^ Scroll to Top

Monday, November 10, 2008

Perjalanan haji ibarat menuju ke syurga

IBADAT haji adalah wadah untuk Muslim memohon keampunan kerana kesalahan lalu dan meminta dimakbulkan hajat.

Jemaah perlu pastikan niat ikhlas, sihat serta rela belanjakan harta untuk jadi tetamu di Tanah Suci

SESIAPAPUN boleh berkata bahawa mereka sudah mengunjungi suatu tempat paling cantik di dunia, namun cantik pada mata, belum tentu hati setuju. Jika hati akur pada pandangan mata sehingga boleh menggetarkan sukma paling halus barulah boleh dikatakan tempat itu memang membawa kedamaian.

Seperti ketika memandang Kaabah al-Musyarrafah yang berdiri dengan mesranya, seolah ia memanggil tetamu Allah SWT dengan panggilan dari syurga. Maka hati yang datang dengan susah payah itu berusaha masuk ke pintu rahmat-Nya. Tenggelam dalam suasana syurga dijanjikan, gambaran kenikmatan syurga itu boleh dirasai dengan cara menyerahkan hati di bawah naungan Kaabah.

Bukankah Baginda SAW mengungkapkan keindahan syurga dalam perjalanan haji melalui sabda yang bermaksud: "Haji mabrur itu tiada lain ganjarannya kecuali syurga." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Syurga di akhirat yang belum pernah dirasai tetapi di dunia seolah-olah sudah merasai nikmatnya iaitu saat memandang Kaabah dalam kekhusyukan ibadah.

Aneh dan menakjubkan! Orang yang mampu tetapi belum bersedia menyerahkan hatinya kepada Baitullah. Mungkin mereka takut sebab pernah mendengar ancaman daripada sesetengah orang bahawa siapa yang melakukan kejahatan akan dibalas tuntas di Tanah Haram.
Padahal, tidak ada satu pun dalil daripada nas al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW yang membenarkan cerita karut itu. Kita mungkin pernah membaca pengalaman jemaah haji yang serba pelik dan ditokok tambah dengan pembohongan serta kepalsuan sehingga ada yang memberi gambaran menakutkan mengenai kembara cinta di kaki Kaabah.

Padahal Allah SWT tidak akan pernah mengurangi setitis pun rahmat-Nya kepada orang yang menyerahkan hatinya untuk Allah SWT. Mereka yang datang sebagai tetamu Allah SWT ini bahkan dijanjikan keampunan dan di makbulkan setiap permintaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jemaah haji dan umrah adalah tetamu Allah, jika mereka meminta daripada-Nya, Dia akan memakbulkannya. Dan jika mereka meminta ampunan-Nya, Dia akan mengampunkan mereka." (Hadis riwayat al-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Untuk mendapatkan syurga, ampunan dan dimakbulkan doa, diperlukan persediaan rapi, pengorbanan yang tidak sedikit dan keberanian menghadapi risiko tidak diduga kerana haji adalah ibadah paling besar selepas beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud: Nabi SAW ditanya: "Apakah amalan yang paling afdal? Baginda bersabda: Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Baginda ditanya lagi: Kemudian apa lagi? Sabda baginda SAW: Haji yang mabrur." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Persediaan yang dilakukan mestilah lebih hebat daripada persediaan menghadap seorang raja yang berkuasa. Masuk ke dalam istana mesti membawa imej bersih dan kedudukan terpuji di mata manusia sehingga dia layak dipanggil sebagai tetamu diraja.

Untuk memastikan diri kita layak dipanggil sebagai tetamu Yang Maha Agung, seharusnya disediakan bekalan menuju ke istana cinta-Nya di Tanah Haram iaitu:

l Persediaan ruhiyah.

Langkah pertama wajib dilakukan setiap orang yang berhajat mengerjakan haji ialah mengikhlaskan niat kerana Allah SWT. Sesungguhnya ikhlas itu menjadi rahsia antara Allah SWT dan hamba-Nya, sehingga malaikat pun tidak mampu membuka hijab rahsia itu.

Mereka tidak dapat mengetahui niat manusia walaupun mereka menuliskan apa saja yang dikerjakannya. Ikhlas juga menjadi musuh terhebat bagi tentera syaitan sehingga mereka tidak mampu menceroboh hati manusia yang menyimpan keikhlasan kepada Allah SWT.

