^ Scroll to Top

Thursday, August 13, 2009

Perkataan baik, lemah lembut mampu memikat pendengar mendekati kebenaran Islam

ISLAM agama yang menitikberatkan pelbagai aspek kehidupan manusia, daripada sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecilnya. Setiap perkara menyentuh kehidupan manusia sama ada berkaitan kehidupan di dunia mahupun alam akhirat diperincikan Allah dalam al-Quran.

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana yang tidak pernah membiarkan hamba-Nya hidup tanpa panduan dan petunjuk. Oleh itu, maka wajarlah setiap inci perbuatan manusia, kelak akan dihitung dan dinilai serta diperlihatkan dengan seadil-adilnya.

Firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya).” (Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)

Secara sedar atau tidak, tutur kata adalah antara perbuatan yang sukar untuk dikawal oleh manusia. Manusia dengan anugerah yang dikurniakan Allah berupaya untuk menuturkan apa saja kata-kata berdasarkan dorongan hati, nafsu dan akal mereka.

Sebagai manusia yang sentiasa sedar akan tujuan penciptaannya di muka bumi ini, kita harus ingat setiap apa yang dikatakan, sesungguhnya ia tidak terlepas daripada catatan malaikat yang memerhatikan setiap gerak-geri serta tingkah-laku.

Hal ini bertujuan memberi peringatan kepada kita bahawa setiap perlakuan ada nilainya di sisi Allah dan akan diberi balasan selayaknya. Firman Allah yang bermaksud: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaaf, ayat 18)

Hakikatnya, penuturan kata-kata baik dapat memberi kesan mendalam dalam diri pendengarnya. Dalam bidang dakwah misalnya, dengan hanya menggunakan kata-kata baik dan benar, secara mudah orang di luar sana akan terpikat dengan keindahan serta kebenaran Islam.

Hal ini jelas apabila Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk menemui Fir’aun sebagai satu cara menyeru ke jalan Allah, lalu diperintah keduanya menuturkan kata-kata lembut, bukan dengan angkuh dan bermegah-megah.

Firman Allah yang bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.” (Surah Toha, ayat 43-44)
Begitulah pentingnya kata-kata yang baik, benar dan lemah lembut dalam proses dakwah sebenar. Keadaan ini bukan saja mencerminkan peribadi pendakwah yang cemerlang dan beretika, malah lebih besar daripada itu, mencerminkan keindahan Islam sebagai agama bersifat toleransi serta mulia.

Selain itu, dalam al-Quran dengan jelas Allah menyatakan bahawa antara ciri hamba-Nya yang cemerlang iaitu mendapat gelaran (‘ibad ar-Rahman) ialah mereka yang baik tutur katanya. Mereka yang apabila dihina atau dicerca oleh orang yang jahil (tidak berilmu), mereka tidak membalasnya kecuali dengan kata-kata baik dan indah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.” (Surah al-Furqan, ayat 63)

Justeru, adalah menyedihkan jika dilihat orang berilmu dan berpendidikan tinggi bersikap terlalu emosional, tidak berhikmah dalam menangani sesuatu isu dan lebih teruk lagi merasakan dirinya sahajalah yang betul dan baik jika dibandingkan dengan yang lain.

Sebaliknya, sebagai orang yang dikurniakan Allah sekelumit daripada ilmu-Nya, kita seharusnya merasa rendah diri dan memilih kata-kata terbaik apabila berhadapan golongan yang tidak mengetahui atau kurang ilmunya.

Menyedari hakikat itu, marilah sama-sama kita mengubah diri dengan menjaga tutur kata supaya tidak menyumbang kepada tercetusnya pelbagai bentuk masalah ummah. Perlu diingat, kata yang baik, bukan sekadar susunan perkataan indah dan memuji, lebih penting ialah bersifat benar serta jauh daripada segala bentuk tipu daya.

Kebenaran adalah ciri utama yang memainkan peranan penting dalam penuturan kata indah dan mulia. Kata-kata baik yang memiliki kebenaran juga menjamin kesan mendalam dalam diri mereka yang mendengar dan mengamatinya.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar.” (Surah al-Ahzab, ayat 70)

Sama-samalah kita menyedari peranan utama kita diciptakan iaitu untuk mengabdikan seluruh jiwa raga kepada Allah yang mencipta sekalian alam. Sesungguhnya tindak-tanduk dan perbuatan menjadi tanggungjawab kita sendiri ketika berhadapan dengan Allah di mahkamah keadilan-Nya kelak.

Lidah yang berperanan penting dalam menuturkan kata-kata tidak akan terlepas daripada nilaian dan timbangan keadilan Allah. Jauhilah daripada terus menuturkan kata-kata tidak berfaedah dan menyakiti hati serta perasaan orang lain.

