^ Scroll to Top

Wednesday, September 3, 2008

Bersahur

Amalan bangun sahur ini membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab). Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang bermaksud :

“Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.”

Sahur adalah satu rahmat dan berkat yang dikurniakan Allah ke atas umat Islam. Anjuran bersahur itu dapat dilihat lagi dalam hadis Nabi bermaksud:

“Makanlah sahur, sekalipun dengan seteguk air.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Hadis tadi menunjukkan kepentingan bersahur kepada orang yang berpuasa walaupun makan atau minum dengan sedikit saja sekalipun dengan hanya seteguk air. Dalam hadis lain, kelebihan ke atas orang yang bersahur itu ialah seperti sabda Rasulullah bermaksud:

“Sesungguhnya Allah dan malaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas orang yang bersahur.” (Hadis riwayat At-Tabrani).







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Kemuliaan Bulan Ramadan

* Kemuliaan serta kelebihan Ramadan sabit dengan al-Quran dan hadis Nabi SAW. Sesungguhnya Ramadan telah dipilih oleh Allah sebagai bulan bagi umat Islam melaksanakan ibadat puasa. Firman Allah: Wahai orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu puasa (Ramadan). (al-Baqarah: 183)
* Ramadan juga adalah bulan diturunkan al-Quran. Firman Allah: Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan daripada petunjuk dan pembeza. (al-Baqarah: 185)
* Malam al-Qadar juga wujud pada bulan ini sahaja. Dalam bulan ini juga disunatkan kita bersolat Tarawih. Ini kerana pada bulan lain, solat sunat Tarawih tidak disyariatkan.
* Ketika Ramadan juga, pintu syurga dibuka. Sabda Rasulullah SAW: Apabila datang Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga. (riwayat Bukhari)
* Bahkan pintu-pintu neraka akan ditutup dan syaitan pula diikat. Sabda Rasulullah SAW: Apabila masuk bulan Ramadan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan. (riwayat Bukhari)







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Latihan puasa untuk kanak-kanak

Apa-apa juga ibadah terutamanya melaksanakan solat dan puasa adalah diakui berat untuk dilakukan kecuali disertai dengan iman yang teguh dan latihan sejak kecil.
Lantaran itu, ibu bapa Muslim hendaklah melatih anak-anak mereka untuk melunaskan kewajipan ini semenjak di peringkat umur pra sekolah lagi.
lPeringkat permulaan iaitu pada usia empat tahun, kanak-kanak ini dilatih berlapar dan dahaga selama kira-kira lima hingga enam jam. Kemudian secara berperingkat, dipanjangkan tempohnya sehingga tujuh atau lapan jam. Apabila pada umurnya tujuh tahun, disuruh puasa sepenuh hari.
lApabila mencecah usia 10 tahun, hendaklah dipaksa berpuasa. Jika enggan, barulah boleh dipukul dengan tujuan mendisiplinkan. Hal ini dikiaskan dengan perintah mendirikan solat yang bermaksud: Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat apabila mereka berumur tujuh tahun; dan pukullah mereka apabila berumur 10 tahun (jika tidak mahu mengerjakan solat).
lMenyediakan galakan berupa hadiah juga menjadi faktor yang dapat merangsang kanak-kanak untuk berpuasa serta melakukan ibadah-ibadah yang lain. Ada kewajarannya kerana Allah SWT sendiri menjanjikan pahala dan balasan syurga kepada hamba-hamba-Nya yang taat, sebaliknya balasan seksaan bagi mereka yang ingkar.
lPun begitu, pendidikan Islam mestilah terus dipertingkatkan sehingga memperoleh maqam yang tinggi. Ketika itu: “Beribadat bukan kerana mengharapkan hadiah (balasan syurga) dan bukan kerana takutkan seksaan api neraka, tetapi semata-mata kerana cinta kepada Allah”.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Ramadan latihan terbaik bentuk Muslim berdisiplin

IBADAT puasa adalah peluang terbaik untuk membentuk keperibadian diri cemerlang baik dari segi kerohanian mahupun aspek kesihatan fizikal. Keagungan ibadat puasa dapat diperhatikan dengan memahami fadilat dan hikmah pensyariatan ibadat mulia ini.

Puasa membentuk insan bertakwa. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman. Kamu semua diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu semua bertakwa." – (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Makna takwa adalah mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Berpuasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi berpuasa dalam erti kata sebenar termasuk mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan seperti mengumpat, berbohong, tidak melaga-lagakan sesama umat dan tidak berniaga secara haram.
Selama sebulan Ramadan umat Islam seolah-olah berada dalam sebuah institusi latihan untuk membentuk insan bertakwa. Selepas tamat latihan, dia sepatutnya dapat membantu seseorang mengekalkan ketakwaan sepanjang masa.

Orang berpuasa juga dianugerahkan kedudukan tinggi di sisi Allah yang mana mereka tergolong di kalangan para shiddiqin (orang yang benar) dan syuhada (golongan syahid).

