat Hari Raya Aidilfitri ini, apabila kita meraikan kemenangan melawan hawa nasfu selama sebulan, mengapa tidak kita buka hati kita untuk memaafkan saja segala silap dan salah orang itu?

Tentunya kita juga ada salah dan silap yang jika mahu disenaraikan akan mengambil masa yang lama. Maka, mengapa tidak kita maafkan saja dosa orang-orang yang memohon maaf daripada kita?

Ingatlah perintah Allah dalam surah al-A’raaf, ayat 199 yang menuntut kita agar memilih untuk memaafkan.

Sebenarnya, memohon maaf dan memberi maaf bukanlah sukar untuk dilaksanakan dalam bulan Syawal nanti selepas kita melengkapkan ibadat puasa selama sebulan.

Sesungguhnya, ibadah puasa mendidik kita untuk melawan hawa nafsu dan mengembalikan diri kita kepada fitrahnya yang suci bersih.

Jiwa yang suci bersih adalah jiwa yang bebas daripada sifat bangga diri, sebaliknya kaya dengan sifat pemurah dan berlapang hati. Ini memudahkan kita untuk mengakui kesilapan diri, memohon maaf dan memaafkan orang lain.

Oleh itu, manfaatkanlah Aidilfitri ini ke arah itu dan sucikanlah dosa sesama insan dengan penuh tulus ikhlas.

Apabila kita saling bermaafan, tiada lagi rasa benci dan dendam.

Apa yang lahir ialah perasaan kasih sayang dan persefahaman yang sekiranya dijana dengan baik, dapat menghasilkan satu permuafakatan yang bakal menguntungkan ummah.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Mengingati kematian

Setiap makhluk, tidak boleh melarikan diri daripada mati, termasuk binatang, jin, malaikat, termasuk malaikat yang mengambil nyawa. Kematian adalah satu hakikat hidup. Dalam surah al-Ahzab, ayat 16 dijelaskan: Katakanlah, lari itu sekali-kali tidaklah berguna bagimu, jika kamu melarikan diri daripada kematian atau pembunuhan dan jika kamu terhindar dari kematian, kamu tidak juga akan mengecap kesenangan kecuali sebentar sahaja.
Ketika ditanya tentang kematian, baginda menjawab bahawa manusia yang baik ialah mereka yang baik budi dan akhlaknya, manakala manusia yang terkaya adalah mereka yang banyak ingatkan mati, juga baik persediaannya.
Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Orang yang sempurna akalnya ialah mereka yang selalu memperbaiki dirinya dan beramal untuk bekalan mati. Sedangkan orang yang bodoh ialah mereka yang selalu menurutkan hawa nafsunya, tetapi berharap keampunan Allah tanpa amal.
Allah menyuruh agar setiap orang mengingati mati, kerana dengan berbuat demikian, manusia akan sentiasa ingatkan diri, melakukan perintah Allah dan menjauhi segala larangannya. Keterangan ini dijelaskan dalam surah al-Baqarah: 94 yang bermaksud, Katakanlah, jikalau kamu menganggap bahawa kampung akhirat (syurga) itu khusus untukmu di sisi Allah, bukan untuk orang lain, maka ingatkanlah kematian, jika andainya kamu memang benar.
Walaupun demikian, mereka yang banyak melakukan dosa, inad dan derhaka kepada Allah, mati itu merupakan sesuatu yang menakutkan. Mereka tahu tentang balasan baik dan jahat di akhirat kelak, namun leka tidak menyediakan bekalan baginya.
Mengenai sikap golongan ini Allah berfirman (al-Baqarah: 95), yang bermaksud: Dan sekali-kali mereka tidak akan mengingini kematian itu selama- lamanya, kerana kesalahan-kesalahan yang telah diperbuat oleh tangan mereka sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui siapa orang yang melakukan kezaliman.
Keterangan di atas menjelaskan bahawa kematian itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Bagi mereka yang beriman dan cukup persediaan menjadikan hidup di dunia ini sebagai tempat semaian akhirat, menganggap bahawa dunia ini hanya tempat laluan untuk negeri yang kekal, iaitu akhirat.
