^ Scroll to Top

Wednesday, June 18, 2008

Iqra: Perbincangan pelbagai aspek hadapi sakaratul maut

KEMATIAN adalah satu perkara yang pasti kepada semua makhluk yang diciptakan Allah di muka bumi. Mengingati kematian perlu untuk menjadikan seseorang itu lebih mendekati diri dengan tuhan dengan memperbanyakkan ibadat dan menjauhi segala kemungkaran.

Namun, umat Islam tidak boleh mengharapkan kematian hanya kerana sudah putus asa dengan kehidupannya, sebaliknya ia doa ke arah itu dibolehkan sekiranya dirinya khuatir agamanya akan hilang dari dirinya.

Di dalam buku tulisan Syeikh Iman Abdul Wahhab setebal 532 ini, mencoret pelbagai isu kematian mencakupi apakah amalan diwajib, harus, makruh dan haram dilakukan mengenainya, bagaimana berhadapan dengan sakaratul maut, tanda kematian, menguruskan jenazah dan apa yang terjadi selepas kematian.

Huraian setiap isu dibincangkan juga diselitkan dengan Firman Allah dan hadis sebagai pengukuhan kepada setiap kejadian itu.

Justeru, ulama berpendapat kematian adalah balasan kepada setiap Muslim sama ada ia berlaku dengan sakit dan penuh derita pada saat kematian itu atau dicabut nyawanya dalam keadaan mudah dan tenang.

Yang nyata, apabila dosa seseorang mukmin belum diberi ganjaran, Allah akan menyukarkannya ketika sakaratul maut sebagai ganjaran dosanya sebelum darjatnya ditempatkan di dalam syurga.

Bagi orang kafir, apabila ia melakukan perbuatan baik di dunia, maka ia akan dimudahkan ketika menghadapi sakaratul maut, hingga sempurna balasannya perbuatan baiknya di dunia dan kemudian di masukkan ke dalam neraka.

Perkara akhir dianjurkan kepada orang yang menghadapi kematian ialah ajarkan mengucap sekurang-kurangnya sekerat ayat "tiada tuhan selain Allah".

Pada masa sama, ulama menganjurkan supaya ada orang yang alim dan soleh ketika menziarahi kematian seseorang, bagi memastikan dirinya dapat mengingati orang lain yang menyaksikannya untuk bertaubat, selain mendoakan jenazah terhadap perkara yang baik.

Amalan yang baik kepada umat Islam ketika menziarahi kubur ialah dengan membaca al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak 11 kali, pahalanya akan diberikan berganda kepada orang yang mati.

Setiap kebaikan yang dilakukan itu menjadi sedekah kepada mereka.

Bagi orang yang salih sebaik saja dikebumikan, amalan salihnya akan datang menemani dan menjaganya, kemudian datang malaikat pengazab kubur dari seisi kedua kakinya.

Sudah pasti mereka yang salih tiada azab dikenakan sebaliknya terus menjadi Muslim yang suci ketika hidup dan matinya.

Di dalam buku ini, turut dijelaskan dengan mendalam mengenai tanda hari kiamat termasuk kewujudan dajal dan sifatnya, ya'juj dan ma'juj , sifat binatang melata, terbit matahari dari barat dan penutupan pintu taubat.

Sesungguhnya, sebagai umat Islam memperingatkan kematian itu adalah yang terbaik supaya dapat kita menjalani kehidupan yang terbaik di dalam Islam ke arah menjamin keberkatan dan kebahagiaan di akhirat.

