^ Scroll to Top

Sunday, June 28, 2009

Menggilap akhlak demi keselesaan hidup

Individu buruk perangai rosakkan agama, ancam kehidupan masyarakat di sekelilingnya

SEBARIS bait syair Arab bermaksud: 'tidaklah bumi akan sempit kerana keluasannya; tapi yang membuatkannya sempit adalah akhlak penghuninya'.

Dengan keluasan bumi diciptakan Allah SWT adalah mustahil secara logik tidak ada tempat bagi seseorang untuk hidup. Bagaimanapun, keluasan ini tidak menjamin manusia tidak rasa sempit. Dengan pelbagai kerenah hasil akhlak yang wujud dalam diri seseorang, dunia yang luas boleh menjadi sempit. Begitu juga sebaliknya, dengan akhlak dalam diri yang menghasilkan pelbagai kerenah dalam tingkah laku seseorang, dunia sempit boleh menjadi luas.

Kita hidup dalam persekitaran masyarakat dan jika dalam kehidupan itu anda mempromosikan akhlak mulia, maka kehidupan menjadi selesa. Namun, jika anda mengotorkan diri dengan akhlak tercela, masyarakat dan anda menjalani kehidupan tidak selesa seolah-olah dunia ini sempit.

Di sini kita memahami tujuan ibadat adalah akhlak seperti sabda Nabi Muhammad SAW bahawa Baginda tidaklah diutus Allah SWT melainkan untuk menyempurnakan akhlak mulia. (Hadis riwayat Malik)

Akhlak mulia dalam istilah penggunaan bahasa Melayu adalah elok budi seperti dalam pantun 'Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga; yang elok itu budi, yang indah itu bahasa.. Dengan budi baik kita boleh menawan hati manusia bak kata pepatah 'mati ikan kerana umpan, mati saya kerana budi' yang mempunyai pengertian setiap manusia mudah dipujuk dengan kata-kata manis atau dengan budi baik.

Akhlak dalam bahasa Arab adalah kata jamak daripada 'khuluq' bererti budi pekerti, kelakuan, tabiat dan watak tertentu dalam diri seseorang yang mendorongnya berbuat baik atau buruk.

Oleh itu, ada akhlak dikenali sebagai mahmudah atau terpuji dan mazmumah atau akhlak tercela. Namun dalam penggunaan sehari-hari akhlak mempunyai pengertian positif. Jika dikatakan seseorang berakhlak, maknanya dia baik budi pekerti.

Dalam Islam, akhlak memainkan peranan amat penting dalam perjalanan hidup penganutnya di samping akidah dan fikah atau syariah sebagai cabang ilmu Islam. Tanpa akhlak, kedua-dua cabang ini tidak ada ertinya.

Akidah yang tertumpu kepada keimanan terhadap keesaan Allah semata-mata; ibadat bersifat ritual khas seperti solat, puasa, zakat dan haji; munakahat yang dikhaskan untuk mengatur kelangsungan berketurunan manusia; muamalat yang tertumpu dalam pengaturan kelangsungan hidup manusia; dan uqubat yang terhad pada cara penyelesaian masalah yang timbul dalam masyarakat – semua itu tidak akan bermanfaat selagi tidak disertai akhlak mulia yang mempengaruhi semua tindakan manusia agar bersesuaian dengan kehendak Ilahi. Oleh itu dikatakan agama tanpa akhlak akan runtuh dan akhlak tanpa agama menjadi sia-sia.
Hakikat ini boleh kita amati daripada beberapa ayat al-Quran termasuk yang maksudnya: "Dan orang-orang yang kafir pula, amal mereka adalah umpama riak sinaran panas (fatamorgana) di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu dia menuju ke arahnya) sehingga apabila dia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir yang tidak mendapat faedah daripada amalnya seperti yang disangkanya) dan dia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya; dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisab-Nya)." (Surah al-Nur: 39)

Sebagai natijahnya, akhlak yang terpuji bertujuan memelihara umat tidak cukup hanya dengan ada pengetahuan bahawa 'kejujuran adalah baik' atau 'pengkhianatan adalah buruk'. Akhlak harus ada sikap positif yang tumbuh subur dalam hati dan jiwa serta mampu mempengaruhi setiap individu sehingga dia akhirnya mengerjakan sesuatu yang sepatutnya dikerjakan dan meninggalkan segala patut tinggalkan.

Antara anugerah yang diberikan Allah kepada Nabi Muhammad SAW adalah Baginda memiliki akhlak mulia. Allah berfirman maksudnya: "Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia.." (Surah al-Qalam: 4)

Dengan akhlak amat mulia ini, kita sebagai umatnya diperintah mengikuti jejak Baginda. Dalam ayat lain, Allah berfirman maksudnya: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab: 21)

Pelbagai ibadat yang disyariatkan dalam Islam dan dinyatakan sebagai bahagian daripada keimanan seseorang, bukan pekerjaan yang tanpa makna dan gerakannya tanpa tujuan. Segala itu laksana latihan yang diulang pada waktu tertentu demi membiasakan manusia hidup dengan akhlak mulia, disiplin tingg, dan tingkah laku terpuji, bila dan di mana pun dia berada.

Solat sebagai contoh, mendidik individu menjadi seperti difirmankan dalam hadis qudsi maksudnya: "Sesungguhnya Aku hanya akan menerima solat daripada orang yang dengan solatnya itu, merendahkan diri di depan keagungan-Ku; tidak bersikap sombong terhadap makhluk-Ku; dan idak berkeras hati dalam pembangkangan terhadap-Ku; dan dia melalui hari-harinya dengan berzikir kepada-Ku; mengasihani orang miskin, orang yang terlonta-lonta, perempuan janda, serta yang tertimpa musibah." (Hadis riwayat Malik)

Akhlak yang baik tidak cukup ditanamkan pada masyarakat hanya dengan pengajaran, imbauan, indoktrinasi, latih atau hanya dengan larangan atau ancaman. Tidak cukup seorang guru, ayah, majikan atau pemimpin mengatakan: "kerjakan ini!" atau "jangan lakukan itu!" kerana pendidikan akhlak memerlukan waktu dan pengawasan berterusan. Bahkan lebih daripada itu, seorang penganjur akhlak yang baik tidak akan berjaya kecuali dengan menjadikan dirinya sebagai teladan.