Bagi mereka yang kelu dan terpesona dengan keghairahan dunia, yang selama ini menganggap dunia ini terlalu mengasyikkan, mati bererti kemusnahan segala-galanya, pada hal hidup di dunia ini hanya sesuatu yang mempesonakan lagi penuh dengan tipu daya. Apabila diperingatkan dengan seksa ketika berhadapan dengan sakaratul maut, juga soalan- soalan kubur, terbentang dalam pemikiran tentang seksa-seksa yang mengerikan tadi.
Mengingati mati bukan bererti memaksa atau menutup segala keindahan hidup di dunia. Rasulullah SAW menyuruh agar setiap orang insaf dengan mengingati mati, kerana mengingati mati itu satu jalan yang paling memberi kesan bagi memperoleh keinsafan diri. Baginda menyuruh agar orang yang beriman itu menziarahi kubur, kerana dengan berbuat demikian, ia akan memperingatkan akhirat, iaitu mati.
Baginda juga menyuruh agar memandikan mayat, kerana perbuatan mengendalikan jasad yang keras kaku itu merupakan satu peringatan yang mendalam kesannya. Baginda juga menyuruh agar menyembahyangkan jenazah, semoga dengan berbuat demikian akan menyedarkan diri, sesungguhnya orang yang sedih insafkan diri itu sentiasa dalam lindungan Allah, di mana ia akan memperoleh kebaikan.
Memang banyak hadis yang membicarakan tentang seksaan sakaratul maut, juga seksaan di kubur. Ada yang menggambarkannya seperti dipancung dengan pedang. Ketika itu lidah menjadi kelu, tidak berupaya meminta tolong. Ada pula hadis yang menjelaskan sakaratul maut itu tidak ubah seperti kambing yang dilayat hidup-hidup oleh tukang sembelih. Selain daripada itu, seksaan juga terjadi ketika melihat malaikat maut, gambaran bakal balasan yang akan diterima juga tempatnya di akhirat kelak.
Beriman
Rasulullah SAW menjelaskan bahawa apabila seseorang yang beriman itu hampir mati, ia akan didatangi oleh malaikat yang membawa bersamanya sehelai kain sutera, yang ada padanya kasturi, anbar dan harum-haruman.
Maka keluarlah rohnya seperti tercabutnya sehelai rambut daripada adunan tepung dan diucapkan: Wahai jiwa yang tenang, keluarlah dalam keadaan reda dan diredai ke atasmu kepada menemui Allah dan kemuliaan-Nya. Maka apabila rohnya itu keluar, dia diletakkan di atas kasturi, anbar dan raihan, lalu kain itu dilipat dan dibawa bersama dengannya ke Illiyiin.
Hadis di atas menjelaskan bahawa roh orang yang beriman dicabut dengan penuh hormat dan kasih sayang dengan perintah Allah, lalu roh tadi keluar dalam keadaan reda dan terlalu ingin bertemu Allah. Apabila hamba itu reda, maka Allah lebih reda untuk menemuinya. Kemudian roh itu dibawa pergi meninggalkan jasad yang terlantar, dibawa bersama ke Illiyiin, satu tempat yang tinggi di syurga.
Ketika menziarahi seorang lelaki kaum Ansar yang hampir meninggal dan melihat malaikat maut yang ada di hujung kepala lelaki berkenaan Baginda bersabda: "Ya malaikat maut, berlembutlah kepada sahabatku, sesungguhnya dia adalah seorang yang beriman." Malaikat menjawab, "Tenangkan dan yakinkan dirimu. Sesungguhnya aku bersikap lemah lembut kepada setiap orang yang beriman."
Abu Masud pernah menyatakan bahawa apabila Allah mahu mengambil roh orang yang beriman, Dia mewahyukan kepada malaikat yang Allah mengirim salam kepadanya. Apabila malaikat itu datang kepada orang yang berkenaan, ia memberitahu kepada hamba tadi yang Allah mengirim salam kepadanya.
Roh manusia tidak akan berpisah daripada jasadnya, sehinggalah Allah memperlihatkan di mana roh itu akan diletakkan kelak, sama ada di syurga ataupun di neraka. Bagi orang yang beriman, tentunya syurga tempatnya dengan belas ihsan Ilahi seperti yang telah ditetapkan dalam janji-janji-Nya.