Tajuk: Ringkasan Tazkirah Al-Qurtubi
Penulis:
Syeikh Iman Abdul Wahhab Asy-Sya'rani
Penerbit:
Berlian Publications Sdn Bhd
Pengulas:
Jami'ah Shukri






...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

Allah Perangi Golongan Penindas Orang Miskin

Syeikh Sya’rawi berkata: Ayat ini merupakan permasalahan alam yang dilupai serta lalai oleh kebanyakan manusia justeru datang peraturan untuk memelihara satu golongan daripada golongan yang lain. Peraturan ini tidak datang kecuali selepas adanya golongan ahli riba yang menzalimi golongan fakir miskin yang lemah. Justeru golongan miskin dan lemah ini sentiasa diambil kesempatan oleh golongan pemakan riba. Lantas Allah menurunkan ayat ini.

Firman Allah: Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), Maka Ketahuilah, bahawa Allah dan rasul-Nya akan memerangimu.

An-Nasafi berkata: Allah izinkan peperangan dan tidak menyebut dengan peperangan Allah dan Rasul-Nya tetapi dengan peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya kerana ini lebih kuat maknanya. Ini kerana makna izin merupakan merupakan jenis daripada perang lebih besar di sisi Allah dan Rasul-Nya dengan sebab itulah kabilah thaqif berkata kami tiada apa untuk berperang dengan Allah dan Rasul-Nya.

Al-Maghaghi berkata: Ayat ini menunjukkan sebagai suatu isyarat kepada tiadanya kepatuhan terhadap perintah-perintah syarak keluar daripadanya dan menghina dengan hukum-hukumnya. Justeru layaklah Allah murka dan memeranginya dengan sebab memakan riba dan beliau menyatakan penyaksian yang jelas menunjukkan sebesar-besar dalil atas kebenaran ini maka banyaklah mereka yang memakan riba pada permulaan yang kaya berkesudahan dengan meminta-minta kepada manusia.

Sayyid Qutub berkata: “Alangkah dahsyatnya perisytiharan perang dari Allah dan rasul-Nya, iaitu satu peperangan yang harus dihadapi jiwa manusia, satu peperangan yang ngeri memang diketahui akibatnya. Sedangkan manusia yang lemah itu dapat bertahan di hadapan kekuatan Ilahi yang Maha Gagah yang membawa kebinasaan dan kemusnahan itu”.

Rasulullah SAW itu memerintahkan gabenornya di Mekah selepas turunnya ayat-ayat ini di masa kebelakangan supaya memerangi keluarga al-Mughirah di sana jika mereka tidak berhenti menjalankan muamalah dengan riba.

Sebelum ini beliau memerintahkan di dalam pidatonya pada hari penaklukan Mekah supaya dihapuskan semua hutang riba di dalam jahiliah, terutamanya hutang riba bapa saudaranya al-Abbas, daripada tanggungan orang yang berhutang yang masih dipikul oleh mereka dalam satu tempoh yang lama selepas Islam..

Sehingga masyarakat Islam menjadi matang dan kukuh segala asasnya dan di waktu ini tibalah masanya bagi sistem ekonominya berubah seluruhnya dari asas riba itu. Rasulullah SAW telah bersabda dalam pidatonya ini: Seluruh (hutang) riba di dalam jahiliah adalah diletakkan di bawah dua tapak kakiku ini (dihapuskan) dan awal-awal (hutang) riba yang aku letakkan kakiku (hapuskan) ialah (hutang) riba al-Abbas.

Al-Imam atau pemerintah Islam - apabila dilantik adalah berkewajipan memerangi golongan yang masih berdegil mengamalkan sistem riba dan menyalahi perintah Allah walaupun mereka mengisytiharkan diri mereka sebagai orang Islam sebagaimana Abu Bakar r.a memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat walaupun mereka mengucap dua kalimah syahadah serta mendirikan solat. Sebabnya, seseorang yang enggan mematuhi syariat Allah dan enggan melaksanakannya dalam realiti hidupnya bukanlah seorang muslim yang sebenar.

Namun, perisytiharan perang oleh Allah SWT dan Rasul itu membawa pengertian lebih luas daripada pengertian perang dengan mata pedang dan meriam dari pihak pemerintah. Malah peperangan ini - sebagaimana diumumkan oleh Allah SWT yang paling benar perkataan-Nya - adalah diisytiharkan ke atas setiap masyarakat yang menjadikan riba sebagai asas ekonomi dan sosialnya.

