^ Scroll to Top

Thursday, August 7, 2008

Tanda pencipta mencintai manusia

APABILA rakyat mencintai rajanya, hal itu perkara lazim dilakukan. Bagaimanapun, suatu hal sungguh menyentuh hati ialah apabila seorang raja mengasihi rakyat tanpa pilih kasih. Sanggup berdebu dan menjejak tanah, memberi apa diminta dan mendengar setiap rintihan dengan hati paling lembut kepada rakyat.

Begitulah cinta Allah kepada hamba-Nya. Maha Agung dan Perkasa itu mengisytiharkan kedudukannya yang amat dekat kepada hamba-Nya. Firman Allah bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya mengenai Aku, maka (jawablah) sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia meminta kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Sesungguhnya apabila Allah mencintai hamba-Nya, ia dapat dilihat dengan jelas dan dirasa melalui hati bersih. Ketika Allah mencintai seorang hamba, maka jatuhlah ke dalam hati hamba itu ilham suci yang membuat dia mengenali tanda kecintaan-Nya.

Ada beberapa tanda yang boleh dirasa oleh hati manusia antaranya:

l Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila dia menjadi begitu berminat dengan ibadah. Adakalanya sesetengah orang berusaha sekuat-kuatnya untuk beribadah, hatta melebihi kapasiti diri sebagai insan lemah. Tujuannya hanya satu iaitu mahu mencintai Allah.

Tetapi ibadahnya seolah-olah kosong tanpa rasa, tawar tiada kemanisannya, semangat imannya maju dan mundur, turun dan naik, akhirnya tenggelam pula dipukul arus dunia. Ketika beribadah semestinya seseorang mampu menghadirkan keyakinan bahawa saat itu Allah mencintai dirinya.
Pernahkah kita menikmati sujud yang panjang sambil menghadirkan dalam hati bahawa saat itulah Allah mengisytiharkan nama kita sebagai orang dicintai-Nya?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika Allah mencintai seorang hamba maka Ia berfirman: Wahai Jibril sesungguhnya aku mencintai si polan maka cintailah dia.” (Riwayat Imam Ahmad)

Maka orang yang yakin bahawa Allah mencintai dirinya tidak pernah rasa was-was adakah ibadahnya diterima atau tidak? Jauh sekali rasa takbur kerana dia yakin yang menolongnya untuk melakukan ketaatan adalah Allah juga. Bukan kerana kehebatan dan kewarakan, melainkan Allah yang menuntun ke jalan takwa.

Kemudian dia sampai kepada satu makrifah mendalam mengenai Allah iaitu cinta Allah kepada hamba-Nya jauh lebih agung daripada cinta sesama insan. Manusia boleh mengkhianati ibu bapanya atau anak dan isterinya, kawan atau kekasih atas alasan tidak mendapat keuntungan daripada perhubungan itu. Tetapi cinta Allah kekal tidak pernah luntur walaupun dicabar oleh sepak terajang hamba derhaka.
l Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila maksiat membuat dia bangkit mendekati Allah. Adakalanya dosa boleh mendatangkan manfaat iaitu apabila dosa itu akhirnya membawa kepada keinsafan, taubat dan istighfar.

Kemudian seseorang bangkit mengejar Allah, berusaha mendapatkan hatinya yang hilang di belantara maksiat. Ia sama sekali tidak berputus asa daripada rahmat Allah. Ia sentiasa mengingati janji Allah Yang Maha Pengampun.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah: Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu Kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (Surah al-Zumar, ayat 53-54)

Janganlah kerana dosa semalam seseorang menyangka Allah tidak sudi mendengar rintihannya, terputus tali langit di hatinya, tertolak segala doanya dan terusir dia daripada pandangan Allah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman-Nya. Seandainya kamu tidak berdosa nescaya Allah akan mematikan kamu. Kemudian Allah akan mendatangkan satu kaum yang melakukan dosa dan mereka memohon keampunan kepada Allah lantas Allah mengampuni mereka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Hamba yang taat apabila perangainya berubah menjadi iblis pun Tuhan tetap menunggu, di setiap malam rintihan hamba itu diintip hingga ia pulang kembali ke sisi-Nya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tuhan kita turun ke langit dunia pada waktu malam tatkala tiba sepertiga malam yang akhir lalu berfirman: Siapakah yang berdoa kepada-Ku nescaya aku terima, siapakah yang meminta kepada-Ku nescaya Aku beri dan siapakah yang meminta ampun nescaya Aku ampuni.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mengapa Allah masih mencari hamba-Nya yang jahat, membangkang dan suka berpaling dengan sombong? Kecintaan apakah itu yang boleh memaafkan sekeji-keji dan sehina-hina manusia? Betapa lembutnya Allah dan Maha Pengasih lagi Penyayang kepada makhluk-Nya.