Keterangan hadis-hadis di atas menjelaskan ketenangan akan diperoleh oleh setiap orang yang beriman ketika sedang berhadapan dengan sakaratul maut. Allah mewahyukan malaikat agar menyampaikan salam kepada hamba berkenaan sebelum nyawa yang dipinjamkan itu diambil kembali. Satu tanda kasih Allah kepada hamba-Nya yang dikasihi.
Ketika mengambil nyawa, malaikat mengambilnya dengan penuh hati-hati dan timbang rasa tidak ubah seperti menarik rambut daripada adunan tepung. Rambut halus tidak putus dan tepung tidak bertaburan. Dalam masa yang sama Allah akan perlihatkan syurga sebagai tempatnya yang kekal abadi.
Hidup di dunia penuh dengan perjuangan yang perlu dilakukan dengan kekuatan fizikal juga memerah otak. Mereka yang mempunyai kekuatan akan berjaya mengatasi yang lemah. Biarpun berjaya, manusia tidak lepas daripada menghadapi pelbagai masalah yang lahir dari diri sendiri juga orang lain, termasuk keluarga yang disayangi. Selain daripada menerima pelbagai masalah akibat kesilapan diri, masalah sering berlaku akibat faktor luaran yang tidak disangka. Demikianlah nature hidup yang hakikatnya mengikis dan memamah sebahagian daripada usia setiap orang.
Bagi orang yang beriman, mati itu merupakan rehat daripada pelbagai perjuangan dunia yang tidak berpenghujung. Kerana itu apabila diperlihatkan syurga, ia terlalu ingin untuk tinggal di dalamnya dan mahu meninggalkan dunia ini secepat mungkin. Walaupun segala-galanya ini tidak akan berlaku, kecuali dengan mati terlebih dahulu. Kerana itu tidak ada jalan lain untuk ke syurga kecuali mati. Mati bererti menemui Tuhan. Orang yang beriman terlalu ghairah untuk menemui Tuhan dan reda dengannya. Dalam keadaan seperti ini, Allah amat reda untuk menemuinya.
Dalam sebuah hadis daripada Saidina Abdullah bin Abbas r.a dinyatakan bahawa malaikat maut itu seperti orang muda yang sangat baik rupa parasnya. Pakaiannya juga begitu baik dan sangat harum baunya. Nabi Ibrahim berkata, kalaulah seorang yang beriman itu melihat mukanya ketika hampir mati, penglihatan itu sudah cukup untuk menggembirakan hatinya.
Nikmat
Memang terdapat hadis-hadis membicarakan tentang azab ketika sakaratul maut. Namun kesakitan itu akan luput tidak terasa dengan keghairahan menemui Allah, setelah melihat nikmat syurga yang diperlihatkan, salam Allah kepada orang yang beriman, ketenangan melihat rupa malaikat dan perilaku malaikat ketika nyawa dicabut daripada jasad.
Orang yang beriman adalah kekasih Allah. Orang yang berkasih-kasih tidak akan menyeksa kekasihnya, malah akan berkorban melakukan sesuatu yang terbaik dan memelihara juga melindunginya. Andainya ini boleh berlaku di kalangan manusia, iaitu makhluk yang lemah dan kekurangan, apakah mustahil Allah Yang Maha Agung lagi berkuasa untuk memberi kenikmatan kepada kekasih-Nya ketika sakaratul maut.
Allah menjanjikan kebahagiaan dan nikmat bagi mereka yang taat kepada-Nya, tidak melakukan maksiat atau kesalahan. Apabila melakukan kesalahan, dengan segera seseorang itu bertaubat dan tidak mengulanginya. Kerana itu, bagi mereka yang beriman, ada rasa yakin kepada Allah, tidak perlu gundah atau terganggu apabila teringatkan mati.
Pengalaman yang saudara alami bukan sesuatu yang mustahil. Apa yang berlaku adalah bergantung kepada iman dan pemahaman seseorang terhadap Allah, yang diperoleh daripada ilmu tauhid yang dipelajari.
Semuanya berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran, hadis-hadis dan sebagainya yang dalam banyak hal dapat difikiri logiknya oleh akal. Itulah yang dinamakan iman, yang menentukan sama ada seseorang itu akhirnya ke neraka atau syurga Allah SWT.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Monday, September 22, 2008

Jangan salah gunakan agama bagi kepentingan diri

ISLAM adalah matlamat yang dituju, bukan alat yang dipergunakan. Malangnya dalam masyarakat hari ini, banyak keadaan menunjukkan Islam itu tidak lebih daripada alat yang dipergunakan.
