^ Scroll to Top

Friday, August 29, 2008

Keistimewaan Surah Ali-Imran

Tafsir Al-Quran & Asbabun Nuzul

ALLAH menurunkan al-Quran sebagai petunjuk dalam kehidupan. Sesiapa yang menjadikan al-Quran sebagai panduan, maka dia akan dimuliakan Allah. – Gambar hiasan


Mukadimah
Surah al-Imran.

Segala puji bagi Allah SWT selepas selesai surah al-Baqarah, pada kali ini akan dibincangkan berkenaan dengan surah ali-Imran. Nama surah ini dengan ali-Imran iaitu keluarga Imran kerana terdapat kisah mereka dalam ayat 33 hingga beberapa ayat selepas itu. Surah ini mengandungi 200 ayat.
Kebanyakan ulama dan ahli tafsir menganggap ia termasuk dalam surah Madaniah iaitu diturunkan di kota Madinah selepas hijrah seperti riwayat Ibnu Abbas.
Al-Qurtubi berkata: “Surah ini merupakan surah Madaniah secara ijmak..”
Al-Hafiz Ibn Kathir dalam tafsirnya mengatakan: “Surah ini mempunyai kelebihan yang disekalikan dengan surah al-Baqarah seperti sabdanya: Hendaklah kamu pelajari surah al-Baqarah dan ali-Imran kerana kedua-duanya ibarat dua zahrawani yang memayungi pembacanya pada Hari Kiamat atau kedua-duanya seolah-olah awan yang memayunginya.”
Sebahagian ulama menafsirkan maksud al-Zahrawani dengan dua cahaya.
Mengikut riwayat Muslim dalam sahihnya, surah ini dan surah al-Baqarah digelar sebagai al-Zahrawani iaitu dua bunga (lambang keelokan dan kecantikan).
Surah ini mempunyai beberapa nama yang lain antaranya digelar dengan al-Aman (keamanan), al-Kanz (simpanan dan khazanah), al-Muinah (yang menolong), al-Mujadilah (yang berdebat) dan juga digelar sebagai surah al-Istighfar.
Mengikut riwayat al-Tabrani dan al-Haithami dengan sanad yang daif: “Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang membaca surah yang disebut padanya ali-Imran pada hari Jumaat nescaya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atasnya hingga tenggelamnya matahari.”
Ibnu Abi Shaibah meriwayatkan daripada Abd. Malik bin Umai katanya: “Seorang lelaki telah membaca surah al-Baqarah dan ali-Imran. Kemudian Kaab berkata: “Lelaki ini telah membaca dua surah, sesungguhnya pada kedua-dua surah tersebut terdapat nama Allah apabila dia berdoa nescaya diterima Allah SWT.”
Kaitan dan hubungan surah ini dengan surah al-Baqarah
Al-Alusi dalam Ruh al-Maani berkata: Wajah munasabahnya menyebut bahawa banyak permasalahan mujmal disyarahkan di dalam surah ini.
Surah al-Baqarah sebagai mendirikan hujah dan surah ini sebagai menghilangkan segala syubhat dengan sebab itu diulangi padanya dengan matlamat menyatakan kebenaran dan kesahihan kitab daripada Allah SWT yang berfungsi sebagai petunjuk ke jalan yang sebenar.
Sheikh al-Maraghi dalam tafsirnya berkata: Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya adalah seperti berikut:
- Kedua-dua surah dimulai dengan menyebut al-Kitab dan keadaan manusia yang dipimpin oleh al-Quran. Pada surah yang pertama disebut tentang orang yang beriman dan yang tidak beriman kepada al-Quran, dan golongan yang ragu-ragu. Sedangkan pada surah yang kedua disebut segolongan orang yang menyeleweng, iaitu orang yang mengikut ayat-ayat mutasyabihat, ayat yang menimbulkan salah faham.
Mereka berbuat demikian dengan tujuan untuk menimbulkan fitnah. Sementara itu, sebahagian lagi orang yang ilmunya sangat mendalam. Merekalah orang yang beriman kepada ayat-ayat yang muhkamat dan mutasyabihat.
Seterusnya, mereka menyatakan bahawa kedua-dua surah ini datang daripada Allah SWT.
- Pada surah yang pertama disebutkan penciptaan Nabi Adam a.s.. Pada surah yang kedua, disebutkan penciptaan Nabi Isa a.s.
