Soalan: Saya pernah mengerjakan umrah beberapa tahun lepas dengan hasrat dan harapan yang menggunung untuk melihat dan melawat tempat-tempat bersejarah selain Kaabah, seperti rumah kediaman Rasulullah bersama isteri pertamanya Khadijah dan kesan sejarah yang lain. Sebaliknya saya sedih dan kecewa bila diberitahu semuanya telah musnah dirobohkan atas alasan tempat itu banyak berlaku bidaah dan khurafat. Angkara siapakah kerja itu semua?
- Amran
Batu Pahat, Johor
JAWAPANNYA: Anda tidak perlu bersedih kerana itulah peristiwa sejarah yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Sudah nasib umat Islam akhir zaman di mana telah muncul dari timur negara itu satu gerakan pembaharuan kononnya untuk memerangi bidaah dan khurafat. Mereka dibawa oleh satu fahaman tajdid untuk kembali mengikuti salafu Saleh. Namun menurut ulama Salaf yang sebenar kerjanya tidak pernah meruntuhkan tempat -tempat bersejarah seperti itu. Ini sesuai dengan firman Allah bermaksud, Siapa yang membesarkan tanda (lambang kebesaran agama) Allah maka itulah (lahir) dari hati yang bertaqwa (Surah al-Hajj ayat 32). Malahan tempat tersebut dapat dikawal dan dijaga dengan baik dan penuh amanah sebagai kesan sejarah dan lambang kebesaran agama-Nya. Kesan sejarah tersebut tidak pernah diusik sejak dari masa sahabat, tabi'in-tabi'in sehingga tiba pada masa mereka itu (gerakan pembaharuan), barulah tempat dan lambang agama seperti itu dirobohkan atas alasan untuk memerangi perbuatan bidaah dan khurafat.
Bukankah kerja merobohkan tempat sejarah itu adalah kerja bidaah dan khurafat yang lebih besar lagi dari apa yang disangka? Apa salahnya jika tempat-tempat bersejarah tersebut dipagar dan dikawal dengan baik untuk disaksikan dari jauh oleh generasi kemudian hari nanti sebagai bukti dan lambang kebesaran agama dan mukjizat Rasulullah. Sebagai contoh seperti kesan Rasulullah dan tapak kijang yang terdapat di Taif. Bagi kita kerja bidaah itu (meruntuhkan kesan sejarah) lebih menguntungkan musuh Islam yang cuba untuk menghapuskan sinar atau cahaya agama (lambang keagungannya) dari muka bumi ini. Dalam hal ini Allah berfirman bermaksud Mereka ingin memadamkan cahaya (tanda pertunjuk) agama Allah dengan siaran berita (propaganda dan fitnah) mereka sedangkan Allah tidak ingin selain menyempurnakan cahaya-Nya sekalipun tidak disukai orang bukan Islam, (Maksud Surah As-Saf ayat 8).
Wallahualam.
Pakaian Seksi
SOALAN: Ada pendapat yang mengatakan pakaian seragam pelajar wanita hari ini adalah terlalu seksi dan tidak sesuai dengan peradaban Islam terutama baju sekolahnya yang membuka dada? Adakah benar pendapat itu?
- Salwani Binti Zulhilmi
Kampung Pelekbang
Tumpat, Kelantan
JAWAPAN: Pendapat tersebut tidak benar sama sekali kerana uniform sekolah kita telah lengkap dengan tudungnya. Dan bila seseorang itu bertudung maka itulah pakaian Islam yang diarah dalam agama kita seperti firman-Nya bermaksud, Dan hendaklah kaum wanita itu menutup khimar mereka atas lubang tengkuk (bajunya), (Maksud Surah Al-Nur ayat 31). Ini dapat kita fahami bahawa baju wanita pada zaman itu juga terbuka dan berlubang tengkuk, lantaran itulah Allah mengarah kaum wanita pada masa itu untuk menutupinya dengan khimar dan tudung mereka untuk lebih menutupi auratnya. Ini kerana pakaian yang menutup aurat itulah dikira sebagai pakaian Islam. Wallahualam.