Amalan muafakat sebagai contoh akhlak yang terpuji di Nusantara dijadikan pepatah yang berbunyi 'tuah kerbau gemuk, tuah lumbung berisi, tuah manusia semuafakat' yang mempunyai pengertian kerbau terpuji kerana gemuk, lumbung berisi padi dan manusia jika sepakat. Ini diperkukuh lagi dengan kata hikmat 'muafakat membawa berkat' yakni dengan bermesyuarat, sesuatu persetujuan akan tercapai dan kerja yang bakal dilakukan menjadi mudah.

Jadi, supaya budi bahasa kita yang baik tidak dilupakan orang maka pepatah Melayu merakamkan 'hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga'.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Poligami Adalah Hukum Allah

Poligami adalah peruntukan yang diberikan oleh syarak kepada lelaki. Dengan peruntukan tersebut lelaki boleh mengahwini wanita lebih daripada seorang dan tidak melebihi empat orang. Ianya bukan satu kewajipan, tetapi satu keizinan. Menjadi kewajipan bagi setiap muslim beriktikad bahawa hukum-hakam syarak yang diturunkan Allah S.W.T bukan untuk kepentingan zatNya yang agung, kerana Dia Maha Suci daripada bergantung kepada makhluk. Segala apa yang diturunkanNya adalah li maslahah al-`Ibad iaitu untuk kemaslahatan atau kepentingan hamba-hambaNya. Malangnya pada mutakhir ini wajah serangan terhadap Islam dan peraturannya bertopengkan agama untuk menghancurkan agama. Inilah hasil kelompok yang ingin memahami Islam daripada golongan orientalis dan musuh-musuhnya, malangnya mereka tidak dapat memahami Islam daripada karya-karya asli para ulama Islam.

Kata al-Imam `Izz al-Din `Abd al-Salam (meninggal 660H): dalam Qawa`id al-Ahkam fi Masalih al-Anam:

“Kita telah ketahui daripada sumber-sumber syarak bahawa tujuan (hukum-hakam) syarak ialah untuk kemaslahatan hamba-hambaNya di sudut agama dan akhirat mereka. Bukannya masaqqah (kesusahan dalam mengamalkan syariat) itu yang dimaksudkan dengan kemaslahatan, tetapi maksudnya ialah apa yang diperolehi hasil dari masaqqah tersebut. Ini sama seperti seseorang doktor yang menyuruh pesakitnya meminum ubat yang sangat pahit. Tujuannya hanyalah untuk mengubati”.
(1/29, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut)

Namun golongan yang tidak faham atau yang ingin mencari kesalahan untuk ditempelkan kepada agama sengaja melihat dari mata musuhnya. Hasrat mereka untuk menonjolkan kehebatan pemikiran Dunia Barat dan meperlekehkan Islam. Dalam masyarakat yang umatnya berpegang kepada Islam, golongan ini cuba memutar belitkan nas-nas agama untuk kepentingan pemikiran Barat. Mereka mengambil kesempatan dari kesalahan sikap sebahagian pengamal poligami untuk memukul sistem tersebut. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Markaz al-Mar’ah fi al-Hayat al-Islamiyyah:

“Sesuatu yang amat mendukacitakan apabila sebahagian daripada penyeru-penyeru kepada sistem Barat yang ada di tanahair Arab dan umat Islam mengambil kesempatan apa yang berlaku pada sesetengah muslimin yang menyeleweng. Lalu mereka ini bangkit menyuarakan agar ditutup pintu poligami sama sekali.. Mereka ini pagi dan petangnya hanya membicarakan mengenai keburukan poligami. Padahal dalam masa yang sama mereka mendiamkan diri seperti diamnya orang di dalam kubur mengenai keburukan zina, yang dengan dukacitanya diharuskan oleh sistem perundangan manusia yang menghukum negara-negara umat Islam hari ini."
(m.s 31 cetakan Maktabah Wahbah, Mesir).

Inilah hakikat yang berlaku pada hari ini, di mana berlakunya perzinaan yang berleluasa yang membabit sebahagiannya lelaki yang mempunyai isteri yang memangsa wanita yang bersedia dimangsa dirinya, yang keburukannya akan menimpa isterinya yang sah dan keluarga. Begitu juga hubungan seks yang begitu yang bebas yang dicerminkan oleh masyarakat yang sedang parah, di samping adanya media massa yang bersedia menjadikan kisah-kisah tersebut sebagai bahan paparan yang menguntungkan. Malangnya golongan ini hanya diam, tiada isu yang hendak dimainkan mereka. Namun jika mereka melihat adanya peluang yang membolehkan mereka memukul agama dengan senjata yang meracun akidah maka mereka jadikan ianya perbahasan yang boleh membantu mereka menimbul keraguan golongan awam yang tidak faham terhadap Islam.

Katanya Dr. Yusuf al-Qaradawi lagi

“Adapun pendapat yang menyatakan bahawa berpoligami membawa keburukan kepada keluarga dan masyarakat ianya adalah pendapat yang mengandungi kekeliruan yang nyata. Kita katakan kepada mereka yang keliru ini: Sesungguhnya syariat Islam tidak mungkin menghalalkan untuk manusia sesuatu yang memudaratkan mereka, seperti mana ianya tidak mungkin mengharamkan manusia sesuatu yang memberi manfaat kepada mereka. Bahkan telah dipastikan menerusi nas (al-Quran dan al-Sunnah) dan kajian bahawa syariat Islam tidak menghalalkan melainkan perkara yang baik lagi manfaat. Juga ianya tidak mengharamkan melainkan yang keji lagi mudarat. Inilah yang digambarkan oleh al-Quran dengan ungkapan yang indah lagi padat ketika menyifatkan Rasulullah S.A.W, seperti yang dikhabarkan oleh buku ahli kitab, iaitu: (maksudnya) " (sifat-sifatnya di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka) Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka."
(Surah al-`Araf :157).