Seperti jaminan Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud: "Iblis berkata: Wahai Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan. Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk orang yang diberi tangguh sampai kepada hari yang sudah ditentukan waktunya (hari kiamat). Iblis menjawab: Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka." (Surah Shaad, ayat 79-83)

Niat ibadah haji dimulakan dengan kesungguhan membaca kalimah talbiyah. Talbiyah mengandungi janji seorang hamba kepada Allah SWT. Janji untuk mengikhlaskan ibadahnya dengan laungan yang mengalir dari hati yang suci: "Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Ya Allah, tiada sekutu bagi-Mu. Semua kenikmatan aku tinggalkan, duniaku, tanah airku, harta, istana, anak dan isteri, ayah dan bondaku, pangkat dan jawatanku, aku memilih menyahut seruan-Mu Ya Allah! Tiada sekutu bagi-Mu!"

Semua kenikmatan tidak lagi menyilaukan mata, mempengaruhi hati dan perasaan, melainkan keinginan seorang hamba yang mahu Tuhan menerimanya sebagai tetamu dirahmati. Untuk memperoleh hati yang ikhlas mestilah melalui jalan pencarian ilmu.

Imam Al-Ghazali pernah berkata: "Semua manusia celaka melainkan orang yang berilmu dan semua yang berilmu itu celaka kecuali yang beramal dan semua yang beramal itu celaka melainkan yang ikhlas. Dan orang yang ikhlas sentiasa terdedah bahaya yang besar."

Bagaimana mungkin mendapat haji mabrur tanpa ilmu dan keikhlasan, hanya membawa bekalan harta untuk percutian atau untuk mencari gelaran panggilan haji atau hajah. Alangkah terkejutnya orang yang tidak berilmu apabila melihat dugaan mencabar di Tanah Haram sehingga hatinya memberontak menuntut kesenangan yang biasa dirasai ketika di tanah air sendiri.

Di manakah adab sebagai tetamu? Jika lidah tidak bersyukur dan reda menerima ujian ketika berada di rumah Allah SWT, jika hati mengeluh atas layanan Allah SWT kepadanya? Sesungguhnya keindahan ibadah haji itu tergambar dengan perhiasan hati berkilauan.

Dimulakan dengan ikhlas, tawakal, syukur, reda, sabar, warak, zuhud, tafakur, muhasabah dan mahabbah akhirnya bermuara di telaga takwa seperti firman-Nya yang bermaksud: "(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats (mengeluarkan perkataan yang menimbulkan berahi yang tidak senonoh atau bersetubuh) berbuat fasik dan berbantah-bantahan ketika mengerjakan haji dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal." (Surah al-Baqarah, ayat 197)

l Jasadiyah.

Bekalan pertama sudah disediakan dengan sempurna dan yang tidak kalah pentingnya juga ialah bekalan jasadiyah, tubuh badan yang sihat. Perjalanan yang jauh, tempat tinggal dan keperluan asas kurang selesa, makan minum ala kadar, rehat tidak cukup dan gangguan semasa perjalanan sedikit sebanyak mempengaruhi tahap kesihatan tetamu Allah SWT.

Hakikat itu mesti dihadapi dengan kekuatan jasmani dan penjagaan kesihatan yang rapi sebelum berangkat, ketika di Tanah Suci dan perjalanan pulang kembali. Kadang-kadang ada yang merajuk tidak mahu makan, kesal dengan layanan petugas dan menuntut macam-macam untuk keselesaan. Apakan daya manusia hanya mampu mentadbir namun Allah SWT yang mentakdir.

l Maaliyah

Perbelanjaan untuk mengerjakan haji tidaklah sedikit, jika seseorang memilih untuk melaburkannya, mungkin ia akan mendapat banyak keuntungan dan terus menerus menunda keberangkatannya. Hanya orang yang dipilih Allah SWT mahu menyerahkan hartanya di jalan Allah SWT.