Sebaliknya, basahilah lidah kita dengan ingatan yang tidak putus kepada-Nya pada waktu senang dan susah, supaya ketenangan sejati menyuburi hati kita.

Firman Allah yang bermaksud: “Orang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Marilah bersama mengubah sikap menjadi orang yang sentiasa berjaga-jaga terhadap setiap tingkah-laku seharian kita. Menjadi hamba yang sentiasa mensyukuri segala nikmat diperoleh dan sentiasa membahagiakan orang lain dengan pengucapan kata-kata yang baik, indah dan benar.

Pada akhirnya, dengan izin Allah kehidupan kita akan bertambah baik dan dihiasi akhlak unggul, menepati tujuan diutuskan Nabi Muhammad SAW iaitu untuk menyempurnakan akhlak umat manusia.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Tip elak kejahatan

1- Rajin mengerjakan solat. Ibadat solat apabila dilakukan secara sedar dan dengan penuh keinsafan akan menjadi sumber yang betul menyembuhkan jiwa. Ia kaedah terbaik melegakan tekanan.

2- Sebelum tidur setiap hari, seseorang Muslim dianjurkan membaca surah al-Fatihah dan tiga surah terakhir al-Quran, lalu ditiupkan pada tangan dan disapu di seluruh badan, seelok-eloknya tiga kali.

3- Sewajarnya setiap Muslim membaca sekurang-kurangnya 10 ayat al-Quran setiap hari.

4- Mendengar al-Quran sekerap yang mungkin dan cuba memainkan rakaman bacaan ayat suci sepanjang masa.

5- Individu Muslim juga dinasihat memastikan diri sibuk melakukan sesuatu yang berfaedah kerana jika anda tidak menyibukkan diri dengan kerja baik, syaitan akan memastikan anda sibuk dengan kerja negatif.

6- Berdoa kepada Allah, mohon dijauhkan kejahatan, kedukaan dan kesempitan sebaliknya didekatkan dengan kebaikan, kelapangan serta kebahagiaan.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Arak dan dadah perosak manusia

ORANG yang mabuk selalunya tidak dapat berdiri dengan stabil, berjalan terhuyung-hayang, bercakap bukan-bukan, bahkan yang jelas kelihatan samar dan yang jauh nampak dekat.

Gambaran fizikal itu sudah jelas menunjukkan penggunaan arak lebih banyak memberikan kesan negatif, walaupun ada mendakwa ia memberikan kebaikan dari sudut lain.

Arak atau minuman keras ialah alkohol dalam bentuk 'ethyl alcohol' yang bertindak ke atas otak manusia dan sering kali menyebabkan ketagihan. Biasanya ia dihasilkan sel ragi yang bertindak ke atas karbohidrat di dalam buah dan bijian.

Tiga jenis arak popular di pasaran iaitu bir seperti ale dan lager, wain dan liquor atau spirit. Jenis spirit paling popular seperti brandi, gin, rum, tequila, vodka dan whiski.

Bir diperbuat daripada bijian, mengandungi empat hingga enam peratus alkohol, wain daripada buah (sembilan hingga 16 peratus alkohol) dan spirit dihasilkan dengan memeram atau mendidihkan bahan (sekurang-kurangnya 20 peratus alkohol).

Realitinya, pemabuk dan peminum arak dipandang negatif masyarakat umum, khususnya dalam budaya masyarakat Timur, lebih-lebih lagi bagi orang Islam kerana ia dilarang agama.

"Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah perbuatan keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Sesungguhnya syaitan itu berkehendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti?" (al-Maaidah:90-91)

Abdullah Nasih Ulwan dalam buku Pendidikan Anak-anak Dalam Islam menegaskan, hukum Islam pada mengambil benda yang memabukkan dan merosakkan otak, hukumnya sudah tetap haram dengan ijmak sekalian ulama.

Hadis diriwayatkan Abu Daud bermaksud: "Allah telah melaknati arak, peminum arak, penuang arak, penjual arak, pembeli arak, pemeras arak, pembantu pemeras arak, pembawa arak dan orang disampaikan kepadanya arak."

Ideologi lain seperti Sikhism, Jainism, Bahai, Theravada dan kebanyakan aliran Mahayana Buddha, sesetengah mazhab Protestan dan Hindu juga dilaporkan melarang dan tidak menggalakkan minuman keras.

Begitupun, dalam komuniti Barat, arak dijadikan sebagai minuman utama pada sesuatu majlis, bahkan ia sudah menjadi budaya sebagai minuman harian bersama menu hidangan yang lain, diminum termasuk remaja dan kanak-kanak di rumah.

