^ Scroll to Top

Wednesday, September 17, 2008

Antara Kelebihan Ramadhan

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Umatku telah diberikan dalam Ramadhan lima perkara yang belum bernah diberikan kepada mana-mana umat pun sebelum mereka."

1. Bau busuk mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

2. Ikan-ikan di laut akan beristigfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.

3. Setiap hari Allah s.w.t. akan menghiaskan syurgaNya dan berkata, "Telah hampir masanya hamba-hambaKu yang soleh akan dilepaskan dari beban-beban dan mereka akan datang kepadamu."

4. Dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat di dalam Ramadhan dan mereka tidak akan dapat berbuat sesuatu dalam Ramadhan ini apa yang biasa mereka lakukan pada bulan lain.

5. Mereka akan diampunkan pada malam terakhir Ramadhan.
Ditanya kepada Rasulullah, "Adakah ia lailatur Qadar?" Baginda menjawab, "Tidak! Tetapi seorang pekerja yang diberikan ganjarannya apabila telah selesai kerjanya."

(Riwayat Imam Ahmad)


Sumber : http://mohdharrisjaalblog.blogspot.com



"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Hukum Syariah dan bahan kimia dalam makanan

ISLAM adalah agama yang sangat menitikberatkan soal makanan dan penggunaan barangan lain yang boleh memudaratkan kesejahteraan hidup umatnya
Justeru itu, umat Islam perlu peka terhadap perkembangan maklumat mengenai makanan dan barangan yang mengandungi bahan yang boleh memudaratkan kesihatan mereka.

Pelbagai penyelewangan berlaku di pasaran.Penyelewangan itu bukan sahaja merangkumi amalan perniagaan yang tidak beretika malah membabitkan penggunaan bahan bahan kimia yang memudaratkan kesihatan, samada di dalam makanan mahupun barangan keperluan harian.Bahan bahan kimia dalam makanan dan yang tersebar di alam sekitar bertanggungjawab terhadap peningkatan kes kes kanser dan penyakit kronik yang lain.


Tabiat pemakanan kita telah berubah secara mendadak di sebabkan diet tradisional kita semakin terpinggir berikutan saingan daripada makanan segera, makanan yang di proses, makanan siap yang boleh dibawa pulang atau kekerapan makan luar. Akibatnya, pengguna memakan semakin banyak lemak, gula dan penambah bahan kimia.


Akibat memakan diet yang tidak seimbang dan kurang bersenam, timbul lah pelbagai penyakit yang di kaitkan dengan makanan saperti kencing manis dan hipertensi.Obes atau Kegemukan juga bertambah dengan mendadak di kalangan rakyat Malaysia.

Dari segi keselamatan makanan, undang undang yang terdapat di Malaysia iaitu Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985 tidak mampu melindungi pengguna dengan sepenuhnya.

CAP atau Persatuan Pengguna Pulau Pinang telah menjalankan uji dan kaji selama bertahun tahun dan keputusan kajian telah mendedahkan pelbagai perkara yang memeranjatkan. Misalnya penemuan sejumlah besar bakteria kebal dan kuman penyebab penyakit dalam makanan yang di uji.Selain itu, plumbum dan bahan logamtoksik, asid borik, formaldehid, asid benzoik, perwarna industri yang di haramkan, racun makhluk perosak, pemplastik dan bahan berbahaya lain dalam makanan.Keadaan ini menunjukkan betapa seriusnya pencemaran makanan berlaku di negara kita.

Dalam usaha menghasilkan paling banyak daging bagi meraih keuntungan lumayan, binatang ternakan saperti lembu dan ayam di paksa makan, disuntik dengan hormon untuk mempercepatkan pembesarannya, diberi perangsang selera, antibiotik,sedatif dan makanan yang bercampur bahan kimia. Kebanyakan bahan itu didapati boleh menyebabkan kanser malah banyak ternakan mati selepas diberikan ubat ubatan itu sebelum sempat di bawa ke pusat sembelihan.