Ia beranggapan harta itu milik Allah SWT, hak Allah SWT dan tidak ada sebab baginya untuk menyimpan, menghitung dan melonggoknya tanpa memberi manfaat untuk agamanya. Sesungguhnya harta yang dikeluarkan untuk mengerjakan haji sama pahalanya dengan nafkah fisabilillah.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Pengeluaran untuk melaksanakan haji sama seperti nafkah fi sabilillah (jihad atau usaha di jalan Allah), satu dirham dibalas dengan tujuh ratus kali ganda." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Ramai orang terikat dengan hartanya sehingga menampakkan sifat kedekut, takut hartanya berkurangan, menghitung setiap sen dikeluarkan dengan perasaan takut jatuh miskin.

Orang yang apabila menerima rezeki mengharap yang banyak tapi jika memberi amat sedikit. Perjalanan haji memaksa seseorang melepaskan rasa terikat kepada harta dan menyerahkan segala kepada Allah. Apabila ketiga-tiga bekalan itu mampu disiapkan maka kejarlah pahala ibadat dengan gembira dan nantikan suasana syurga dalam naungan Kaabah








"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Tabiat asal manusia cenderung pada kebaikan

ORANG yang berakhlak dirujuk mereka yang sopan budi bahasa dan elok tingkah laku, manakala tidak berakhlak iaitu mereka yang berperibadi buruk.

Tetapi, apakah orang yang dikatakan tidak berakhlak itu tiada sisa kebaikan, sehingga dia memang jahat, tiada belas ihsan dan adab langsung?

Suatu hakikat yang diakui, manusia mempunyai kesedaran akhlak.

Ini menunjukkan manusia ada akhlaknya, walaupun kadang kala dengan mudah mengatakan seseorang itu tidak berakhlak.

Bukti tersematnya perasaan ini ialah adanya di dalam diri kita yang mencela tindakan tidak berakhlak, sehingga kita tidak senang dengan nilai dan amalan tidak berakhlak.

Malah, keadaan itu memaksa kita menyerahkan diri kepada pihak yang berkuasa supaya diambil tindakan dan hukuman.

Demikian juga, perasaan yang mendorong orang ramai membantu golongan susah dan teraniaya.

Begitu juga kebiasaan untuk menilai dan mengukur orang lain dengan ukuran kebaikan atau keadilan dalam semua bentuk kegiatan hidup manusia.

Oleh kerana perasaan ini begitu mendalam di dalam diri manusia, kebanyakan cerdik pandai berpendapat perasaaan akhlak ini adalah fitrah semulajadi yang sedia ada sejak awal kejadiannya. Pendapat ini dapat dibahagi kepada tiga, iaitu:

1. Pendapat yang mengatakan asal manusia ialah jahat. Maksudnya di sini, manusia dijadikan dengan tabiat asalnya memang jahat, manakala tabiat baik hanya datang kemudian. Pendapat ini menurut pengkaji jelas dalam fahaman Buddha dan Kristian melalui konsep “Penebusan Dosa Anak Adam” dengan menyalib seorang yang dikatakan Nabi Isa a.s.

2. Pendapat yang mengatakan tabiat asal manusia ialah baik. Maksudnya ialah manusia dijadikan dengan tabiat asal yang baik. Tabiat jahat yang ada hanyalah datang kemudian. Pendapat ini mula dikemukakan Socrates dan aliran Stoicisme di zaman Greek Tua, yang kemudian ditonjolkan oleh Jan Jack Ronsaux.

3. Pendapat yang mengatakan manusia dijadikan dengan tabiat asal baik dan jahat, iaitu mempunyai dua persediaan semulajadinya, persediaan untuk baik dan jahat.

Pendapat ini adalah agak sederhana berbanding dua pendapat di atas dan ia dipersetujui banyak pihak.

Sebelum ini pendapat yang ketiga ini dikemukakan dua tokoh ahli fikir Islam, Imam al-Ghazali dan Ibn Khaldum, dengan sedikit penambahan di antara kedua-dua tabiat semula jadi yang ada pada diri seseorang, mereka lebih cenderung kepada kebaikan daripada kejahatan.

Jika diperhalusi, ketiga-tiga pendapat itu melihat dari sudut berlainan. Aliran pertama melihat dari sudut jasmani semata-mata, kedua melihat dari unsur rohani manakala ketiga dari kedua-dua sudut jasmani dan rohani.

Dibandingkan di antara ketiga-tiga pendapat itu, aliran ketiga lebih tepat kerana ia membabitkan jasmani dan rohani.

