^ Scroll to Top

Thursday, December 18, 2008

Asal Hajarul Aswad putih

SETIAP tahun, apabila tiba musim haji, lebih dua juta umat Islam dari seluruh dunia bertamu di kota suci Makkatul Mukarramah, menyahut seruan Ilahi bagi menyempurnakan rukun Islam yang kelima itu.
Dalam ibadat itu, jemaah melakukan pelbagai ritual ibadat mengikut tertib, seperti tawaf, sai dan bercukur, dengan kemuncaknya melakukan wukuf di padang Arafah, yang jatuh pada 9 Zulhijjah.

Baitullah disebut juga Kaabah, yang terletak di tengah kota suci itu. Ia menjadi tumpuan utama pada musim haji, khususnya dalam pelaksanaan tawaf, dengan setiap jemaah mengelilinginya sebanyak tujuh kali.

Rumah Allah itu adalah kiblat kepada umat Islam seluruh dunia ketika menunaikan ibadat solat seharian dan Masjidil Haram yang menaungi kawasan itu menjadi masjid paling mulia dalam Islam.

Baitullah yang penuh berkat dan mulia itu dikenali juga dengan nama lain seperti al-Bait, al-Bait al-Haram, al-Bait al-Atiq dan Qiblat.

“Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.” (Ali-Imran: 96)

Ulama berbeza dalam mentafsirkan ayat berkenaan. Sesetengahnya mengatakan makna bait itu ialah Kaabah, sesetengahnya pula mengatakan bait itu ialah Masjidil Haram dengan dalil hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bermaksud:

“Daripada Abi Zar berkata: Aku bertanya Rasulullah s.a.w mengenai masjid yang paling awal dibina di bumi, sabdanya Masjidil Haram. Aku berkata, kemudian masjid mana? Sabdanya, Masjidil Aqsa. Aku bertanya berapa lama antara keduanya didirikan? Sabdanya, empat puluh tahun.”

Menurut cerita Ibn Zahirah al-Qarsyi, Kaabah dibina beberapa kali, iaitu oleh malaikat, Nabi Adam a.s, Nabi Ibrahim a.s, orang Quraisy, Ibn Zubair dan Hajjaj Yusuf as-Thaqafi.

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama Nabi Ismail meninggikan binaan asas Baitullah itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah:127)

Selain melakukan tawaf di rumah Allah itu, satu fenomena cukup ketara diperhatikan ketika musim haji, malah pada waktu lain ketika mengerjakan umrah, ialah tindakan sesetengah tetamu yang mengucup Batu Hitam atau lebih dikenali Hajarul Aswad.

Amalan itu didakwa sebagai mencontohi kucupan diterima daripada Nabi Muhammad s.a.w. Ulama menyatakan perbuatan istilam (melambai tangan) terhadapnya ketika memulakan tawaf atau mengucup Hajarul Aswad (sekiranya dapat) termasuk perkara sunat mengerjakan haji dan umrah.

Signifikan tindakan itu, sebagaimana digambarkan Saidina Umar al-Khattab, Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua: “Saya tahu anda adalah sebuah batu yang tidak mendatangkan bahaya dan faedah. Jika tidak aku melihat Rasulullah s.a.w mengucupmu, aku tidak akan mengucupmu.”

Nabi s.a.w menciumnya sebagaimana dilakukan nabi sebelumnya, sehingga Hajarul Aswad menjadi tempat bertemunya bibir kalangan nabi, orang soleh, jemaah haji dan mereka yang menunaikan umrah sepanjang sejarah.

Ia juga menjadi tempat permulaan dan akhir tawaf, sekali gus tempat mustajab dikabulkan doa.

Batu Hitam yang terletak di bahagian penjuru sebelah timur Kaabah adalah objek sangat disanjungi umat Islam. Secara kasar batu itu berukuran diameter 30 sentimeter dan 1.5 meter dari paras bawah.

Ia dikatakan pernah pecah kepada beberapa bahagian pada Zaman Pertengahan. Malah ada pihak mendakwa ia pecah menjadi berkeping-keping kepada lapan gugusan batu kecil.