Orang Arab Jahiliah dahulu berhubung rapat dengan arak, bukan saja meminumnya, malah mereka memuji minuman itu dalam puisi indah, contohnya dalam bait berikut:

"Kalau ku mati kuburkanlah daku di samping pohon-pohon anggur itu. Tulang belulangku yang mati akan disirami urat-urat pohon anggur itu."

Mereka juga memberikan pelbagai gelaran kepada arak seperti madaamah, sulaafah, raah, sahbaa' dan ibnatul 'anquud. Tetapi apabila datang Islam, mereka meninggalkan tabiat itu.

Dari sudut kesihatan, penggunaan arak boleh menyebabkan penyakit jantung, radang paru-paru, batuk kering, barah mulut dan kerongkong, kerosakan dan barah hati serta melemahkan sistem pertahanan badan.

Malah, menurut Dr Danial Zainal Abidin, dalam buku Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, arak boleh menyebabkan sawan dan halusinasi, sehingga merosakkan otak selama-lamanya apabila pengambilannya berlaku dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata, apabila seseorang meminum arak, ia terus bertindak ke atas sel otak dengan merangsang otak itu sebelum mengganggu fungsinya sehingga menyebabkan gangguan kepada penglihatan dan hilang ingatan.

"Pengambilan dua hingga tiga gelas alkohol dalam masa sejam sudah mencukupi untuk menjadikan seseorang tidak stabil," katanya.

Satu laporan pada 2001 menganggarkan penggunaan alkohol secara sederhana dan keterlaluan menyebabkan kematian sehingga 75,754 di Amerika Syarikat.

Menurut Dr Danial, walaupun ada pihak mendakwa pengambilannya secara sedikit baik bagi jantung dan ada kebenaran, kerana pengambilan alkohol yang sedikit menambahkan kolesterol baik di dalam darah, ia hanya benar bagi wain merah dan bukannya bir.

Beliau berkata, bukanlah alkohol menyihatkan jantung, sebaliknya bahan flavonoid yang terdapat di dalamnya dan bahan itu diperoleh daripada buah yang digunakan untuk menyediakan arak.

"Justeru, cara yang lebih selamat untuk menyihatkan jantung adalah dengan memakan sayuran dan buah-buahan seperti anggur, epal dan bawang yang kaya dengan bahan flavonoid, bukannya meminum arak," katanya.

Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Muslim dan Ahmad dan lain-lain, ketika ditanya mengenai penggunaan arak oleh seseorang, baginda melarangnya.

Orang itu berkata: "Saya hanya menggunakannya sebagai ubat." Bersabda Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya ia bukanlah ubat, tetapi ia adalah penyakit."

Ini menunjukkan secara pasti penggunaan arak sebagai penawar juga adalah haram dan orang yang menggunakannya berdosa.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a mengisytiharkan dari atas mimbar Rasulullah kepada sekalian manusia, katanya: "Arak itu ialah segala sesuatu yang menukar sifat akal itu."

Kisah seorang ahli ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah sejak sekian lama seperti diceritakan Saidina Uthman bin Affan dalam khutbahnya wajar dijadikan iktibar dalam persoalan ini.

Pada suatu hari, kata Uthman, ahli ibadat itu didatangi seorang wanita cantik. Selepas berkenalan dan hatinya tertarik kepada wanita itu, dia diberi tiga pilihan; pertama, mengambil minuman memabukkan; kedua, berzina atau ketiga, membunuh.

Dengan sisa sifatnya yang sekian lama suka beribadat, lelaki terbabit gerun dengan tawaran kedua dan ketiga itu.

Atas dasar suka kepada wanita cantik berkenaan dan menganggap meminum arak lebih kecil kesalahannya, dia mengambil tawaran pertama. Selepas mengambil arak, kewarasan ahli ibadat itu hilang.

Dengan desakan nafsu dan bisikan syaitan dia melakukan zina dengan wanita berkenaan. Atas keterlanjurannya, wanita itu hamil dan cemas dengan tindakannya, dalam keadaan masih di bawah pengaruh arak, dia membunuh wanita terbabit.

