^ Scroll to Top

Tuesday, October 28, 2008

Waktu afdal lakukan solat sunat

Antara solat sebelum dan selepas solat fardu lima waktu ialah:
  • Solat sunat yang dilakukan sebelum dan selepas solat Zuhur, sekurang-kurang dua rakaat dan sebanyak-banyaknya empat rakaat. Dari Ummi Habibah r.a: "Sesiapa yang memelihara sembahyang empat rakaat sebelum sembahyang Zuhur, dan empat rakaat sesudahnya dia diharamkan Allah daripada neraka." – (Abi Daud dan at-Tirmizi)

  • Solat sunat sebelum solat Asar. Dari Ali bin Abi Talib, "Nabi SAW sembahyang sebelum Asar empat rakaat yang dibatasi antara rakaatnya dengan satu ucapan salam atas malaikat muqarrabin dan yang mengikuti mereka iaitu kaum Muslimin dan Mukmin." - (at-Tirmizi)

  • Solat dua rakaat sunat selepas solat Maghrib. Tetapi apabila sahabat melakukan solat sunat sebelum Maghrib, Nabi Muhammad SAW tidak melarangnya.
  • Solat sunat sebelum solat Isyak dan selepas Isyak.

  • Solat sunat dua rakaat sebelum solat Subuh dan tidak boleh sembahyang sunat itu dikerjakan sesudah sembahyang Subuh. Dari Aisyah r.a. dari Nabi SAW berkata ia: "Dua rakaat Fajar itu lebih baik dari dunia dan segala yang ada di dalamnya." - (Diriwayatkan oleh Muslim)







  • "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Ganjaran akhirat tiada bandingan