Ada beberapa nas al-Quran yang bertepatan dengan pendapat ketiga, seperti firman-Nya, bermaksud:

“Serta bumi dan yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-Nya). Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan ketakwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya susut dan terbenam kebersihannya. (as-Syams:6-10)

Terdapat juga ayat yang menjelaskan lagi pendapat mengatakan manusia lebih cenderung kepada kebaikan daripada kejahatan, seperti maksud ayat ini, yang bermaksud:

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik.” (Ali 'Imran: 110)

Sama ada tabiat baik lebih dulu lahir pada seseorang atau tabiat jahat, tabiat semulajadi itu boleh menerima perubahan dan pembentukan.

Ketiga-tiga aliran ini juga berpendapat tabiat baik dan jahat tidak diberikan dengan sama rata.

Tetapi, sebenarnya ada yang dijadikan dengan tabiat baiknya lebih mendahului daripada tabiat jahatnya. Demikian juga sebaliknya.








"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Awasi Nafsu

NAFSU adalah sebahagian daripada manusia dan manusia tidak boleh berpisah daripadanya selagi bernafas.

Malah, dengan nafsu dunia menjadi indah dan begitu menarik. Dengan nafsu juga manusia mempunyai keturunan dan manusia boleh membangunkan diri dan tamadun, sehinggakan dengan nafsu manusia boleh menjadi pincang.

Barangkali ada juga orang beranggapan, jika tiada nafsu di dalam dirinya, tidaklah dia terikut-ikut dengan nafsu. Tetapi nafsu adalah anugerah Allah. Di dalamnya ada ilham baik dan buruk, seperti maksud firman-Nya: "Kami ilhamkan kebaikan dan keburukan di dalam hati manusia."

Berjayalah sesiapa yang dapat mendidik hati sebagaimana kalangan nabi dan rasul. Ini kerana mereka yang boleh menguasai hati mampu menguasai nafsu. Sebaliknya, mereka yang rosak hati menjadi tunggangan nafsu.

Mulia atau hinanya manusia bergantung kepada sejauh mana manusia boleh atau tidak mengawal nafsu tetapi nafsu pula bukan untuk dibunuh atau dinyah daripada diri, cuma ia perlu dididik, diasuh dan dikawal sebaik yang mungkin.

Al-Quran membahagikan nafsu kepada tiga iaitu nafsu 'amarah' (nafsu jahat), 'lawwamah' (menyesal apabila buat kejahatan) dan 'mutmainnah' (tenang).

Apabila buta martabat nafsu, manusia akan teraba-raba dalam kegelapan, malah tidak tahu kedudukan di sisi Tuhannya.

Ada orang menyangka diri mereka mulia tetapi sebenarnya hina di sisi Allah. Ada orang dihina tetapi mulia di sisi Allah sebab berjaya mengawal nafsu. Ada juga orang berasa dia sepatutnya dimuliakan dengan kedudukan tetapi patut dihina di sisi Allah.

Bagi mengendalikan nafsu sama ada remaja atau orang dewasa, mereka kena mengetahui terlebih dulu pintu kemasukan syaitan yang boleh merosakkan nafsu, iaitu:

  • Terlalu cinta kepada dunia, sehingga tewas cinta Allah.

  • Tamak haloba, hingga lupa kemahuan dan kemampuan diri. Maknanya, walaupun tidak mampu, mereka tetap mahukannya.

  • Hasad dengki, iaitu berasa senang apabila orang lain mendapat musibah tetapi susah hati apabila orang lain mendapat kesenangan. Tidakkah dengki namanya itu?

  • Wanita. Nafsu boleh rosak kerana wanita. Bagi lelaki, nafsu boleh jadi tidak terkawal apabila berdepan wanita.

  • Gopoh gapah, maksudnya tidak berfikir panjang dalam melakukan sesuatu.

  • Taksub, iaitu sifat atau pegangan yang keterlaluan dalam menghadapi sesuatu. Disebut juga fanatik.

    Selepas mengetahui pintu atau punca nafsu menjadi jahat, remaja perlu juga mengetahui cara untuk mengawal dan mengelakkan daripada bahaya nafsu jahat terbabit, antaranya:

  • Tutup pintu kemasukan syaitan yang boleh merosakkan nafsu tadi rapat-rapat.