Akhirnya dia sedar melakukan banyak dosa hanya daripada memandang ringan terhadap amalan mengambil minuman keras. Pada peringkat awal, dia menganggap meminum arak kesalahan ringan berbanding berzina dan membunuh, tetapi ternyata tidak.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Yahudi pendatang di Tanah Arab

DI Zaman Pra Islam iaitu di Semenanjung Arab dikatakan terdapat lebih 20 kabilah yang terdiri daripada puak-puak Yahudi. Ini menjadikan terdapat sejumlah besar penduduk di semenanjung itu terdiri daripada kaum Yahudi selain daripada bangsa-bangsa Arab yang lain.
Tetapi adakah puak-puak Yahudi ini merupakan penduduk asal Tanah Arab dan membentuk negara bangsa Yahudi mereka di situ? Pastinya mereka sebagaimana yang tercatat dalam sejarah, Yahudi merupakan kaum yang terpaksa migrasi dari satu tempat ke suatu tempat yang lain, mencari bumi mana yang sudi menerima mereka.
Jika kita menyingkap sejarah asal usul kaum ini, mereka juga dikenali juga sebagai Bani Israel bermaksud bangsa yang berketurunan Israel.
Fakta mengenai Israel yang mesti kita ketahui bahawa Israel berasal dari perkataan Ibrani yang bermaksud 'orang yang berjalan di malam hari'.
Iaitu satu gelaran yang diberikan kepada Nabi Yaakob a.s, iaitu nabi kesepuluh lahir selepas Nabi Adam a.s. Nabi Yaakob dikatakan selalu mengembara dengan memulakan perjalanannya di waktu malam, manakala berehat semasa siangnya dan membuat persediaan untuk meneruskan perjalanan pada waktu malam berikutnya.
Gelaran itu menjadi asal usul kepada kaum yang lahir daripada anak-anak Nabi Yaakob yang seramai 12 orang itu, yang turut dikenali dengan gelaran "Al Asbaath."
Antara anak-anak baginda itu ada yang diangkat sebagai nabi seperti Nabi Yusuf bagi meneruskan syariat Allah yang diperturunkan kepada nabi-nabi terdahulu, iaitu Nabi Ishak, Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim.
Nabi-nabi lain yang lahir dari keturunan ini, termasuklah Nabi Ayyub, Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Zulkifli, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Ilyas, Nabi Ilyasa, Nabi Yunus, Nabi Zakaria, Nabi Yahya dan Nabi Isa.
Sehinggalah sejarah bangsa ini melewati 587 (atau 586) Sebelum Masihi akibat penempatan mereka di Jerusalem diserang dan dihancurkan oleh Raja Nebuchadnezzar iaitu raja Kaum Chaldea dari Babylon (Iraq).
Peristiwa ini merupakan kali pertama orang Yahudi dihalau keluar dari Israel (Jerusalem) dan ada sebilangan yang ramai daripada mereka ditawan dan dibawa ke Babylon.
Serangan ini tidak sahaja menghancur dan memusnahkan negara mereka malah termasuk juga haikal (kuil-kuil) Yahudi. Namun mereka terpaksa juga meninggalkan Jerusalem mencari penempatan lain untuk meneruskan kehidupan.
Melarikan diri dan perjalanan mencari dunia baru itu akhirnya, menyaksikan ada kalangan mereka sampai di bahagian utara Hijaz dan apabila diterima baik oleh penduduk asal Arab di situ, pendatang Yahudi terus menetap di kawasan-kawasan utara semenanjung Tanah Arab itu.
Lebih ramai Yahudi yang melarikan diri ke kawasan tersebut sehingga mereka berjaya membentuk penempatan Yahudi yang besar iaitu di Yathrib (nama lama bagi Madinah), Khaibar dan Taima.
Mereka kemudiannya membuka lebih banyak perkampungan-perkampungan Yahudi, benteng dan kubu bagi tujuan mempertahankan diri daripada serangan musuh.
Pendatang-pendatang Yahudi itu kemudiannya mula menyebarkan agama mereka di kalangan penduduk-penduduk Arab yang berada di persekitaran mereka, sehinggalah kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad.
Sebagaimana yang kita sedia ketahui, Yahudi berjaya membentuk satu komuniti yang kuat terutama di Yathrib. Kabilah-kabilah Yahudi yang berjaya membentuk pengaruh yang kuat dan terkenal, termasuklah Kaibar, Mustaliq, Nadir, Quraizah dan Qainuqa.
Jadi telah berlaku asimilasi agama dan kaum yang jika sebelum ini agama Yahudi itu dianuti oleh bangsa Israel itu sahaja. Namun mereka nampak ada kepentingan, jika agama Yahudi itu tersebar di kalangan penduduk asal atau orang Arab itu sendiri kerana menyedari status mereka yang sebenarnya berasal daripada kaum pendatang.
