^ Scroll to Top

Thursday, February 5, 2009

Palestin bukan milik nenek moyang Yahudi

MEMANDANG wajah bayi dan kanak-kanak yang terkorban di Gaza menimbulkan perasaan amat bersalah dalam hati kerana tidak mampu melakukan apa-apa untuk menyelamatkan saudara yang ditindas.

Soalan datang menerjah nurani keimanan, apakah bentuk bantuan paling relevan disumbangkan kepada mereka supaya kita terlepas daripada tanggungjawab sebagai Muslim di hadapan Allah SWT nanti?

Mengapa kamu membiarkan agamamu diperangi? Mengapa kamu berdiam diri menonton keganasan dan kekejaman menumpahkan darah Muslimin di atas tanah suci yang melahirkan para nabi? Apakah sumbanganmu untuk agama Allah SWT, apakah perananmu memastikan kalimah Allah SWT tertegak di atas bumi tanpa penghinaan?

Tidak mampu rasanya menjawab soalan tajam umpama peluru yang mengoyak jantung hati kita. Betapa selama ini keselesaan hidup sudah melayukan semangat Islam dalam diri yang lena. Seluruh bumi Allah SWT ini adalah tanggungjawab kita, di mana seorang Muslim lahir di situlah tanah air kita.

Amat menyedihkan, ramai di kalangan umat Islam yang jahil terhadap isu Palestin. Padahal, mereka cukup bijak dalam menempa kejayaan peribadi, kerjaya dan kedudukan selesa yang seharusnya mencelikkan hati nurani untuk memandang dengan serius isu kemanusiaan sejagat.

Bermula daripada kesedaran memahami bahawa peperangan di Palestin adalah isu agama dan keimanan. Walaupun media sentiasa memaparkan perbalahan yang terjadi antara dua kubu Fatah dan Hamas yang seolah-olah mahu menunjukkan perebutan kuasa politik, ketamakan dan kotornya peperangan sesama umat Islam sendiri.
Tujuan media Barat memaparkan isu itu supaya umat Islam yang melihat daripada kaca televisyen berputus asa terhadap masa depan Palestin dan tidak mahu lagi campur tangan kerana letih melihat pertumpahan darah sesama Muslim yang mencalarkan imej perjuangan mereka.

Padahal, isu perebutan kuasa di Gaza sebenarnya sudah selesai dengan keputusan pilihan raya yang dimenangi Hamas. Yang membangkitkan peperangan lagi adalah Israel dan sekutu kuatnya Amerika yang mahu Fatah memerintah supaya terjadi konflik berlanjutan.

Sengketa Fatah dan Hamas adalah tipu daya dan rancangan busuk Israel serta sekutunya untuk menciptakan ketidakstabilan politik dalam Palestin. Juga, menipu dunia Islam supaya mereka mempersoalkan keikhlasan pejuang Palestin itu.

Akhirnya, umat Islam seluruh dunia melupakan Palestin. Jika seorang Muslim yang mengikuti dari jauh kisah perjuangan Palestin sudah rasa bosan, tidak terdetik hati untuk berniat memberi sokongan dan pertolongan, maka dikhuatiri keadaan itu akan mencabut keimanan dalam hatinya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW juga menyuruh umatnya untuk sentiasa berada dalam keadaan membela saudara muslimnya dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Tidak ada seorang Muslim yang membiarkan saudara muslimnya ketika maruahnya dicerobohi dan kehormatannya dicela melainkan Allah SWT akan membiarkannya (tidak menolong) ketika dia memerlukan pertolongan.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud)

Kelemahan umat Islam dalam menyampaikan maklumat sahih mengenai isu Palestin dimanfaatkan Zionis yang mampu memutarbelitkan fakta dalam berita yang mereka sebar luaskan melalui media masa. Mereka menyatakan tanah Palestin adalah milik nenek moyang mereka, sedangkan jika diteliti, sejarah dunia sudah mencatatkan pembohongan mereka itu.

Asal bangsa Palestin dikenali sebagai bangsa Kan’an dan keturunannya sudah mendiami tanah itu sejak 1500 tahun sebelum bani Israel menetap di sana. Islam pula datang dan memerdekakan Palestin daripada cengkaman penjajahan dan berkuasa selama 1200 tahun..