Dengan cinta-Nya ditutupi segala aib hamba yang hina, memberi peluang berjuta kali dan menangguhkan seksa untuk tetap setia menunggu di langit dunia, bilakah agaknya hamba-Nya ini mahu membersihkan diri.

Saat Allah mencintai seseorang, tempat pertama menerima sentuhan cinta itu ialah hati mereka. Di situlah Allah lenyapkan segala rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka kemudian diganti dengan harapan dan keinginan untuk berubah menjadi insan bersih. Hati kita seeloknya selalu berbisik: “Aku tahu bila Allah mencintaiku, iaitu saat aku membenci segala kejahatanku.”

l Tanda Allah mencintai seorang hamba ialah apabila dilapangkan dadanya menerima ilmu yang menjadi petunjuk ke jalan benar.

Allah tidak sesekali membiarkan seseorang insan terkapai-kapai dalam lautan dosa. Bahkan dikirim ke atas hati manusia petunjuk hidayah-Nya supaya manusia terselamat daripada gelombang keganasan dirinya sendiri.

Manusia dibekalkan hati, perasaan, akal dan fikiran untuk membezakan mana baik serta yang keji. Tidak cukup dengan itu, diutuskan juga Rasul, diturunkan al-Quran, dilahirkan pejuang agama-Nya terpilih untuk menerangi kegelapan seraya berdakwah fisabilillah.

Allah juga menjaga pusaka peninggalan Rasul iaitu ilmu Islam, menjaga al-Quran daripada pencerobohan manusia dan mewariskan sunnah Rasul-Nya supaya menjadi ikutan. Baginda SAW bersabda bermaksud: “Apabila Allah mencintai seseorang maka ia membuatnya faham mengenai agamanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Tanda Tanda Dilamun Cinta

Apakah perasaan anda bila mengetahui cinta anda terbalas?? Terlebih-lebih lagi yang membalas cinta anda adalah Raja kepada sekalian raja di alam ini, Penguasa kepada kerajaan langit dan bumi dan Kekasih yg abadi dan tidak pernah berbohong dalam cintaNya!!! Pastinya cintaNya kepada kekasihNya lebih anggun daripada cintanya Uda dan Dara, Romeo dan Juliet, Beckham dan Victoria dll. Bagaimana nak tahu anda sedang dicintaiNya?


1. Suka untuk bertemu yang dikasihi secara terbuka dan terang-terangan di darul salam(Jannah/Syurga). Tidak tergambar oleh kita bagaimana hati mengasihi seseorang melainkan suka untuk melihat dan berjumpa dengan yang dikasihi. Apabila diketahui bahawa untuk bertemu itu tidak mungkin tercapai melainkan dengan meninggalkan dunia dan mati, maka sepatutnya ia suka untuk mati yang pastinya sudah tidak boleh dielakkannya itu. Seorang pengasih tidak merasa penat untuk bermusafir dari tanahairnya menuju kediaman kekasihnya agar dapat menatapi wajah kekasihnya. Mati itu adalah kunci pertemuan dan pintu masuk kepada penyaksian. Rasulullah s.a.w bersabda: ertinya: "Sesiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah suka bertemu dengannya".

2. Antara tandanya juga adalah dia mendahulukan apa yang dikasihi Allah berbanding apa yang dia kasihi secara zahir mahupun batin. Ia beriltizam dengan kesusahan amal, menjauhkan diri dari menuruti kehendak nafsu, meninggalkan sifat malas, terus menerus mentaati Allah dan bertaqarrub kepada Allah dengan amalan-amalan sunat. Sentiasa menuntut kelebihan darjat di sisi Allah sepertimana seseorang menuntut kedekatan hati dengan kekasihnya. Kadangkala Allah menyifatkan mereka yang berkasih sayang ini dengan sifat ithar. Firman Allah, ertinya: " mereka mengasihi orang yang berhijrah kepada mereka, di dalam dada mereka tidak ada apa-apa keperluan dari apa yang mereka berikan. Mereka mengutama (yang lain) berbanding dirinya sekalipun merekapun mempunyai keperluan tersendiri".