Berjuta juta pengguna kini menanggung risiko dalam menjalani kehidupan moden melalui makanan yang di makan. Mereka terdedah kepada risiko menghidap pelbagai jangkitan dan penyakit kronik.

Malangnya Akta dan Undang Undang yang ada tidak mampu melindungi pengguna dengan sepenuhnya disebabkan kekurangan penguatkuasaan.Kebenaran memang pahit untuk di telan.

Jika kita adalah apa yang kita makan dan jika tabiat pemakanan yang buruk dibentuk sejak peringkat awal kehidupan, maka ramai di antara kita akan menghadapi kesulitan.

Nota:
Mesyuarat Jawatan Kuasa Syariah negeri Perak dalam satu mesyuarat pada tahun 2002 memberi pendapat berikut:-
"Mesyuarat telah membuat keputusan bahawa tiada Fatwa yang telah di buat khusus mengenai bahan bahan kimia yang terdapat dalam makanan, namun apabila diyakini bahwa bahan itu memudaratkan maka hukumnya adalah haram berdsarkan ayat 195, Sural Al baqarah yang bermaksud"Dan janganlah kamu menjatuhkan diri kamu dalam kebinasaan."

Sumber: CAP








"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Thursday, September 11, 2008

Ibadah pada bulan mulia mampu atur perjalanan hidup Muslim untuk lebih berdisiplin

MASA itu emas. Satu ungkapan yang sering disebut tetapi gagal difahami secara mendalam maknanya oleh kebanyakan kita. Ungkapan itu secara ringkas menunjukkan masa sangat penting dan perlu dihargai kerana masa yang berlalu tidak mungkin akan kembali.

Kita sering mendengar ungkapan 'janji Melayu'. Ungkapan itu memberi makna tidak baik kepada orang Melayu yang pasti seorang Muslim. Ungkapan itu bukan saja menunjukkan sikap tidak menepati janji, tetapi juga sikap mengabaikan masa di kalangan Muslim.
Ungkapan itu seolah-olah menunjukkan orang Melayu suka tiba lewat. Di pejabat, majlis rasmi, tidak rasmi atau kehadiran di mesyuarat, kerap kali ada saja yang tiba lewat.

Mereka seolah-olah menganggap tiba lewat satu kelebihan dan tidak langsung rasa bersalah mengabaikan masa yang ditetapkan bagi sesuatu majlis. Inilah sikap sebahagian besar kita terhadap masa dan sikap itu perlu diubah.

Ketibaan Ramadan bukan saja memberi peluang kepada Muslim untuk meningkatkan ibadah dan membuktikan ketaatan kepada Maha Pencipta tetapi juga membuka peluang menilai dan memperbaiki diri termasuk menghargai masa.
Bagaimana cara menghargai masa ketika Ramadan? Mereka yang menyedari kepentingan masa akan menggunakannya sebaik mungkin, sama ada pada Ramadan mahupun bulan lain.

Ketetapan masa untuk bersahur, berbuka dan beribadat dianggap rahmat dalam mengatur perjalanan hidup seorang Muslim.

Bukan itu saja, masa melakukan kegiatan lain seperti bersama keluarga, bekerja dan bermasyarakat juga digunakan sebaik mungkin kerana Ramadan bukan saja bulan untuk meningkatkan keimanan tetapi juga memperbaiki hubungan sesama manusia. Pendek kata, Ramadan adalah masa tepat untuk memperbaiki lagi apa yang sudah menjadi kebiasaan.

Berbeza dengan mereka yang tidak tahu menghargai masa. Ketetapan masa yang diperuntukkan pada Ramadan dirasakan begitu menyeksakan. Mereka perlu bangun awal untuk bersahur dan tanpa tidur lagi, perlu pula bersiap ke tempat kerja. Rasa mengantuk dan keletihan terbawa-bawa di tempat kerja dan ini mempengaruhi seseorang.
Perasaan terganggu itu memberi kesan dalam perhubungan sesama manusia apabila kata-kata manis dan baik tidak mampu diucap dan hanya senyum pudar dilontarkan. Dipendekkan cerita, aturan masa yang ditetapkan pada Ramadan dirasakan begitu mencabar dan menyeksakan.

