Surah al-Fatihah adalah surah yang paling agung. Surah ini mempunyai beberapa nama, antaranya ia dinamakan dengan Ummul Kitab (Induk al-Quran). Ia dinamakan demikian kerana seluruh isi kandungan al-Quran secara garis besarnya terkandung di dalamnya. Dan di antara kandungan al-Quran ialah tentang keimanan, ibadah, hidayah, kisah umat masa silam, kisah-kisah yang akan datang, alam ghaib dan lain-lain.
Di dalam surah yang agung ini Allah telah menceritakan tentang tiga golongan manusia iaitu:
1) Golongan yang telah mendapat nikmat Allah
2) Golongan yang dimurkai Allah, dan
3) Golongan yang sesat
Dan kerana ketiga-tiga golongan tersebut dimaktubkan oleh Allah di dalam induk al-Quran, ini seolah-olah memberi isyarat bahwa inilah pembahagian yang sebenarnya (hakiki) bagi umat manusia di atas muka bumi ini.
Siapakah yang dimaksudkan dengan mereka itu? Apakah sifat-sifat yang telah mereka miliki sehingga digolongkan demikian? Termasuk ke dalam golongan yang manakah kita ini? Ikutilah tafsiran ringkas saya berikut ini.
Semua kita memohon kepada Allah saban hari: Tunjukilah kami ke jalan yang lurus. Doa ini kita ulangi minimal 17 kali dalam sehari. Apakah yang dimaksudkan: JALAN YANG LURUS?
Allah menafsirkan jalan yang lurus itu dengan ayat berikutnya iaitu:
Jalan orang yang telah Engkau berikan nikmat ke atas mereka. Dan kita masih kabur lagi tentang siapakah sebenarnya orang yang telah diberikan oleh Allah nikmatNya. Kekaburan ini diperjelaskan lagi oleh Allah dalam ayat yang lain, iaitu:
Maksudnya:
Dan barangsiapa yang patuh kepada Allah dan Rasul, maka mereka akan bersama-sama dengan orang-orang yang telah Allah berikan nikmat ke atas mereka, iaitu para Nabi, para shiddiq, para syahid dan orang-orang yang salih, dan mereka adalah sebaik-baik teman.
[an-Nisa’ 4:69]
Berdasarkan penjelasan ayat ini, dapatlah diketahui siapakah mereka yang telah mendapat nikmat dari Allah itu. Dan di atas dasar ini pulalah, sekiranya kita benar-benar ingin agar dimasukkan ke dalam golongan tersebut maka kita mestilah berusaha agar mengikuti jejak langkah mereka dalam segala aspek hidup, lebih-lebih lagi dalam hal yang bersangkutan dengan akidah, amal ibadah dan akhlak.
Selanjutnya kita memohon agar Allah SWT melindungi kita dari dua golongan iaitu golongan yang dimurkai dan golongan yang sesat. Siapa pulakah mereka ini? Nabi (sallallahu alayhi wasalam) pernah ditanya oleh para sahabat.
Ya Rasulullah, siapakah orang-orang yang dimurkai? Dan siapa pulakah orang-orang yang sesat?
Nabi (sallallahu alayhi wasalam) menjawab:
Orang-orang yang dimurkai ialah orang Yahudi, dan orang-orang yang sesat adalah orang Nashrani.
Mengapakah Yahudi dimurkai oleh Allah, dan mengapakah Nashrani (Kristian) sesat? Karena sifat yang menonjol bagi orang Yahudi ialah ‘INAD (degil), sedangkan sifat yang menonjol pada orang Nashrani pula ialah JAHIL (kebodohan).
Sifat ‘inad yang ada pada orang Yahudi ialah karena mereka mempunyai pengetahuan (ilmu) tentang suatu kebenaran (al-Haq) tetapi mereka enggan melaksanakan kebenaran tersebut, malahan mereka ingkar terhadapnya. Seperti umpamanya mereka tahu tentang kebenaran Nabi Muhammad (sallallahu alayhi wasalam) sebagai Rasul akhir zaman kerana telah tertera berita dan ciri-cirinya di dalam Taurat, tetapi mereka tolak kerasulan baginda hanya atas sebab kerana baginda bukan dari kalangan Bani Israil.
Sedangkan sifat jahil yang dimiliki oleh Nashrani pula ialah kerana sikap mereka yang terlalu ta’ashshub dengan paderi (ulama) mereka. Apa saja yang ditetapkan oleh paderi mesti dipatuhi walaupun tidak demikian tertera di dalam Kitab Injil.
Kuasa menghalalkan sesuatu atau mengaharmkannya terletak di tangan paderi. Demikian juga dengan kuasa memberi keampunan dan keyakinan trinity dan sebagainya.
Kita umat Islam, selain memohon kepada Allah agar ditunjukki ke jalan yang lurus iaitu jalan empat kelompok di atas, kita juga memohon agar Allah hindarkan kita dari dua golongan yang terakhir ini iaitu Yahudi dan Nashrani.