Islam dipergunakan untuk keuntungan peribadi, perniagaan, politik dan lain-lain.
Islam diperlakukan oleh sesetengah pihak bagai pelaris jualan. Atau Islam dibuat bagaikan saluran media untuk mengiklankan barangan. Islam ditampal dalam aktiviti kehidupan sesetengah pihak bukan kerana kecintaan kepada Islam, tetapi kerana itu boleh mempengaruhi orang ramai. Ini samalah dengan seorang tuan kedai yang menggantungkan ayat-ayat al-Quran di dinding kedainya untuk menarik perhatian pelanggan semata-mata. Padahal dia tidak pun berpegang kepada isi kandungan ayat yang digantung. Islam yang menuntut agar bersih dan jujur dalam perniagaan tidak pun dilakukannya. Bahkan lebih teruk lagi, mungkin dia tidak bersolat, berpuasa dan perkara-perkara asas yang lain sebagai seorang muslim. Namun dinding kedainya dipenuhi ayat al-Quran. Maka ayat al-Quran itu bukan pegangan hidupnya, tetapi alat yang dipergunakan untuk kepentingan dirinya. Bukan sedikit orang yang seperti tuan kedai itu dalam masyarakat kita. Mungkin bidang kepentingan dan caranya berbeza-beza, tetapi perbuatan mengeksploitasikan agama itu adalah sama.
Saya amat tidak bersetuju apabila produk-produk yang melantik penceramahpenceramah agama sebagai duta produk mereka. Maka para penceramah ini akan berceramah ke sana sini menggunakan nas- nas agama itu dan ini untuk dikaitkan dengan produk yang dia didutakan. Jadilah agama mainan 'golongan peniaga' dalam mempengaruhi orang awam. Hadis-hadis yang entah daripada mana asalnya atau yang tidak sahih dikeluarkan untuk melariskan produk. Orang awam yang jahil akan terpengaruh. Kadang-kala nas yang digunakan itu benar tetapi dieksploitasikan. Umpamanya al-Quran memang menyebut tentang kelebihan madu seperti firman Allah: (maksudnya) "Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah peraturan Tuhanmu yang dimudahkannya kepadamu. (dengan itu) akan keluarlah daripada perutnya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda bagi orang-orang yang mahu berfikir. (Surah al-Nahl: ayat 68-69). Ayat ini adalah umum, tidak dikaitkan dengan mana-mana produk. Maka janganlah digunakannya untuk dikhususkan kepada syarikat tertentu, padahal sudah ribuan tahun manusia meminum madu dan menikmati manfaatnya, sebelum syarikat- syarikat hari ini wujud. Namun, apabila lidah penceramah agama berkempen untuk produk tertentu, maka jelaslah bahawa dia mengeksploitasikan agama untuk memajukan poketnya, bukan mendaulatkan agamanya. Jika dia ingin berkempen orang ramai meminum madu, silakan. Ayat tadi pun berkempen untuk itu. Tetapi hendaklah secara umum, bukan berkepentingan. Daerah dakwah itu hendaklah menjadi daerah yang bersih dari kepentingan peribadi. Masalahnya, apabila masyarakat kita ada ramai penceramah yang bermodalkan agama, kurang pula yang menjadikan agama adalah matlamat dalam dakwah, maka beginilah jadinya. Sebab itu barangkali, Nabi SAW membersih masjid dari sebarang perniagaan, seperti sabda baginda SAW: "Jika kamu melihat seseorang menjual atau membeli di masjid, maka katakanlah: Allah tidak akan menguntungkan perniagaanmu." (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).