Sejarah tamadun Islam merekodkan pembebasan Palestin daripada cengkaman Rom pada zaman Umar bin al-Khattab. Islam memberi kedamaian selama 500 tahun di mana Kristian dan Yahudi dilindungi status kerakyatan mereka sebagai kafir Zimmi yang diberi hak sebagai warga negara.

Berdasarkan fakta penyelidikan seorang ahli akademik Yahudi sendiri bernama Arthur Koestler, lebih daripada 80 peratus Yahudi hari ini langsung tidak mempunyai kaitan sejarah dengan Palestin. Majoriti Yahudi sekarang sebenarnya berketurunan Yahudi Khazar iaitu puak Tartar-Turki kuno yang asalnya bukanlah Yahudi. Mereka mendiami bahagian utara Kaukaz (kawasan bekas Soviet) yang sudah memeluk agama Yahudi pada kurun ke-8 Masihi, mereka sepatutnya pulang ke selatan Russia bukannya Palestin.

Jadi, mengapa Zionis amat berminat dengan bumi Palestin? Zionis Antarabangsa sudah merangka dengan teliti tanah jajahan yang paling strategik dan berharga dengan menciptakan negara Yahudi. Suatu ketika mereka pernah merancang memilih Uganda sebagai jajahannya tetapi di situ tidak ada nilai sentimental seperti di Baitulmaqdis yang menyimpan sejarah Bani Israel bertapak suatu ketika dulu.

Mereka juga beriman bahawa di Al-Quds akan muncul Messiah (penyelamat) dan akan mengasaskan kerajaan Yahudi yang besar seperti yang dibina oleh Sulaiman, menurut dakwaan dongeng mereka.

Sikap umat Islam terhadap penjajahan Israel ke atas Palestin tidak akan berubah sehingga hari kiamat. Kita wajib menentang sekeras-kerasnya serangan dan pencerobohan ke atas kaum Muslimin. Ulama sedunia sudah memfatwakan haram mengakui kedaulatan Israel di bumi Palestin yang terjajah.

Pada 1947, fatwa Al-Azhar menyatakan haram membahagikan tanah antara Arab dan Yahudi di Palestin dan haram mengiktiraf kewujudan negara Israel di Palestin. Pada 1956 fatwa Syaikhul Azhar dan Mufti Mesir ketika itu, al-Imam al-Akbar al-Syaikh Hassan Makmum menyatakan menjadi fardu ain ke atas Muslimin semua untuk membebaskan bumi Palestin kerana Islam tidak mengenal persempadanan antara negara.

Perdamaian dengan Israel untuk merelakan mereka menindas dan membunuh kaum muslimin, perdamaian sebegini adalah haram. Fatwa Syaikhul Azhar terkini, Syaikh Muhammad Tantawi, ulama ulung sedunia, al-Syaikh Yusuf al-Qaradawi, Mufti Mesir Syaikh Nasr Farid Wasil pula menyatakan aksi serangan berani mati ke atas Yahudi penjajah adalah satu aksi jihad dan pelakunya adalah mati syahid.

Antara tindakan minimum yang wajib dilakukan umat Islam di seluruh dunia adalah memboikot barangan Israel dan sekutu. Mereka juga haram menjalankan hubungan dagang dan memberi apa-apa bekalan musuh, termasuk memboikot Amerika yang juga sekutu utama Israel.

Dr Yusuf Al-Qaradawi menyatakan: “Satu riyal yang digunakan untuk membeli barangan Amerika bersamaan dengan sebutir peluru yang akan digunakan oleh tentera Zionis untuk membunuh anak kecil di Palestin.” Inilah jihad minimum yang wajib dilakukan.

Apakah fatwa itu mampu menggerakkan umat Islam untuk menyokong perjuangan Palestin? Setiap kali kita membaca surah al-Isra dan mengingati peristiwa Israk dan Mikraj, muncul satu pertanyaan mengenai pembabitan kita dalam isu Baitulmaqdis, adakah cukup sokongan yang diberi untuk melayakkan kita sebaris dengan mereka yang berjihad di sana?

