^ Scroll to Top

Wednesday, July 1, 2009

Tawaduk perlu dilatih

TAKBUR dan tawaduk adalah dua sifat yang berlawanan. Sifat yang pertama itu sangat dibenci dan manusia wajib menjauhinya kerana ia sifat iblis, manakala yang kedua dipuji dan patut menjadi perhiasan diri setiap individu.

Disebabkan takbur, iblis dikutuk Allah dan berbekalkan sifatnya itu jugalah ia menggoda manusia tanpa mengira sempadan daerah dan waktu supaya mengikut jejak langkah menjadi bongkak.

Sungguh jelek sifat takbur, bukan saja dikeji, bahkan membawa kecelakaan kepada diri, sebagaimana iblis yang dijanjikan seburuk-buruk tempat di akhirat.

Begitupun, sifat tawaduk tidak mudah digapai melainkan melalui latihan jiwa dan mujahadah yang penuh kesungguhan dan keazaman. Justeru, ada yang bersifat takbur dan susah untuk menjadi tawaduk.

Antara kaedah membantu ialah bersahabat dengan mereka yang bersifat tawaduk untuk mendapat nasihat, tunjuk ajar dan mencontohi mereka.

Asas pertama menjadi tawaduk ialah melalui ibadat solat, kerana di antara gerak rukun perbuatannya mengandungi latihan untuk tawaduk.

Kemudian, menatap kisah generasi yang bersifat tawaduk seperti nabi, rasul dan pewaris mereka.

Lihatlah kehidupan Rasulullah s.a.w yang diakui sebagai manusia paling agung dan mulia tetapi baginda sentiasa merendah diri sehingga makan di atas tanah, lalu bersabda:

“Aku hanyalah seorang hamba. Apabila suatu hari nanti aku dimerdekakan (maksudnya bebas di akhirat) barulah aku akan memakai pakaian baru.”

Menurut kisah diceritakan Abu Sa’id al-Khudri r.a, Rasulullah memberi makan unta, mengikatnya, membersih atau menyapu rumah, memerah susu kambingnya, membaiki kasutnya, menampal bajunya dan makan bersama khadam.

Rasulullah juga menggantinya (khadam) mengisar gandum apabila khadamnya kepenatan, membeli sendiri barang keperluannya dari pasar dan membawanya kembali ke rumah, berjabat salam dengan si kaya dan miskin, yang tua dan kanak-kanak.

Baginda mendahului salam kepada setiap yang menemuinya, baik yang dewasa atau kanak-kanak, yang hitam atau selainnya, merdeka atau hamba sahaya.

Dalam satu perjalanan, Rasulullah meminta sahabatnya memasak daging kambing. Sesetengah sahabatnya ada yang bersedia untuk menyembelihnya, sebilangan lagi bersedia untuk melapahnya dan sebilangan lagi bersedia untuk memasaknya.

Rasulullah s.a.w menyatakan kesediaannya mencari kayu api. Tindakan Rasulullah itu tidak disenangi sahabat, lalu menyarankan:

“Kami cukup untuk kerja ini wahai Rasulullah.” Jawab Rasululllah: Aku tahu...kamu semua sudah mencukupi, tetapi aku tidak suka dibezakan daripada kamu. Allah tidak menyukai hamba-Nya yang dilihat berbeza daripada kalangan sahabatnya.”

Rasulullah s.a.w menaiki apa saja tunggangan yang didapatinya, kadangkala kuda, ba’ir, kaldai dan himar, malah berjalan kaki tanpa kasut, selendang, kopiah atau serban.

Baginda juga menerima pemberian sekalipun seteguk susu atau seketul kaki arnab, kemudian membalas dan memakannya.

Semua ini menggambarkan sifat tawaduk atau rendah diri Rasulullah. Jika manusia yang sebegini mulia rela bersifat tawaduk, jadi apatah lagi insan kerdil seperti kita.

Kita boleh menguji diri sama ada mempunyai sifat tawaduk atau takbur, iaitu melalui cara berikut:

  • Mendedahkan diri kepada kritikan membina dan benar. Jika hati berasa berat untuk menerima kebenaran, sukar untuk mengakui dan patuh kepada arahannya, malah berat untuk berterima kasih atas kritikan dan teguran itu, menunjukkan takbur masih tersemat di dalam diri.