    Allah berfirman yang bermaksud : Katakanlah (Wahai Muhammad): “Mahukah supaya Aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya.
    Disediakan juga pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan daripada Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan hamba-hamba-Nya. (Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada azab neraka”. (Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.. (ali-‘Imran: 15-17)
    Sheikh Sya’rawi berkata: “Berdasarkan ayat sebelum ini kepelbagaian jenis nikmat dan perhiasan. Seterusnya dinyatakan ayat yang membicarakan berkenaan dengan tawaran Allah SWT yang jauh lebih baik bagi mereka yang bertakwa dengan anugerah syurga dan segala nikmatnya.”
    Ayat Ke-15
    Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Mahukah supaya Aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri Yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan daripada Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan hamba-hamba-Nya.
    Sebab Nuzul.
    Ibn Jauzi meriwayatkan dalam kitabnya Zad al-Masir daripada Ata’ bin al-Said daripada Abi Bakar bin Hafs katanya: “Apabila Allah SWT menurunkan ayat 14 daripada surah ali-‘Imran lantas kata Umar: “Hai Tuhanku, sekarang ketika kamu hiasinya?” Lantas turunnya ayat ini.
    Iktibar dan fiqh ayat:
    i. Sheikh Sya’rawi berkata: “Maksud perkataan Katakanlah (Wahai Muhammad): Mahukah supaya Aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Bahawa Allah SWT menceritakan kepada kita dengan kebaikan daripada perhiasan dunia. Seolah-olah ayat ini Allah SWT menjadikan perkara tersebut sebagai qias atau perbandingan antara nikmat dunia dengan nikmat akhirat.”
    ii. Sheikh Sya’rawi berkata: “Di sisi Tuhan di sini jelas terpampang perbandingan antara ayat ini dan sebelumnya sebagai contoh:
    nBeberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dibandingkan dengan nikmat tanaman tumbuhan di dunia.
    nMereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih dibandingkan dengan sifat wanita di dunia sama ada dari segi akhlak dan kejadian.
    iii. Al-Maraghi berkata: “Perkataan lebih baik (khayrun) memberi gambaran bahawa pelbagai jenis kesenangan tersebut pada asasnya adalah baik. Hal ini sememangnya tidak diragukan lagi, kerana nikmat-nikmat tersebut merupakan hasil kurniaan yang terpenting daripada Allah SWT kepada manusia”.
    iv. Hamka berkata: “Semuanya ini beribu-ribu kali lebih baik daripada yang dihiaskan kepada kamu dari enam perkara tersebut. Allah SWT mengakui bahawa dunia mempunyai perhiasan dan manusia ditakdirkan mengingini perhiasan itu, tetapi Tuhan memperingatkan janganlah lupa akan tujuan dan terpesona oleh perhiasan luar kerana yang di sebelah dalam lebih hebat daripada perhiasan luar tersebut.”
    Penulis berpendapat ayat ini jelas menunjukkan bahawa ganjaran dan kurniaan Allah SWT di akhirat jauh lebih baik daripada yang dimiliki di dunia.
    Ayat Ke-16
    Firman Allah SWT yang bermaksud: (Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa Kami dan peliharalah Kami daripada azab neraka.”
    Iktibar dan fiqh ayat:
    i. Sheikh Sya’rawi berkata: “Doa ini menjadi dalil bahawa yang berdoa mengetahui kehendak iman seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW berkenaan tentang ihsan iaitu kamu ibadat kepada Allah SWT seolah-olah kamu melihatnya dan jika tidak melihatnya maka yakinlah Allah SWT melihatmu”.
    ii. Ibn Jauzi berkata: “Makna istighfar dalam ayat ini dengan dua maksud-
    nIaitu istighfar yang maaruf dengan lidah seperti pendapat Ibn Masud dan al-Hasan.
    nIaitu solat, inilah pendapat Mujahid, Qatadah, al-Dhahaq dan Muqatil.
    Atas dasar inilah solat dinamakan istighfar kerana sesiapa yang bersolat sudah pasti memohon keampunan.
    iii. Al-Maraghi berkata: “Orang yang menjaga diri daripada melakukan perbuatan dosa dan tunduk kepada Allah SWT dengan penuh perasaan takut, mengucapkan doa dengan penuh kekhusyukan dan harapan agar dikabulkan iaitu, Wahai Tuhan kami, kami benar-benar mengaku beriman terhadap sesuatu yang Engkau turunkan kepada Rasul-rasul Engkau, dengan keyakinan yang mendalam.”
    Ayat Ke-17
    Firman Allah SWT yang bermaksud: ”(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.”
    Iktibar dan fiqh ayat:
    i. Ibn Kathir berkata: “Orang sabar ialah mereka yang mentaati dan meninggalkan perkara yang haram. Orang yang benar iaitu mereka beriltizam dengan amalan yang payah dengan sebab keimanan.
    ii. Ibn Jauzi berkata: “Waktu sahur ialah sebelum keluarnya fajar di penghujung akhir malam. Allah SWT sifatkan mereka dengan segala ketaatan ini kemudian sifatkan mereka dengan takutnya mereka kepada Allah SWT”.
    iii. Sheikh Sya’rawi berkata: “Segala sifat di atas bagi mereka yang bertaqwa kepada Allah SWT”.
    Daripada ayat-ayat ini jelas menunjukkan kurniaan Allah SWT kepada golongan yang mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi golongan yang mendapat syurga Allah SWT yang bersifat dengan sifat sabar, benar, taat, rajin bersedekah dan beristighfar.







    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Jangan bohong guna nama Rasulullah!