Fenomena ini menyebabkan ada pihak yang menyebut terutama di kalangan bangsa Arab, Yahudi dan Islam itu sebenarnya saling bersaudara. Walaupun berbeza agama tetapi sebenarnya kedua-dua kaum ini masih mampu untuk hidup berpakat dan berjiran tanpa ada sebarang prejudis kaum atau perkauman.
Tetapi bagaimana dikatakan agama Yahudi itu menjadi hak anutan kepada bangsa-bangsa Yahudi sahaja, tidak bangsa lain yang ada di muka bumi ini? Adakah anda mengetahui fakta sejarah mengenainya?
Pakar Sejarah terkenal, Harun Yahya (Adnan Oktar) dalam bukunya, Kaum-kaum Yang Pupus (Terbitan Saba Islamic Media, 2004) menulis Kitab-Kitab Perjanjian Lama (Taurat) seolah-olah menggambarkan Nabi Ibrahim seperti menerangkan dua individu berbeza.
Seorang dikenali sebagai Abraham dengan versi mereka sendiri dan seorang lagi Ibrahim sebagaimana kisahnya diceritakan dengan benar dan tepat seperti terkandung dalam al-Quran.
Menurut Harun, tidak ada satu cerita atau kisah Nabi Ibrahim yang dilemparkan ke dalam api dan tindakannya memecahkan berhala-berhala kaumnya, Kaum Namrud disebut dalam Kitab Perjanjian Lama (Taurat).
Secara umum kitab itu hanya menyebut Nabi Ibrahim sebagai moyang kepada kaum Yahudi sahaja.
"Ternyata para pemimpin kaum Yahudi telah menggunakan pandangan Perjanjian Lama ini untuk mengetengahkan konsep "agama bangsa".
Mereka mempercayai bahawa bangsa mereka adalah terpilih oleh tuhan, justeru mereka mempunyai keagungan yang tiada tandingan berbanding bangsa-bangsa lain.
"Mereka dengan sengaja meminda kandungan Kitab Suci mereka sendiri dan menokok tambah serta memadamkan sesetengah kandungan demi kepentingan kepercayaan mereka," kata Harun.
Sementelah bagi penganut dan pengikut Kristian pula berpendapat Nabi Ibrahim yang dianggap sebagai moyang kaum Yahudi tetapi menurut mereka Nabi Ibrahim bukan seorang Yahudi tetapi seorang Nasrani.
"Mereka tidak mengendahkan konsep bangsa seperti Yahudi itu dan mengambil pendirian mereka sendiri, yang telah menyebabkan berlaku perselisihan antara kedua-dua agama itu," katanya.
Perselisihan ini telah disebut dalam al-Quran, iaitu; Wahai ahli-ahli Kitab! Mengapa kamu berani bertengkar mengenai agama Ibrahim, pada hal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada zaman Ibrahim; patutkah kamu berdegil sehingga kamu tidak mahu menggunakan akal?....Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi dan bukanlah juga baginda seorang Kristian. (Ali Imran: 65 - 68)
Turut disebutkan juga terdapat agama lain yang menjadi anutan kalangan penduduk Arab selain, Nasrani, Yahudi pada zaman sebelum keputeraan baginda Nabi Muhammad SAW.
Iaitu agama Majusi (menyembah api) iaitu kalangan penduduk Arab yang tinggal berdekatan atau berjiran dengan negara Parsi, negara asal agama ini. Agama ini juga dikatakan bertapak di Iraq, Bahrain dan kawasan-kawasan persisiran Teluk Arab yang berdekatan dengannya.
Atau anda pernah mendengar agama Sabiah? Agama ini juga merupakan satu lagi bentuk agama yang dikatakan menjadi anutan kepada sebahagian kecil penduduk Arab di Tanah Arab. Iaitu kaum Ibrahim al Kaldaniy dan juga dikatakan ramai penduduk Syam yang mempercayai agama ini. Namun akibat kehadiran dan kemaraan agama Nasrani dan Yahudi menyebabkan agama ini lemah dan semakin pupus.
Mereka yang menganut agama ini menggantungkan kepercayaannya kepada perjalanan bintang dan falak, berkeyakinan bahawasanya segala sesuatu itu, gerak dan diam, berjalan dan berhenti, semua itu berkait dengan bintang-bintang.
Mungkin ada menariknya kita ikuti corak kehidupan masyarakat Arab Jahiliah dengan lebih dekat lagi. Ikuti keluaran akan datang, bagaimana yang dikatakan dalam kejahilan itu mereka sebenarnya bertamadun seperti dalam bidang kesusasteraan, sehinggakan dinding-dinding Kaabah menjadi saksi kehebatan masyarakat Arab Jahiliah bersastera!