    Justeru, perlulah kita melatih diri sehingga biasa dengan teguran dan kritikan. Pada masa yang sama hati tidak berat untuk mendengarnya.

  • Bergaul dengan teman sebaya dalam majlis keramaian dan cuba mengutamakan mereka, cuba berjalan di belakang mereka dan cuba duduk di bawah mereka. Jika hati terasa berat, itu menunjukkan masih ada sifat takbur.

    Tetapi dalam keadaan ini, kita juga perlu berwaspada daripada tipu daya syaitan yang membisik supaya bergaul dengan orang dianggap rendah dan hina supaya disangkanya bersifat tawaduk, sedangkan hakikatnya tidak.

    Jika demikian, tanpa disedari sebenarnya dia sudah bersifat takbur di sebalik tawaduk yang dicari-cari dan cuba dilakonkan itu.

  • Menghadiri jemputan orang fakir dan miskin, malah sanggup ke pasar untuk mendapatkan keperluan keluarga serta teman. Jika hatinya berat, itu menunjukkan masih ada sifat takbur dalam dirinya.

  • Boleh juga diuji dengan memakai pakaian buruk, kerana nafsu biasanya berat untuk memakai pakaian buruk.







  • "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Sunday, June 28, 2009

    Belajarlah terima pandangan orang lain

    MANUSIA yang lemah hanya mementingkan diri sendiri. Baginya orang lain belakang kira, langsung tidak diendahkan.

    Antara jenis pentingkan diri ialah tidak mahu mendengar suara orang di sekitarnya. Cuma yang dia mahu dengar ialah suara nafsu dan keinginannya saja, walaupun kadangkala orang menderita disebabkan sikapnya.

    Suara luar, rintihan yang di sekelilingnya tidak diendahkannya. Baginya itu semua tidak penting.

    Nabi Sulaiman a.s sanggup mendengar suara dan pendapat luar walaupun daripada seekor burung hud-hud mengenai negeri Saba'.

    Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w mendengar pendapat dan pandangan sahabat, kemudian bersama berfikir mengenai cadangan dan akhirnya melaksanakan kesimpulan yang dipersetujui. Bukankah itu memberikan kejayaan!

    Pemimpin yang baik ialah mereka yang dapat menyentuh hati golongan dipimpin. Tetapi sebelum kita dapat menyentuh yang dipimpin, kita semestinya menyelami apa ada dalam hati mereka.

    Hendak menyelami hati mesti mendengar dulu suara mereka. Semestinya kita menjadi pendengar yang baik.

    Dalam kehidupan seharian antara suara yang perlu kita dengar ialah:

    1. Suara mereka yang dekat dengan kita seperti suara hati suami, isteri, anak, teman dan sahabat kita.

    Luangkan masa mendengar sama ada pujian atau teguran. Tunjukkan wajah yang simpati dan tindak balas.

    Hindarilah wajah yang dingin kerana ia akan melukakan mereka yang sedang berkomunikasi dengan kita. Banyak orang yang suka ceritanya didengari daripada memenuhi permintaan.

    2. Suara pelanggan. Kepada yang ingin berjaya luangkanlah waktu untuk mendengar suara pelanggan (terutama peniaga dan pemberi perkhidmatan) dan mendengar suara umat (bagi golongan pendakwah atau pakar motivasi) kerana kadangkala ilmu dan hikmah datang daripada suara mereka ini.

    Apabila suara mereka mengandungi makian hadapilah dengan positif dan sangka baik serta cuba perbaiki diri.

    Jika suara mereka mengandungi pujian pertahankan pujian dengan mempertingkatkan kualiti.

    3. Suara lawan. Suara lawan memang sukar untuk diterima, malah kadang-kadang disambut dengan lawan juga.

    Bagi mereka yang bijaksana, suara lawan sebenarnya sangat berharga. Melalui kritikan mereka kita mengetahui lemah kita, bahkan yang cacat akan diperbaiki.

    Kata bijak pandai 'apabila lawan kita menceritakan aib kita sebenarnya kita patut berterima kasih kerana dia bersusah meluangkan masa dan fikirannya menasihati kita'.