Apakah kemurkaan Allah hanya terbatas untuk orang Yahudi dan kesesatan untuk orang Nashrani? Tidak! Kerana kaedah dalam ilmu tafsir al-Quran: Segala pengajaran dalam al-Quran adalah seumum lafaz itu, ia bukan khas untuk orang-orang yang kerananya ayat itu diturunkan oleh Allah.
Atas dasar ini, maka siapa saja yang memiliki sifat sebagaimana sifat Yahudi iaitu degil maka ia juga akan mendapat kemurkaan Allah, begitu juga jika pada seseorang ada sifat Nashrani iaitu ta’ashshub (fanatik) maka ia juga digolongkan ke dalam golongan yang sesat.
Apakah sifat yang paling menonjol dan ketara pada ketiga-tiga golongan di atas? Sebenarnya pada prinsipnya hanya ada dua sifat yang berkisar pada ketiga-tiga golongan tersebut iaitu:
1) Ilmu yang benar
2) Amal yang salih
Golongan pertama (Mukminun), mereka memiliki kedua-dua sifat tersebut. Itulah sebabnya golongan ini senantiasa bersikap sami’naa wa atha’naa (kami dengar dan kami patuhi). Dengan mendengar mereka mendapat ilmu pengetahuan yang berguna. Dan dengan sikap mematuhi kebenaran yang mereka dengar maka akan muncullah amal salih yang mereka.
Golongan kedua (Yahudi), mereka memiliki yang pertama iaitu ilmu pengetahuan, tetapi syangnya mereka enggan mengamalkannya. Itulah sebabnya Yahudi selalu berkata kepada Nabi Musa (as): sami’naa wa ‘ashainaa (kami dengar dan kami ingkari). Dengan mendengar mereka mendapat ilmu, dan dengan mengingkari maka tidak muncul amal yang soleh
Golongan ketiga (Nashrani), mereka memiliki sifat yang kedua iaitu banyak beramal, tetapi sayangnya tidak berdasarkan ilmu pengetahuan yang berfaedah kerana sikap fanatik (ta’ashshub) mereka yang sangat mendalam. Mereka sanggup ketepikan ketentuan Allah dan Rasul kerana terlalu fanatik kepada paderi-paderi mereka.
Kerana sifat dan sikap kedua-dua golongan inilah akhirnya mereka masing-masing dimurkai olih Allah dan digolongkan sesat. Oleh itu siapa saja yang memiliki sifat sebagaimana sifat mereka maka ia akan termasuk ke dalam golongan mereka, wal’iyadzubillah min dzaalik (semoga Allah melindungi kita daripada hal demikian).
Bagaimanakah cara kita mendapatkan ilmu yang benar lagi meyakinkan? Petunjuk siapakah yang paling betul? Bagi kita orang yang beriman sudah tentu segala ilmu yang datang daripada Allah SWT, itulah ilmu yang paling betul dan paling meyakinkan, sedangkan petunjuk yang paling baik adalah petunjuk daripada Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam).
Betapa tidak! Kerana Allah Pencipta kita umat manusia maka wajarlah kalau Dia-lah yang paling mengetahui apa yang boleh mendatangkan manfaat dan apa yang boleh mendatangkan mudarat kepada kita. Oleh sebab itu kita sepatutnya hanya bersikap: sami’naa wa atha’naa apa saja yang datang daripada Allah.
Hanya saja, kerana Allah tidak menyampaikan kehendakNya secara langsung kepada kita. Dia hanya memberitakan kehendakNya melalui wahyu kepada manusia pilihanNya, lalu manusia pilihan itulah yang ditugaskan agar menyampaikan pesananNya kepada umat manusia. Bagi kita manusia pilihan itulah Nabi Muhammad (sallallahu alayhi wasalam). Oleh sebab itu kita tidak akan dapat mematuhi Allah sekiranya kita enggan mengikuti Baginda (sallallahu alayhi wasalam).
Barangkali inilah munasabahnya mengapa mentaati Allah dan RasulNya menjadi syarat untuk membolehkan kita kelak bersama orang-orang yang telah mendapat nikmat Allah iaitu para Nabi, para Shaddiq, para Syahid dan orang-orang Salih. Ini sebagaimana yang dinyatakan olih Allah dalam ayat 69 dari Surah an-Nisa’ di atas.
Jadi langkah pertama untuk mencapai derjat MUKMININ ialah kita mesti berusaha untuk TAFAQQUH FIDDIN (memahami selok-belok agama) dari sumbernya yang asal iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi (sallallahu alayhi wasalam) Dan selanjutnya berdasarkan kefahaman itulah kita beramal.
Kita mesti hindarkan sifat YAHUDI yang enggan melakukan kebenaran yang mereka ketahui. Dan jangan pula ta’ashshub (fanatik) kepada seseorang walau bagaimanapun ketinggian ilmunya, kerana itu adalah sifat orang yang sesat NASHRANI. Bagi kita, manusia yang ma’shum (tidak pernah salah) yang wajib kita patuhi hanyalah Nabi Muhammad (sallallahu alayhi wasalam)
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)