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Penulisan ilmu hadis oleh ulama Asia Tenggara

RAMAI memperkatakan bahawa penulisan ilmu-ilmu keislaman yang dilakukan oleh ulama Asia Tenggara zaman silam hanya berkisar pada ilmu-ilmu tasawuf, fiqh dan tauhid sahaja. Tuduhan begitu sangat menyedihkan, tanpa membuat suatu kajian yang saksama dan teliti, bahkan juga ada yang berpendapat bahawa ulama-ulama silam Asia Tenggara tidak mengenali ilmu hadis.
Pendapat demikian adalah satu kekeliruan besar, kerana apabila kita kaji dengan teliti, bahawa penulisan ilmu-ilmu keislaman yang dilakukan oleh ulama-ulama tradisional Asia Tenggara adalah lengkap dalam berbagai-bagai ilmu pengetahuan keislaman, termasuk ilmu-ilmu hadis.
Bahkan ilmu-ilmu lain juga, seperti ilmu hisab, ilmu falak, ilmu perubatan dan lain-lain. Rentetan itu, pada ruangan kali ini penulis bicarakan pula perkembangan penulisan hadis ulama-ulama di Asia Tenggara.
Perbicaraan ini pernah dibentangkan oleh penulis atas pilihan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Seminar Antarabangsa Pengajian Islam di Asia Tenggara, Universiti Brunei Darussalam. Pilihan judul kertas kerja yang diamanahkan kepada penulis, iaitu Perkembangan Penulisan Hadis di Asia Tenggara dilihat adalah tepat. Namun judul tersebut kemudian terjadi sedikit perubahan dan ditukar kepada Perkembangan Penulisan Hadis Ulama di Asia Tenggara.
Pilihan judul tersebut penulis katakan tepat kerana beberapa perkara, iaitu: Pertama, sesuai dengan perkembangan zaman, iaitu zaman dunia Asia Tenggara dilanda oleh berbagai-bagai aliran termasuk aliran ingkar sunah/anti hadis.
Kedua, merupakan pembelaan dan menyerlahkan nama ulama-ulama silam kita dalam ilmu hadis. Dan ketiga, sekali gus merupakan jawapan atas anggapan segelintir orang yang memandang sinis terhadap ulama-ulama silam Asia Tenggara seperti yang telah disebutkan di atas.
Kertas kerja tersebut mengutamakan pengenalan terhadap ulama-ulama Asia Tenggara dan karya-karya mereka mengenai hadis, yang dimulai abad ke 16-17 hingga abad ke 19-20 saja, iaitu ulama-ulama Asia Tenggara yang menggunakan tulisan Melayu/Jawi.
Adapun ulama-ulama Asia Tenggara yang terlibat penulisan hadis yang menggunakan tulisan Latin/Rumi tidak diperkenalkan. Sebelum memperkenalkan pengkaryaan hadis oleh ulama-ulama silam tersebut, terlebih dulu penulis sentuh sepintas lalu mengenai isnad hadis kerana mengenai isnad adalah termasuk perkara yang sangat penting dalam perbicaraan ilmu hadis.
Catatan mengenai Isnad Ulama Asia Tenggara
Hampir semua ulama Asia Tenggara yang menghasilkan karya memandang penting "salasilah" apabila mereka mengamalkan sesuatu thariqah shufiyah, demikian juga ilmu-ilmu lainnya. Budaya mencatat salasilah dimulai penulisan awal Asia Tenggara seumpama karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri, Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri, dan lain-lain dapat kita jumpa dalam berbagai-bagai judul karya mereka.
Tradisi demikian dilanjutkan oleh ulama-ulama Asia Tenggara abad ke 18-19, dapat kita temui dalam karya-karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Daud al-Fathani dan lain-lain.
Berlanjutan terus, termasuk ulama-ulama yang muncul abad ke 19-20, seumpama Sheikh Ahmad al-Fathani, Sheikh Mukhtar Bogor, Sheikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi dan lain-lain. Jika dalam ilmu thariqah shufiyah lebih dikenali dengan istilah "salasilah", maka dalam ilmu hadis pula lebih dikenal dengan istilah "isnad" atau "sanad."
Ruangan ini sangat terbatas untuk membahas perkara "salasilah" dan "isnad", namun sebagai maklumat perlu disebut dengan ringkas saja. Sheikh Nuruddin ar-Raniri menulis "salasilah"nya dalam Jawahirul 'Ulum, Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri dalam Kifayatul Muhtajin dan 'Umdatul Muhtajin, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam Siyarus Salikin dan al-'Urwatul Wutsqa, Sheikh Daud al-Fathani dalam Kaifiyat Khatam Quran dan ramai lagi.
Untuk mengetahui "isnad hadis", beberapa orang ulama di antaranya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dapat dirujuk kepada al-'Iqdul Jawahir karya Sheikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani (Padang).