3. Tenggelam dalam zikirullah. Lidahnya dan hatinya sentiasa mengingati Allah. Orang yang menyukai sesuatu tentu sekali akan banyak mengingatinya. Oleh kerana itu antara tanda-tanda kasihkan Allah, suka mengingatinya (zikir), sukakan al-Quran kalamullah, sukakan Rasulullah s.a.w serta suka apa-apa yang disandarkan kepada Rasulullah.

4. Kegembiraannya dengan berkhalwat dengan Allah, munajatnya kepada Allah, sentiasa mentilawahkan kitab Allah. Dia juga sentiasa melakukan tahajjud, menggunakan ketenangan dan keheningan malam untuk menghapus segala rintangan yang ada. Darjat cinta terendah adalah merasai kenikmatan berada bersama yang dikasihi dan mampu bermunajat kepada-Nya. Maka sesiapa yang tidur dan berbual-bual itu lebih seronok lebin baik kepadanya berbanding munajat kepada Allah, maka bagaimanakah nasib kasih sayangnya ??

5. Tidak bersedih diatas kehilangan apa-apa selain Allah. Lebih sedih dan pedih hatinya apabila berlalu setiap saat tanpa zikrullah dan tanpa mentaatinya. Selalu menghitung diri di atas kealpaan dengan mohon simpati, hisab diri dan juga taubat.


6. Merasa nikmat dengan melakukan ketaatan dan tidak merasa keberatan atau kepenatan. Kata al-Junaid: "Tanda orang yang mengasihi adalah berterusan dalam amal. Dengan syahwat fizikalnya lemah namun dengan hati dia tidak akan lemah".

7. Merahmati dan mengasihi seluruh hamba Allah. Tegas terhadap seluruh musuh Allah dan sesiapa yang mengundang kebencian Allah. Firman Allah: ertinya: "Orang-orang tegas terhadap kuffar dan saling merahmati di antara mereka". Tidak menjejaskan mereka sebarang celaan manusia dan tidak ada sesuatu yang boleh mengalih mereka kepada kemurkaan Allah.

8. Kasihnya itu disertai takut dibawah kehebatan dan kebesaran Allah. Ada yang menyangka takut itu betentangan dengan kasih. Sebenarnya itu tidak betul. Malah memahami kebesaran itu akan melahirkan perasaan hebat sebagaimana menyelami keindahan melahirkan rasa cinta. Khusus bagi orang yang bercinta itu ada beberapa ketakutan pada maqam cinta. Pertamanya: Takutkan beralih cinta. Lebih dahsyat dari itu takut terhijab cinta. Lebih dahsyat dari itu lagi adalah takut menjauh diri. Makna-makna ini digambarkan oleh Allah di dalam surah Hud yang telah disifatkan oleh Rasulullah sebagai telah memutihkan kepala baginda s.a.w ertinya: "Hud telah memutihkan kepalaku" . Ungkapan ini disebut oleh Rasulullah s.a.w ketika mendengar potongan ayat . Ertinya: Alangkah jauhnya kaum Thamud" "Alangkah jauhnya ahli Madyan sebagaimana jauhnya kaun thamud".

Pemerhatian terbesar pada alamat-alamat dan sebab-sebab ini ialah kebanyakannya itu adalah perbuatan-perbuatan dalam komunikasi kemanusiaan, berkait dengan masyarakat, manusia pada kehidupan dan akhlak mereka.

Saudaraku… adakah anda ingin menggapai cinta Allah ? Beriltizamlah dengan amalan-amalan fardhu dan tambahkanlah dengan bekalan-bekalan sunat. Ikutilah jejak langkah Nabi s.a.w. jadilah orang yang bermanafaat untuk orang lain. Sertai mereka di dalam kehidupan mereka. Ziarahi mereka. Belanjakan untuk mereka. Berikan khidmat untuk mereka. Isikanlah hajat dan keperluan mereka. Masukkanlah kegembiraan dalam hati mereka.

Lakukanlah semua ini, nescaya Allah akan memanggil Jibril untuk memberitahu bahawa Dia mengasihi dirimu.