Terdetik ketakutan atas kelalaian, memandangkan Palestin adalah tanah air kita juga kerana Rasulullah SAW sudah memberi amaran dalam hadis Baginda yang bermaksud: “Barang siapa yang tidak peduli akan nasib saudara muslimnya maka dia bukan daripada golongan mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Palestin adalah sejarah kita, perjuangan dan impian umat Islam seluruh dunia. Sudahkah kita memastikan generasi selepas kita nanti masih menjaga nilai sejarah dan kedaulatan Islam di sana? Atau anak kita akan menjadi pemuda-pemudi yang buta maklumat mengenainya? Bahkan akan melupakan cita-cita tertinggi dalam kehidupan seorang Muslim iaitu berjihad di jalan Allah SWT.

Apabila sudah terhakis semangat menegakkan agama Allah SWT dalam diri generasi Islam, tidak mustahil mereka akan mengikut jejak tali barut kuffar memerangi umat Islam sendiri. Tidak peduli dengan agama, mencampakkan al-Quran dari dada mereka dan mengejek kemuliaan hadis Rasulullah SAW kerana terlalu taksub dengan kitab dari Amerika, Eropah dan bangsa lain.

Dan menjadi kewajipan umat Islam untuk menyokong Palestin dengan harta, jiwa, ilmu dan kepakaran yang diperlukan bagi sebuah negara Islam merdeka. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah mereka beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak ragu-ragu berjihad dengan harta dan nyawa mereka. Mereka itulah golongan mukmin yang benar.” (Surah al-Hujurat, ayat 15)






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Pendidikan disertai tarbiah bentuk generasi berkualiti

SESI persekolahan 2009 sudah bermula. Kini pelajar dan guru mula sibuk dengan kegiatan harian - guru menyampaikan ilmu dan murid menerima untuk dihayati serta diamalkan dalam kehidupan mereka. Tugas guru bukan saja perlu pakar dalam profesion perguruan mengikut subjek pilihan, malah bertindak sebagai pendidik dan pembimbing cemerlang untuk menangani cabaran memenuhi tanggungjawab diamanahkan.

Firman Allah yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang buruk dan keji, serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benarnya).” (Surah Ali Imran, ayat 110)

Pendidikan cemerlang dengan lahirnya kumpulan guru cemerlang tentu dapat membantu semua warga pendidik berusaha menjuruskan reformasi potensi dan pencapaian pelajar. Perubahan ini berlaku lanjutan daripada pelbagai bentuk pengetahuan, kemahiran, maklumat dan pengalaman yang diterima pendidik dengan bertindak bukan sekadar penyampai semata-mata.

Pembelajaran lebih memfokuskan ke arah tarbiah, asuhan serta didikan untuk membentuk hati, jiwa, mental dan nurani anak didik mereka supaya lengkap dengan ciri insaniah yang baik untuk menjadi insan berkualiti.

Allah berfirman yang bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia.” (Surah al-Rum, ayat 41)

Besar nilai dan makna pendidikan menjadikan guru atau pendidik golongan penting untuk melahirkan generasi insan berilmu yang akan menterjemahkan pengetahuan diperoleh dalam bentuk tindakan ke arah masa depan lebih gemilang. Ilmu yang boleh diselaraskan dengan tuntutan syariat pula adalah pemangkin kepada lahir masyarakat berkualiti. Biarpun bukan semua guru dan warga pendidik layak diberi gelaran guru cemerlang, perlu diingat pendidikan ke arah kegemilangan ditangani dengan bersepadu oleh semua 293,608 guru di seluruh negara dalam gandingan serta matlamat yang satu.
Semangat, keazaman serta iltizam dapat menjadikan bidang pendidikan sebagai jihad bagi guru menabur jasa dan bakti. Jasa dan pengorbanan yang terarah itu membantu membangunkan bangsa serta negara. Hakikatnya, bagi semua guru anugerah bukan segala-galanya kerana yang pasti Allah sudah menjanjikan ganjaran lebih baik untuk mereka.

Firman Allah yang bermaksud: “Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang menjadikan sekalian makhluk. Tuhan yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang maha pemurah. Tuhan yang mengajar manusia menulis dengan kalam. Tuhan yang mengajar manusia apa yang manusia tidak mengetahuinya.” (Surah al-Alaq, ayat 1-5)