    BERBOHONG adalah satu kesalahan. Berbohong menggunakan nama agama adalah kesalahan yang lebih besar. Saya hairan mendengar sesetengah penceramah agama yang menyatakan haram berbohong, tetapi semasa ceramahnya, dia juga melakukan dosa pembohongan yang paling besar. Apa tidaknya, dia berbohong dengan menyatakan Rasulullah SAW bersabda sesuatu hadis sedang hadis tersebut adalah palsu pada nilaian ilmu hadis. Bohong jenis ini jauh lebih besar dosanya dari bohong saudagar atau ahli politik. Bohong saudagar dan ahli politik merosakkan harta orang, tetapi bohong pembaca hadis palsu merosakkan agama. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang mutawatir: Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.
    Hadis palsu adalah hadis yang direka atau diadakan-akan, sedangkan ia tidak berasal daripada Rasulullah SAW. Banyak hadis rekaan ini dibaca oleh para penceramah yang jahil. Sehingga saya selalu menegur seorang ‘ustazah tv’ yang sering membaca hadis-hadis jenis ini untuk hidangan penonton. Mungkin ada pembaca hadis palsu merasakan mereka tidak bersalah, sebab mereka hanya memetik daripada buku-buku mereka baca yang memuatkan hadis-hadis palsu. Maka mereka merasakan mereka hanya menyebarkan, maka tidak patut dipersalahkan. Mereka lupa penyebar hadis palsu sama ada menerusi ucapan atau tulisan, dia dalam masa yang sama sebenarnya menipu orang lain apabila menyandar sesuatu perkara kepada Nabi SAW tanpa bukti yang sah. Pendengar akan terpedaya lalu mengamalkan perkara yang dianggapnya daripada Nabi SAW, sedang ia bukan seperti yang disangkakan. Al-Imam Ibn Hibban (w. 354H) dalam kitab sahihnya meletakkan satu pasal yang beliau namakan: Pasal menyebut ketetapan memasuki neraka untuk sesiapa yang menyandarkan sesuatu kepada al-Mustafa (Nabi Muhammad) SAW, sedangkan dia tidak tahu mengenai kesahihannya (Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, 1/210). Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah: Tidak halal meriwayatkan hadis palsu dalam apa perkara sekali pun, melainkan bersama keterangan tentang kepalsuannya. Ini sama ada berkaitan halal dan haram, atau fadail (kelebihan-kelebihan amalan), atau al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat) dan al-targhib (menggalakkan ibadah), atau kisah, atau sejarah atau selainnya. Sesiapa yang meriwayatkan tanpa keterangan bererti telah melakukan dosa yang besar dan termasuk dalam senarai pendusta. Ini berasaskan apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam mukadimah sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menyebut hadis daripadaku sedangkan dia menyangka ia dusta, maka dia termasuk salah seorang pendusta”. Ramai ulama hadis telah menghukum dengan ta‘zir (denda) dan takdib (hukuman membetulkan akhlak) ke atas sesiapa yang meriwayatkan hadis palsu tanpa diterangkan kepalsuannya. Kata Abu ‘Abbas al-Sarraj: Aku melihat diberikan kepada Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari surat Ibn Karram yang bertanyakan beberapa hadis, antaranya: hadis daripada al-Zuhri, daripada Salim, daripada ayahnya - disandarkan kepada Rasulullah (Iman itu tidak bertambah dan tidak berkurang). Maka al-Imam al-Bukhari menulis di atas surat tersebut: Sesiapa yang menyebut hadis ini maka wajib dipukul dengan keras dan dipenjara dalam tempoh yang lama.. Bahkan di kalangan ulama ada yang menghalalkan darahnya. Maka, ketika disebutkan hadis (palsu) Suwaid al-Anbari: Sesiapa yang jatuh cinta, lalu dia menahan diri dan menyembunyikannya, kemudian mati, maka dia mati syahid), lalu Yahya bin Ma‘in berkata: “Darah orang ini halal”. Ketika ditanya Ibn Hajar al-Haithami mengenai seorang khatib yang menaiki mimbar setiap Jumaat dan meriwayatkan hadis-hadis tanpa diterangkan sumber dan kedudukannya, maka jawabnya: “Hadis-hadis yang dia sebut tanpa menerangkan perawi dan siapa yang menyebutnya, harus dengan syarat dia seorang yang mempunyai ilmu dalam hadis, atau dia memetik daripada kitab yang penulisnya ahli hadis. Adapun jika dia hanya bergantung kepada kitab atau ucapan yang penulisnya bukan ahli hadis, maka tidak halal (berbuat demikian). Sesiapa yang melakukannya dita‘zirkan dengan keras. Inilah keadaan kebanyakan khatib.. Mereka semata-mata hanya melihat khutbah yang mengandungi hadis-hadis, lalu mereka hafal. Mereka berkhutbah menggunakan hadis-hadis tersebut tanpa mengetahui asal-usulnya. Maka wajib ke atas pemerintah di setiap negeri menghalang para khatib dari berbuat demikian”. (Abu Syahbah, al- Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 321-322).