Peperangan ini dilancarkan dalam bentuknya yang syumul dan merangkumi segala-galanya, iaitu peperangan yang menyerang saraf dan hati manusia, peperangan yang menyerang keberkatan dan kemewahan, peperangan yang menyerang kebahagiaan dan ketenteraman.

Peperangan yang dilancarkan Allah SWT yang membuat penderhaka undang-undang dan peraturannya itu berperang satu sama lain, peperangan, pengusiran dan pergaduhan serta kezaliman dan akhir sekali peperangan bersenjata di antara bangsa-bangsa, di antara tentera-tentera dan negara iaitu peperangan yang membawa kemusnahan akibat daripada sistem riba yang terkutuk.

Bernyala membakar

Pemakan-pemakan riba dari kaum kapitalis dunia inilah yang menyalakan api peperangan itu sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung.

Itulah peperangan yang tidak kunjung padam yang diisytiharkan Allah ke atas golongan manusia yang bermuamalah dengan riba. Kini peperangan itu sedang bernyala membakar segala yang hijau dan segala yang hijau dan segala yang kering di dalam kehidupan manusia yang sesat, tetapi mereka tidak sedar, malah mereka fikir mereka sedang mengaut keuntungan dan maju ke depan setiap kali mereka melihat bukti-bukti barangan yang dikeluarkan oleh kilang-kilang mereka.

Barangan yang dikeluarkan itu sepatutnya memberi manfaat dan kebahagiaan kepada manusia andainya ia dihasilkan daripada sumber yang bersih. Namun barangan tersebut terhasil daripada sumber riba yang kotor yang hanya melambangkan timbunan sampah saraf yang mencekik pernafasan manusia dan menghempapnya oleh para pemakan riba dunia yang tidak pernah merasa kesakitan manusia yang terhempap di bawah timbunan barangan riba yang terkutuk itu.

Firman Allah: Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), Maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.

Ibn Kathir berkata: Dengan meletakkan nilai modal yang asal menyebabkan tidak berlaku zalim menzalimi inilah penyelesaian Islam berhubung dengan taubat daripada riba. Sedangkan An-Nasafi berpendapat mereka yang berhutang tidak dikenakan bayaran lebih daripada hutangnya di samping tidak dikurangkan hak pembeli hutang.




...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

Tuesday, June 17, 2008

Bagaimana Rasa Hati Ayah & Ibu Kita?

Seorang ibu tua yang saya temui di Terminal Bas selatan Tanahair, sewaktu menunggu bas Eagle jam 8.30 mlm ke Kuala Lumpur, berbual sambil bercerita. Perbualan yang menyuntik keinsafan, berkisar tentang hati seorang ibu…

"Dah tua-tua begini, kerjanya, susah hati saja nak", katanya pendek.
"Makcik susah hati mengenangkan anak-anak makcik. Anak bongsu makcik jarang sangat kirim berita. Dia dah lama di London. Makcik risau sangat tentang dia. Dah berkali-kali makcik suruh dia balik, kerja je dekat sini, senang. Tak juga dia dengar. Abangnya ada, tapi tak ambil kisah sangat. Dia kerja besar, orang besar Universiti. Sibuk sangat dengan kerja dan keluarga dia… Hidup makcik taklah susah, tapi hmm entahlah, makcik pun tak tahu nak cakap macamana. Entah esok, entah lusa, makcik tak de". Ibu tua itu terdiam lama…