'Amr bin Murrah al-Juhani berkata: "Seorang lelaki datang menemui Nabi SAW lalu berkata: Ya Rasulullah. Menurut pendapatmu, aku tergolong dalam golongan mana jika ada bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku berpuasa pada Ramadan dan solat tarawih pada malam harinya? Baginda menjawab: Golongan shiddiqin dan syuhada." – (Hadis riwayat Ibn Hibban)
Puasa juga perisai yang dapat menghalang kita daripada azab api neraka.. Menurut Ibn al-'Arabi: "Puasa dikatakan sebagai perisai api neraka kerana puasa mampu menahan diri daripada syahwat (dorongan untuk melakukan perbuatan mungkar disebabkan hawa nafsu). Sedangkan, neraka dikelilingi oleh syahwat. Apabila seseorang mampu menahan diri daripada syahwat ketika kehidupan di dunia, hal itu menjadi penghalang (perisai) baginya di neraka kelak."

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengungkapkan perkataan yang keji dan janganlah sekali-kali berbuat jahil. Justeru itu, jika seseorang diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa sebanyak dua kali." – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ibadat puasa juga dapat menghapuskan segala dosa yang dilakukan sebelum ini. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, dosanya yang lalu telah diampuni (oleh Allah)." – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Al-Khattabi berkata: "Tambahan pula Ramadan, bulan penuh keberkatan di mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu rahmat Ilahi menaungi seluruh hamba-Nya yang beriman.. Jadi, tidak hairanlah jika Allah akan meluaskan pula pengampunan-Nya terhadap semua hamba-Nya."
Allah menjanjikan ganjaran pahala amat besar bagi hamba-Nya yang berpuasa ikhlas untuk mencapai keredaan-Nya. Berbeza dengan ibadat lain yang telah ditetapkan ganjaran pahalanya dalam gandaan 10 sehingga 700 kali ganda.

Ganjaran pahala untuk ibadat puasa ini ditetapkan oleh Allah tanpa batasan. Dia berhak memberi seberapa banyak ganjaran kepada hamba-Nya menurut kehendak-Nya. Oleh itu, setiap individu perlu merebut peluang itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap amal kebaikan Bani Adam pahalanya (ditulis oleh malaikat) kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi pahala puasanya." – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ternyata ganjaran pahala daripada Allah tiada tolok bandingnya untuk hamba yang mengerjakan ibadat puasa. Oleh itu, kerjakanlah dengan penuh keikhlasan dan kesempurnaan. Semoga kita mencapai ganjaran paling maksimum melaluinya. – (Buku Menyambut Ramadan dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasulullah SAW)






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Kelebihan Sedekah

Puasa pada bulan Ramadan yang merupakan rukun Islam kelima mula diwajibkan pada Tahun Hijrah ke-2, dengan turunnya surah al-Baqarah ayat 183-184 bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu...
Firman-Nya yang sama dalam ayat 185 bermaksud: Oleh itu, sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu...
lAmalan yang sangat dituntut pada Ramadan ialah bersedekah. Hal ini dijelaskan Abu Hurairah: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW. Ya Rasulullah, tolong terangkan kepada saya, sesuatu amal yang apabila saya melakukannya, akan menyebabkan saya masuk syurga. Baginda menerangkan, berilah makan (fakir miskin dan anak yatim), amalkan selalu memberi salam, eratkan silaturahim dengan membantu kaum kerabat dan kerjakan sembahyang tahajud pada waktu malam ketika orang ramai tidur, nescaya engkau akan masuk syurga dengan aman sentosa.” (riwayat Imam Ahmad)
lDi dunia, mereka yang bersedekah akan dimurahkan rezeki oleh Allah dalam kehidupannya. Faedah ini dijelaskan oleh Jabir Abdullah katanya: “Rasulullah berucap kepada kami, sabdanya: Wahai umat manusia, bertaubatlah kepada Allah sebelum kamu mati dan segeralah mengerjakan amal salih sebelum kamu sibuk (dengan yang lain), dan hubungkan apa yang ada di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan sentiasa mengingatinya dan banyakkan bersedekah secara bersembunyi atau terang-terangan, nescaya kamu diberi rezeki yang mewah, diberi kemenangan (terhadap musuh dan digantikan dengan apa yang kamu dermakan itu dengan balasan yang berganda-ganda.” (riwayat Ibnu Majah)
l Terselamat daripada bala bencana. Anas bin Malik menjelaskan katanya: Rasulullah SAW bersabda: Segeralah kamu bersedekah kerana bala bencana tidak dapat melangkahi sedekah.” (riwayat Baihaqi)
lSeseorang itu akan dipanjangkan umur dan dicegah baginya kematian yang buruk. Amru bin Auf menceritakan: “Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu akan memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan buruk.” (riwayat Tabrani)
l Dosa seseorang itu dihapuskan Allah. Hal ini dijelaskan oleh Jabir bahawa ia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sembahyang itu dapat mendampingkan diri dengan rahmat Allah dan membawa keredaan-Nya, dan puasa menjadi perisai kejahatan, manakala sedekah pula menghapuskan dosa seperti air memadam api.” (riwayat Abu Ya’la)







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template