    Mengapa bohong menggunakan nama Nabi SAW amat dilarang sekalipun dengan niat yang baik? Ada beberapa sebab yang dapat saya simpulkan. Antaranya, jika pendustaan menggunakan nama orang biasa diharamkan, apatah lagi menggunakan nama seorang rasul. Pendusta hadis palsu menyamakan rekaannya dengan wahyu, atau nilai kerasulan yang ada pada diri Nabi Muhammad SAW. Pendustaan jenis ini juga menghilang kehebatan dan keaslian agama. Agama yang hilang keasliannya, tiada nilainya lagi. Ia menyebabkan Islam yang bersumberkan wahyu sama seperti agama rekaan yang bersumberkan pemikiran dan khayalan manusia. Ditambah lagi, pendustaan ini bererti penipuan terhadap pencinta Islam yang mungkin tertipu lalu mempercayai pendustaan itu. Mereka akan mengamalkan pendustaan itu dengan keyakinan ia tuntutan agama, padahal ia kepalsuan. Sedangkan mereka inginkan keaslian. Bahkan, pendustaan itu bererti pengkhianatan terhadap syariat yang diturunkan. Jika pendustaan itu mempunyai unsur-unsur jahat, maka ia jenayah yang menyebabkan manusia hilang keyakinan terhadap agama. Atau menyebabkan manusia mengamalkan agama dalam bentuk yang salah. Jika pendustaan itu menokok tambah unsur-unsur yang dianggap baik, pendustaan seakan menganggap agama yang diturunkan Allah belum lengkap, justeru memerlukan nas-nas tambahan dan rekaan.
    Menghina
    Dalam sejarah, bukan sedikit kesan buruk hadis palsu yang dipalitkan kepada Islam yang suci ini. Contohnya, hadis rekaan: “Ayam jantan putih adalah kawanku, ia juga kawan kepada kawan ku. Musuh ayam jantan putih adalah musuhku dan musuh kepada musuhku”.
    Hadis palsu ini kelihatan sangat lekeh dan menghina Rasulullah. Tidak mungkin keluar dari mulut seorang nabi perkara yang sebegini. Mungkin ia direka oleh penggemar ayam jantan putih. Sebenarnya, semua hadis yang berkaitan dengan kelebihan ayam jantan putih adalah tidak benar sama sekali. (lihat: al-Jarahi, Kasyf al-Khafa, 2/422). Malangnya, dalam masyarakat kita ada kesan hadis palsu ini. Sesetengah kepercayaan dan bomoh mempercayai kelebihan ayam jantan putih untuk dibuat ubat dan seumpamanya.
    Demikian juga pemalsuan hadis telah menjadikan ajaran al-Quran dan al-Sunnah seakan bertentangan antara satu sama lain. Padahal yang bertentangan itu hadis yang palsu. Contohnya, hadis palsu “anak zina tidak akan masuk syurga”. Dahulu, ramai yang menganggap keji dan tiada peluang untuk kebaikan. Akibat daripada hadis-hadis palsu seperti yang dibaca oleh sesetengah pihak. Sehingga ada yang menyebut hadis palsu lain: Anak zina tujuh keturunan tidak akan masuk syurga. Sedangkan Allah menyebut dalam Surah al-Isra ayat 15 yang bermaksud: Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk, maka sesungguhnya petunjuk yang didapatinya itu hanya untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga, dan seseorang tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).
    Jelas, mana mungkin anak zina dihukum disebabkan perbuatan kedua ibu bapanya?! Ini mencemarkan penegasan al-Quran tentang keadilan Allah yang tidak menghukum seseorang atas kesalahan orang lain. Juga ia menyebabkan si anak zina kecewa dengan Nabi SAW.
    Demikian saya amat dukacita apabila diberitahu ada penceramah kursus perkahwinan membaca hadis palsu kononnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang kamu menyetubuhi isteri atau jariahnya, maka jangan dia melihat pada kemaluan mereka kerana yang demikian itu menyebabkan buta.