Pasti ibu tua itu tidak keseorangan terperosok dalam alunan perasaan sedemikian. Tidak sedikit ibu ayah yang sugul, susah hati, kecil hati, terkilan akibat seribu satu macam perkara dan peristiwa yang berkait dengan hal anak-anak. Anak-anak yang dulunya dididik dengan penuh tanggungjawab, kini sudah dewasa. Mereka sudah pun bekerja, ada yang sudah berkeluarga, punya isteri, suami dan anak-anak. Mereka sudah miliki kehidupan sendiri. Namun, mungkin dek kerana sibuk dengan kerjaya, keluarga dan tuntutan kehidupan kini, ada adab-adab terhadap ibubapa yang kita abaikan, ada cacat cela yang tumbuh dalam hubungan kita dengan ibu dan ayah. Akibat kealpaan itu, hati dan perasaan halus ibu dan ayah mungkin terguris. Tinggallah ibu ayah seakan terbiar sepi dan terlonta-lonta membendung perit perasaan yang sukar orang lain nak faham.

Rupanya, cabaran ketaatan dan berbuat baik terhadap ibubapa datang lebih hebat sewaktu mereka dah tua dan kita dah dewasa dan berkeluarga. Kadang-kadang kita terlepas pandang, tak perasan, tak kisah atau rasa semua dah ok. Makan minum ada, pakaian semua cukup, tempat tinggal bagus…kira ok dah…Tetapi jauh di sudut jiwanya, mungkin ada kekosongan yang tidak terisi dgn perkara makan dan minum, mungkin ada nilai kasih sayang dan hormat yang kita abaikan pada mereka…


Bagaimana Sikap Kita?

Ada baik kiranya kita duduk sejenak memikirkan di mana kita dalam soal ini. Kita suluh kembali perlakuan dan sikap kita terhadap ibu dan ayah.. Hal ini amat penting kerana :

1. Ia ada hubungkait dengan kebahagiaan dunia dan akhirat kita. Redha Ibubapa pintu keredhaan Allah dan Syurga yang penuh kenikmatan itu letaknya di bawah tapak kaki ibu.
2. Kita akan tua juga. Masa berlari pantas, kita akan mengambil usia tua ibu ayah dan rentak perasaan orang-orang tua. Anak-anak akan ambil tempat kita. Kita akan lebih faham perasaan ibu ayah bila kita berada d tempat mereka.
3. Bagaimana kita melayan ibu ayah kita, anak-anak kita tengok saja. Tak payah diajar, mereka akan copy semuanya dan install dalam memori mereka. Waktu kita dah tua nanti, mereka repeat saja.


Sementara ibu dan ayah masih ada, kita masih belum terlewat, kesempatan ini jangan dipersiakan. Bagi ibu ayah yang dah meninggal dunia, ada tuntutan dan tanggungjawab yang perlu kita buat…Tegasnya, selagi ada nyawa, ada kesempatan, ada kesedaran dan ada kemahuan, inshaAllah, kita boleh usahakan sesuatu…


Wasalam



...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

Monday, June 16, 2008

Hawa nafsu suka kebodohan, kemalasan jauhkan seseorang daripada Islam

APABILA Allah menghendaki kebaikan pada diri manusia, maka Dia akan menitiskan ke dalam hati mereka satu semangat cintakan ilmu-Nya. Dengan ilmu itu manusia mengerti mengenai dirinya, baik kelebihan, mahupun kelemahannya. Ilmu juga menunjukkannya jalan yang benar dan menasihati hati untuk tidak mengambil jalan salah.