    Cuba fikirkan, berapa banyakkah waktu yang kita pernah guna untuk memperbetulkan dan muhasabah diri kita?

    Mulai sekarang marilah kita belajar mendengar, bukan sahaja kata-kata tetapi juga perasaan mereka di sekitar. Nanti mereka juga akan mendengar perasaan kita.







    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Syahid sebagai syuhada

    SYAHID! Adakah jiwa anda bersemangat apabila mendengar perkataan itu atau gentar ketakutan?

    Apapun perasaan anda, yang pasti ramai Muslim yang syahid, sama ada ketika berjuang membela agama dan tanah air di perbatasan atau menjadi mangsa korban di rumah dan tempat awam seperti rakyat Palestin hari ini.

    Mereka sudah biasa dengan perjuangan, malah kanak-kanak mereka membesar di depan muncung senapang. Ungkapan seperti 'hanya kejayaan atau mati syahid yang kami idamkan' sudah menjadi darah daging mereka.

    Sejarah membuktikan bukan sedikit orang Islam yang gugur sebagai syahid terutama melalui perjuangan menentang golongan kafir.

    Dalam perjuangan peringkat awal kebangkitan Islam seperti perang Badar, 14 orang gugur, perang Uhud (71), perang Khandak/Ahzab (6), perang Khaibar (21), perang Muktah (12) serta perang Hunain dan Taif (16).

    Dalam perang Uhud, seorang lelaki Quraisy yang juga bapa saudara Rasulullah s.a.w, Hamzah bin Abd Mutalib, gugur syahid.

    Orang pertama gugur syahid dalam Islam ialah Sumayyah binti Khayyat, ibu kepada Ammar bin Yasir yang mati kerana mempertahankan agama Allah di tangan pemuda Quraisy Makkah, Abu Jahal.

    Golongan beriman yang gugur sebagai mati syahid sebenarnya hidup di sisi Allah seperti dinyatakan pada ayat 169, surah Ali Imran, maksudnya: "Dan, jangan sekali-kali engkau menyangka orang yang terbunuh pada jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki."

    Ganjaran pahala dikurniakan Allah kepada orang yang berjuang di jalan Allah sangat besar dan tidak ternilai, bahkan keistimewaan yang diberikan kepada mereka tidak ada tolok bandingnya.

    Mereka dijanjikan dengan kegembiraan, kemenangan yang besar dan syurga seperti yang dapat dilihat pada ayat 111, surah at-Taubah.

    Darah syahid yang keluar mengalir dari tubuh mereka adalah suci.

    Darah itulah yang akan menjadi tebusan untuk mereka mencapai kebahagiaan hidup di akhirat di samping keharuman nama mereka sebagai pahlawan yang sentiasa dikenang.

    Istilah syahid berasal daripada perkataan Arab. Secara literal ia bermaksud saksi. Dalam bahasa Inggeris perkataan 'martyr' bagi merujuk orang yang mati syahid.

    Al-Quran ada menggambarkan syahid sebagai mati golongan beriman dalam perjuangan agama dan kebenaran, sekali gus membezakannya dengan kematian orang kafir seperti pada ayat 140, dari surah Ali Imran, maksudnya: "Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (musyrik) itu mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar).

    "Dan, itulah keadaan hari-hari, Kami gilirkan dia antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang beriman (dan sebaliknya) dan supaya Allah jadikan sebahagian di antara kamu orang yang mati syahid. Dan Allah tidak suka kepada orang yang zalim."

    Pada tempat yang lain syahid diterjemahkan sebagai saksi, misalnya saksi terhadap kebenaran (al-Baqarah:143) dan saksi dalam urusan kewangan (al-Baqarah:282).

    Istilah syahid sebagai mati pada jalan kebenaran ada juga digambarkan pada hadis seperti dalam Sahih al-Bukhari, menyatakan Muslim yang terbunuh mempertahankan hartanya.

    Ulama ada menyebut syahid terbahagi kepada dua iaitu jenis iaitu gugur syahid berperang dan tidak berperang.