Sambung al-Qaradawi:

“Inilah apa yang diraikan oleh Syariat Islam dalam persoalan poligami, ianya telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala manfaat dan mudarat, kemudianya ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah.
Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 30: (maksudnya):

“Jika kamu takut tidak berlakua adil maka hanya seorang isteri. (m.s 133-134)

Persoalan seperti poligami ini sebenar tidak boleh dibincangkan dengan nada emosi kewanitaan yang tidak terbimbing semata, atau pandangan sekumpulan lelaki yang takutkan isteri mereka. Hukum-hakam syarak memenuhi tuntutan akal yang waras dan logik yang kukuh sekalipun mungkin emosi membantahnya. Jika kita melihat kepada seseorang doktor yang menyuntik seorang bayi dengan jarumnya sehingga menyebabkan bayi tersebut menangis, andainya fikiran kita tidak dipenuhi pengetahuan tentang kebaikan tindakan doctor tersebut, kita tentu akan membantah dan menganggap doktor seorang yang zalim, menginayai bayi tersebut sehingga dia kesakiatan dan menangis. Namun apabila pengetahuan kita cukup kita tidak lagi melihat kepada tangisan bayi tetapi kepada kebaikan yang akan diperolehinya. Demikian juga poligami. Sesiapa yang ingin melihat keindahan hikmah poligami maka baca karya Dr. Mustafa al-Siba`I r.h, iaitu Al-Marah: Bain al-Fiqh wa Al-Qanun.

Sebenarnya bukanlah Islam sahaja yang memulakan keizinan berpoligami. Agama-agama lagi juga telah mengizinkannya. Bahkan pihak gereja seperti yang dinyatakan oleh Waster Mark, telah mengiktiraf poligami sehingga ke kurun yang ke tujuh belas, di mana perlaksanaanya ketika itu begitu meluas.

Kata Dr Zaki Abdul Karim Naik dalam bukunya Most Common Questions About Islam: Tiada dalam mana-mana buku agama (selain Islam) samada Vedas, Ramayanan, Mahabharat, Geetha, Talmud dan Bible had bilangan isteri. Berdasarkan buku-buku tersebut seseorang boleh mengahwini sebanyak mana yang dia suka. Katanya juga: Pada peringkat awal, seseorang lelaki Kristian diizinkan berkahwin sebanyak mana bilangan isteri yang dia suka, kerana Bible tidak menghadkan bilangan isteri. Hanya beberapa kurun kebalakangan ini gereja menghadkan bilangan isteri hanya satu. Poligami juga diizinkan dalam Yahudi. Ini berdasarkan undang-undang Talmud., di mana Nabi Ibrahim isterinya tiga, Nabi Sulaiman isterinya seratus. Perlaksanaan poligami berterusan dalam Yahudi sehinggalah Rabai Gersom Ben Yehudah (960-1030M) mengeluarkan perintah menentangnya. Namun masyarakat Yahudi Sephardic yang hidup di kalangan umat Islam terus mengamalkannya sehingga tahun 1950..(m.s.3 , published by Saba Islamic Media)

Bezanya Islam apabila mengizinkannya menyertainya dengan peraturan dan disiplin yang mesti dipatuhi. Jika disiplin itu tidak dipatuhi hanya diizinkan satu. Maka Al-Quran satu-satu kitab agama di atas muka bumi ini yang menentu satu isteri bagi yang tidak dapat berlaku adil. Ini sama seperti semua perkara di dalam Islam ada peraturannya. Sehingga yang berkahwin seorang (monogami) juga ada disiplin dan peraturan yang mesti diikuti. Persoalan keadilan untuk isteri, bukan sahaja bagi yang berpoligami, yang bermonogami juga mesti adil terhadap isterinya yang seorang tersebut, cumanya konteks pengendaliannya sahaja yang berbeza. Bahkan setiap bapa yang memiliki lebih dari seorang anak juga mesti adil terhadap anak-anaknya.

Dalam banyak kes kecuaian dan kezaliman rumah tangga tidak berfaktor pologami.. Bahkan ianya berfaktorkan sikap suami itu sendiri, atau hubungannya dengan wanita luar tanpa keizinan syarak, atau tekanan-tekanan luar. Malangnya hal ini tidak difahami dengan baik oleh sesetengah pengulas poligami. Apatah lagi sebahagian pengulas tersebut adalah wanita yang tidak memiliki rumah tangga. Kata Dr. Wahbah al-Zuhaili:

“Bukanlah poligami yang menyebabkan anak-anak terbiar seperti yang didakwa mereka. Sebaliknya berpunca dari pengabaian bapa terhadap pendidikan anak-anak, mabuk arak, ketagihan dadah, tenggelam dalam nafsu, berjudi, berulang-alik ke kedai kopi, pengabaian keluarga dan lain-lain”.
(Wahbah al-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 7/173, cetakan Dar al-Fikr, Beirut)

Islam tidak memaksa lelaki berpoligami, tetapi mengizinkannya sebagai keharusan yang dapat menyelesaikan banyak masalah. Namun pemikiran barat telah menghantui sebahagian pengulas poligami ini. Apabila ada kes ketidakadilan yang dilakukan oleh sebahagian pengamal poligami maka system itu disalahkan. Adalah tidak pelik untuk mereka ini mengikut jejak langkah barat suatu hari nanti mengizinkan hubungan tanpa nikah atas alasan perkahwinan mengongkong wanita dan menzalimi mereka. Bila mereka melihat ada suami yang tidak adil maka perkahwinan akan dianggap menginayai wanita dan patut dicegah.