Al-Imam Ibnu al-Jauzi menulis mengenai keutamaan ilmu dalam kitab Shaydul Khatir: “Ilmu sudah membawa diriku menuju pengetahuan mengenai Sang Pencipta dan ilmu menyuruhku untuk berbakti kepada-Nya. Maka aku pun tunduk di hadapan kekuasaan-Nya seraya melihat sifat-Nya. Hatiku juga berasa getaran kebesaran-Nya sehingga aku tertunduk malu kerana cinta kepada-Nya. Ilmu juga yang menggerakkan aku untuk sentiasa berada dekat ke riba-Nya dan menolong aku mencapai ketinggian ubudiyah kepada-Nya. Aku hanyut dalam kebesaran-Nya setiap kali mengingati-Nya dalam zikirku. Saat menyendiri adalah saat ibadahku untuk-Nya. Apabila terdetik hatiku mahu meninggalkan ilmu, ia berkata: Apakah kamu mahu berpaling dariku, padahal akulah yang menjadi petunjuk jalanmu sehingga kamu mengenal Allah? Aku pun menjawab: Sesungguhnya engkaulah penunjuk jalan, tetapi aku sudah sampai ke destinasi, masihkah aku memerlukan petunjuk jalan? Ilmu berkata lagi kepadaku: Oh, tidak! Setiap kali bekalmu bertambah, akan bertambah pula pengetahuanmu mengenai Kekasihmu dan kamu semakin faham bagaimana cara mendekati-Nya. Esok kamu akan tahu sebenarnya hari ini kamu masih banyak menyimpan kekurangan. Tidakkah kamu mendengar firman-Nya kepada Nabi SAW: Katakanlah (Wahai Muhammad) Oh Tuhanku, tambahkanlah ilmuku.” (Surah Taha, ayat 14)

Jika hati sudah berpaling daripada ilmu, ia akan disibukkan yang selain daripada-Nya. Saat itu anda kehilangan kemanisan bermunajat kepada Allah, itulah azab yang paling dahsyat dalam kehidupan seorang hamba.

Ilmu mengenai Islam bukan milik pelajar yang mengambil aliran agama saja. Ilmu Islam bukan terbatas hak milik ustaz dan ustazah saja. Al-Quran diturunkan bukan untuk kalangan hamba yang belajar agama, sementara orang kebanyakan tidak berhak mempelajarinya.

Maka, yang duduk di masjid ialah hanya pesara, orang yang pernah berkaitan dengan sekolah agama atau pondok, anak dan cucu imam saja.

Ramai lagi yang belum bersedia belajar mengenai Islam, bahkan mungkin tidak tergerak pun mahu menghayati agama yang diwariskan dari zaman berzaman. Bagi mereka cukuplah kiranya agama Islam itu hanya mengucap syahadat dan setahun sekali berasakan hari raya.

Semudah itukah sebenarnya agama yang perlu difahami dan diamalkan? Hakikatnya, perkara yang menjauhkan seseorang daripada Islam ialah hawa nafsunya yang suka kepada kebodohan dan kemalasan, diperhamba oleh syahwatnya sendiri, condong kepada kejahatan dan termakan pujuk rayu syaitan. Hingga suatu masa, Allah membersihkan diri mereka daripada palitan kebusukan hawa nafsu yang menjijikkan itu.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah syaitan. Barang siapa yang mengikuti langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan keji dan mungkar, sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorangpun daripada kamu bersih (dari perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Nuur, ayat 21)

Ayat itu menegaskan cara Allah menyelamatkan manusia daripada kejahatan diri sendiri, iaitu Allah membersihkan mereka dengan kurnia-Nya yang berupa hidayah dan ilmu, ditambah lagi dengan turunnya rahmat supaya manusia tidak tenggelam di lautan kekejian dan kemungkaran.

Hidup tanpa ilmu Islam umpama badan tanpa roh. Tegasnya, jiwa manusia boleh mati disebabkan kekeringan ilmu agama. Akhirnya yang berjalan itu hanyalah makhluk manusia tanpa perasaan, hati dan arah tuju yang jelas.

Mahu ke mana dia melangkah? Di mana tempat berhenti dan destinasi yang terakhir? Langkah sekadar mengikuti kelazatan syahwatnya sendiri. Maka, ramai mengadu tidak pernah berasakan kepuasan, walaupun sudah berada di puncak kejayaan dalam kariernya, tetapi pada masa sama ramai tidak peduli naluri mereka yang sebenarnya haus akan sentuhan hidayah Allah.