  • Hapuskan segala sikap kotor, jangan dengki lagi, jangan bersikap tamak dan jangan terlalu mencintai dunia.

  • Hancurkan gangguan syaitan, iaitu dengan selalu berzikir terutama dengan zikir yang diajarkan Rasul seperti 'ma'thurat' dan baca al-Quran.

  • Perbanyakkan solat sunat dan rajin-rajinlah bangun solat malam (qiyamullail).

  • Banyak bersedekah.

  • Berkawan dengan orang miskin.

    Remaja sekalian! Sebagai Muslim, kita juga kena membiasakan diri mempunyai al-Quran kecil di tangan. Ini kerana apabila tiba gangguan syaitan tadi, terus buka Quran kecil, mudah-mudahan kita sentiasa dilindungi Allah, sebab keinginan kita untuk berzikir (mengingati Allah).

    Kemudian, biasakan diri selalu menziarahi orang sakit atau orang yang hendak meninggal dunia, ziarah kubur dan tulis wasiat kerana perkara ini boleh mengingatkan kepada kematian, menginsafkan kita dan paling penting mendidik dan menguatkan hati supaya dapat menewaskan nafsu.







  • "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Keadaan ummah di Tanah Suci bagai lambang perhimpunan agung di Padang Mahsyar

    PERHIMPUNAN umat Islam daripada pelbagai bangsa dan bahasa, berlainan rupa dan warna kulit di satu tempat khusus, iaitu Makkah al-Mukarramah pada Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah adalah gambaran cukup simbolik berkenaan perhimpunan agung seluruh umat manusia di Padang Mahsyar.

    Kemuncak Zulhijah yang hampir tiba, umat Islam yang berkemampuan diperintahkan untuk menunaikan ibadat haji ke Baitullah al-Haram. Haji bererti menuju ke sesuatu tempat suci. Haji juga menziarahi Kaabah, melakukan wukuf di Arafah, sa'ie antara Bukit Safa dan Marwah dengan cara tertentu dalam waktu dan niat tertentu.
    Umumnya, ibadat haji mengandungi beberapa amalan rukun dan wajib haji yang cukup simbolik membawa seribu satu rahsia serta pengertian yang hanya dihayati setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah.

    Pertamanya, berihram dengan niat menunaikan ibadat haji dan meninggalkan larangan berkaitan dengannya selepas memakai pakaian ihram. Antara hikmah seseorang itu memakai ihram ialah datangnya untuk menyahut seruan Allah. Ia wajib dilakukan penuh khusyuk dan tawaduk.

    Mereka yang berihram menyerah diri kepada Allah seperti mayat yang dikafankan dengan helaian kain putih bersih. Menyedari akan hakikat itu, manusia sebenarnya adalah sama taraf di sisi Allah dan nilai diambil kira oleh Allah bukanlah hartanya bertimbun tetapi takwa yang kukuh di sudut jiwa.
    Amalan wukuf pula adalah satu perhimpunan besar manusia dari seluruh pelusuk dunia ke padang yang satu di bawah terik mentari, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredaan Ilahi.

    Perhimpunan jutaan manusia itu melambangkan perhimpunan besar yang bakal di hadapi setiap manusia bagi dihisab amalan diri di Padang Mahsyar kelak. Oleh itu, setiap insan perlu menghisab diri dan bertaubat sebelum Allah pamerkan dosa itu di depan jutaan manusia di Padang Mahsyar.

    Ada pendapat mengatakan perkataan Arafah itu berasal daripada pertemuan kembali Nabi Allah Adam dan isterinya Siti Hawa yang diturunkan ke bumi secara berasingan dan akhirnya mereka bertemu kembali di lembah yang dikenali sekarang dengan Padang Arafah.

    Ada juga ulama yang menyatakan bahawa ia berasal daripada peristiwa pertemuan Nabi Allah Ibrahim dengan isterinya, Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail yang lama berpisah.
    Sebahagian ulama berpendapat perkataan Arafah itu adalah hasil pemahaman Nabi Ibrahim yang menghayati perintah Allah dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail. Oleh kerana itulah, hari wukuf di Arafah juga dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud hari renungan. Ini kerana Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya yang berturut-turut dan akhirnya Baginda faham (Arafa).