Allah SWT mengizinkan poligami dengan nas al-Quran dan praktikalnya oleh Nabi S.A.W dan para sahabah. Malangnya di kebelakangan ini ada kecenderungan golongan yang mendakwa muslim meminggirkan al-Sunnah dan ingin hanya berhujah dengan al-Quran dengan tafsiran secara ‘sendiri berhad’ tanpa melihat apa yang menjadi tuntutan untuk seseorang menafsirkan kitab Allah. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).”


Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui oleh Al-Zahabi. Demikian juga Ibn Hajar al-`Asqalani menyebut di dalam Fath al-Bari :sanadnya baik.

Ada di kalangan yang menentang poligami ini cuba menyalah tafsirkan ayat Allah dalam Surah al-Nisa’ ayat 129: (maksudnya)

Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya).

Kata mereka ayat ini membatalkan apa yang disebut dalam ayat 30 dalam surah yang sama : (maksudnya):

“Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri”.

Sebenarnya dakwaan mereka secara tidak langsung adalah tohmahan terhadap Nabi S.A.W., para sahabah dan generasi para ulama Islam sejak dahulu seakan-akan mereka semua tidak memahami al-Quran sehingga mengharuskan poligami untuk diri mereka dan umat.

Ayat 129 Surah al-Nisa’ itu sebenarnya membicarakan tentang keadilan mutlak yang tidak mungkin dapat diberikan oleh insan. Keadilan mutlak membabitkan semua aspek; perasaan kasih sayang yang ada di dalam hati, cara hubungan seks dan segalanya. Ini semua bukan dalam batas kemampuan insan. Sehinggakan insan tidak mampu menjadikan kadar kasih sayangnya terhadap anak-anaknya sama, demikian jugalah terhadap isteri-isterinya. Bagi anak yang lebih manja dan pandai mengambil hatinya tentu perasaan cintanya lebih. Demikian juga isteri. Namun apa yang dituntut ialah agar persoalan akhlak pergaulan dan sikap, persoalan kebendaan hendaklah dalam timbangan keadilan dan kesaksamaan kerana itu dalam batas kemampuan insan. Tidak boleh dijadi perasaan cinta di dalam hati membawa kepada ketidakadilan dalam tindakan. Oleh itu sambungan ayat itu menyebut: (maksudnya) oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Baginda S.A.W menyebut dalam hadith: Daripada `Aisyah R.A: Bahawa Nabi S.A.W membahagikan hak di antara isteri baginda dengan adil. Baginda bersabda:

Ya Allah inilah pembahagianku apa yang miliki, jangan Engkau salahku dalam apa yang aku tidak miliki.

(Riwayat al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Al-Hakim (meninggal 405H) mensahihkannya dalam Al-Mustadrak 2/554, cetakan Dar al-Ma’rifah.

Kata Abu Daud ketika meriwayat hadith ini maksud apa yang aku tidak miliki ialah hati, iaitu cinta yang lebih dan kecenderungan hati. (lihat Al-`Azim al-Abadi, `Aun al-Ma’bud, 6/121, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut)

Maka kecenderungan hati yang menyebabkan tidak sama dalam kasih sayang tidak dianggap salah di sisi Allah selagi mana tidak berlakunya ketidak adilan dalam tindakan. Inilah maksudnya ayat tersebut. Malangnya mereka ini hanya ingin menjadikan agama menurut fikiran mereka lalu mereka tidak merujuk apa yang ditafsirkan oleh para muhaddithin (ulama hadith), mufassirin (ulama tafsir) yang muktabar. Antaranya apa yang disebut oleh al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) dalam tafsirnya Al-Jami li Ahkam al-Quran: “Dalam ayat tersebut Allah memberitahu ketidakmampuan melakukan keadilan di antara isteri dalam kecenderungan tabii seperti cinta dan hubungan seks dan perasaan dalam hati. Maka Allah mensifatkan hal manusia bahawa mereka dengan sifat semulajadinya tidak dapat mengawal kecenderungan hati mereka kepada sesuatu perkara atau sebaliknya...kemudian Allah melarang manusia dengan firmanNya: (maksudnya) “janganlah kamu cenderung dengan melampau” yakni jangan kamu sengaja menyakiti, sebaliknya hendak sama rata dalam pembagian dan nafkah, kerana ini perkara yang seseorang mampu melakukannya." (5/407, cetakan Dar al-Fikr, Beirut)

Demikian jika mereka merujuk kepada tafsir muktabar yang lain yang menjadikan panduan tafsiran mereka al-Quran itu sendiri, sunnah Nabi dan perjalanan para salaf soleh (generasi awal Islam yang beriltizam). Kata al-Syeikh `Abd Allah Nasih `Ulwan r.h: Musuh-musuh Islam daripada kalangan atheis dan orientalis cuba menentang peraturan Islam dengan menimbulkan tohmahan-tohmahan palsu, keraguan-keraguan dan serangan-serangan yang hasad terhadap Islam demi menimbulkan syak orang ramai terhadap kebaikan peraturan Islam, kesesuaiannya sepanjang zaman dan masa. Maka ada orang Islam yang menyambut pandangan-pandangan mereka serta beriman dengan akidah dan pemikiran mereka dan jatuh ke dalam perangkap syak dan tohmahan mereka. Di antara tohmahan dan serangan yang mereka timbulkan ialah keharusan Islam bagi peraturan poligami.
(`Abd Allah Nasih `Ulwan, Ta`addud al-Zaujat fi Islam, m.s: 9, Dar al-Salam, Kaherah)

Adapun pandangan yang mensyaratkan keizinan isteri pertama atau kadi atau mahkamah syariah bagi sesiapa yang ingin berpoligami adalah sesuatu yang ditolak. Para ulama kontemporari telah menjelaskan alasan penolakan ini dalam tulisan-tulisan mereka. Masalah keadilan suami adalah sesuatu yang tidak dapat dinilai sebelum perkahwinan berlaku. Bagaimanakah mungkin seseorang kadi atau sesuatu pihak dapat mendakwa bahawa si pulan jika beristeri dua tidak akan adil? Bagaimana pula seseorang dapat memutuskan si pulan yang lain jika beristeri dua adil? Bahkan ada orang yang disangka adil tetapi ternyata sebaliknya. Ada yang dianggap pendapatannya kurang tapi bila berkahwin dua, pendapatannya bertambah.