Keadaan ini berlaku pada zaman Qaramithah, iaitu satu mazhab daripada Syiah Islamiyah al-Batiniyah daripada pengikut Abu Thahir al-Qarmathi yang mencabut Hajarul Aswad dan membawanya ke Ihsa' pada 319 Hijrah, tetapi kemudian dikembalikan lagi pada 339 Hijrah.

Gugusan terbesar dikatakan sebesar buah kurma dan tertanam di batu besar yang lain dikelilingi oleh ikatan perak dan diperkuatkan lagi dengan paku perak. Batu itulah yang dianjurkan untuk dikucup, bukannya batu di sekitarnya dan yang meliputi perak.

Antara keutamaan Hajarul Aswad kerana ia berasal daripada batu yang mulia (yaqut) dari syurga yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s agar diletakkan di satu sudut Kaabah.

Bahkan menurut tradisi Islam, batu itu berasal dari syurga pada zaman Nabi Adam a.s dan Hawa lagi, dalam keadaan putih berkilau dan bebas daripada unsur kejahatan, tetapi ia menjadi hitam kerana dosa yang diserap tahun ke tahun.



Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Hajarul Aswad itu diturunkan dari syurga, warna lebih putih daripada susu dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam.”

Dikatakan juga Nabi Ibrahim a.s yang menemui Batu Hitam dan apabila baginda membina semula Kaabah, Malaikat Jibril a.s membawa batu itu keluar dan memberikan kepada baginda.

Menurut cerita, apabila Nabi Ibrahim siap membina Kaabah, dengan bantuan puteranya, Nabi Ismail a.s, Allah memerintahkan baginda melakukan tawaf.

Baginda tidak dapat menetapkan bilangan yang tepat pusingan dilakukannya. Baginda berasa mereka yang lain juga akan keliru.

Justeru, baginda berdoa kepada Allah untuk memberikannya suatu tanda untuk digunakan bagi mengira pusingan. Malaikat Jibril membawakan batu hitam terbabit kepadanya.

Bahkan, Nabi Muhammad s.a.w turut memainkan peranan dalam sejarah Hajarul Aswad. Ini kerana pada waktu pembinaan semula struktur Kaabah, Hajarul Aswad dipindahkan sementara dan bagindalah yang meletakkan semula batu terbabit di tempat asalnya.

Satu cerita yang ditemui dalam Sirah Rasulullah Ibn Ishaq menunjukkan Nabi Muhammad s.a.w menyelesaikan satu pertelingkahan di antara suku Makkah, yang masing-masing berhak untuk meletakkan Hajarul Aswad di tempat asalnya.

Jalan penyelesaiannya ialah dengan memanggil semua pemimpin suku terbabit untuk mengangkat penjuru batu dengan satu kain dan kemudian Nabi Muhammad s.a.w meletakkan batu itu pada tempatnya dengan tangannya sendiri.

Umat Islam dari satu generasi ke generasi apabila mula tawaf dan selesai setiap pusingan, mengucup Hajarul Aswad, menyentuhnya dengan satu tangan atau sekadar memberikan isyarat kepadanya dari jauh.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Strategi kepemimpinan Islam bertunjangkan wibawa, iman

Oleh Penulis Khas YaPEIM

PERNAH suatu ketika, Saidina Umar al-Khattab mempelawa sahabat yang berhimpun di sebuah rumah mengkhayalkan apa yang paling mereka impikan. Seorang daripada mereka bersuara: “Aku mengangankan supaya rumah ini dipenuhi emas yang nantinya aku boleh belanjakan di jalan Allah.”

Seorang lain pula menyampuk: “Aku pula mengangankan supaya rumah ini dipenuhi intan permata yang nantinya akan aku sedekahkan dan belanjakan pada jalan Allah.” Ya, begitulah seterusnya hingga mereka kehabisan angan-angan dan berkata: “Kami tidak tahu apa lagi yang harus kami katakan wahai Amirul Mukminin.”

Selepas itu, barulah Saidina ‘Umar sendiri menyatakan keinginannya: “Aku mempunyai keinginan yang lain daripada kalian. Aku menginginkan sejumlah orang yang hebat seperti Abu Ubaydah al-Jarrah, Muadh ibn Jabbal dan Salim Mawla Abi Hudhayfah untuk membantu mendaulatkan kalimah Allah.”