Dieksploitasikan
Seperti biasa, apabila datang bulan puasa, atau ada kematian, akan ada pihak membuat duit dengan mendakwa mereka boleh menghasilkan pahala berbayar yang akan dieksport kepada si mati ke alam barzakh. Ini dengan cara membayar wang kepada mereka yang berzikir atau membaca al-Quran yang dipanggil 'tahlil' khas yang berbayar. Maka ramailah 'tekong' yang melimpah ruah wang pada bulan puasa ini hasil daripada tempahan pahala orang ramai yang hendak dihantar kepada kaum keluarga mereka yang telah meninggal. Pahala yang ditempah itu, kelihatannya lebih laris dari kuih dan baju raya. Seperti mana orang kaya pada Hari Raya akan lebih mewah dengan kuih dan baju yang tempah, barangkali hari ini ada yang menganggap mereka juga akan begitu mewah di akhirat dengan pahala-pahala yang dibayar dan dihantar ke akhirat untuk digunakan di sana bagi mendapatkan syurga. Maka, barangkali ramailah yang akan menganggap nanti bahawa mereka tidak perlu banyak amalan untuk masuk syurga, tetapi perlu banyak duit kerana pahala boleh dibeli di dunia dan dikirim ke sana. Sehingga yang terbaru pahala itu boleh ditempah secara online. Malangnya, oleh kerana yang berniaga pahala ini terdiri daripada kalangan golongan agama, maka banyaklah pula nas yang dieksploitasikan untuk memastikan perniagaan pahala itu berjalan lancar. Digunakan kenyataan ulama dahulu dan sekarang sehingga orang ramai yang jahil tidak dapat membezakan antara maksud sebenar para ulama itu dan 'bisnes' mereka pada hari ini. Ya, memang terdapat perbezaan pendapat tentang sampai ataupun tidak bacaan pahala kepada si mati. Namun, pihak yang menyatakan sampai tidak pernah membenarkan 'menjual pahala' kepada si mati dengan bayaran seperti yang dibuat pada hari ini. Di sini saya petik apa yang disebut dalam kitab akidah yang terkenal dan dianggap rujukan penting kesarjanaan Islam iaitu Syarh al-Tahawiyyah oleh Ibn Abi al-Izz al-Hanafi (meninggal 792H) yang merupakan salah seorang penyokong pendapat yang menyatakan bacaan al-Quran sampai kepada si mati, katanya: "Ulama berbeza pendapat (mengenai sampai atau tidak kepada si mati) ibadah badaniyyah; seperti puasa, solat, bacaan al-Quran dan zikir. Pendapat Abu Hanifah dan majoriti salaf ia sampai. Apa yang masyhur dalam Mazhab al-Syafi'i dan Malik tidak sampai" (m.s 458). Seterusnya beliau menyebut: "Adapun mengupah orang untuk membaca al-Quran dan dihadiahkan kepada si mati, ini tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun di kalangan ulama salaf. Tidak pernah disuruh atau diberi kelonggaran oleh mana- mana sarjana agung dalam agama ini. Tanpa sebarang perbezaan di kalangan ulama; mengupah untuk pahala bacaan adalah tidak dibolehkan. Apa yang mereka berbeza mengenai keharusan upah adalah dalam bab mengajar al-Quran dan yang sepertinya; di mana manfaatnya sampai kepada orang lain. Pahala tidak akan sampai kepada si mati melainkan amalan itu ikhlas kerana Allah. Perbuatan upah itu adalah tidak ikhlas. Maka tiada pahala untuk dihadiahkan kepada si mati. Maka jangan ada yang menyebut bahawa dia menyewa orang untuk berpuasa atau bersolat lalu dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Namun, jika dia memberi kepada sesiapa yang membaca al-Quran; mengajar dan belajar sebagai bantuan kepada ahli al-Quran, ini termasuk dalam sedekah, maka harus…jika dia berwasiat agar diberikan bahagian daripada hartanya kepada sesiapa yang membaca al- Quran di kuburnya, maka wasiat itu batil kerana termasuk dalam jenis upah…jika dia menentukan wakaf untuk sesiapa yang membaca al-Quran di kuburnya, maka penentuan itu batil. Namun jika dia membaca al-Quran dan menghadiahkannya secara sukarela tanpa upah, maka ia sampai kepada si mati seperti mana sampainya pahala solat dan haji (m.s. 463-464, tahqiq: Ahmad Syakir, Riyadh: Wizarah al-Syuun al-Islamiyyah). Inilah pendapat mereka yang bersetuju menyatakan ia sampai, bukan seperti yang dieksploitasikan. Jika nak cari yang sokong ambil upah memang ada, seperti mana ustaz yang kaki hisap rokok tentu menyatakan rokok makruh, walaupun seluruh fatwa antarabangsa; ulama dan para pakar kesihatan menyatakan ia haram.