    Maka ‘demam’ pasangan yang ingin berkahwin mendengar hadis palsu ini. Sementara yang dah lama melihat kemaluan isterinya kehairanan kerana dia masih belum buta. Lalu mungkin disangkakan Nabi SAW memberitahu sesuatu yang tidak benar. Sebenarnya, pereka hadis palsu itu yang berbohong dan ustaz pembaca hadis palsu tersebut menyebar kebohongan. Sedangkan Allah berfirman dalam Surah al- Mukminun ayat 1-6: (maksudnya) Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kemaluan mereka, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.
    Kebatilan
    Mengulas hadis tadi, kata tokoh ilmuwan hadis, al-Syeikh Muhammad Nasir al-Din al-Albani r.h: Penilaian yang betul akan menunjukkan kebatilan hadis ini. Ini kerana dari segi persetubuhan, pengharaman melihat faraj isteri bererti pengharaman kepada wasail (faktor-faktor ke arah persetubuhan). Jika Allah menghalalkan suami menyetubuhi isterinya, apakah logik untuk dia dilarang melihat kemaluan isterinya. Demi sesungguhnya tidak! Ini dibuktikan dengan apa yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah, katanya: Aku dan Rasulullah pernah mandi bersama dari satu bekas air. Maka dia mendahuluiku sehingga aku kata: tinggalkan untukku! tinggalkan untukku!) Riwayat al-Bukhari, Muslim dan selain mereka. Jelas daripada hadis ini harus melihat kemaluan isteri. Ini dikuatkan oleh riwayat Ibn Hibban melalui Sulaiman bin Musa yang apabila ditanya mengenai suami yang melihat kemaluan isterinya, dia menjawab: “Aku pernah bertanya hal ini kepada ‘Ata. Kata ‘Ata: Aku pernah bertanya ‘Aisyah, lalu ‘Aisyah pun meriwayatkan hadis di atas” (Al-Albani, Silsilat al-Ahadis al- Da‘ifat wa al-Maudu‘at,, 1/353).
    Contoh lain kepalsuan yang menyanggahi prinsip-prinsip Islam; hadis-hadis yang menyatakan orang yang bernama Muhammad atau Ahmad tidak akan masuk neraka. Ini bercanggah dengan prinsip Islam bahawa syurga dan neraka dinilai melalui amalan soleh. Ahli syurga adalah golongan yang beriman dan soleh.. Sementara dimasukkan ke dalam neraka ahli maksiat walau apa nama dan panggilannya. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah: “Ini bercanggahan dengan apa yang diketahui dari agama Nabi SAW iaitu; bahawa neraka tidak dapat dielakkan darinya dengan nama dan gelaran. Sebaliknya, yang menyelamatkan dari neraka ialah iman dan amalan soleh”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al- Munif fi al-Sahih wa al-Da‘if, m.s. 57). Namun, ada mempercayai bahawa nama yang baik sahaja boleh masuk syurga. Saya pernah mendengar penceramah agama yang menyatakan siapa nama ‘Ghazali’ mudah masuk syurga sebab sama dengan nama ulama. Inilah satu daripada salah faham terhadap agama.
    Hari palsu juga mewujudkan khurafat yang pelbagai. Dulu ada orang Melayu yang menganggap Hari Rabu akhir bulan adalah hari mudah ditimpa nahas. Ini semua disebabkan hadis palsu yang menyebut hari Rabu terakhir bagi setiap bulan adalah hari nahas yang berterusan. Ini adalah hadis palsu. (Lihat: al-Albani, Silsilat al-Ahadis al- Da‘ifat wa al-Maudu‘at, 4/88.) Menjadikan sesiapa yang percayanya ketakutan tanpa sebab dan memandulkan urusan kehidupan. Bahkan isi kepalsuan ini menyanggahi realiti yang kita saksikan. Betapa banyak hari Rabu akhir bulan datang dan pergi sedangkan kedatangan musibah tidak pernah memilih hari. Ia adalah ketentuan Allah SWT semata. Malang sekali apabila ada penceramah motivasi yang membaca hadis ini sebagai tips-tips penting dalam mengatur hidup, kononnya elakkan hari Rabu terakhir dalam bulan Islam bimbang nanti ditimpa nahas.
    Hadis-hadis palsu telah merosakkan imej Islam. Namun ramai yang belajar agama tidak mempelajari ilmu hadis atau merujuk kepada ulama hadis telah tersasul dengan membaca hadis-hadis palsu ini. Sehingga dalam laman web pihak yang berlogokan kemajuan Islam pun dimasukkan hadis palsu. Agama menjadi keliru disebabkan hadis-hadis yang seperti ini. Maka kita sepatutnya selalu mengingati amaran Nabi SAW kepada para sahabah baginda: Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar). (Riwayat Muslim).