Jelaslah pendidikan bermula daripada proses penerokaan yang perlu disertai dengan asas agama yang kukuh. Antaranya adalah memulakan proses pencarian ilmu dengan menyebut nama Allah untuk mendapatkan keredaan dan keberkatan-Nya. Orang yang mencari ilmu atau melakukan apa juga perbuatan, jika dimulakan dengan nama Allah dapat mengelak diri terpesong daripada matlamat sebenar mereka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu adalah fardu kepada semua orang Islam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Mencari ilmu adalah tuntutan besar agama kerana aset dan bekalan kepada setiap individu dalam mengharungi kehidupan penuh cabaran ini. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin kebahagiaan di dunia, maka perlu berilmu. Sesiapa yang inginkan akhirat, maka perlu dia berilmu. Dan sesiapa yang inginkan dunia dan akhirat, maka perlulah dia berilmu.” (Hadis riwayat Muslim). Rasulullah SAW menitikberatkan setiap umatnya meletakkan usaha mencapai kebahagiaan diri dengan mencari dan mempelajari pelbagai ilmu serta kemahiran mengikut keperluan atau kecenderungan masing-masing.
Dalam konteks dunia pendidikan hari ini pula, pelbagai disiplin ilmu yang dipelajari individu perlu diselaraskan dengan pendidikan bestari sebagai persediaan melahirkan generasi berkualiti. Ilmu yang tidak digemblengkan dengan asuhan serta pendidikan mantap akan hanya melahirkan manusia yang rakus untuk memperoleh kepentingan dan kemewahan dunia dengan menghalakan cara bagi mencapai matlamat diri.

Sebagai syarat mencapai kegemilangan dan kecemerlangan, pendidik juga perlu berlumba-lumba mengejar ilmu, kemahiran serta membuat penyelidikan berkaitan bidang pendidikan. Ia boleh diperoleh melalui pengajian sepenuh masa atau secara jarak jauh seperti dilaksanakan sekarang. Islam begitu menekankan proses pendidikan pada peringkat awal kerana mudah menerima didikan, asuhan atau kemahiran yang disampaikan. Di sinilah letaknya peranan besar ibu bapa dalam menentukan hala tuju masa depan anak mereka.

Sementara guru dan pendidik adalah pendukung kepada usaha mencari keredaan dan keberkatan hidup di dunia serta akhirat. Mereka adalah penyambung seruan rasul menyampaikan ilmu Allah untuk melahirkan insan cemerlang.

Rasulullah SAW mendoakan guru dalam sabda yang bermaksud: “Dan ampunilah wahai Tuhan kami akan semua guru kami (yang telah mencurahkan ilmu kepada kami) juga kepada orang yang mengasihi kami dan menasihati kami serta memberi petunjuk kepada kami untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Warna kulit, bangsa bukan ukuran menilai keimanan ummah

ISLAM tidak membezakan darjat, bangsa atau warna kulit penganutnya. Hal ini jelas tergambar dalam ibadat kepada Allah, sama ada solat berjemaah di masjid atau menunaikan haji di Makkah. Inilah kesamarataan dalam Islam yang sentiasa menjurus kepada perpaduan ummah.

Jika ditinjau sejarah awal kedatangan Islam, banyak contoh yang menjelaskan kesamarataan yang menonjolkan Islam tidak pernah mengamalkan diskriminasi atau membezakan seseorang kerana jantina, taraf atau warna kulit.

Ketika pasukan Muslimin tiba di Babylon bertujuan untuk menguasai Mesir, raja negara itu, Al-Muqauqis meminta menemui jururunding pasukan Muslimin.

Panglima pasukan Islam iaitu Amru As mengutuskan pasukan perunding diketuai Ubadah Samit, seorang yang hitam kulitnya dengan tinggi badan lebih dua meter.

Apabila Raja Mesir melihat Ubadah, dia ketakutan dan berkata: “Jauhkan orang hitam itu daripadaku dan tunjukkan orang lain sebagai pengganti.”

Anggota rombongan Islam menjawab: “Orang hitam inilah yang paling tinggi akalnya dan dialah pemimpin kami.”
Al-Muqauqis kemudian berkata: “Bagaimana kalian dapat menerima orang hitam itu sebagai yang termulia? Bukankah dia seharusnya paling rendah?” Demikian luahan Raja Mesir penuh hairan dengan sikap kaum Muslimin itu.

Orang Islam menjawab: “Dia paling sempurna akalnya dan terlebih dulu beriman di kalangan kami.”

Raja Mesir kemudian mengalah dan berkata: “Suruh orang hitam itu berbicara dengan lembut .Saya sungguh takut melihatnya.”