Lebih penting daripada itu, apa yang ditegaskan oleh insan yang tidak boleh dipertikaikan ucapannya, iaitu Rasulullah SAW: "Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala) kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia" (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani). Namun, pulus punya pasal pahala pun orang sudah jual. Mungkin jika saudagar unta leher panjang Jamal Pak Tongkol dengar, dia akan kata: "Jual pahala lebih untung daripada jual unta".
Di samping di sana terdapat ramai sarjana, termasuk al-Imam al-Syafi'i sendiri yang menganggap bacaan al-Quran tidak sampai pahalanya kepada si mati. Tokoh tafsir al-Quran yang agung, al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika menafsirkan firman Allah SWT dalam Surah al-Najm, ayat 39 (maksudnya): "Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya", beliau menyebut: "Maksudnya, seperti mana seseorang tidak menanggung dosa orang lain, demikian dia tidak mendapat pahala melainkan apa yang diusahakannya sendiri. Dari ayat yang mulia ini al-Imam al-Syafi'i dan sesiapa yang mengikutnya membuat kesimpulan bahawa pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati kerana itu bukan amalan dan usaha mereka. Justeru itu, Rasulullah SAW tidak pernah menggalak atau menyuruh atau menunjukkan umatnya kepada perkara tersebut sama ada secara nas yang jelas, atau isyarat. Tidak pernah diriwayatkan seorang pun dari kalangan sahabah r.a yang berbuat demikian. Jika itu sesuatu yang baik, tentu mereka telah mendahului kita melakukannya. Bab ibadah khusus hanya terbatas dalam lingkungan nas semata, tidak boleh diubah- ubah dengan berbagai-bagai kias dan pandangan. Adapun doa dan sedekah, maka itu disepakati sampai pahala keduanya kepada si mati kerana dinaskan oleh syarak". (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, 4/328, Beirut: Muassasah al-Rayyan).
Gambaran
Apa yang saya risaukan, perkara ini akan memberikan gambaran yang salah orang ramai termasuk bukan Muslim kepada Islam. Mereka akan menganggap syurga itu boleh dijual beli berdasarkan kekayaan dan upah daripada kroni-kroni yang masih hidup. Hilanglah kehebatan nilai perjuangan dan pengorbanan para pejuang Islam yang terkorban dan dikorbankan dalam memperoleh syurga, jika pahala ke syurga itu boleh dibayar atau ditempah.
Mesej saya adalah jangan ekspoitasikan Islam untuk keuntungan. Dalam banyak hal Islam itu menjadi kabur disebabkan oleh penganutnya sendiri. Kita memang marah jika ada orang Islam atau bukan Islam yang menentang laungan azan. Azan adalah syiar kepada Islam dan masyarakatnya. Namun, bacaan-bacaan selain azan yang dipasang dengan kuat sehingga mengganggu penduduk sekitar, tidak pernah disuruh oleh Islam. Bahkan jika ia dilaungkan seperti azan, kuat kedengaran di menara masjid, maka itu menyanggahi Islam. Ini termasuk bacaan al-Quran, selawat dan apa-apa zikir sekali pun. Bacaan itu baik, tetapi bukan sampai mengeliru dan mengganggu orang lain. Saya pernah mendapat aduan seorang ibu yang tinggal berdekatan masjid bahawa bayinya yang kecil sering tidak dapat tidur disebabkan masjid berkenaan memasang bacaan-bacaan yang panjang dan berbagai- bagai sebelum waktu solat. Saya beritahu dia, itu bukan ajaran Islam. Al-Imam al- Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah mengkritik hal ini, katanya: "Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan di antaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Di kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara- perkara mungkar". ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah). Lebih buruk jika yang dikuatkan itu ceramah-ceramah yang bersifat 'permusuhan' lalu dipaksa orang tidak mahu hadir mendengar dari tempikan pembesar suara.
Sebab itu bagi saya, jika orang bukan Islam membantah azan, itu satu kebiadapan yang patut diambil tindakan. Namun, jika mereka membantah perkara-perkara lain yang disalahgunakan atas nama masjid dan Islam, kita patut semak terlebih dahulu sebelum bertindak. Jangan gunakan isu agama dalam perkara yang tidak benar.