    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    70 Dosa-Dosa Besar

    1. Syirik (secara tak sedar pun ada...tapi dah selalu....jadi laa DOSA BESAR)
    2. Membunuh Manusia
    3. Sihir
    4. Tinggal Sembahyang (yang selalu di lakukan)
    5. Tidak Mengeluarkan Zakat
    6. Tidak Berpuasa (yang selalu di lakukan)
    7. Tidak Mengerjakan Haji Walaupun Berkemampuan
    8. Derhaka Kepada Ibu Bapa (yang selalu di lakukan)
    9. Memutuskan Silatulraham
    10.Berzina (individu tertentu)
    11.Homosex
    12.Memakan Riba
    13.Memakan Harta Anak Yatim
    14.Mendustakan Allah S.W.T dan Rasul
    15.Lari dari Medan Perang
    16.Sombong (yang selalu di lakukan)
    17.Saksi Palsu
    18.Meminum Arak(individu tertentu)
    19.Pemimpin Yang Penipu dan Kejam
    20.Berjudi (yang selalu di lakukan-secara tak sengaja)
    21.Menuduh orang baik melakukan Zina
    22.Menipu harta rampasan Perang
    23.Mencuri
    24.Merompak
    25.Sumpah Palsu (HOT)
    26.Berlaku Zalim
    27.Pemungut cukai yang Zalim
    28.Makan dari kekayaan yang Haram (skim2)
    29.Bunuh Diri
    30.Berbohong (yang selalu di lakukan)
    31.Hakim yang Tidak adil (HOT)
    32.Rasuah (HOT)
    33.Wanita yang menyerupai Lelaki (dah banyak)
    34.Tidak Cemburu
    35.Cina Buta
    36.Tidak Suci Hadas kecil
    37.RIAK Mempamerkan Diri (yang selalu di lakukan)
    38.Ulamak Dunia (jahat)
    39.Khianat (yang selalu di lakukan)
    40.Mengungkit- Ungkit Pemberian (yang selalu di lakukan)
    41.Mangingkari Takdir
    42.Mencari Kesalahan Orang lain (yang selalu di lakukan)
    43.Menabur Fitnah (yang selalu di lakukan)
    44.Mengutuk Umat Islam ( HARI-HARI)
    45.Mengingkari Janji (individu tertentu)
    46.Percaya Kepada Sihir dan Nujum
    47.Derhaka kepada Suami (amalan isteri)
    48.Gambar pada Baju (hari-hari)
    49.Menamparkan pipi dan meratap jika terkena bala
    50.Menggangu Orang lain (hari-hari)
    51.Berbuat Zalim terhadap yg lemah
    52.Menggangu Tetangga
    53.Menyakiti dan Memaki Orang Islam (HOT)
    54.Derhaka kepada Hamba Allah S.W.T dan menggangap dirinya baik
    55.Melabuhkan Pakaian
    56.Lelaki yang memakai Sutera dan Emas
    57.Hamba Lari dari Tuan
    58.Sembelihan Untuk Selain Dari Allah S.W.T
    59..Menjadi Pak Sanggup (HOT)
    60.Berdebat dan Bermusuh (HOT kat media)
    61.Enggan Memberi Kelebihan Air
    62.Mengurangkan Timbangan
    63.Merasa Aman Dari Kemurkaan Allah S.W.T
    64.Putus Asa Dari Rahmat Allah S.W.T
    65.Meninggalkan Sembahyang Berjemaah (hari-hari)
    66.Meninggalkan Sembahyang Jumaat (sentengah individu jgn lebih 3 kali dah laa....idea dan fatwa bodoh)
    67.Menguragi Wasiat
    68.Menipu (Hari-hari)
    69.Mengintip Rahsia dan Membuka Rahsia Orang Lain
    70..Mencela Nabi dan Sahabat