"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Doa agar tergolong orang beriman

WAHAI Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikuti Rasul-Mu. Oleh itu masukkanlah kami berserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaan-Mu dan kebenaran Rasul-Mu).. (Ali-Imran: 53).
Keterangan ayat
Ibn Jarir mengatakan bahawa apabila Nabi Isa a.s. dikepung bersama 19 pengikutnya daripada kalangan al-Hawariyyin di Baitul Maqdis. Maka Nabi Isa telah berkata kepada pengikutnya:
“Siapakah yang akan mengambil wajahnya untuk dibunuh oleh musuh. Sebagai balasannya, Allah akan memberikan kepadanya syurga.” Maka seorang daripada mereka menerimanya lalu Allah mengangkat Nabi Isa ke langit. (tafsir Ibn Jarir, tafsir ayat 53, surah Ali-Imran).
“Masukkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi” bermaksud bersama Nabi Muhammad SAW dan umat baginda (tafsir al-Fakhrurrazi, tafsir ayat 53, surah Ali-‘Imran).
Jika Nabi Isa .a.s. yang mulai memohon tersenarai sebagai umat Nabi Muhammad SAW, alangkah malunya kita jika tidak memohon mendapatkan kemuliaan itu.
Khasiat dan kaifiat beramal
Amalkanlah membaca doa ini untuk dibangkitkan dalam rombongan Nabi Muhammad SAW pada hari akhirat kelak. Antara kelebihannya ialah jika diucapkan selepas solat sebelum berkata-kata dengan sesiapa, maka Allah SWT akan memasukkannya dalam doa setiap makhluk-Nya di lautan dan daratan. (tafsir al-Fakhrurrazi, tafsir ayat 53, surah Ali-Imaran).







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Pahlawan neraka

Beberapa siri pertempuran telah terjadi di antara golongan Islam dengan musyrikin. Apabila pertempuran terhenti, para sahabat kembali ke markas dan berkumpul. Sahabat-sahabat duduk berbincang mengenai pertempuran itu serta menceritakan kejadian-kejadian yang mereka lalui. Di antaranya mengenai seorang ansar yang bernama Qozman yang telah bertempur dengan hebat dan cekap. Setiap musuh di hadapannya dapat dikalahkan.

Seorang sahabat pun memuji Qozman. Mendengarkan pujian itu Nabi pun menjawab, “Sebenarnya dia itu golongan penduduk neraka”

Jawapan Nabi itu telah menarik perhatian mereka. Bagaimanakah seorang yang berjuang dengan gagah berani akan masuk neraka? Seorang yang bernama Aktsam El-Khuza’ei segera menawarkan diri untuk menyelidiki kebenaran kata-kata Nabi.

Keesokan harinya, Qozman dan Aktsam keluar ke medan pertempuran bersama-sama. Pertempuran terus berjalan dan Aktsam terus bersama Qozman walau di mana Qozman berada. Akhirnya Qozman terkena pedang lawan dan luka parah. Dengan tiba-tiba Qozman meletakkan tangkai pedangnya di tanah,

dan mata pedang dihalakan ke dadanya. Beliau membunuh diri dengan pedangnya sendiri. Kejadian itu disaksikan Aktsam dan dalam keadaan tenat beliau mendengar Qozman berkata;

“ Demi Allah!, Aku berperang bukan kerana agama, tetapi kerana menjaga kehormatan kota Madinah supaya jangan dihancurkan Quraisy. Aku berperang kerana membela kerhormatan kaumku”.

Begitulah pengakuan Qozman sundiri.

Setelah perang berhenti, Aktsam segera menemui Nabi. Ramai sahabat turut berkumpul untuk mengetahui peristiwa itu. Maka Aktsam pun menceritakan semua perkara yang telah disaksikannya dari mula hingga akhir. Setelah mendengarkan itu, Nabi tampil memberikan nasihat, sabdanya;

“ Ada orang yang beramal sebagai amalan penghuni syurga pada penglihatan orang-ramai, sebenarnya beliau adalah penghuni neraka. Begitulah juga, ada orang yang kelihatannya melakukan amalan penghuni neraka, sebenarnya beliau adalah penghuni syurga”.

Demikianlah Rasulullah s.a.w memperingatkan umatnya. Qozman yang berani berjuang tetapi keberaniannya hanya untuk mengharumkan namanya sendiri, bukannya kerana Allah.