Begitu juga parti-parti politik, jangan jadikan agama sebagai 'penghalal' kepada tindakan. Ramai orang politik yang bertindak terlebih dahulu, lalu cari dalil agama untuk menjustifikasikannya. Bukan cari dalil agama dulu, baru bertindak. Maka agama dalam keadaan seperti ini sering menjadi mangsa. Bak kata Kata Dr. Salah al-Khalidi: "Sesungguhnya sebahagian manusia telah tersalah dalam hubungan mereka dengan al-Quran. Mereka memasuki alam al-Quran (menghayati al-Quran) yang luas dengan cara yang tidak betul… ada pula yang mengambil al-Quran dengan niat serta latar belakang tertentu, juga tujuan yang hendak diperolehnya maka dia menyelewengkan jalannya, memutar belitkannya, memaksamaksa dalil dan nas serta memayah-mayahkan ulasan untuk dijadikan alasan bagi dirinya.." (Salah 'Abd al-Fattah al-Khalidi, Mafatih li al-Ta'amul ma'a al-Quran, m.s 90, Jordan: Dar al-Manar). Bebaskan diri kita daripada menyalahgunakan Islam!







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Menjelang fasa akhir Ramadan

SEDAR tidak sedar kita sudah melangkah masuk ke 10 hari terakhir Ramadan. Sebagai umat Islam yang benar-benar menjiwai dan menghayati makna ibadah, kita seharusnya dukacita kerana Ramadan sudah sampai ke penghujungnya. Bulan-bulan yang mendatang pastinya tidak sama sebagaimana keberkatan yang tersedia untuk beribadah dengan ganjaran berganda seperti Ramadan
Apatah lagi kalau kita menginsafi hakikat, tiada jaminan kita masih bernyawa untuk merasai nikmat Ramadan pada tahun mendatang. Sebab itulah manusia yang berfikiran rasional seharusnya menggunakan setiap detik yang tersisa untuk menggandakan amalan dan ibadah seutuhnya kepada Allah terutamanya pada hari-hari terakhir bagi meraih peluang dan ruang keberkatan yang ada.
Namun apa yang mendukacitakan, budaya masyarakat Islam di Malaysia tampak semakin menyimpang daripada makna sebenar beribadah pada bulan ini. Semacam wujud kecelaruan keutamaan yang serius dalam pertimbangan umat Islam ketika ini. Semakin hampir Ramadan ke penghujungnya, masyarakat semakin galak berpesta raya.
Akhirnya malam-malam yang seharusnya dihabiskan untuk beribadah sering kali berlalu tanpa dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengejar keberkatan malam lailatulqadar. Lebih mendukacitakan, apabila umat bagaikan tidak mengerti hakikat beribadah pada 10 malam terakhir lantaran disibukkan dengan persiapan menyambut Hari Raya. Lagu-lagu raya yang semakin rancak berkumandang memuncakkan nafsu untuk berpesta bagaikan Aidilfitiri di depan mata.
Budaya dan tradisi mengutamakan Aidilfitri tentu sekali tidak secocok dengan nilai dan ajaran yang dianjurkan Islam. Ini kerana ganjaran berganda yang Allah tawarkan kepada hamba-Nya hanya diberikan pada bulan Ramadan. Justeru orang yang berfikir secara waras dan rasional tentu memilih sesuatu yang memberi ganjaran yang lebih berbanding yang sedikit. Ini tidak, makin dekat dengan Aidilfitri makin hebat nafsu berpesta dan beraya. Jemaah di masjid-masjid juga semakin berkurangan, sebaliknya 'jemaah' di pusat-pusat membeli-belah bertambah.
Memang fenomena membeli-belah selalunya akan bertambah hebat terutamanya ketika melalui fasa Ramadan 10 hari terakhir. Fasa yang seharusnya menjadikan umat bertambah kuat beribadah bagi mengejar ganjaran besar termasuk malam lailatulqadar, sebaliknya disibukkan dengan pelbagai gerak kerja persiapan menjelang Aidilfitri.
Budaya berbelanja dan membeli pelbagai perhiasan, pakaian dan peralatan rumah yang serba baru sudah menjadi amalan. Walaupun Islam tidak menghalang umatnya membeli- belah untuk apa jua tujuan, namun perbelanjaan yang kadangkala menjurus kepada pembaziran pastinya tidak seiring dengan prinsip dan nilai muamalah Islam sejati yang sentiasa menganjurkan agar umat membudayakan kesederhanaan dalam berbelanja.