Jika kita meneliti kisah itu, walaupun seperti gurauan seorang rakan kepada rakan yang lain, ternyata ia bukan sekadar suatu gurauan, tetapi suatu dialog cukup bermakna dan membawa mesej betapa pentingnya membina generasi berkualiti untuk melaksanakan impian dan cita-cita umat.

Dalam rangka menjayakan risalahnya untuk membangun umat dan tamadun unggul, Nabi Muhammad SAW melaksanakan program pembinaan kelompok teras yang menjadi tulang belakang pembentukan umat baru. Kelompok teras berkualiti itulah yang disebut oleh Sayyid Qutb sebagai ‘generasi Quranik yang unik’.
Generasi sahabat sebenarnya adalah generasi yang sudah mengalami transformasi secara radikal menerusi penghayatan nilai dinamik daripada ajaran al-Quran. Generasi itu juga sebaik-baik ummah yang pernah tampil di pentas dan gelanggang perjuangan Islam.

Firman Allah bermaksud: “Maka jika mereka beriman seperti kamu beriman (dengan Kitab Allah dan Rasul-Nya), maka sesungguhnya mereka beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah Engkau khuatir Wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) daripada kejahatan mereka; dan Dialah juga Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 137)

Rasulullah SAW sebagai pemimpin dan pendidik ulung, cukup mengenali potensi sahabat dan pengikutnya. Lalu Baginda SAW memberikan galakan dan bimbingan secukupnya sehingga potensi mereka dapat berkembang.

Sebab itulah di bawah pimpinan Rasulullah SAW semua orang mendapat kesempatan untuk mengembangkan bakat dan potensinya, termasuklah mereka yang pernah secara terang-terangan memusuhi Islam seperti Umar al-Khattab dan Khalid bin al-Walid.
Usamah bin Zayd pernah diberi kesempatan memimpin suatu ekspedisi ketenteraan ketika usianya belasan tahun. Penampilan beliau mengetuai suatu misi penting itu adalah satu iktibar bahawa dalam budaya kualiti tidak ada amalan cantas mencantas terhadap generasi muda berbakat yang diberikan peluang oleh kepemimpinan tertinggi.

Memang dalam beberapa hal, faktor kekananan perlu diberikan penilaian tertentu. Tetapi ia bukanlah suatu yang mutlak. Penilaian terhadap faktor kekananan tidak sepatutnya sampai menjejaskan perkembangan bakat muda.

Amalan mengutamakan potensi itu berlanjutan ke zaman selepas era nabawi. Diceritakan bagaimana dalam satu pertemuan dengan seorang khalifah zaman Bani Umayyah, seorang anak muda ditampilkan sebagai juru bicara kaumnya.

Pembinaan generasi berkualiti tidak juga berasaskan kepada faktor keturunan. Amalan mewariskan posisi penting kepada anak cucu, kaum kerabat tanpa memperhitungkan bakat dan potensi akan mengakibatkan pudarnya kualiti.

Hal itu sudah diisyaratkan oleh Allah dalam al-Quran ketika Allah mengangkat Nabi Ibrahim sebagai pemimpin manusia. Lalu Baginda memohon supaya daripada kalangan zuriatnya juga akan diangkat menjadi pemimpin. Allah SWT menjawab dalam al-Quran, yang bermaksud: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak untuk orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah, ayat 124)

Memang Tuhan kabulkan permintaan Nabi Ibrahim dengan melantik keturunan menjadi nabi, tetapi tidak semua keturunan Baginda layak dan berhak menjadi pemimpin, hanya yang berkualiti adil.

Dalam sejarah Islam, generasi sahabat pernah menyaksikan proses perpindahan kepemimpinan yang luar biasa sifatnya di mana mereka sanggup menyerahkan tampuk kepemimpinan kepada orang lain yang dikira lebih baik daripada orang mereka sendiri.