Naluri manusia perlukan Allah. Mereka tidak mungkin mencapai-Nya melainkan dengan ilmu Islam. Tetapi sayang, ramai yang menunda masa untuk belajar. Tunggu pergi haji atau pencen nanti, nak Islam jika perlu untuk uruskan orang mati, kenduri tahlil, majlis makan dan doa selamat.

Islam seolah-olah hanya suatu simbol untuk sekadar membaca doa pada majlis keramaian, balik rumah nanti masing-masing dengan perangainya yang bercanggah nilai Islam. Islam itu ilmu, memeluk Islam bererti meletakkan komitmen belajar melebihi komitmen yang lain.

Sahabat Baginda SAW terdiri daripada pelbagai golongan, mereka bekerja sebagai peniaga dan petani yang berjaya. Islam sudah membuktikan semakin mereka mencintai ilmu, beriman dan berjuang untuk Islam semakin terbuka lebar pintu dunia boleh ditakluki.

Kurang daripada 50 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW, Islam sampai di Afrika Utara hingga Asia. Siapa kata orang yang berpegang kepada agama tidak boleh memimpin dunia?

Tetapi, kini generasi baru ada yang percaya konsep jika mahu berjaya pisahkan diri daripada Islam. Jangan campurkan urusan dunia dengan Islam. Akibatnya ilmu agama kehilangan peminatnya dan agama tidak dijadikan pegangan hidup. Ia hanya sekadar simbol rasmi milik masyarakat turun temurun.

Akhirnya yang lahir adalah generasi buta agama, tidak mesra al-Quran, alahan apabila mendengar hadis dibaca. Yang paling teruk ialah menaruh rasa curiga dan permusuhan apabila ada seseorang yang mahu menegakkan Islam. Mereka percaya, Islam menghalang kemajuan.

Puncanya kerana dari kecil hingga dewasa hatinya tidak tersentuh dengan ilmu Islam. Mereka hanya belajar bagaimana menguasai dunia, tetapi tidak tahu bagaimana menundukkan jiwa, mereka belajar memakmurkan bumi, tetapi jahil mengenai Tuhan yang Maha Menguasai langit dan bumi. Mereka tidak kenal agama melainkan kulitnya saja, bahkan condong kepada fahaman buatan manusia.

Prof Dr Hamka pernah mengingatkan pemuda yang dipengaruhi fahaman dari luar Islam pada zaman komunis bermaharajalela di Indonesia suatu ketika dulu. Hamka berkata: “Ramai pemuda sekarang ini yang bangga dengan fahaman liberalis, kapitalis, sosialis, marxis, nasionalis, materialis. Akhirnya apabila sudah kena jangkitan siflis (penyakit kelamin), kaki berjalan mengangkang dan menangis barulah balik kepada agama.”

Fahaman dan buah fikiran boleh dicipta, tetapi jangan sampai menentang agama dan wahyu. Ramai orang yang disesatkan oleh ilmunya kerana berpaling daripada ilmu Allah.




...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

Zikir, Doa dan Tawakal Penawar Tekanan Perasaan

TEKANAN perasaan adalah antara penyakit dalaman yang banyak dihidapi manusia zaman ini. Walaupun ia adalah masalah rohani manusia, penyakit ini boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan fizikal lain seperti tekanan darah tinggi, jantung dan sakit kepala jika tidak diatasi segera.

Masalah tekanan yang tidak kritikal masih boleh memberi kesan negatif kepada tingkah laku manusia seperti tidak tenteram, bertindak agresif di tempat kerja atau rumah.

Sebagai manusia biasa, setiap daripada kita tidak mungkin terlepas daripada masalah tekanan. Cuma yang berbeza ialah keupayaan menangani tekanan. Ada yang mampu mengawal dengan baik dan ada yang gagal, menyebabkan kesan negatif terhadap kesihatan, tingkah laku dan psikologi.