"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Syaaban persiapan tempuh Ramadan

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa. (at-Taubah : 36).
Dua belas bulan yang disebut oleh Allah di dalam ayat di atas telah dihuraikan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis.
Abu Bakrah menceritakan bahawa Nabi SAW memberikan khutbah ketika ibadah haji dengan berkata: Ketahuilah bahawa masa berputar seperti mana hari Allah menciptakan langit dan bumi, setahun ada 12 bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab yang terletak antara Jumada dan Syaaban. (riwayat Imam Ahmad).
Bulan dalam bahasa Arab disebut Al-Syahru yang bermaksud zaman atau masa iaitu merujuk kepada peredaran bulan mengelilingi bumi. Nama-nama bulan Arab yang telah diiktiraf sebagai bulan Islam dan dirasmikan penggunaan oleh Saidina Umar al-Khattab r.a adalah:
lMuharram erti diharamkan, kerana ia adalah bulan pertama daripada empat bulan yang diharamkan berperang dalam Islam.
lSafar pula ertinya kosong, kerana penduduk Arab ketika itu keluar dari kampung mereka kerana berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas.
lRabiulawal dan Akhir ertinya musim bunga iaitu biasanya waktu ini pokok mengeluarkan bunga dan tumbuhan menghijau.
lJumada Ula dan Jumada Akhir, erti Jumada itu ialah membeku di mana waktu ini biasanya berlaku musim sejuk yang menyebabkan air membeku. Asal perkataan Jumada ialah ‘Jamada’ yakni membeku.
lRejab pula bermaksud mengagungkan dan membesarkan di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka mengadakan gencatan senjata di bulan ini sebagai memuliakannya.
lSyaaban bererti pecahan yang banyak, di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka keluar pada bulan setelah duduk lama di rumah pada bulan Rejab.. Mereka juga keluar beramai-ramai mencari air dan makanan.
lRamadan bererti panas, kerana kebiasaannya pada waktu dahulu pada bulan ini berlaku cuaca panas.
lSyawal pula dinamakan sempena dengan musim di mana unta kekurangan susu pada waktu ini. Syawal dalam bahasa Arab berasal dari kata kerja Tasyawwala yang bermaksud sedikit atau berkurangan.
lZulkaedah merujuk kepada kebiasaan penduduk Arab zaman sebelum Islam tidak berperang kerana ia termasuk dalam bulan-bulan haram berperang. Perkataan Kaedah itu berasal dari ‘Qa ‘ada’ yakni duduk.
lZulhijjah pula dikaitkan dengan kebiasaan kaum Arab ke Kaabah menunaikan haji pada bulan ini.
Berdasarkan makna setiap bulan yang dinyatakan pastinya masing-masing mempunyai kelebihan dan keistimewaannya. Termasuklah juga dengan bulan Syaaban.
Ketibaan bulan Syaaban seharusnya disambut dengan azam dan komitmen untuk meningkatkan keimanan kepada Allah dengan memperbanyakkan amalan dan kebajikan. Sebabnya hidup seorang muslim hendaklah sentiasa berubah kepada keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya.
Sebagai Muslim sewajarnya kita mengetahui apakah kelebihan bulan Syaaban agar ketibaannya dapat dihayati dengan sebaiknya.
Memanfaatkannya
Keistimewaan ini juga menunjukkan kepada kita bagaimana Islam sangat mementingkan soal masa. Di mana ada saat-saat tertentu yang mempunyai fadilat yang khusus dan jika tidak diambil kesempatan untuk memanfaatkannya akan berlalu begitu sahaja serta tiada peluang lagi untuk dikembalikan.
Menyentuh tentang kelebihan bulan Syaaban terdapat beberapa hadis sahih yang menjelaskan tentangnya.
Antaranya: Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menganggap ia tidak berbuka, dan ia berbuka sehingga kami menganggap ia tidak berpuasa dan aku tidak pernah melihat baginda menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadan dan aku juga tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Aisyah r.a. juga berkata: Sesungguhnya ia (Nabi Muhammad) berpuasa pada bulan Syaaban keseluruhannya dan baginda bersabda: Laksanakanlah amalan sedaya yang kamu mampu, sesungguhnya Allah SWT tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Dan sebaik-baik solat (sunat) pada sisi Rasulullah SAW ialah yang berterusan meskipun sedikit, kerana baginda apabila solat (sunat) baginda akan sentiasa terus melakukannya. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Abu Salamah r.a. pula berkata: Aku pernah bertanya Aisyah r.a. tentang puasa Rasulullah s.a.w. lalu dijawab: Bahawa Nabi berpuasa sehingga kami berkata memang ia berpuasa dan ia berbuka sehingga kami berkata memang ia berbuka, dan aku tidak pernah melihatnya berpuasa lebih banyak daripada bulan Syaaban, ia pernah berpuasa sebulan pada bulan Syaaban dan pernah juga ia berpuasa sedikit pada bulan Syaaban. (riwayat Muslim).