Apabila Rasulullah SAW wafat, timbullah isu perlantikan khalifah. Sebagai golongan anak tempatan yang berjasa besar menyelamatkan perjuangan Islam, orang Ansar merasakan bahawa merekalah sewajarnya mengisi jawatan khalifah.

Mereka memilih calon sesuai iaitu Saad ibn Ubadah. Tetapi mereka merelakan penyerahan jawatan itu kepada orang Muhajirin selepas diyakinkan oleh Saidina Abu Bakr al-Siddiq.

Mereka adalah orang yang realistik, menerima kenyataan bahawa orang Arab hanya mungkin bersatu di bawah kepemimpinan Quraisy. Perubahan pucuk kepemimpinan daripada Quraisy kepada bukan Quraisy akan mengundang risiko kegoyahan dan perpecahan. Sebagai orang yang tahu erti dan nilai perpaduan mereka bersedia menjadi makmum di belakang.

Mereka masing-masing tahu diri, mempunyai rasa hormat kepada mereka lebih utama. Justeru, apabila Abu Bakr dan ‘Umar berbicara keputusan segera dicapai, maka pada ketika itu tidak ada lagi yang masih ghairah berbicara semata-mata sekadar ingin berbicara.

Masing-masing tidak suka membuang-buang waktu dengan hal yang sia-sia. Mereka kesampingkan hal yang titik bengik dan perkara tidak berfaedah. Seluruh perhatian mereka tumpukan kepada matlamat perjuangan, untuk itu mereka sentiasa mengelak daripada perselisihan.

Inilah yang dimaksudkan dengan fokus kepada tujuan serta matlamat dan jauhkan daripada perselisihan. Mereka bebas daripada sifat keji seperti dengki, dendam, iri hati dan yang sama dengannya.

Justeru, dalam peristiwa pemecatan Khalid al-walid daripada jawatannya sebagai panglima tertinggi angkatan bersenjata, beliau diarahkan supaya menyerahkannya kepada Abu ‘Ubaydah al-Jarrah. Pada ketika itulah, pengikut setia Khalid mendesak beliau jangan patuh kepemimpinan baru itu.

Dengan tegas Khalid menjawab: “Aku tidak berperang kerana Umar, tetapi kerana Tuhan Umar.”

Khalid berpegang terus dengan penuh setia di bawah pimpinan panglima baru yang sebelumnya adalah orang bawahannya.

Demikianlah secebis gambaran kualiti unggul sebaik-baik ummah, generasi yang mendapat nikmat kecintaan iman buat renungan dan iktibar kita bersama.

Firman Allah yang bermaksud: “…tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu dan menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan. Mereka inilah orang yang mengikuti jalan yang lurus.” (Surah al-Hujurat, ayat 7)






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Panduan meniti kehidupan lebih baik berlandaskan al-Quran

SERING kali umat Islam diingatkan bahawa kemuliaan di sisi Allah ialah mereka yang bertakwa. Agak sukar untuk mendalami hakikat takwa kerana ada yang rasakan diri mereka mempunyai peribadi baik tetapi tanpa sedar, rupanya jauh daripada sifat seseorang yang bertakwa.
Diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengasihi hamba-Nya yang bersifat takwa, kaya jiwa serta tidak menonjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi).”

Selain bertakwa, mereka yang kaya jiwa iaitu berakhlak mulia dan tidak suka menonjolkan diri akan dikasihi Allah. Justeru, sebagai hamba yang sentiasa perlu diingatkan, perlu mencari kaedah untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

Buku Menyusur Jalan Ketakwaan adalah sebagai panduan kepada setiap Muslim untuk meniti kehidupan dengan lebih baik, semoga yang terleka akan tersedar dan yang sedar lebih istiqamah dengan amalannya.
Melalui penulisan dihasilkan penyanyi utama kumpulan nasyid popular Rabbani, Asri Ibrahim, banyak diketengahkan faktor yang boleh membawa seseorang menuju kebahagiaan dan tidak kurang perkara menghancurkan moral.

Antaranya, harta yang membinasakan manusia kerana kealpaan serta sifat mendewakan dunia menyebabkan mereka lupa mematuhi perintah Allah. Ketamakan harta menjerumuskan ramai manusia ke dalam perbuatan haram dan dosa.