Persamaan di antara surah kedua dengan yang pertama adalah kedua-dua kejadian tersebut berlaku di luar ketentuan Allah SWT yang sering berlaku.
- Kedua-dua surah ini mengandungi bantahan terhadap ahli kitab. Akan tetapi pada surah yang pertama, huraian bantahan dinyatakan dengan panjang lebar mengenai kaum Yahudi, tetapi huraian secara ringkasnya tentang kaum Nasrani. Walau bagaimanapun pada surah yang kedua adalah sebaliknya.
Hal ini disebabkan kaum Nasrani datang selepas kaum Yahudi. Oleh itu, pembicaraan tentang mereka menyusul selepas pembicaraan pertama.
- Pada akhir kedua-dua surah ini mengandungi doa. Pada surah yang pertama, doanya memohon kemenangan ke atas orang yang mengingkari dakwah dan yang memerangi pendukungnya, serta permohonan dihilangkan beban yang di luar kemampuan. Hal seperti ini selaras dengan proses permulaan Islam.
Pada surah yang kedua pula, doanya mengajak manusia menerima seruan agama dan memohon ganjaran di akhirat kerana kesediaan menerima agama Islam.
- Surah yang kedua diakhiri dengan masalah yang sejajar dengan permulaan surah yang pertama. Ia dianggap sebagai pelengkap. Surah yang pertama dimulai dengan penegasan bahawa kebahagiaan hanyalah untuk orang yang bertakwa dan surah ini di akhiri dengan firman Allah SWT: Dan bertakwalah kamu kepada Allah SWT supaya kamu berbahagia.
Isi kandung surah ini :
Sheikh Muhammad Abu Zahrah dalam kitab tafsirnya Zahratu al-Tafasir berkata: Kandungan surah ini seperti berikut:
- Penjelasan dengan al-Quran dan pembahagiannya sama ada ayat muhkam dan mutasyabih.
- Dinyatakan kisah keluarga Imran, kelahiran Mariam, kisah Nabi Yahya dan Isa yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT dan kesempurnaan iradat-Nya terhadap makhluk-Nya.
- Penjelasan berkenaan mukjizat Nabi Allah Isa atas beberapa kurniaan seperti mengubati yang buta menjadi celik.
- Mujadalah Nabi SAW dengan Kristian dan Yahudi serta pendedahan akhlak mereka dan juga gambaran sebenar hati mereka.
- Penerangan bahawa Islam pada dasarnya dan maknanya merupakan agama setiap Nabi kerana itulah agama Allah SWT yang kekal abadi.
- Penjelasan berkenaan kefarduan haji dan kesatuan Islam diperlihatkan juga bentuk dan wasilahnya. Begitu juga kefarduan amal makruf dan nahi mungkar.
- Penjelasan berkenaan dengan kewajipan pemimpin umat supaya tidak menjadikan pemegang amanah setia. Di samping itu, menerangkan berkenaan peperangan Uhud dan sebab kekalahannya.
- Menerangkan berkenaan dengan amalan orang munafik dan sikap mereka ketika menang dan kalah.
- Menjelaskan kepada Nabi jika ia didustakan, sebenarnya Nabi-nabi terdahulu telah didustakan seperti ayat 184.
- Penerangan bahawa Allah SWT pasti menguji orang beriman bertujuan untuk menggilap keimanan mereka.
- Penerangan berkenaan dengan akhlak orang yang beriman dan fikiran mereka dan berkaitan penciptaan langit dan bumi. Begitu juga doa dan tadarruk mereka.
- Surah ini Allah SWT menutupi dengan mengajak orang yang beriman supaya berjihad terhadap golongan musyrikin dengan bertakwa dan sabar, di samping membuat persediaan seperti termaktub dalam ayat 200.
Semoga kita menjadi golongan yang mencintai surah ali-Imran dengan membaca, mengkaji, tadabbur, seterusnya mengamalkannya supaya kita menjadi golongan yang benar-benar mendapat petunjuk dan hidayah al-Quran. Amin







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Berjabat Salam

BERJABAT tangan menjadi kebiasaan dalam perhubungan, termasuk
diamalkan masyarakat bukan Islam.