Ubadah dengan jiwa yang penuh beriman dan tenang kemudian berkata kepada Raja Mesir: “Dalam pasukan kami 1,000 orang yang kulitnya lebih hitam daripada saya.”
Begitulah kisah sejarah awal penyebaran Islam di Tanah Arab yang amat kuat iman dan mantap perpaduan ummah. Tidak timbul soal warna kulit, bangsa atau keturunan tetapi mereka genggam erat akidah Islam yang kukuh dan bersepadu di bawah panji Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kemesraan, kasih sayang dan saling berbelas kasihan antara orang Mukmin diibaratkan seperti jasad, apabila satu anggota mengadu kesakitan seluruh jasad turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain.” (Hadis riwayat al Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan oleh Tabrani: “Sesungguhnya orang yang paling dekat kedudukannya antara kamu dengan-Ku adalah orang yang paling baik akhlaknya dan yang berperi laku lemah lembut mengasihi hati orang lain dan orang lain mengasihi mereka.”

Justeru, piawaian darjat dalam Islam tidak diukur pada kedudukan tinggi rendah pangkat, warna kulit, bangsa atau asal keturunan, Muslim yang tinggi kedudukan di sisi Allah ialah mereka yang mantap, ketakwaan tinggi dan akhlak luhur.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Ibnu Taymiyyah tolak fahaman sesat dalam sufi

IBNU Taymiyyah adalah ulama besar yang hidup ketika zaman penjajahan Mongol ke atas kerajaan Abbasiyyah. Beliau bukan saja seorang cendekiawan Islam, tetapi juga pejuang yang aktif menentang penguasaan Mongol.

Suasana hidupnya sekitar zaman kejatuhan kerajaan Abbasiyyah menambahkan lagi kesukaran dan dugaan beliau melakukan dakwah serta memperjuangkan ajaran Islam. Antara cabaran dihadapi ialah untuk menyatukan umat Islam kembali bersatu padu sebagai umat yang kuat bagi mengembalikan kegemilangan Islam.

Beliau menghadapi masalah daripada puak sufi yang memiliki perbezaan pendapat dan kefahaman mengenai ajaran Islam. Fahaman puak sufi yang berbeza menyebabkan umat Islam berpecah dan terbahagi kepada kelompok kecil yang menyokong ajaran ketua masing-masing.
Ibnu Taymiyyah tidak menolak bulat-bulat ajaran sufi. Beliau sendiri membahagikan ajaran sufi kepada dua, pertama ‘Wajah Shar’ie’ iaitu ajaran yang boleh diterima dan kedua, ‘Wajah Bid’a’ iaitu ajaran yang tidak diterima.

Ajaran diklasifikasikan sebagai wajah shar’ie diterima kerana konsepnya sejajar dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Ia memberi fokus kepada penyucian roh berbanding kepentingan fizikal badan bagi mencapai apa yang dikatakan nafsu mutmainnah iaitu tahap tertinggi dalam penjagaan kehendak nafsu untuk mengecapi ketenangan minda dan fikiran.

Ini bertujuan menentang nafsu amarah yang menuju kepada perlakuan kejahatan. Konsep itu diambil sempena nama perkataan sufi itu sendiri iaitu As-Safa yang bermakna penyucian.
Selain itu, ia turut menekankan amalan kehidupan yang zuhud dan tidak bermegah-megah dengan kemewahan harta dunia. Konsep itu dipanggil sebagai As-Sauk yang bermakna kain putih yang sering dipakai sebagai pakaian puak sufi bagi melambangkan kesederhanaan hidup.

Seterusnya konsep As-Suffah iaitu kehidupan sahabat Rasulullah SAW yang hidup dalam ketakwaan. Gaya hidup sahabat menjadi pegangan golongan sufi bagi menjalani kehidupan di dunia yang dianggap sebagai transit bagi mencapai kejayaan di akhirat.

Akhirnya konsep As-Saff yang menekankan kesatuan sesama umat Islam seperti simboliknya keseragaman dalam saf ketika sembahyang jemaah. Arahan imam untuk merapatkan saf sebelum mengerjakan solat adalah contoh yang melambangkan kepentingan umat Islam untuk bersatu teguh.