Di dalam karya tersebut, Sheikh Yasin Padang menyebut setiap satu "sanad hadis" yang dinisbahkan kepada Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, misalnya, bahawa ulama Palembang itu "sanad musalsal" kepada ulama-ulama yang terkenal. Apabila beliau belajar Kitab Shahih Bukhari, sanadnya musalsal sampai Imam Bukhari, demikian kitab-kitab lainnya. Semua Kitab as-Sittah, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sanadnya musalsal sampai kepada pengarang-pengarang kitab tersebut.
Ilmu hadis
Ulama-ulama Asia Tenggara abad ke 19-20, sebahagian besar sanad hadis mereka diterima dari Saiyid Muhammad Ali bin Saiyid Zahir al-Watri al-Hanafi, Saiyid Husein bin Saiyid Muhammad al-Habsyi, Saiyid Abu Bakar Syatha, Saiyid Ahmad Zaini Dahlan dan lain-lain.
Seumpama: Sheikh Ahmad al-Fathani juga belajar ilmu hadis kepada ulama Madinah itu, sanad hadis ulama yang berasal dari Patani itu di antaranya ialah: Saiyid Muhammad Ali bin Saiyid Zahir al-Watri al-Hanafi. Sanad hadis yang lain ialah: beliau belajar kepada Sheikh Abdul Qadir as-Syibli at-Tarablusi.
Kedua-dua sanad hadis Sheikh Ahmad al-Fathani itu musalsal hingga kepada pengarang kitab-kitab hadis yang terkenal dan muktabar. Selain itu ada lagi sanad hadis Syeikh Ahmad al-Fathani yang beliau terima dari Saiyid Husein al-Habsyi. Tidak dapat dinafikan bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani pernah belajar kepada Sheikh Nawawi al-Bantani.
Sheikh Nawawi al-Bantani melalui Sheikh Zainuddin Aceh bersambung sanad kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Sheikh Nawawi al-Bantani juga ada sanad hadis kepada Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Sheikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi (Termas) termasuk peringkat murid kepada Sheikh Ahmad al-Fathani, beliau belajar ilmu hadis kepada beberapa orang, di antaranya kepada Saiyid Husein al-Habsyi dan Saiyid Abu Bakar Syatha.
Juga tidak dapat dinafikan beliau juga pernah belajar kepada Sheikh Ahmad al-Fathani, Sheikh Nawawi Banten, dan lain-lain.
Maklumat tersebut di atas hanyalah sebagai contoh saja, belum dapat dihuraikan panjang lebar dalam ruangan yang terbatas ini. Dalam kajian, penulis menemui bahawa sangat ramai ulama Asia Tenggara yang faham benar mengenai hadis, yang sah ilmu hadis mereka, kerana mempunyai sanad musalsal.
Kitab-kitab hadis Melayu peringkat awal
Penulisan hadis abad ke-17 terdapat dua buah, sebuah karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri dan sebuah lagi karya Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Hingga kertas kerja tersebut ditulis, penulis belum menemui kitab hadis yang lebih awal dihasilkan oleh ulama Asia Tenggara lainnya.
Kedua kitab hadis tersebut ialah: Al-Fawaidul Bahiyah fil Ahadithin Nabawiyah, disingkat Al-Fawaidul Bahiyah sahaja, atau dinamakan juga dengan Hidayatul Habib fit Targhib wat Tarhib, disingkat kepada Hidayatul Habib sahaja, karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri. Sebuah lagi ialah: Syarh Lathif 'ala Arba'ina Haditsan lil Imam Nawawi, disingkat Hadits Arba'in sahaja, karya Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.
Pengenalan data yang sangat ringkas kedua-dua kitab hadis tersebut, penulis telah muatkan dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, jilid 1-2, namun di sini perlu juga disinggung sebagai pelengkap perbicaraan ini.
Penulis dahulukan mengenai Al-Fawaidul Bahiyah fil Ahaditsin Nabawiyah, kitab hadis ini diselesaikan pada hari Jumaat, Syawal 1045 H/1635 M. Di dalamnya terkumpul sebanyak 831 hadis terdiri daripada 46 Bab. Setiap periwayat hadis disingkat dengan huruf kod, misalnya huruf Kha untuk Imam Bukhari, huruf Mim untuk Imam Muslim, dan lain-lain Imam hadis.
Jumlah semua yang digunakan kod seramai 22 orang. Semua hadis dalam karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri tersebut ditulis teks dalam bahasa Arabnya, sesudah itu diterjemahkan dalam bahasa Melayu.