    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Seruan ke Baitullah wajar dilaksana tanpa bertangguh

    MENURUT catatan sejarah, suatu ketika Rasulullah SAW ditanya oleh sahabatnya, “Ya Rasulullah, mana antara amal yang banyak itu yang lebih utama? Rasulullah menjawab: Iman kepada Allah dan Rasul-Nya. Kemudian ditanya lagi: Apa lagi, ya Rasulullah? Dijawab lagi: Berjihad di jalan Allah. Kemudian ditanya lagi: Apa lagi, ya Rasulullah? Dan Baginda SAW menjawab: Haji yang mabrur.” - (Hadis riwayat Bukhari)

    Musim haji datang lagi dan Kota Makkah akan menerima kunjungan jutaan umat Islam seluruh dunia untuk mengerjakan ibadat haji bagi tahun 1429 hijrah. Jemaah haji negara kita yang terpilih mengerjakan ibadat haji akan mula berangkat ke Tanah Suci Makkah akhir Oktober ini untuk menyempurnakan Rukun Islam kelima itu. Ibadat haji wajib dilakukan umat Islam yang berkemampuan dari segi kewangan serta sihat tubuh badan.

    Mereka yang akan pergi mengerjakan haji tahun ini pasti sudah siap sedia dengan persiapan fizikal serta mental, tentu tidak sabar untuk segera berada di Tanah Suci Makkah sebagai tetamu Allah. Menjadi tetamu Allah adalah sesuatu yang cukup bermakna dalam hidup seseorang Muslim. Tidak semua insan dijemput Allah sebagai tetamu-Nya. Mereka yang terpilih adalah hamba-Nya yang dikira beruntung dan sewajarnyalah mereka itu berasa bersyukur kepada Allah.

    Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji (dengan) mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu) maka sesungguhnya Allah Maka Kaya (tidak berhajat sesuatu pun) dari sekian makhluk.” - (Surah Ali-Imran, ayat 97)

    Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” - (Surah al-Baqarah, ayat 196)

    Ibadat haji diwajibkan kepada umat Islam pada tahun kelima atau keenam Hijrah, akan tetapi mula dilaksanakan pada tahun kesembilan Hijrah. Pada tahun itu, Rasulullah SAW mengarahkan Saidina Abu Bakar al-Siddiq mengetuai rombongan 300 umat Islam supaya mengerjakan haji.
    Imam Qurthubi mengisahkan riwayat daripada Ibnu Abas bahawa ketika Nabi Ibrahim selesai membangunkan Kaabah, beliau memperoleh perintah langsung dari Allah supaya melaksanakan perintah menunaikan haji kepada manusia. Nabi Ibrahim menjawab, “Bagaimana suaraku didengar oleh manusia? Maka Allah berfirman: Serulah mereka, maka Aku yang akan menyampaikannya.”

    Nabi Ibrahim lalu naik ke Jabal Abu Qubais dan menyeru dengan suara keras: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kamu untuk berhaji ke rumah ini (Baitullah), nescaya Allah akan memberi pahala syurga dan menjauhkan kamu daripada api neraka.”

    Saat itu seluruh manusia menjawab, baik yang ada di dalam sulbi lelaki mahupun yang ada dalam rahim wanita, dengan jawapan talbiyah yang bermaksud, “Aku siap melaksanakan dan memenuhi perintah-Mu, ya Allah.”