    Seterusnya, bermalam di Muzdalifah selepas selesainya amalan wukuf di Padang Arafah dan dalam perjalanan menuju ke Mina. Muzdalifah adalah tempat persinggahan Rasulullah SAW dalam perjalanannya dari Arafah ke Mina.

    Menurut satu riwayat, Rasulullah SAW mendirikan solat sunat dua rakaat lewat tengah malam di Muzdalifah. Untuk menghayati sunnah Rasul itulah, setiap jemaah haji di wajibkan bermalam di Muzdalifah. Setengah riwayat menyatakan jemaah sebaik-baiknya berada di sana selepas tengah malam sehingga terbit fajar.

    Selepas solat Subuh, barulah jemaah bertolak ke Mina. Oleh kerana kesesakan akan berlaku disebabkan terlalu ramai jemaah bermalam di Muzdalifah, waktu sejenak saja selepas tengah malam sudah memadai untuk memenuhi kewajipan bermalam itu.

    Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: "Tidak mengapa kamu mencari anugerah Tuhanmu. Maka apabila kamu meninggalkan Arafah, sebutkanlah nama Allah di Masy'aril Haram, ingatlah akan nikmat-Nya kerana Dialah yang memberikan petunjuk kepada kamu pada hal sebelumnya kamu adalah orang yang sesat." – (Surah al-Baqarah, ayat 198)

    Bermalam di Mina pada Hari Raya Haji dan hari-hari Tasyrik bertujuan untuk melahirkan rasa syukur atas nikmat dianugerahkan Allah. Pada hari itu disunatkan menyembelih korban sebagai tanda kesyukuran dan mengikuti sunnah yang dianjurkan.

    Kewajipan utama ketika jemaah haji berada di Mina ialah melontar di tiga jamrah. Lontaran pada ketiga-tiga jamrah adalah simbolik terhadap perjuangan Nabi Allah Ibrahim yang diganggu iblis ketika hendak menyembelih puteranya Nabi Ismail lalu dibalingnya dengan batu berulang kali.

    Kemudian iblis mengganggu Nabi Ismail supaya mengingkari perintah Allah tetapi berjaya ditentang. Akhirnya Iblis pergi kepada Siti Hajar untuk menghasutnya supaya memarahi perbuatan suaminya Nabi Ibrahim tetapi tetap gagal.

    Selepas itu, jemaah haji akan melaksanakan tawaf haji yang lebih dikenali sebagai Tawaf Ifadah. Setelah bertawaf mengelilingi Kaabah, jemaah haji juga diwajibkan bersa'ie iaitu berjalan atau berlari anak antara Bukit Safa dan Marwah. Sa'ie, imbasan kepada peristiwa Siti Hajar yang kehausan mencari air untuk anaknya, Nabi Ismail.

    Akhirnya, setiap jemaah haji berada di penghujung ibadat iaitu bertahallul yang bermaksud mengakhiri ihram dengan menggunting atau bercukur seluruh rambutnya. Apabila segala rukun dan wajib haji sudah disempurnakan dengan sebaiknya, maka hendaklah bermohon supaya Allah menerima segala amalan hajinya.

    Bertahallul ertinya membebaskan diri daripada segala pantang larang ihram. Apabila seseorang itu bertaubat, melakukan ketaatan melalui ibadat haji dan seterusnya mengenali hakikat dirinya sebagai hamba Allah, maka jadilah dia seperti seorang bayi baru lahir yang bersih daripada segala dosa.

    Demikianlah antara hikmah tersurat di sebalik amalan rukun dan wajib haji yang akhirnya menyingkap seribu satu rahsia cukup agung kepada setiap Muslim yang bertakwa. Berjaya dan berbahagia seseorang Muslim di sisi Allah terletak kepada sejauh mana dia mendekatkan dirinya kepada Allah dalam segala tindak tanduk, perilaku, pergaulan seharian dan ibadatnya.







    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Tuesday, October 28, 2008

    Seruan Suci

    "MARILAH mendirikan solat, marilah menuju kejayaan!" Itu antara maksud lafaz azan yang bergema setiap kali masuk waktu solat, menyeru umat Islam bersegera melaksanakan perintah Allah.