Semua konsep sufi itu diterima oleh Ibnu Taymiyyah, akan tetapi ada satu lagi bahagian dalam ajaran sufi yang tidak disokong beliau yang dikategorikan sebagai wajah bid’a. Fahaman itu yang menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam ketika itu.
Pertama ialah mengenai konsep Al-Barakah ataupun keberkatan. Puak sufi percaya bahawa mereka adalah golongan memiliki keistimewaan yang tidak ada pada orang lain. Oleh itu, masyarakat memerlukan mereka sebagai orang tengah bagi mencapai keberkatan Allah kerana mereka adalah golongan yang diberkati.

Ini adalah fahaman sesat bagi Ibnu Taymiyyah kerana baginya, semua orang adalah sama dan layak untuk memohon keredaan Allah tanpa memerlukan orang tengah bagi mendapat berkat Allah.

Konsep kedua adalah Al-Hulul yang bermakna untuk menetap atau tinggal di sesuatu tempat. Golongan sufi percaya bahawa Tuhan itu berada dalam tubuh mereka kerana Tuhan begitu dekat dengan mereka dan berada di mana-mana.

Ibnu Taymiyyah menolak konsep itu kerana ia bertentangan dengan konsep tauhid dan menyamai apa dipanggil hari ini sebagai ‘Anthopormophisma’ iaitu memiliki ciri ketuhanan dalam seseorang individu. Menurut beliau, seseorang tidak mungkin memiliki ciri yang sama dengan Allah Maha Kuasa.

Konsep ketiga adalah Al-Kashfu yang menyatakan bahawa golongan sufi boleh melihat perkara yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar. Dalam erti kata lain melihat perkara ghaib seperti melihat masa depan dan sebagainya.



Ini bertentangan dengan fahaman Ibnu Taymiyyah yang menegaskan bahawa dakwaan itu cuba mencabar keupayaan Tuhan kerana sepatutnya hanya Allah yang berupaya mengawal perkara ghaib. Maka sesiapa mendakwa dirinya berkongsi keupayaan itu adalah melampaui batas dan semata-mata sesat.

Konsep terakhir ajaran sufi yang ditolak Ibnu Taymiyyah adalah konsep dipanggil Ziaratul Qubr ataupun menziarah kubur. Secara prinsipnya, beliau tidak menolak dan melarang sesiapa yang ingin menziarah kubur, tetapi jika seseorang itu pergi menziarah dengan niat meminta pertolongan dan belas ihsan dari kubur berkenaan, maka ia adalah menyeleweng dan sesat.

Amalan sufi menziarah kubur ketua kumpulan mereka dan memuja serta membina tugu peringatan di atas kubur itu yang akhirnya menjadi pusat ibadah bagi golongan sufi meminta pertolongan adalah perbuatan syirik kerana ia menyekutukan Allah.

Oleh demikian Ibnu Taymiyyah menolak amalan pemujaan kubur kerana bertentangan dan adalah dosa besar di sisi agama Islam.

Kesimpulannya, Ibnu Taymiyyah tidak menolak seratus peratus dan tidaklah menyatakan bahawa ajaran sufi itu salah. Bagaimanapun, ada beberapa ajaran dalam fahaman sufi yang salah dan harus dihentikan.

Amalan yang tidak bercanggah dengan akidah Islam, boleh diteruskan kerana ia adalah salah satu cara bagi Muslim mendekatkan diri pada Tuhan. Usaha gigih beliau membetulkan ajaran sufi adalah untuk menyatukan umat Islam supaya tidak berpecah belah dan dapat menentang kuasa penjajah. Oleh itu wajarlah usaha beliau dihargai dan diingati umat Islam hari ini.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Amalan saling membantu tunjang utama hidup masyarakat

AKHLAK yang mulia sesungguhnya daripada pantulan keimanan yang mengisi dada seseorang. Jika tahap imannya rendah, maka akan tampak lemah akhlaknya begitulah jika tinggi nilai keimanan, budi pekertinya jelas terpuji.

Diri yang kaya dengan kebaikan akhlak mencerminkan kesempurnaan iman seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya.” - (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Manusia secara fitrahnya perlu hidup bermasyarakat dan tidak sempurna jika menjalani kehidupan sendirian. Bagi memastikan masyarakat terbina dalam keadaan selari kehendak Islam, maka setiap anggota masyarakat sewajarnya memiliki akhlak yang baik.

Dengan itu, hubungan antara sesama insan terjalin erat, hidup dalam suasana mesra, berkasih-sayang, selesa serta maju jaya. Sikap mementingkan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri adalah suatu keperluan hidup bermasyarakat.