Sheikh Nuruddin ar-Raniri memulakan kitab hadisnya dengan Bab Menggemari Niat, diiringi dengan Bab Menggemari Islam, Iman Dan Ihsan dan berakhir dengan Bab Menggemari Sentiasa Menyebut Mati, Mentalkinkan Mayat, Berjalan Serta Jenazah Dan Menakutkan Meratap-ratap. Manuskrip karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri tersebut terdapat sebuah dalam simpanan Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMM-PNM) dengan nombor kelas MS 1042 menggunakan judul Hidayatul Habib fit Targhib wat Tarhib.
Cetakan awal kitab ini ditashih dan diusahakan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, dicetak di bahagian tepi kitab Jam'ul Fawaid karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Cetakan demikian masih kekal hingga cetakan-cetakan akhir kitab Jam'ul Fawaid itu sampai sekarang.
Mengenai Syarh Lathif 'ala Arba'ina Haditsan lil Imam Nawawi karya Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri setakat ini baru dijumpai dua buah manuskrip yang tersimpan di PMM-PNM. Manuskrip yang pertama tidak lengkap, nombor kelas MS 1314, yang sebahagiannya telah ditransliterasi oleh penulis dan sebuah lagi lengkap belum diberi bernombor kelas.
Pada halaman akhir manuskrip yang baru dijumpai itu terdapat tanggal diselesaikan kitab hadis itu, ialah "Tamat karangan al-faqir Sheikh Abdur Rauf bin Ali Bandar Aceh Darus Salam, hari Selasa, bulan Safar sanah 1091 H". Kitab hadis karya Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri ini adalah merupakan terjemahan dan tafsir Hadits Arba'in Imam Nawawi yang pertama sekali dalam bahasa Melayu, dan merupakan kitab hadis dalam bahasa Melayu yang kedua sesudah karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri tadi.
Corak syarah agak berbeza dengan semua syarah hadis itu, kerana Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri mensyarah/ mentafsirnya adalah berdasarkan ilmu tasawuf. Dalam pengetahuan penulis sendiri, bahawa karya Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri mengenai hadis empat puluh tersebut belum pernah diterbitkan berupa cetakan.
Apabila kita membicarakan hadis empat puluh, maka kita akan menemui berjenis-jenis hadis empat puluh itu dalam bahasa Melayu. Jauh sesudah Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri, pada tahun 1272 H/1856 M terdapat lagi sebuah terjemah beserta syarah Hadits Arba'in Imam Nawawi itu yang diberi judul Fathul Mubin karya Sheikh Muhammad Shalih bin Muhammad Murid Rawa.
Disyarah menurut ilmu fiqh, jadi jauh berbeza dengan syarah Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri yang disyarah bercorak sufisme itu.
Syarah Hadits Arba'in yang kedua ini pernah dicetak di Mekah. Penulis difahamkan oleh Ustaz Abdul Halim Sa'ad (bekas Imam Masjid Negara) bahawa di tangan Tuan Guru Haji Umar Pondok Lanai, Kedah juga terdapat sebuah syarah hadis yang sama, dan disyarah menurut ilmu nahu dan saraf.
Selain itu Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah menyusun Hadits Arba'in yang bukan merupakan terjemahan Hadits Arba'in Imam Nawawi yang terkenal itu.
Hadits Arba'in susunan serta terjemahan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah beliau muat dalam karyanya Hidayatul Muta'allim. Hadits Arba'in susunan Sheikh Khatib al-Munziri, bukan Imam Nawawi, pernah diterjemahkan oleh Sheikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fatani (domisil di Besut, Terengganu). Terjemahan tersebut diberi judul Hidayatul Mukhtar.
Penutup
Melalui penyelidikan penulis, terdapat beberapa ulama-ulama Asia Tenggara yang terlibat dalam penulisan hadis, iaitu: Sheikh Abdullah Bin Abdul Mubin al-Fathani, Sheikh Daud Bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Wan Ali Kutan Kelantan, Sheikh Ahmad al-Fathani, Sheikh Ahmad Yunus Lingga, Sheikh Utsman Syihabuddin Pontianak, Sheikh Muhammad Mahfuz at-Tarmisi, Sheikh Husein Kedah, Sheikh Utsman Jalaluddin al-Kalantani, dan Sheikh Idris al-Marbawi. Keterangan maklumat mengenai ulama-ulama tersebut akan dilanjutkan perbicaraannya pada ruangan seterusnya.
Hanya demikian saja ulama-ulama Asia Tenggara yang terlibat secara langsung dalam penulisan hadis yang dapat diperkenalkan. Bagaimanapun kajian yang berterusan perlu dijalankan untuk menyelidik berkemungkinan masih ada ulama-ulama yang belum diperkenalkan, sama ada dalam bidang hadis mahupun bidang-bidang lainnya.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template