    Azan adalah satu syiar Islam yang mengingatkan Muslim mengenai waktu solat yang lima, sekali gus memberikan isyarat supaya meninggalkan seketika segala urusan dunia untuk sama-sama menuju kepada rahmat dan kasih sayang Allah.

    Satu hadis Rasulullah s.a.w bermaksud: "Apabila tiba waktu solat hendaklah seorang daripada kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

    Panggilan suci itu adalah bersifat universal kerana lafaznya sama walaupun di dalam komuniti berbilang bangsa dan berbeza generasi dari dulu hingga kini, malah dengan pengertian yang sangat sempurna lagi menyeluruh, menjadikannya suatu simbol perpaduan umat Islam sejagat.

    Secara harfiah, azan membawa maksud pemberitahuan ('al-i'lam) atau seruan (an-nida'. Al-Quran, sunnah dan ijmak menyatakan, laungan azan mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar.

    Ia dihukumkan sebagai sunat muakkad ketika hendak mendirikan solat dan fardu kifayah bagi satu-satu kumpulan orang Islam.

    Bagi muazzin, iaitu orang yang melaungkan azan ketika melafazkan "hayya `alassolah", hendaklah menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kanan dan ketika membaca "hayya `alal falah" menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kiri.

    Disunatkan juga melakukan tarji' ketika mengumandangkan azan iaitu menyebut dua kalimah secara senyap sebelum dinyaringkan.

    Malah, sunat muazzin memasukkan dua anak jarinya ke dalam kedua-dua telinganya dengan tujuan untuk meninggikan suara.

    Ketika mengumandangkan azan, muazzin tidak boleh bercakap. Setiap lafaz azan dilaungkan sebanyak dua kali kecuali lafaz takbir yang awal disebut empat kali dan lafaz kalimah tauhid di akhirnya sekali sahaja.

    Azan harus dilafazkan oleh seorang lelaki yang beragama Islam, berakal, dilafazkan dalam bahasa Arab dan dilaungkan ketika masuknya waktu solat.

    Ia juga harus diseru oleh muazzin yang suci daripada hadas besar, hadas kecil dan najis, dengan mengadap ke arah kiblat dan suara yang nyaring ketika melaungkannya.

    Azan disyariatkan pada tahun pertama hijrah di Madinah al-Munawarrah. Perkara ini diceritakan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Umar r. a:

    "Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan solat. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi s.a.w telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat cara memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai ke masjid melakukan solat jemaah.

    Dalam mesyuarat itu terdapat beberapa cadangan. Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat, ada yang mencadangkan ditiup serunai ataupun trompet; dan ada yang mencadangkan dibunyikan loceng. Semua usul itu ditolak Rasulullah s.a.w.

    Umar bin al-Khattab mencadangkan diteriakkan ucapan: "Telah datang waktu solat". Usul ini diterima Rasulullah s.a.w tetapi baginda menukar lafaz itu dengan lafaz "assolatu jami`ah" yang bererti "marilah solat berjemaah."

    Pada suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi mengenai cara yang lebih baik memberitahu solat dengan mengumandangkan Allahu Akbar... (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)".

    Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui Rasulullah s.a.w dan baginda bersabda: "Mimpimu itu mimpi yang benar". Nabi s.a.w memerintahkan Bilal bin Rabah mengumandangkan azan terbabit. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan beliau juga bermimpi seperti Abdullah bin Zaid."

    Inilah buat kali pertama azan dilaungkan dengan kalimah yang mempunyai gaya tersendiri lagi unggul, tanpa sebarang unsur peniruan, malah laungan kalimah suci ini lebih bermakna berbanding yang lain.

    Lafaz azan mengandungi makna kesatuan yang merangkumi aspek akidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga aspek terbabit saling melengkapi dan sangat penting, kerana jika tiada satu daripada tiga aspek itu menjadikan seseorang Muslim tidak sempurna.

    Akidah seseorang Muslim ialah tauhid, iaitu mengimani Allah, satu-satunya yang disembah. Tauhid ini terangkum dalam lafaz azan dan ini jelas memberitahu yang Allah Maha Besar, tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh-Nya.

    Lafaz itu juga menjadi kalimah syahadah bagi mereka yang mahu memeluk Islam dan ia adalah slogan utama yang wajib dipegang dari awal hingga akhir hayat.