Ia membayangkan adanya suasana persaudaraan jitu dan sewarna dengan arahan agama bahawa setiap Muslim itu semuanya bersaudara. Meskipun begitu, bukanlah bermakna harus mengabaikan kepentingan diri atau keluarga sendiri.

Ini adalah gambaran antara ciri orang beriman seperti dinyatakan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang kamu hinggalah dikehendakinya berlaku pada saudaranya apa yang dikehendakinya berlaku pada dirinya.” - (Hadis Muttafaqun ‘alaih)
Apabila berlaku sesuatu bencana, musibah atau kesusahan menimpa orang lain seperti kebakaran rumah, kematian ahli keluarga, dilanda banjir yang memusnahkan harta benda, kejadian tanah runtuh, kemalangan jalan raya, sebagai seorang Islam yang cintakan kebaikan hendaklah segera berlumba memberi pertolongan dengan rasa tanggungjawab mengikut kemampuan masing-masing.

Tindakan yang dilakukan atas dasar iman serta hubungan ukhuwah mencerminkan akhlak yang baik. Jika memilih sikap tidak peduli, tidak ingin ambil tahu, bermakna sombong dan mementingkan diri sendiri.

Kebaikan yang dilakukan mengikut syariat tidak sia-sia, tetap diberi ganjaran pahala seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu memperoleh (balasan) di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan paling besar pahalanya dan mohonlah ampunan kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” - (Surah al-Muzammil, ayat 20)

Jika kita renung halaman sirah Nabi SAW di Madinah, betapa tinggi dan mulianya akhlak kaum Ansar terhadap Muhajirin. Mereka sanggup mengorbankan apa saja demi keselesaan hidup kaum Muhajirin yang baru sampai dari Makkah. Ada yang rela menghulurkan makanan, pakaian, tempat tinggal dan menjadikan mereka saudara. Sungguh mengagumkan sekali.
Diceritakan ada seorang tamu baru balik dari sebuah keluarga dikunjunginya, tetapi keluarga itu tidak mempunyai apa-apa lalu berjumpa Rasulullah SAW. Lalu datang seorang lelaki dari kaum Ansar membawa tamu tadi ke rumahnya dan diletakkannya makanan di hadapan tamu itu sambil menyuruh isterinya memadamkan lampu.

Lalu ia (lelaki Ansar) menggapai tangannya kepada makanan seolah-olah ia makan tetapi (sebenarnya) ia tidak makan hinggalah tamu itu selesai makan kerana mengutamakan tamu daripada dirinya dan keluarganya.

Setelah kisah itu sampai kepada Rasulullah SAW, maka sabda Baginda kepadanya: “Sesungguhnya Allah berasa ajaib melihat kelakuanmu malam tadi terhadap tamumu.”

Maka ayat suci pun turun yang bermaksud: “Dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan, dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang yang beruntung.” - (Surah al-Hasyr, ayat 9)



Mengutamakan orang lain membuahkan suasana tolong-menolong dan terhapus sifat sombong atau mementing diri sendiri. Seterusnya akan hidup suburlah sifat berkasih-sayang kerana Allah dalam masyarakat.

Jika umat Islam menyedari bahawa gemar melakukan kebajikan dan mementingkan orang lain akan mendapat balasan baik di akhirat, sudah tentu setiap individu Muslim tidak berdiam diri dalam hal ini.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta menafkahkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka sama ada dengan senyap-senyap mahupun dengan terang-terangan mereka mengharapkan perniagaan yang tiada akan rugi, kerana Allah akan membayar hadiahnya kepada mereka dan akan memberi mereka tambahan dari kurnia-Nya, sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penerima syukur.” - (Surah Fatir, ayat 29-30)

Dalam masyarakat kita, bukan semua hidup mewah dan bahagia, pastinya ada yang tidak bernasib baik dan mengalami pelbagai masalah hidup serta memerlukan pertolongan. Seorang Muslim sejati memang tidak sanggup sama sekali melihat saudaranya terbiar hidup dalam derita tanpa berusaha membantu.

Oleh itu, jadilah Muslim yang selalu mempamerkan sahsiah diri dan akhlak mulia serta berlumba melakukan kebaikan dengan membantu saudara yang menghadapi masalah kerana pastinya kita ingin melihat saudara hidup selesa seperti mana hidup kita.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template