    Mereka yang mati berperang pula dikategorikan syahid dunia dan akhirat (mati dalam peperangan kerana ikhlas menegakkan Islam) dan syahid dunia (mati dalam peperangan dengan tujuan utama membolot harta rampasan di samping berperang menegak agama Islam.)

    Golongan syahid tidak wajib disolatkan dan dimandikan sekalipun berada dalam hadas kecil atau besar.

    Perkara itu seperti arahan Rasulullah ke atas syuhada perang Uhud.

    Sabda baginda maksudnya: "Jangan kamu mandikan mereka kerana setiap luka dan darah itu adalah wangi semerbak pada hari kiamat dan tidak usah solat ke atas jenazah mereka."

    Mati dalam kebakaran, beranak, penyakit, mempertahankan harta, membela diri dan mati ketika bersiap untuk berperang juga dikategorikan syahid.

    Orang yang bercita-cita mati syahid, tetapi mati di tempat tidur juga dianggap syahid seperti hadis diriwayatkan Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasai dan Ibnu Majah, yang bermaksud: Daripada Sahl bin Hanif r.a bahawa Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang mengharapkan daripada Allah mati syahid dengan hati yang benar (jujur dan ikhlas), nescaya akan diletakkan Allah kedudukannya di tempat kalangan syuhada sekalipun ia mati di atas tempat tidurnya."

    Ulama terkemuka Sheikh Yusuf al-Qaradawi pada 2003 pernah berkata, pejuang Islam yang terkorban dalam operasi mengusir tentera Amerika Syarikat dari Teluk

    dianggap sebagai mati syahid kerana niat suci itu.

    Bagaimanapun, ulama Mesir itu menegaskan keperluan membezakan rakyat Amerika dengan kerajaan dan tentera negara itu.

    Tentera dan kerajaan Amerika itu, katanya, adalah penjajah dan musuh yang menceroboh negara Islam.

    Sehubungan itu, beliau berkata, pejuang Islam yang mati kerana menentang Amerika dianggap syahid dengan syarat niat mereka baik kerana menganggap tentera yang menjajah ini sebagai musuh yang menceroboh wilayah mereka.

    Bagaimanapun, ada sesetengah Muslim menggunakan istilah syahid untuk menggambarkan mereka yang mati dalam serangan berani mati seperti serangan ke atas tentera laut Amerika di Lubnan pada 1983.






    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Allah lebih mengetahui alam rahim