Tekanan perasaan boleh berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya terlalu memikirkan sesuatu yang tidak pasti dan cuba mengawal keadaan yang masih belum berlaku. Seseorang yang kehilangan sesuatu atau individu disayanginya dan tidak mampu menerima hakikat itu juga akan merasa tertekan.

Tekanan perasaan juga boleh berlaku apabila wujud konflik antara keinginan diri dan pertimbangan akal seseorang. Contohnya, seseorang yang ingin memenuhi keseronokan dirinya dan pada waktu sama menyedari bahawa dia perlu menerima kebenaran perbuatan itu salah di sisi agama.

Al-Quran memberi panduan kepada kita bagaimana menghadapi situasi sebegini. Kehilangan dalam hidup adalah ujian Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah, ayat 155)

Mereka yang sabar menempuh ujian akan mendapat ganjaran baik daripada Allah. Sesungguhnya manusia sebagai makhluk tidak memiliki hak ke atas sesuatu hatta hidupnya sendiri. Segala-galanya daripada Allah dan kepunyaan-Nya.

Maka, tidak seharusnya kita menangisi atau menyesali apa yang tidak kita miliki sama sekali. Kita tidak diberi pengetahuan apa yang akan berlaku. Namun, kita boleh merancang, berusaha dan berdoa serta bertawakal.

Manusia berupaya berusaha dalam ruang lingkup takdir Ilahi bersandarkan pertimbangan akal yang waras dengan panduan wahyu Ilahi. Kita boleh memilih mana yang baik dan mengandaikan kesan daripada tindakan perbuatan kita.

Namun, ketentuan mutlak adalah daripada Allah. Oleh itu, usahlah terlalu bimbangkan sesuatu yang kita tidak pasti dan sesuatu yang tidak mampu kita kawal. Kebimbangan sebegini hanya akan memberi lebih tekanan kepada kita.

Sebagai makhluk bernama manusia yang terdiri daripada unsur rohani dan jasmani, kita tidak akan bebas daripada konflik dalaman. Setiap daripada kita dijadikan bersama unsur nafsu yang secara fitrah menyediakan segala macam keinginan.

Semua itu jika tidak dikawal iman dan akal yang waras, sudah tentu akan menjadi kesempatan hasutan syaitan dengan janjinya untuk menyesatkan umat manusia. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah Yusuf, ayat 53)

Nafsu amarah cenderung kepada keseronokan dan sifat mazmumah yang membawa manusia kepada kehancuran seperti marah, hasad, tamak dan penipuan.. Dalam keadaan nafsu menguasai seseorang, hanya kepuasan diri dan keegoan akan bertakhta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Musuhmu yang paling utama ialah nafsu jahat yang ada dalam dirimu.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Islam memberikan panduan yang sebaiknya dan bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia dalam usaha mengelakkan dan menghadapi tekanan. Dalam keadaan tertekan dan keresahan menghadapi ujian Allah, perlu lebih banyak mengingati-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Ra‘d, ayat 28)

Seterusnya, perbanyakkan permohonan kepada Allah dan bertawakal kepadanya. Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153)

Ini disusuli semula dengan sentiasa memohon keampunan Allah dan bertaubat daripada kesalahan. Selain itu, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah yang kita hadapi.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tiada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tiada pelindung bagi mereka selain Dia..” (Surah al-Ra‘d, ayat 11)

Tekanan perasaan sebenarnya berpunca daripada lemahnya daya tahan spiritual dan ketidakseimbangan aspek dalaman kita. Konflik dalaman yang berterusan akan mengakibatkan tekanan bertambah seterusnya melahirkan pelbagai perlakuan salah hingga mengganggu kesihatan.

Kedamaian spiritual hanya boleh dicapai dengan keimanan dan penyerahan diri kepada Allah, ingatan yang berterusan kepada-Nya. Permintaan yang mutlak daripada-Nya serta permohonan keampunan tidak kira ketika senang, mahupun susah membantu menghadapi tekanan






...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

 
Dear Diary Blogger Template