Demikianlah penyimpangan budaya dan pemikiran yang masih menebal dalam masyarakat Malaysia khususnya dalam memahami keutamaan di antara Ramadan dan Aidilfitri. Suasana sebegini tidak berlaku di negara-negara Timur Tengah. Di negara-negara Arab biasanya akan lebih hebat terutamanya menjelang 10 malam terakhir. Di Mekah, umat yang hadir ke Masjidil Haram pada 10 malam terakhir lebih kurang sama ramai dengan jemaah pada musim Haji.
Ini amat bertepatan dengan amalan dan sunah yang diajarkan Nabi Muhammad SAW. Rasulullah sentiasa mengajar umatnya agar melipatgandakan ibadah pada 10 malam terakhir melebihi malam lain. Dalam riwayat hadis ada menukilkan: Adalah Nabi SAW beribadah dengan lebih bersungguh-sungguh dan kuat pada 10 malam terakhir Ramadan, tidak sebagaimana baginda beribadah di malam-malam yang lain. (Riwayat Muslim, Hadis No.1175).
Hakikat yang sudah sedia termaklum, pada malam-malam terakhir terkandung malam yang dipanggil lailatulqadar atau Malam al-Qadar yang cukup istimewa bagaikan hadiah tidak ternilai Allah buat umat Islam. Ini disebut dalam al-Quran:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al- Quran) pada Malam al-Qadar. Dan bagaimana engkau dapat mengetahui kebesaran Malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (Al-Qadr: 1-5).
Begitulah penegasan Allah mengenai kemuliaan dan keberkatan malam al-Qadar yang begitu difahami Rasulullah yang bersungguh-sungguh melakukan ibadah untuk mengejar lailatulqadar. Disebut dalam hadis lain: "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-Qadar darinya (malam-malam Ramadan)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kesungguhan Nabi beribadah turut ternukil dalam hadis lain: "Apabila telah masuk bulan Ramadan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)." ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Begitulah budaya dan amalan yang diajarkan Nabi pada 10 malam terakhir sebagai panduan buat umatnya. Bayangkanlah sekiranya Nabi yang maksum (terpelihara daripada sebarang dosa) itu begitu hebat beribadah pada malam-malam terakhir, pastilah kita sebagai umat yang berterusan bergelumang dengan pelbagai dosa dan noda sewajarnya lebih gigih berusaha mendapatkan malam al-Qadar.
Apa yang pasti, matlamat utama mengejar malam al-Qadar bukanlah sekadar mengharapkan doa kita yang bersifat kebendaan semata-mata dimakbulkan Allah. Sebaliknya, matlamat mengejar malam al-Qadar adalah bagi mendapatkan kerahmatan dan keampunan Allah di atas keterlanjuran kita di muka bumi.
Ini jugalah amalan yang diajar Nabi tatkala ditanya isterinya Aisyah mengenai amalan terbaik jika memperoleh malam al-Qadar: "Berkatalah Aisyah, wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa)? Nabi bersabda: Sebutlah doa: Ya Allah sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan".
Demikianlah amalan dan sunnah Rasulullah SAW yang seharusnya diikuti. Kegagalan menghayati dan mengamalkan sunnah inilah yang akhirnya menyebabkan umat seringkali terjerumus ke dalam kancah kecelakaan dan masalah yang tidak berkesudahan. Mungkin pelbagai polemik yang melanda umat Islam khususnya di Malaysia kebelakangan ini juga berkait-rapat dengan penyimpangan budaya beribadah yang berakar-umbi dalam masyarakat.
Justeru tiba masanya agar usaha penjernihan dilakukan ke atas amalan tradisi masyarakat yang tampak begitu menyimpang daripada landasan sunnah. Umat harus disedarkan agar dalam kesibukan mempersiap tetangga untuk berhari raya, jangan terlepas peluang mengecap keberkatan lailatulqadar. Umat juga harus dipasakkan dalam jiwa dan pemikiran bahawa 10 malam terakhir bukan masa untuk berpesta sebaliknya meningkatkan amalan ibadah agar hidup lebih bermakna di dunia dan akhirat.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template