    Firman Allah SWT: (Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: “Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadamu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (daripada segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadamu semata-mata), maka terimalah nazarku, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
    Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan, dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya, daripada godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).
    (ali-Imran ayat: 35-36)
    SYEIKH Sya'rawi berkata: "Sebenarnya nasab yang diiktiraf nisbah bagi para Nabi nilai akhlak dan agama. Selepas daripada itu Allah SWT mengisahkan berkenaan nazar ibu Maryam."
    Ayat 35
    Firman Allah SWT yang bermaksud: (Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: "Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadamu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (daripada segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadamu semata-mata), maka terimalah nazarku, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
    Iktibar dan fiqh ayat:
    i. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT Maha Mengetahui doa isteri Imran, Maha Mengetahui niatnya, ketika beliau berdialog dengan Tuhannya dalam bentuk nazar pada saat beliau hamil, bahawa bayi yang dikandungnya kelak akan diserahkan kepada Allah SWT semata-mata untuk berbakti di Baitu al-Muqaddis, Allah SWT juga mengetahui pujiannya, ketika beliau berkata, bahawa Allah Maha Mendengar doa dan kepasrahannya. Allah juga Maha Mengetahui kemurnian niat dan keikhlasannya.
    Hal inilah yang menjadi dasar diterimanya doa, dan boleh diharapkan supaya ia dikabulkan kurnia dan kebaikan daripada Allah SWT. Pada ayat-ayat ini, nama Imran disebut dua kali. Imran yang pertama ialah bapa Nabi Musa a.s. Sementara Imran yang kedua ialah bapa Maryam. Jarak di antara kedua-duanya lebih kurang 1800 tahun.
    ii. Mohamad Quraish Shihab berkata: Nazar adalah kebajikan, sesuai dengan tuntutan agama yang tidak diwajibkan oleh agama, tetapi diwajibkan sendiri oleh seseorang atas dirinya dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dalam konteks ucapan, yakni nazar isteri Imran adalah tekad janjinya untuk menjadikan anak yang dikandungnya berkhidmat secara penuh di Baitu al-Muqaddis.
    Dalam tradisi masyarakat ketika itu, seorang anak yang dinazarkan sebagai pelayan rumah suci akan bertugas penuh di sana sampai dia dewasa. Setelah dewasa dia hanya dibenarkan untuk membuat satu pilihan sahaja sama ada untuk meneruskan pengajian atau membuat pilihan yang lain."
    iii. Hamka berkata: "Ada seorang lelaki yang soleh namanya Imran, sama namanya dengan ayah Nabi Musa a.s. yang hidup 1800 tahun sebelumnya. Sejak zaman purbakala lagi, sampai kepada zaman kita ini orang-orang yang soleh dalam agamanya suka sekali memakai nama-nama orang yang mulia menjadi nama anaknya. Rupanya ayah Imran ini menamai anaknya demikian kerana ayah Nabi Musa yang besar itu bernama Imran pula. Lelaki yang bernama Imran ini mempunyai seorang isteri yang solehah seperti dia. Lalu dia hamil dan semasa kehamilannya dia bernazar kalau lahir anaknya akan diserahkan menjadi abdi Tuhan menyelenggarakan Baitu al-Muqaddis. Ini kerana keluarganya sendiripun ada yang menjadi penyelenggara rumah suci itu iaitu Nabi Zakaria a.s., suami kakaknya.
    Ayat 36
    Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan, dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan Syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).
    Iktibar dan fiqh ayat:
    i. Ibn Jauzi dalam Zad al-masir berkata : Maksud direjam di situ ialah:
    Pertama: Kena laknat seperti pendapat Qatadah.
    Kedua: Kena rejam dengan batu seperti pendapat Abu Ubaidah.
    ii. Al-Maraghi berkata : "Allah SWT lebih mengetahui kedudukan anak perempuan yang diragukan itu, bahkan anak itu lebih baik daripada kebanyakan kaum lelaki. Firman ini menyatakan penghargaan kepada bayi perempuan, di samping menyanggah kebimbangan yang tergambar pada ucapan isteri Imran yang menyebut bahawa martabat anak perempuan lebih rendah daripada lelaki.
    iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Anak kalimah wa laisa adz dzakaru kal untsal (dan anak laki-laki tidaklah seperti anak perempuan), merupakan ucapan isteri Imran, sebagai alasan mengapa beliau tidak dapat memenuhi nazarnya, maka ada juga yang berpendapat bahawa anak kalimah ini merupakan komentar Allah SWT bahawa walaupun yang dilahirkan anak perempuan, tetapi bukan bererti kedudukannya lebih rendah daripada anak lelaki bahkan yang ini lebih baik dan agung daripada banyak lelaki. Ia dipersiapkan Allah SWT untuk sesuatu yang luar biasa, yakni melahirkan anak tanpa proses yang dialami oleh cucu-cicit Adam a.s. seluruhnya iaitu melahirkan zuriat tanpa berhubungan seks dengan seseorang.
    iv. Hamka berkata: "Ternyata bahawa anak itu perempuan. Tentu yang diharapkan daripada semua ialah anak laki-laki sebab penyelenggara rumah suci adalah orang lelaki belaka sedangkan nazarnya sudah jelas dan diapun berkata: "Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan anak perempuan." Dalam kata-katanya itu nampaklah keterharuan hati perempuan yang solehah. Bagaimana aku ini, nazar telah dibulatkan, lahirnya anak ini akan dihantar ke rumah suci tetapi anak ini perempuan. Apakah Tuhan akan menerimanya?
    Suci
    Lalu datanglah keterangan Tuhan kepada Rasul-Nya Muhammad SAW: "Padahal Allah SWT terlebih dahulu mengetahui apa yang dilahirkannya." Meskipun anaknya perempuan tapi ibunya tidak mengetahui anaknya bukan perempuan biasa di kalangan bayi-bayi yang dilahirkan di dunia ini. Dia tidak mengetahui apa yang diketahui oleh Allah SWT. Anaknya akan menjadi anak dara yang suci, bersih dan solehah bakal melahirkan seorang putera Nabi Allah iaitu Nabi Isa a.s. tanpa melakukan persetubuhan (jimak) menurut kebiasaan dunia.
    Syaitan
    Ayat ini dengan jelas menunjukkan betapa kuasa-Nya Allah SWT dengan sifat kudrat-Nya. Begitu juga musuh yang nyata bagi manusia adalah syaitan. Justeru sewajarnya kita mengenali syaitan, tipu dayanya dan bentuk penyelewengan yang dibawa sehingga manusia sesat dan menyimpang daripada jalan kebenaran yang dituntut kepada kita untuk menghayatinya dan beristiqamah pada jalan tersebut.
    Ayat ini juga dengan jelas menunjukkan betapa syaitan tiada sebarang kebaikan baginya sebaliknya sentiasa direjam dan dilaknat oleh Allah SWT. Alangkah malangnya yang mengikut jejak langkah syaitan dan terpedaya dengannya.
    Semoga kita semua selamat daripada gangguan dan godaan syaitan dengan berpegang pada kitab al-Quran al-Sunah serta zikir amalan soleh.