Sikap adil atau bertanggungjawab terhadap isteri bukan hanya kepada yang beristeri lebih daripada satu tetapi juga kepada yang beristeri satu. Kalau hak ini diberikan kepada kadi maka nanti yang ingin berkahwin satu juga akan dinilai oleh kadi sama dia boleh bertanggungjawab atau tidak. Kemudian nanti yang ingin menambah anak atau memperolehi anak juga akan dinilai dia mampu atau tidak? Apakah kita lupa, ramai yang sikapnya berubah menjadi lebih cemerlang selepas perkahwinan, atau rezeki semakin bertambah selepas bertambah bilangan anak.

Sebab itulah Perhimpunan Kajian Islam (Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah) pada muktamarnya yang kedua di Kaherah tahun 1975 membuat keputusan seperti berikut:

“Adapun berhubung dengan poligami, maka pihak muktamar memutuskan bahawa ianya adalah harus dengan jelasnya berdasarkan nas-nas al-Quran al-Karim juga dengan syarat-syarat yang berkaitan dengannya. Adapun penggunaan hak ini adalah terpulang kepada pihak suami, ianya tidak memerlukan keizinan kadi”.

Dr.. Abd al-Karim Zaidan menyebut di dalam bukunya Al-Mufassal fi Ahkam al-Marah:

“Aku melihat tidak harus dari segi syarak memberikan kelayakan berpoligami ditentukan kadi, atau mengaitkan keharusan berpoligami dengan izin kadi.” Kata beliau juga: “Antara bukti yang menyokong keputusan Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah di atas ialah tidak pernah disebutkan kepada kita pada mana-mana zaman Islam, sejak Rasulullah S.A.W sehingga ke zaman selepasnya bahawa sesiapa daripada kalangan fuqaha (ulama feqah) mensyaratkan keizinan kadi untuk sesiapa yang ingin berpoligami. Kalaulah syarat ini disyariatkan maka sudah tentu kitab-kitab fekah dan kehakiman (qadha`) menyebut berlakunya atau cadangan mengenainya. Apabila ianya tidak menyebut hal ini sedikit pun, maka inilah dalil yang putus terhadap ijma’ sukuti (ijmak secara diam) mengenai tidak dikaitkan keharusan berpoligami dengan keizinan kadi. Maka cadangan untuk itu sekarang ini adalah memecahkan ijmak.
(`Abd al-Karim Zaidan, Al-Mufassal fi Ahkam al-Marah, 6/294, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut)

Juga Dr Wahbah al-Zuhaili membantah pandangan ini dengan memberikan beberapa hujahnya di dalam al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh. Sila yang ingin pendetilan rujuk di bawah tajuk al-Dakwah ila Ja’l ta`addud al-Zaujat bi Izn al-Qadi. Antara tokoh lain ialah Dr.Muhammad `Uqlah dalam bukunya Nizam al-Usrah fi Al-Islam yang menganggap syarat keizinan kadi sebagai pemikiran yang bid`ah dan boleh membawa kepada hubungan zina. (m..s: 324, cetakan Maktabah al-Rasalah al-Hadithah, Jordan)

Sesungguhnya Islam boleh diumpamakan sebuah kedai yang menyediakan berbagai jenis ubat untuk semua jenis penyakit.. Jangan kerana ada ubat yang dijual itu tidak bersesuaian dengan penyakit kita maka kita menganggap ubat tersebut mesti dihapuskan. Poligami adalah salah satu ubat bagi penyakit yang bersesuaian dengannya. Menghalang zina dan membantu wanita. Bagi yang tidak memerlukan ubat ini dia tidak disuruh meminumnya.

Janganlah kerana sikap atau penyakit seseorang yang teracun dengan racun Barat lalu dia ingin membakar kedai ubat yang menjual poligami. Bagi racun yang dimakan itu ubatnya adalah memahami akidah dan takutkan hukum-hakam Allah. Kembali kepada Islam, membacanya bahan tanpa prajudis dan kebencian. Baiki akidah dan kepercayaan terhadap al-Din ini. Insya-Allah. Allahu-Akhbar!!!






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Lembaran Puisi Taubah

Ya Rabbi, kini aku berada di sisi-Mu,
Aku datang dengan mata menangis,
Kudatang dengan rintihan, kegelisahan, dan kesedihan,
Telah kuperbuat banyak kejahatan dan dosa,
Sehingga jadilah aku sang pendosa,
Di sisi-Mu-lah sekarang, Ya Maha pencipta,
Aku datang dengan penuh penyesalan,
Hati ini sudah dipenuhi kesalahan,
Aku sangat malu saat menerima soalan,
Bagaikan burung yang terikat sayapnya,
Aku datang sambil jatuh bangun Wajahku merunduk ke tanah,
Aku datang dengan pandangan sembab,
Wahai Penguasa Alam, lihatlah
Aku datang dengan hati terbakar,

Tiada yang dapat menenangkan hatiku selain Dzat-Mu,
Akulah makhluk-Mu yang hanya berharap redha-Mu,
Kerana Engkaulah penentu semua perbuatan dan prilaku,
Hanya pada-Mu-lah kegundahanku dapat berlalu,
Hanya dari mata air sayang dan kemuliaan-Mu-lah Ya Allah,
Air lain tidak mengalir ke sungai-sungai tubuhku,
Semenjak diriku tercakup dalam inayah-Mu,
Tiada beban dalam tubuhku selain beban kegundahan-Mu,

Ya Allah, hariku gelap, perbuatanku salah,
Ya Allah, akulah pendosa dan bermasalah,
Ya Allah, maafkanlah hamba-Mu ini,
Ampunilah hamba-Mu yang malu ini,
Meski kejahatan segunung dosa,
Di sisi ampunan-Mu, lebih kecil dari biji gandum,
Jangan Kau masukkan daku ke dalam neraka-Mu,
Aku yang kebingungan, sedih, dan merintih,
Berharap pada-Mu, hai Yang Mahahidup lagi Mahasuci,
Aku Mohon pada-Mu, sebuah hati yang menangis dan letih,
Kerana tempat-Mu di hati yang hancur.