Dilengkapkan dengan contoh iaitu kisah sahabat yang lebih menyintai kemiskinan semata-mata mencari keredaan Allah, penulis mengajak pembaca merenung kedudukan antara diri dengan harta yang dimiliki.

Apakah harta yang ada membuatkan kita lebih dekat kepada Allah atau sebaliknya kerana tidak dinafikan kekayaan dunia dan nikmat di dalamnya sering menjadi senjata syaitan untuk memesongkan umat Islam daripada jalan kebenaran.
Seterusnya, pembaca boleh menilai sendiri apakah keutamaan dalam hidup dan pada masa sama mengambil iktibar daripada ingatan disampaikan berserta hujah yang kebanyakannya cuba menimbulkan rasa sedar serta keinsafan.

Seseorang yang bersikap tawaduk dan qanaah (menjauhi berlebih-lebihan) sudah berjaya menepis sifat sombong dalam hatinya. Golongan itu juga nanti menjurus kepada sifat reda menerima apa juga ujian Allah.

Membaca buku Menyusur Jalan Ketakwaan seolah kita bercakap dan kadang-kala bertanya kepada diri sendiri kemudian ditemukan dengan jawapan. Lebih menjurus kepada fungsi untuk mengingatkan, buku ini penuh nasihat serta cubitan menyedarkan manusia yang sering lupa.

Tajuk perbincangannya agak ringkas membolehkan satu-satu topik difahami dengan mudah, ada menerusi kisah dan teladan serta soal jawab yang cuba memberi gambaran lebih jelas.

Buku ini sesuai untuk bacaan sendiri serta dihadiahkan kepada insan yang disayangi untuk dikongsi ilmunya ke arah menjadi manusia lebih baik.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Monday, December 15, 2008

Galakan menyebarkan ilmu dan larangan menyembunyikan

ORANG (Yahudi dan Nasrani) yang kami berikan kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian). (al-Baqarah: 146)
Huraian
Golongan Yahudi dan Nasrani mengenali Nabi Muhammad SAW sebelum kehadiran baginda lagi. Allah SWT telah mengkhabarkan berita tentang kemunculan Nabi Muhammad SAW menerusi wahyu yang disampaikan kepada Nabi Musa as juga Nabi Isa as.
Tanda-tandanya kedatangannya disebutkan seperti datang dari kaum mana, sehingga mereka mengenalnya sebagaimana anak mereka sendiri. Tetapi mereka memungkirinya dengan menafsirkan isi ayat kitab suci mereka kepada maksud yang lain.
Golongan ini sengaja menyembunyikan kebenaran. Ayat-ayat yang menceritakan tentang kemunculan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir, sehingga hari ini termaktub dalam kitab mereka yang asal. Tetapi apabila ditanyakan kepada mereka, nescaya tidak akan diakui kebenarannya.
Apabila ditanyakan kepada orang Yahudi, mereka menjawab bahawa memang Nabi itu tersebut dalam kitab, tetapi bukan yang ini. Kalau ditanyakan kepada orang Nasrani, kebanyakan mereka menafsirkan bukan Muhammad SAW yang dijanjikan Isa Al-Masih sedangkan kebenarannya telah mereka ketahui tetapi sengaja disembunyikan.
Kesimpulan
Ilmu yang diketahui perlu disebarkan kepada masyarakat umum. Apatah lagi ilmu itu mengenai satu kebenaran yang perlu ditegakkan bukannya disembunyikan. Sikap golongan Yahudi dan Nasrani yang menyembunyikan kebenaran berita kemunculan Nabi Muhammad SAW merupakan perbuatan melampaui batas.

*Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Musibah sekadar ujian ketabahan, ketakwaan

Oleh Mohd Shukri Hanapi

MUSIBAH ialah bencana, kecelakaan atau malapetaka. Dalam erti kata lain, musibah dikaitkan dengan sesuatu yang tidak baik dan mendatangkan penderitaan kepada seseorang. Meskipun begitu, Allah menjadikan musibah sebagai ujian ke atas hamba-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Kemudian Allah jelaskan mengenai orang yang sabar dalam firman-Nya yang bermaksud: “(Iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah lalu berkata sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya (Allah) jugalah (tempat) kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 156)

Dalam ayat itu Allah menyatakan bahawa setiap hamba-Nya akan diuji. Ujian Allah berlaku dalam pelbagai bentuk, seperti bencana banjir, tanah runtuh, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan. Ini untuk membuktikan siapakah yang penyabar serta tetap bertuhankan Allah dalam apa juga keadaan ditempuhinya.