    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Menggilap akhlak demi keselesaan hidup

    Individu buruk perangai rosakkan agama, ancam kehidupan masyarakat di sekelilingnya

    SEBARIS bait syair Arab bermaksud: 'tidaklah bumi akan sempit kerana keluasannya; tapi yang membuatkannya sempit adalah akhlak penghuninya'.

    Dengan keluasan bumi diciptakan Allah SWT adalah mustahil secara logik tidak ada tempat bagi seseorang untuk hidup. Bagaimanapun, keluasan ini tidak menjamin manusia tidak rasa sempit. Dengan pelbagai kerenah hasil akhlak yang wujud dalam diri seseorang, dunia yang luas boleh menjadi sempit. Begitu juga sebaliknya, dengan akhlak dalam diri yang menghasilkan pelbagai kerenah dalam tingkah laku seseorang, dunia sempit boleh menjadi luas.

    Kita hidup dalam persekitaran masyarakat dan jika dalam kehidupan itu anda mempromosikan akhlak mulia, maka kehidupan menjadi selesa. Namun, jika anda mengotorkan diri dengan akhlak tercela, masyarakat dan anda menjalani kehidupan tidak selesa seolah-olah dunia ini sempit.

    Di sini kita memahami tujuan ibadat adalah akhlak seperti sabda Nabi Muhammad SAW bahawa Baginda tidaklah diutus Allah SWT melainkan untuk menyempurnakan akhlak mulia. (Hadis riwayat Malik)

    Akhlak mulia dalam istilah penggunaan bahasa Melayu adalah elok budi seperti dalam pantun 'Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga; yang elok itu budi, yang indah itu bahasa.. Dengan budi baik kita boleh menawan hati manusia bak kata pepatah 'mati ikan kerana umpan, mati saya kerana budi' yang mempunyai pengertian setiap manusia mudah dipujuk dengan kata-kata manis atau dengan budi baik.

    Akhlak dalam bahasa Arab adalah kata jamak daripada 'khuluq' bererti budi pekerti, kelakuan, tabiat dan watak tertentu dalam diri seseorang yang mendorongnya berbuat baik atau buruk.

    Oleh itu, ada akhlak dikenali sebagai mahmudah atau terpuji dan mazmumah atau akhlak tercela. Namun dalam penggunaan sehari-hari akhlak mempunyai pengertian positif. Jika dikatakan seseorang berakhlak, maknanya dia baik budi pekerti.

    Dalam Islam, akhlak memainkan peranan amat penting dalam perjalanan hidup penganutnya di samping akidah dan fikah atau syariah sebagai cabang ilmu Islam. Tanpa akhlak, kedua-dua cabang ini tidak ada ertinya.