Sumpah
SOALAN: Adakah sah seorang suami itu bersumpah dengan al-Quran kerana untuk mempertahankan pengakuannya bahawa dia tidak akan menduakan saya? Bila saya suruh dia bersumpah dengan al-Quran lalu dengan senang dia lakukan permintaan saya tersebut. Soalan saya adakah sumpahnya itu sah dan adakah dikenakan membayar kaffarah sekiranya dibatalkan sumpah tersebut?
- Siti Sarah
Gombok Setia,Selangor.
JAWAPANNYA: Kata ulama sumpah itu dikira sah dan sekiranya dilanggar sumpahnya tersebut dikenakan membayar kaffarah iaitu sama ada memberi makan sepuluh orang fakir miskin dengan makanan yang biasa dibelanjakan kepada keluarganya, atau memberi mereka pakai atau memerdekakan seorang hamba mukmin, atau kalau tidak didapatinya bolehlah berpuasa sebagai gantinya selama tiga hari. Kata para ulama lagi sumpah tersebut sekalipun tidak pernah berlaku pada masa Rasulullah tetapi ia dapat difahami bahawa si suami telah bersumpah dengan apa yang terdapat dalam al-Quran dengan segala nama Alllah yang tersebut di dalamnya. Wallahualam.
Menyebut Sadaqallahul 'Azim
SOALAN: Apakah hukum menyebut sadaqallahul 'Azim selepas membaca al-Quran? Ada orang berkata tidak boleh kerana ia adalah bidaah dan tidak pernah diamalkan Rasulullah. Bagaimana hukum orang yang melakukannya?
- Muhammad Jiwa
Ampang, Selangor.
JAWAPANNYA: Hukum ini nampaknya ada mengandungi unsur wahabi yang akan mengatakan sesuatu itu bidaah sekiranya tidak dilakukan oleh Rasulullah. Tetapi bagi kita bukan setiap amalan yang tidak dilakukan Rasulullah itu bidaah kerana ada benda yang Baginda tidak buat tetapi dibenarkan orang lain membuatnya. Amalan itu jadi sunat sekiranya ia dikira baik (khair) dan disuruh agama. Allah berfirman yang bermaksud, Lakukan kebajikan mudah-mudahan kamu berjaya (Surah al-Hajj ayat 77). Contohnya ucapan sadaqallah ini. Sebab kalau kita perhatikan bukan saja elok malah disuruh oleh Allah dalam salah satu firmanNya bermaksud, Katakanlah wahai Muhammad! telah benarlah (firman) Allah itu. (Surah al- Imran ayat 95) . Jadi sekiranya suatu itu ada nasnya maka lakukan tanpa was-was insyaallah ia adalah dari urusan agama, sunah lagi beroleh pahala (bidaah hasanah) hukumnya bukan bidaah lagi. Wallahualam.
Menyamai pahala membaca Al-Quran
Soalan:
Benarkah apa yang diceritakan bahawa membaca surah al-Ikhlas tiga kali dapat menyamai pahalanya dengan membaca al-Quran sekali? Kalau begitu senanglah, baca surah tersebut sahaja?
Khalilah Jamsari
Muar,Johor
Jawapan:
Membaca surah Ikhlas tiga kali pahalanya menyamai sekali khatam membaca al Quran. Ini kerana ada hadisnya seperti apa yang diriwayatkan. Tetapi membaca al-Quran sekali belum tentu dapat menyamai pahalanya sebagaimana tiga kali membaca surah al-Ikhlas tersebut. Ini kerana surah ikhlas itu mengandungi satu pertiga bahagian dari al- Quran, jadi bila sesiapa membacanya tiga kali pasti pahalanya dapat menyamai sekali membaca al Quran. Ini kerana maknanya dapat mencakupi sebahagian dari al- Quran tersebut. Tetapi kita tahu al-Quran itu membicarakan pelbagai bahagian hukum dan ilmu yang lain termasuk uluhiyat, nubuwat, samiaat qasasiat 'ibariyaat dan zikrayat, tamsiiyyat dan lain- lain banyak lagi .Wallahualam.