Ya Allah, lindungi mereka yang tak punya perlindungan,
Tataplah mereka yang keletihan,
Betapa sedikit peminta yang beroleh perhatian si sultan,
Banyaknya kebingungan membuatku gelisah,
Saksikanlah kegelisahanku, Wahai Tuhan
Ya Allah, kusandarkan diriku pada kasih sayang-Mu,
Kerana tiada yang layak disandar selain kasih sayang-Mu,
Bimbinglah hati yang gundah-gulana
Kerana hati tanpa pembimbing akan jatuh dalam sumur,
Kepala menempel ke tanah rumah-Mu,
Sambil meminta dan menghatar ampunan,
Telah datang pada-Mu tawanan yang pemalu lagi pendosa,
Sambil berharap kasih sayang dan ampunan-Mu,
Seorang pengemis dengan tangis penyesalan,
Menjadi tak berguna kerana beban dosa,
Kugapai tangan Yang Maha Pengampun,
Agar dianugerahkan sesuatu yang istimewa,

Ya Tuhan, jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya pada-Mu, agar bertambah kekuatanku untuk mencintai-Mu.

Ya Tuhan, jika aku jatuh hati, izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya bertaut pada-Mu, agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta semu.

Ya Rabbi, jika aku jatuh hati, jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling dari hati-Mu.

Ya Tuhan, jika aku rindu, jagalah rinduku padanya agar tidak lalai aku merindukan syurga-Mu.

Ya Tuhan, jika aku menikmati cinta kekasih-Mu, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhir-Mu.

Ya Tuhan, jika aku jatuh hati pada kekasih-Mu, jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru menusia kepada-Mu.

Ya Tuhan, jika Engkau halalkan aku merindui kekasih-Mu, jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepada-Mu.

Ya Tuhan ampuni dosa hambamu..










"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Tentang maut, Alam Kubur & Seksaannya

Di era peradaban manusia, seringkali kita terlupa akan hakikat sebenar bahawa suatu hari nanti kita akan menemui ajal, yang akan datang mengikut kehendakNya. persoalan demi persoalan memungkinkan dan bermain di minda kita selama ini, persoalan yang memerlukan perungkaian yang tepat dan total bagi membangkitkan lagi keimanan kita pada Maha Pencipta. Persoalan-persoalan ini akan terjawab dengan sendirinya jika kita mempunyai keimanan yang jitu terhadap Maha Esa. Lihat saja persoalan-persoalan ini :

1) Apa yang dialami oleh orang yang sakaratul maut?

2) Yang dialami atau dijalani oleh orang yang meninggal tersebut di alam kubur?

3) Bagaimanakah bentuk seksaan kubur?

4) Apa yang harus dilakukan oleh anak setelah ibubapanya wafat?

Alhamdulillah, dengan berkat Allah S.W.T yang telah memberi sedikit ilmu dengan saya kupas serta cedukkan dari buku-buku serta kitab-kitab rujukan saya, saya lampirkan olahan perungkaian persoalan tersebut untuk tatapan umum bagi memberi satu ibrah yang sangat-sangat berguna untuk diri dan generasi kita yang mendatang. Insya-Allah.

1. Yang dialami oleh orang yang sakaratul maut.
Di dalam Al-Quran Al-Karim, Allah SWT telah menceritakan bagamana malaikat didatangkan kepada orang yang akan dicabut nyawanya. Dan khusus orang yang zalim, perlakuan malaikat memang cukup kasar dan menciutkan nyali.
Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat di waktu orang-orang yang zalim berada dalam tekanan sakratul maut, sedang para malaikat memukul dengan tangannya,:

Keluarkanlah nyawamu Di hari ini kamu dibalas dengan seksa yang sangat menghinakan, kerana kamu selalu mengatakan terhadap Allah yang tidak benar dan kamu selalu menyombongkan diri terhadap ayat-ayatNya..

Sedangkan kepada orang yang beriman kepada Allah SWT dan menjadi calon penghuni syurga. Mereka demikian ramah dan baik hati. Kepada mereka Allah SWT mengatakan:

Hai jiwa yang tenang, Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku..

Sedangkan secara umum dan dari penampilan fasikh, ada hadits Rasulullah SAW yang menceritakan bagaimana keadaan orang yang sedang dicabut nyawanya:

Sesungguhnya pandangan seorang mayyit mengikuti ruhnya ketika dicabut.

2. Yang dialami orang yang meninggal di alam kubur.

Ruh itu lalu naik ke langit dan diperlakukan sesuai dengan amalnya di dunia. Bila ruh itu berasal dari orang yang beriman, maka pintu langit akan dibukakan untuknya dan disambut dengan hangat. Sebaliknya, bila ruh itu dari orang kafir, zalim dan berlumur dosa, maka pintu langit akan tertutup untuknya dan mendapat perlakuan yang hina.

Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, sekali-kali tidak akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan tidak mereka masuk surga, hingga unta masuk ke lubang jarum. Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat kejahatan.
.
Bahkan ruh itu akan dicampakkan dari pintu langit sebagaimana firman Allah SWT:

Barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh. .