Begitu juga penggunaan masa di kalangan manusia. Walaupun ada pelbagai cara manusia menggunakan masa, penggunaannya dengan cara yang betul dan bijak sangat dituntut. Apatah lagi pada Ramadan mulia ini, penggunaan masa sebaik mungkin amat penting kerana bulan penuh keberkatan ini menjanjikan pelbagai faedah.

Jika tidak dimanfaatkan masa dengan kegiatan berfaedah, maka terlepas segala keuntungan yang dijanjikan untuk seluruh Muslim. Oleh itu, masa ketika Ramadan perlu digunakan sebijak mungkin.

Kebijaksanaan itu meliputi kemampuan mengatur kegiatan yang dilakukan. Rancang masa untuk bermunajat, menilai diri, berfikir mengenai ciptaan-Nya dan masa untuk memenuhi keperluan hidup manusia seperti berehat, bekerja, berkeluarga dan bermasyarakat.

Matlamat perancangan adalah melihat setiap kegiatan dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan seterusnya bermanfaat dalam kehidupan diri serta insan di sekeliling kita.

Penerangan yang disebutkan di atas menunjukkan masa perlu dihargai dan dihayati kepentingannya. Ketetapan untuk melakukan sesuatu perkara pada sesuatu masa ketika Ramadan harus diterima sebagai kaedah mendidik diri setiap Muslim.

Kerap kali kita mendengar Ramadan adalah bulan yang penuh dengan unsur pendidikan meliputi pendidikan keimanan, persaudaraan sesama Muslim, penjagaan kesihatan dan menghargai masa.

Oleh itu, kita wajar menggunakan kelebihan bulan ini untuk mendidik diri dan insan yang dikasihi. Pengajaran yang diperoleh hendaklah berterusan, bukan hanya 'hangat' pada bulan mulia ini.

Untuk menghayati kepentingan masa, hayati pepatah Arab yang menyebut, 'masa seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu'.

Oleh itu, berilah perhatian kepada penjagaan masa dan jangan izinkan diri ditewaskan masa kerana ini akan merugikan diri. Ingatlah sesungguhnya orang beriman itu sentiasa menghayati dan menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin.

INFO
Tepati masa


  • Ungkapan janji Melayu memberi makna tidak baik kepada orang Melayu yang pastinya seorang Muslim, bukan saja menunjukkan sikap tidak menepati janji, tetapi juga sikap mengabaikan masa.
  • Ketibaan Ramadan memberi peluang kepada Muslim meningkatkan ibadah, membuktikan ketaatan kepada Maha Pencipta dan juga menilai serta memperbaiki diri termasuk menghargai masa.
  • Hayati pepatah Arab yang menyebut, 'masa seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu'.







  • "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    ANTARA SABAR DAN MENGELUH

    Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya. "Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati." Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

    Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?" Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?" Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"
    Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

    Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?" Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."

    Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t. dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah s.w.t. dalam sebuah hadith Qudsi,:
    "Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

    Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,:
    " Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."
    Dan sabda Rasulullah s.a.w pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)
    Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.








    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Kesilapan Muslim dalam Bulan Ramadhan

    Kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

    Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

    1. Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam).Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)
    2. Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
    3. Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)
    4. Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih. Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.
    5. Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.
    6. Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
    7. Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)
    8. Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinyamenambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkanproduktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.
    9. Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)
    10. Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)
    11. Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.
    12. Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain. Nabi Muhammad menceritakan :-Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku…wahai Tuhanku… sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih) Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.
    13. Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :- Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih ) Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith. Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)


    Sumber: www.zaharuddin.net







    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

     
    Dear Diary Blogger Template