^ Scroll to Top

Friday, May 9, 2008

Cinta Suatu Fitrah

Cinta sebagai satu fitrah
Islam menggariskan satu sistem yang syumul
yang merangkumi seluruh aspek kehidupan. Oleh
kerana Allah sendiri yang mencipta kita, Dia Maha
mengetahui segala naluri dan fitrah kita. Kerana
itulah Islam meraikan fitrah dan kehendak naluri
manusia, dan salah satu daripadanya adalah cinta.
Dari Muhammad Muhammad As-sharif, dari
Universiti Al-Azhar dalam bukunya " Islah Al-
Ummah A'lah Huda As-Sunnah" (islah @ reformasi
ummah di atas cahaya sunnah) menyatakan
bahawa telah difitrahkan yang seorang lelaki akan
mempunyai perasaan terhadap perempuan, dan
begitulah sebaliknya.

Ini kerana perempuan itu dijadikan daripada rusuk
lelaki, sebab itu lelaki ada perasaan terhadap
wanita yang sememangnya dijadikan daripada satu
bahagian tubuh dirinya sendiri. Kalau dilihat dari
kisah kehidupan awal manusia, seperti diceritakan
dalam kitab sirah imam Ibnu Kathir, "al-bidayah wa
an-nihayah",dan beberapa kitab lain, bahawa nabi
Adam alaihissalam sendiri kesunyian ketika mula
diciptakan di dalam syurga, lalu Allah menciptakan
Hawa bagi menjadi teman hidup Adam. Tapi Allah
tidak membiarkan mereka bercinta begitu saja
tanpa ada ikatan, mereka lantas diijabkabulkan.
Allah Taala berfirman, maksudnya: "Sesungguhnya
pada diri Rasulullah itu ada satu contoh yang amat
baik untuk kamu ikuti..". sepanjang rentetan
sejarah rasul dan para sahabat, perkataan cinta itu
wujud dalam rumahtangga mereka.

Apabila seseorang jatuh cinta dengan perempuan,
mahu menjadikannya sebagai serikandi hidup,
maka dibenarkan dia melihat perempuan itu
mengikut batas syara'. Terdapat hadis hadis dalam
bab bolehnya melihat orang yang berkenan untuk
dibuat isteri (maknanya melihat kepada yang
bukan aurat), contohnya hadis riwayat Imam
Tirmizi: daripada Mughirah bin Syu'bah, bahawa dia
hendak meminang seorang perempuan, lalu
bersabda Rasulullah s.a.w: " Pergilah kamu
melihatnya, sesungguhnya ia akan memanjangkan
lagi kasih sayang antara kamu berdua
nanti.. "Tafsirannya, bila jatuh hati atau berkenan
pada seseorang perempuan, tindakan seterusnya
adalah mengikat ikatan samaada khitbah atau
pertunangan ataupun berkahwin. Selepas itu
mereka barulah mereka bercinta sebagai suami
isteri.

Maka daripada perkara di atas, Islam menyediakan
ruang untuk bercinta, iaitu percintaan untuk
perkahwinan. Maknanya di sini Islam meletakkan
cinta itu sebagai satu tanggungjawab, bukan satu
permainan atau keseronokan semata mata. Jika
benar benar mencintai seorang perempuan itu,
seorang lelaki hendaklah menunaikan
tanggungjawabnya, jika sudah bersedia maka
ikatlah dengan ikatan yang sah, jika belum
bersedia, banyak-banyaklah berdoa pada Allah dan
jangan sekali kali melakukan perkara yang
berlanggar dengan syara'yang boleh mencemarkan
kesucian cinta sebagai satu fitrah. Justeru,
bersamalah kita mengawal fitrah yang indah ini
agar tidak terpesong ia menjadi fitnah, InsyaAllah.
Hanya cinta Allah yang boleh memimpin kita
meniti lembah sunyi menuju firdausi.Wallahua’lam.

Jangan mudah melafaz kasih,kasih itu untuk
siapa..
Jangan mudah melafaz sayang,sayang itu pada
siapa..
Jangan mudah melafaz cinta,cinta itu pada Yang
Esa,
Cintakan bunga,bungakan layu..cintakan manusia
kan pergi.

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template