Dua ayat inilah yang diucapkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadits shahih yang panjang ketika menjelaskan bagaimana ruh orang beriman dan ruh orang jahat. Salah satu potongannya kami nukilkan berikut ini:

Rasulullah SAW bersabda,

”…Lalu ruh jahat itu dikembalikan ke dalam jasadnya dan dua malaikat mendatanginya seraya bertanya, ”Siapakah rabb-mu? Orang itu menjawab,”hah..hah..aku tidak tahu”. Malaikat itu bertanya lagi,”Siapakah manusia yang diutus kepada kalian?”. “hah..hah..aku tidak kenal”, jawabnya. Lalu diserukan suara dari langit bahwa dia telah mendustakan hamb-Ku. Maka dekatlah dengan neraka dan dibukakan pintu neraka hingga panas dan racunnya sampai kepadanya. Lalu kuburnya disempitkan hingga tulang-tulang iganya saling bersilangan. Dan didatangkan kepadanya seorang yang wajahnya buruk, pakaiannya buruk dan baunya busuk dan berkata kepadanya,”Berbahagialah dengan amal jahatmu. Ini adalah hari yang kamu pernah diingatkan. Dia bertanya,”siapakah kamu, wajahmu adalah wajah orang yang membawa kejahatan?” “Aku adalah amalmu yang buruk”. “Ya Tuhan, jangan kiamat dulu”..

3. Bagaimanakah Bentuk Siksa kubur
Pertanyaan di dalam kubur dan seksanya ada disebutkan di dalam Al-Quran.

Allah meneguhkan orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki...

Dalam asbabun nuzul secara shahih diriwayatkan bahwa yang dimaksud dengan ‘Allah SWT meneguhkan orang beriman dengan ucapan yang teguh’ adalah bahwa mayat orang beriman di kubur itu mampu menjawab dengan mantap tiga pertanyaan malaikat dalam kubur, iaitu tentang siapa tuhanmu, siapa nabimu dan apa agamamu.

Dari Anas bin Malik bahwa Rasulullah SAW bersabda,

”Sesungguhnya seorang hamba ketika diletakkan di kuburnya dan ditinggalkan oleh teman-temannya, maka dia masih mendengar suara selipar mereka. Imam Bukhari menambahkan,”Sedangkan orang munafik dan kafir diserukan kepada mereka,”

4. Apa yang harus dilakukan oleh anak setelah kedua ibubapanya wafat
Yang paling utama adalah mendoakannya, kerana doa anak yang soleh adalah hal yang secara sharih disebutkan sangat bermanfaat bagi ibubapanya yang sudah meninggal. Tentu saja anak itu harus anak yang soleh, beriman dan bertaqwa. Kerana hanya doa orang yang dekat dengan tuhannya saja yang akan didengar. Jadi kalau anaknya jarang solat, tidak pernah mengaji, buta ajaran agama dan asing dengan syariat Islam, lalu tiba-tiba berdoa, bagaimana Allah SWT akan mendengarnya. Sementara makanannya makanan haram, bajunya haram, mulutnya tidak lepas dari yang haram.

Selain itu anak yang soleh boleh mengeluarkan infaq, shadaqah dan ibadah maliyah lainnya yang diniatkan untuk disampaikan pahalanya kepada orang tuanya. Tentang sampainya pahala ibadah maliyah dari orang yang masih hidup untuk orang yang sudah wafat, ada banyak dalilnya. Di antaranya adalah:

”Seseorang tidak boleh melakukan solat untuk menggantikan orang lain, dan seseorang tidak boleh melakukan shaum untuk menggantikan orang lain, tetapi ia memberikan makanan untuk satu hari sebanyak satu mud gandum. .

Dari Abdullah bin Abbas ra bahwa Saad bin Ubadah ibunya meninggal dunia ketika ia tidak ada ditempat, lalu ia datang kepada Nabi SAW unntuk bertanya:

” Wahai Rasulullah SAW sesungguhnya ibuku telah meninggal sedang saya tidak ada di tempat, apakah jika saya bersedekah untuknya bermanfaat baginya? Rasul SAW menjawab: Ya, Saad berkata:” saksikanlah bahwa kebunku yang banyak buahnya aku sedekahkan untuknya”

Bahkan sebahagian ulama mengatakan bahawa bukan hanya ibadah maliyah saja yang boleh disampaikan pahalanya kepada orang wafat, namun ibadah badaniyah pun boleh dikrimkan pahalanya untuk orang yang sudah wafat. Dalilnya adalah nash berikut:

Dari ‘Aisyah ra. bahwa Rasulullah SAW bersabda,

” Barang siapa yang meninggal dengan mempunyai kewajiban shaum maka keluarganya berpuasa untuknya”

Hadits ini adalah hadits shahih yang menyebutkan bahwa pahala puasa sebagai ibadah badaniyah boleh dikirimkan untuk orang yang sudah wafat. Selain itu pahala itu adalah hak orang yang beramal. Jika ia menghadiahkan kepada saudaranya yang muslim, maka hal itu tidak ada halangan sebagaimana tidak dilarang menghadiahkan harta untuk orang lain di waktu hidupnya dan membebaskan hutang setelah wafatnya.

Wallahu a’lam,






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Pakaian Jarang Diharam Cium Bau Syurga

MANUSIA memerlukan pakaian bagi membalut atau menutupi tubuhnya. Pakaian adalah nikmat Allah yang penting kepada manusia.Allah menyuruh manusia, khususnya umat Islam supaya memakai pakaian, seperti firman-Nya bermaksud:

"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian yang indah apabila pergi ke tempat ibadah, seperti mengerjakan sembahyang atau pun memasuki masjid, makan dan minumlah, jangan melampau-lampau, sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampaui batas."
(Surah al-A'raaf, ayat 31).