    Kelebihan bagi mereka mengerjakan haji dapat dilihat melalui Ali bin Abi Talib yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menghendaki (kebaikan) dunia dan akhirat, maka hendaklah dia mengunjungi Baitullah sebab setiap orang yang mendatanginya seraya memohon kepada Allah akan (kebaikan) dunia, nescaya Allah akan mengurniakannya dan setiap orang yang memohon kepada-Nya akan (kebaikan) akhirat, nescaya Dia akan menyimpan sebahagiannya untuknya. Ingatlah wahai manusia, kerjakan olehmu haji dan umrah, perturutkanlah antara keduanya, sebab keduanya akan mencuci dosa, ibarat air mencuci kotoran yang melekat pada baju. Keduanya juga akan menghilangkan kefakiran, ibarat api menghilangkan kotoran besi.”
    Mengerjakan haji tidak hanya bergantung kepada tubuh badan yang sihat, cergas dan bertenaga, tapi ketahanan minda juga perlu kuat. Jika tubuh badan saja sihat serta mampu melakukan rukun dan wajib haji tetapi minda sakit dan lemah, maka dibimbangi jemaah tidak mendapat haji mabrur. Justeru, persediaan fizikal, mental dan spiritual perlu diberi perhatian jemaah yang akan ke Tanah Suci.

    Mengerjakan ibadat haji nampak mudah, tetapi oleh kerana ia dilakukan di tempat berlainan, maka semuanya itu memerlukan kekuatan fizikal kerana ibadat tawaf di Baitullah, sa’ie pula di Safa dan Marwah, wukuf di Arafah, mabit di Mudzalifah dan melontar jamrah di Mina. Semuanya itu memerlukan tenaga dan sekali gus menguji ketabahan serta kesabaran jemaah.

    Sepanjang mengerjakan ibadat haji, seseorang itu sentiasa diuji Allah dengan pelbagai ujian yang boleh mencacatkan ibadahnya kepada Allah seperti cepat marah, tidak sabar, riak, sombong, bermegah-megah, berkata dusta, umpat dan mengata, hasad dengki dan sifat tercela lain. Semuanya boleh berlaku jika jemaah tidak ikhlas melakukan ibadat semasa berada di Makkah dan Madinah.

    Apa yang baik seharusnyalah diamalkan jemaah sewaktu berada di Makkah dan Madinah sepanjang mengerjakan ibadat haji, hendaklah sentiasa bersikap sabar dalam apa juga keadaan yang mereka hadapi.

    Selain sabar, hendaklah selalu ikhlas melakukan serta reda serta perlulah rajin, amanah, jujur, tolong menolong, bersedekah, penyayang dan yang penting hendaklah sentiasa mengucap syukur kepada Allah atas nikmat yang diberikan-Nya selama ini.

    Diriwayatkan daripada Abi Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menunaikan haji ke Baitullah sedangkan ia tiada melakukan persetubuhan dan perkara yang dilarang maka bersihlah ia daripada dosanya seperti pada hari ia dilahirkan oleh ibunya.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

    Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Dosa yang berlaku di antara umrah adalah dihapuskan dan tidak ada balasan bagi haji yang mabrur (haji yang diterima) melainkan syurga.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

    Melihat kepada ganjaran diberikan Allah kepada mereka yang pergi mengerjakan ibadat haji seharusnyalah seruan mengunjungi Baitullah itu disambut secepat mungkin tanpa bertangguh. Jika ada kemampuan bersegeralah menyempurnakan Rukun Islam kelima itu tanpa memberi alasan belum sampai seru, usia masih muda atau sibuk dengan tugas.

    Yang penting adalah niat, kemahuan dan azam untuk menziarahi Baitullah walaupun sekali dalam hidup. Oleh demikian, mulai saat ini tanamkan niat, kemahuan dan azam yang bulat dalam hati untuk mengunjungi Baitullah secepat mungkin sebelum datangnya sakit.







    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

     
    Dear Diary Blogger Template