    Akidah yang tertumpu kepada keimanan terhadap keesaan Allah semata-mata; ibadat bersifat ritual khas seperti solat, puasa, zakat dan haji; munakahat yang dikhaskan untuk mengatur kelangsungan berketurunan manusia; muamalat yang tertumpu dalam pengaturan kelangsungan hidup manusia; dan uqubat yang terhad pada cara penyelesaian masalah yang timbul dalam masyarakat – semua itu tidak akan bermanfaat selagi tidak disertai akhlak mulia yang mempengaruhi semua tindakan manusia agar bersesuaian dengan kehendak Ilahi. Oleh itu dikatakan agama tanpa akhlak akan runtuh dan akhlak tanpa agama menjadi sia-sia.
    Hakikat ini boleh kita amati daripada beberapa ayat al-Quran termasuk yang maksudnya: "Dan orang-orang yang kafir pula, amal mereka adalah umpama riak sinaran panas (fatamorgana) di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu dia menuju ke arahnya) sehingga apabila dia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir yang tidak mendapat faedah daripada amalnya seperti yang disangkanya) dan dia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya; dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisab-Nya)." (Surah al-Nur: 39)

    Sebagai natijahnya, akhlak yang terpuji bertujuan memelihara umat tidak cukup hanya dengan ada pengetahuan bahawa 'kejujuran adalah baik' atau 'pengkhianatan adalah buruk'. Akhlak harus ada sikap positif yang tumbuh subur dalam hati dan jiwa serta mampu mempengaruhi setiap individu sehingga dia akhirnya mengerjakan sesuatu yang sepatutnya dikerjakan dan meninggalkan segala patut tinggalkan.

    Antara anugerah yang diberikan Allah kepada Nabi Muhammad SAW adalah Baginda memiliki akhlak mulia. Allah berfirman maksudnya: "Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia.." (Surah al-Qalam: 4)

    Dengan akhlak amat mulia ini, kita sebagai umatnya diperintah mengikuti jejak Baginda. Dalam ayat lain, Allah berfirman maksudnya: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab: 21)

    Pelbagai ibadat yang disyariatkan dalam Islam dan dinyatakan sebagai bahagian daripada keimanan seseorang, bukan pekerjaan yang tanpa makna dan gerakannya tanpa tujuan. Segala itu laksana latihan yang diulang pada waktu tertentu demi membiasakan manusia hidup dengan akhlak mulia, disiplin tingg, dan tingkah laku terpuji, bila dan di mana pun dia berada.

    Solat sebagai contoh, mendidik individu menjadi seperti difirmankan dalam hadis qudsi maksudnya: "Sesungguhnya Aku hanya akan menerima solat daripada orang yang dengan solatnya itu, merendahkan diri di depan keagungan-Ku; tidak bersikap sombong terhadap makhluk-Ku; dan idak berkeras hati dalam pembangkangan terhadap-Ku; dan dia melalui hari-harinya dengan berzikir kepada-Ku; mengasihani orang miskin, orang yang terlonta-lonta, perempuan janda, serta yang tertimpa musibah." (Hadis riwayat Malik)

    Akhlak yang baik tidak cukup ditanamkan pada masyarakat hanya dengan pengajaran, imbauan, indoktrinasi, latih atau hanya dengan larangan atau ancaman. Tidak cukup seorang guru, ayah, majikan atau pemimpin mengatakan: "kerjakan ini!" atau "jangan lakukan itu!" kerana pendidikan akhlak memerlukan waktu dan pengawasan berterusan. Bahkan lebih daripada itu, seorang penganjur akhlak yang baik tidak akan berjaya kecuali dengan menjadikan dirinya sebagai teladan.

    Amalan muafakat sebagai contoh akhlak yang terpuji di Nusantara dijadikan pepatah yang berbunyi 'tuah kerbau gemuk, tuah lumbung berisi, tuah manusia semuafakat' yang mempunyai pengertian kerbau terpuji kerana gemuk, lumbung berisi padi dan manusia jika sepakat. Ini diperkukuh lagi dengan kata hikmat 'muafakat membawa berkat' yakni dengan bermesyuarat, sesuatu persetujuan akan tercapai dan kerja yang bakal dilakukan menjadi mudah.

    Jadi, supaya budi bahasa kita yang baik tidak dilupakan orang maka pepatah Melayu merakamkan 'hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga'.






    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

     
    Dear Diary Blogger Template