Jelaslah orang yang sabar itu tetap beriktikad bahawa diri mereka hamba dan milik Allah walaupun ditimpa musibah amat berat. Malah mereka sentiasa mengharapkan balasan pahala daripada Allah dan sentiasa takuti azab-Nya.

Ibn Kathir (1992) ketika mentafsir ayat itu menjelaskan: “Dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah. Allah berkuasa melakukan apa saja ke atas hamba-Nya.”
Untuk memperkukuhkan lagi tafsirannya, Ibn Kathir membawakan beberapa hadis, antaranya yang diriwayatkan Imam Muslim yang bermaksud: “Ummu Salamah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorangpun daripada kalangan orang Islam yang ditimpa musibah, lalu ia melafazkan apa yang diperintahkan oleh Allah (iaitu firman Allah, ayat 156 surah al-Baqarah yang bermaksud), “Sesungguhnya kami adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Ya Allah, berilah pahala bagiku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya, melainkan Allah menggantikan baginya dengan yang lebih baik.”

Ummu Salamah berkata: “Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku sering bertanya kepada diriku sendiri, orang Islam manakah yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dialah orang pertama hijrah kepada Rasulullah SAW. Pertanyaan itu sering aku mengulanginya, lalu Allah menggantikan untukku Rasulullah SAW sendiri.”

Ummu Salamah berkata: “Baginda SAW mengutuskan Hatib bin Balta‘ah untuk melamarku bagi dirinya sendiri. Lalu Umm Salamah berkata lagi: Aku mempunyai seorang anak perempuan dan aku seorang wanita yang kuat cemburu. Jawab Baginda SAW: Mengenai anak perempuannya kita doakan semoga Allah cukupkan segala keperluannya dan aku mendoakan semoga Allah hilangkan rasa cemburunya itu.”

Berdasarkan kefahaman hadis itu, balasan Allah atas kesabaran Ummu Salamah yang diuji dengan kematian suaminya Abu Salamah, ialah beliau dikahwini oleh Rasulullah SAW.
Dalam hadis lain yang diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal yang bermaksud: “Abu Sinan berkata: Selepas aku mengebumikan anakku, aku masih berada di kubur. Tiba-tiba datang Abu Talhah al-Khaulani lantas memegang tanganku dan membawa aku keluar sambil berkata: Adakah engkau suka sekiranya aku menceritakan sesuatu yang menggembirakanmu? Jawab Abu Sinan: Baiklah.

Lalu Abu Talhah berkata bahawa al-Dahhak bin Abd al-Rahman bin ‘Azib menceritakan kepadaku daripada Abu Musa katanya: Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai Malaikat Maut, engkau mencabut nyawa seorang anak daripada hamba-Ku, engkau mengambil buah hatinya dan anak kesayangannya. Jawab Malaikat Maut: Ya! Lalu Allah berfirman, Apa yang ia kata (ketika kematian anaknya itu)? Jawabnya: Ia memuji Engkau dengan berkata kami ini adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Maka Allah berfirman: Binalah untuknya sebuah rumah di dalam syurga dan berilah namanya dengan Bait al-Hamd.”

Hadis kedua menjelaskan sikap Abu Sinan tetap memuji Allah walaupun anak kesayangan meninggal dunia. Jelaslah ujian Allah adalah untuk melihat kekuatan akidah hamba-Nya, sama ada hanya bertuhankan-Nya dalam keadaan senang saja atau terus bertuhankan-Nya dalam apa juga keadaan sekalipun.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa Allah menguji keimanan hamba-Nya dengan pelbagai musibah. Musibah Allah bukan sekadar kematian saja, malah ia didatangkan dalam pelbagai bentuk serta keadaan.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template