Di dalam riwayat yang lain Ummu Salamah r.a berkata: Aku tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa berturut-turut melainkan pada bulan Syaaban dan Ramadan. (riwayat Tirmidzi).
Aisyah r.a. juga meriwayatkan bahawa bulan yang paling disukai oleh Rasulullah SAW berpuasa ialah bulan Syaaban kemudian disambung ke bulan Ramadan. (riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Bagi mereka yang ingin berpuasa di bulan Syaaban sebaiknya dimulakan dari awal bulan Syaaban. Ini kerana terdapat larangan berpuasa dihujung Syaaban bagi mereka yang tidak pernah berpuasa di awalnya.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila sudah tinggal separuh dari bulan Syaaban maka janganlah kamu berpuasa.
Berdasarkan hadis ini para ulama menyatakan adalah ditegah jika seseorang berpuasa di hujung Syaaban kerana ingin menyambungnya terus dengan puasa di bulan Ramadan.
Berkenaan dengan hikmah atau rahsia menunaikan ibadah di bulan Syaaban, terdapat hadis-hadis sahih yang menceritakannya. Antaranya:
Usamah bin Zaid berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah aku tidak pernah melihat engkau berpuasa sebulan seperti mana kamu berpuasa pada bulan Syaaban. Jawab Nabi SAW: Itulah bulan di mana manusia mengabaikannya iaitu bulan antara Rejab dan Ramadan (Syaaban). Ia adalah bulan di mana segala amalan akan diangkat kepada Tuhan sekelian alam dan aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa. (riwayat Nasai dan Ahmad)
Abu Musa al-Asyaari pula menceritakan bahawa Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah melihat (amalan hamba-hamba-Nya) pada malam Nisfu Syaaban lalu diampunkan dosa semua makhluk-Nya (hamba-Nya) kecuali syirik dan orang yang memutuskan silaturahim (tidak bertegur dengan saudaranya). (riwayat Ibnu Majah)
Abdullah bin Amru juga pernah meriwayat bahawa Rasulullah bersabda: Allah melihat kepada makhluknya pada malam Nisfu Syaaban lalu diampunkan hambanya kecuali dua iaitu orang yang memutuskan silaturahim (tidak bertegur dengan saudaranya) dan pembunuh. (riwayat Imam Ahmad)
Demikianlah beberapa hadis yang menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dan pertengahan bulan Syaaban atau Nisfu Syaaban sebagai pintu masuk kepada ketibaan bulan yang lebih istimewa iaitu Ramadan.
Pelaksanaan ibadah bulan Syaaban adalah satu kebebasan kepada umat Islam tanpa dikhususkan kepada amalan-amalan tertentu atau dengan cara yang tertentu kecuali nas yang menggalakkan berpuasa sunat.
Oleh itu, di samping ibadah puasa, bolehlah juga dilakukan amalan-amalan lain seperti bersedekah, berzikir, qiamullail dan sebagainya.
Di samping itu, elok juga di bulan Syaaban ini kita membuat persiapan menyambut ketibaan bulan yang penuh barakah iaitu Ramadan. Pada kebiasaannya umat Islam menghias rumah dan membuat persiapan awal bagi menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri sebaliknya persiapan Ramadan tidak diambil berat.. Sedangkan hari raya cuma sehari, puasa Ramadan pula sebulan lamanya.
Sebaiknya bulan Syaaban dibuat persediaan bagi menempuh Ramadan. Persiapan sama ada dari sudut ruhiah yakni dengan membiasakan diri dengan puasa dan ibadah lain di samping persiapan fizikal seperti menghias rumah, menyediakan pakaian baru dan mengadakan ruang khusus untuk beribadat di rumah.
Bulan Syaaban juga elok dijadikan saat untuk bertaubat dan memohon keampunan Allah dan berdoa agar dikurniakan sifat istiqamah serta kesihatan supaya dapat menghayati sepenuhnya bulan Ramadan yang bakal tiba.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template