Pada masa ini, ramai berpakaian bagi melambangkan personaliti dan melindungi tubuh daripada cuaca panas atau sejuk.Oleh kerana masa atau zaman berubah begitu pantas, maka rekaan dan corak pakaian pun sentiasa bertukar dan semakin canggih. Oleh itu, tidak hairan jika hari ini lahir pelbagai jenis rekaan pakaian yang tidak lagi mementingkan aspek akhlak dan moral.

Islam sebenarnya tidak menetapkan bentuk atau warna pakaian tertentu untuk dipakai, baik ketika beribadah atau luar ibadah.. Islam menetapkan pakaian itu mesti menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim. Pakaian itu tidak menimbulkan kesan negatif terhadap pemakai dan yang melihatnya.

Antara adab berpakaian yang diatur oleh Islam ialah:-

l. Hendaklah menutup aurat.

Aurat lelaki menurut ahli hukum Islam ialah daripada pusat hingga ke lutut. Aurat wanita pula ialah seluruh anggota badannya, kecuali wajah, tapak tangan dan tapak kakinya.
Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud:

"Paha itu adalah aurat."
(Hadis riwayat Imam Bukhari).

2. Pakaian tidak jarang supaya tidak menampakkan tubuh.

Pakaian yang jarang menampakkan aurat dan tidak memenuhi syarat menutup aurat. Pakaian jarang bukan saja menampakkan warna kulit, malah boleh merangsang nafsu orang yang melihatnya. Nabi bersabda bermaksud:

"Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia, dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liuk badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh."
(Hadis riwayat Muslim)

3. Pakailah pakaian yang tidak ketat supaya tidak kelihatan bentuk tubuh. Lagi pun pakaian yang ketat menyusahkan pergerakan pemakainya.

4. Memakai pakaian yang tidak menimbulkan rasa sombong di hati pemakainya.
Nabi bersabda bermaksud:

"Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana perasaan sombong, Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat." Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda bermaksud: "Barang siapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan pada hari akhirat nanti."
(Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, An-Nasa'iy dan Ibnu Majah)

5. Tidak menyerupai pakaian golongan bukan Islam kerana dibimbangi orang Islam akan meninggalkan keperibadian Muslim sendiri.

Nabi bersabda bermaksud:

"Sesiapa meniru atau menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam golongan mereka." (Hadis riwayat Abu Daud)

6. Pakaian lelaki mesti berbeza daripada pakaian wanita.
Maksudnya, pakaian yang khusus untuk kaum lelaki tidak boleh dipakai oleh kaum wanita, begitu juga sebaliknya. Rasulullah mengingatkan hal ini dengan keras menerusi sabdanya bermaksud:

"Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Nabi juga bersabda bermaksud:

"Allah melaknat lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki."
(Hadis riwayat Abu Daud dan Al-Hakim).

7.Pakaian lelaki tidak boleh diperbuat daripada sutera kerana diharamkan kaum lelaki memakai sutera.

Nabi bersabda bermaksud:

"Janganlah kamu memakai sutera, sesungguhnya orang yang memakainya di dunia tidak dapat memakainya di akhirat."
(Hadis riwayat Muttafaq 'alaih)

8.Muslimah perlu melabuhkan pakaian hingga menutupi kaki.
Pakailah tudung/mini telekung yang sesuai bagi menutupi kepala/rambut, tengkuk, leher dan dada.Allah berfirman bermaksud:

"Wahai Nabi, katakanlah (suruhlah) isteri-isteri dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman, supaya mereka menghulurkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang."
(Surah al-Ahzab, ayat 59)

9. Memilih pakaian berwarna putih kerana ia adalah yang terbaik untuk dipakai.
Putih adalah warna yang sangat disenangi dan sering menjadi pilihan Rasulullah. Ia juga melambangkan kesucian.

Baginda bersabda bermaksud:

"Pakailah pakaian putih kerana ia lebih suci dan lebih baik, dan kafankan mayat-mayat kamu dengannya."
(Hadis riwayat An-Nasa'iy dan Al-Hakim).

Berdasarkan berita yang sahih, baginda memakai baju hijau dan serban hitam. Hijau adalah warna kesukaan Nabi.

10. Lelaki Islam tidak dibolehkan memakai cincin emas. Nabi bersabda bermaksud:

"Haram kaum lelaki memakai sutera dan emas, dan dihalalkan (memakainya) kepada wanita."

11. Apabila memakai kasut atau seumpamanya, mulakan dengan sebelah kanan.
Apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri. Rasulullah bersabda bermaksud:

"Apabila seseorang memakai kasut, mulakanlah dengan sebelah kanan, dan apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri supaya yang kanan menjadi yang pertama memakai kasut dan yang terakhir menanggalkannya."
(Hadis riwayat Imam Muslim)

12. Apabila memakai baju, seluar atau seumpamanya, mulakanlah juga dengan sebelah kanan.
Imam Muslim meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud:

"Rasulullah suka sebelah kanan dalam segala keadaan, seperti memakai kasut, berjalan kaki dan bersuci."

13. Apabila memakai pakaian yang baru dibeli,
ucapkanlah seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan At-Tarmizi (bermaksud):

"Ya Allah, segala puji bagi-Mu, Engkau yang memakaikannya kepadaku, aku memohon kebaikannya dan kebaikan apa-apa yang dibuat baginya, aku mohon perlindungan kepada-Mu daripada kejahatannya dan kejahatan apa-apa yang diperbuat untuknya, Demikian itu telah datang daripada Rasulullah."

14. Berdoa setiap kali memakai dan menanggalkan pakaian supaya memperoleh keberkatan. Ketika memakai pakaian, lafazkanlah:

"Pujian kepada Allah yang mengurniakan pakaian ini untuk menutupi auratku dan dapat mengindahkan diri dalam kehidupanku, Dengan nama Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia."

Sebagai seorang Islam, sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai menurut tuntutan agamanya. Sesungguhnya pakaian yang sopan dan menutup aurat adalah imej seorang Muslim. Insya-Allah.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template