    Bagi mereka yang memerhatikan dengan teliti pengertian kalimah azan, dengan sendiri akan menjadi orang yang bersemangat, cergas dan rajin kerana kalimahnya menerangkan erti suatu kebesaran Ilahi dan sebuah kehidupan insani, yang bertanggungjawab memelihara amanah terhadap dunia dan akhiratnya.

    Justeru, terdapat sesetengah golongan yang bersih hatinya akan bersegera mendirikan solat apabila azan dikumandangkan, kerana mengetahui urusan Allah lebih utama, berbanding urusan duniawi sesama manusia.

    Mengimani Nabi Muhammad s.a.w sebagai pesuruh Allah memberi pengertian baginda adalah utusan yang dihantar Allah untuk memimpin dan memberi pertunjuk kepada seisi alam, sekali gus menuntut kepatuhan kepada syariat yang diajarkannya.

    Azan mempunyai keunikan kerana gema keagungannya mampu menyentap fitrah manusia yang leka dan lalai daripada mengingati Allah, malah membuatkan seseorang itu terdiam seketika kerana menghormatinya.

    Di sesetengah negara seperti di Malaysia, rakaman azan turut disiarkan melalui radio dan televisyen bagi memberikan makluman kepada Muslimin, sesuai dengan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi yang sewajarnya dijulang semua pihak.

    Kemuliaan azan dapat dilihat melalui anjuran Nabi s.a.w terhadap umatnya, malah diceritakan dalam satu hadis diriwayatkan al-Bazzar, bermaksud:

    "Rasulullah s.a.w pada malam Israk diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s dan Nabi Nuh a.s, Allah s.w.t menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi."

    Disebabkan kemuliaan azan, orang yang mendengarnya hendaklah menghormatinya, dengan diam seketika bagi memberikan laluan azan dikumandangkan, di samping menyahut seruannya secara perlahan-lahan dengan lafaz yang diucapkan oleh muazzin, kecuali pada lafaz "hayya `alassolah" dan "hayya `alal falah" disahut dengan 'la haula wala quwwata illa billah' yang bermaksud 'tiada daya dan kekuatan kecuali daripada Allah.'

    Pada azan Subuh, iaitu setiap kali dilaungkan 'assolatu khairun minannaum' (solat lebih baik daripada tidur) dijawab orang yang mendengar dengan 'sodaqta wa barirta' , maksudnya engkau benar dan engkau berbuat baik."

    Selesai azan, umat Islam dianjurkan berdoa, seperti: "Wahai Allah, Tuhan yang menguasai seruan yang sempurna ini dan solat yang didirikan. Berikanlah kepada Nabi Muhammad kurnia dan keutamaan serta kedudukan yang terpuji yang Engkau janjikan untuknya."

    Azan tidak hanya dilafazkan bagi tujuan solat fardu, malah ia juga disunatkan saat kelahiran bayi, mencontohi tindakan Nabi Muhammad s.a.w yang mengazankan Hasan ketika beliau dilahirkan oleh Fatimah.

    Ia juga dapat dimanfaatkan sebagai isyarat untuk memaklumkan sebarang kejadian besar, seperti kebakaran dan waktu perang dan ketika pengebumian jenazah dan bagi memulakan perjalanan (musafir).

    "Daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya): Apabila dilaungkan azan untuk solat, syaitan akan menjauhkan dirinya sambil terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak terdengar lagi azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan kembali lagi sehinggalah iqamat untuk solat diserukan dia akan menjauhkan diri. Sehinggalah selesai iqamat itu barulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi antara seseorang itu dengan dirinya (mewas-waskan). Dia akan berkata : Ingatlah begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap sesuatu yang tidak sewajarnya diingati sehinggalah lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia bersolat." (Riwayat Imam Bukhari)

    Azan juga boleh diamalkan untuk mengubati orang yang dalam kerasukan serta menghindari mereka daripada kejahatan jin dan syaitan, bahkan sunat mengazankan orang yang buruk sifatnya sama ada daripada manusia atau haiwan dan orang yang resah gelisah kerana azan itu boleh menghilangkan keresahan.







    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

     
    Dear Diary Blogger Template