Ia bagi melahirkan rasa hormat antara satu sama lain, sekali gus
merapatkan hubungan kedua-dua pihak.

Berjabat tangan juga menjadi simbol perdamaian selepas berlaku
sesuatu perselisihan dan dalam sesuatu urusan.

Kebaikan daripada amalan zahir itu jelas terserlah, kerana mewujudkan
persekitaran yang sihat, memupuk perpaduan, semangat kekitaan dan
kebersamaan.

Tetapi dalam Islam sejauh mana amalan ini dibenarkan? Apakah ada
batasnya dan dilarang berjabat tangan di antara lelaki dan wanita?

Sheikul Azhar, Dr Muhammad Sayyid Tantawi, dipetik berkata, beliau
tidak pernah terbaca hadis atau kisah dalam sirah, Rasulullah pernah
berjabat tangan dengan wanita yang bukan mahramnya.

"Rasulullah tidak pernah sama sekali berjabat tangan de ngan wanita
bukan mahram dan inilah yang dipersetujui oleh kebanyakan ulama fiqah.

"Namun, masih ada pendapat yang mengatakan (mem bolehkan) jika
berjabat tangan itu tidak berlandaskan niat yang jahat iaitu semata-
mata berjabat tangan dengan hujung jari sahaja secara ikhlas,"
katanya.

Beliau sendiri apabila pulang ke kampung halaman, se pupunya yang
perempuan di mana sesetengahnya sudah lanjut usia datang menghulur
tangan mereka untuk ber salam.

"Kami di kampung-kampung di Mesir, apabila kaum wanita ingin berjabat
tangan dengan lelaki, maka mereka me lakukannya dengan berlapikkan
hujung kain kelubung atau mengalaskan tangan dengan sesuatu.

"Bagaimanapun, saya lebih cenderung kepada pendapat tidak (boleh)
berjabat tangan antara lelaki dan wanita yang bukan mahramnya kerana
tidak ada nas Rasulullah pernah melakukannya," katanya.

Ketua Mahjlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah, Sheikh Yusuf al-
Qaradawi, berkata berjabat tangan di antara lelaki dan perempuan
bukan mahram menjadi isu rumit.

Jadi, menurutnya, untuk mendapatkan keputusan mengikut perspektif
Islam, ia memerlukan usaha dari segi psikologi, intelektual dan
saintifik.

"Jadi, mufti perlu membuang tekanan yang mempenga ruhinya dan adat
diwarisi, kecuali ia berdasarkan nas dari al-Quran atau sunnah.

"Sebelum mengupas isu ini, saya suka mengenepikan dua perkara yang
saya tahu wujud persetujuan di kalangan pakar undang-undang Muslim,"
katanya.

Pertama, dilarang berjabat tangan dengan wanita jika khua tir
menimbulkan keinginan seksual atau keseronokan atau jika bimbang
berlaku godaan.

Kedua, pengecualian dalam berjabat tangan dengan pe rempuan tua, atas
alasan tiada kebimbangan menimbulkan gelora nafsu.

Perkara yang sama diamalkan kepada budak perempuan kerana tiada
kekhuatiran akan membangkitkan nafsu atau godaan.

Sama juga jika seseorang itu adalah lelaki yang sudah tua.

Ini berdasarkan apa yang diceritakan daripada Abu Bakar as-Sidiq,
bahawa beliau berjabat dengan perempuan tua.

Juga dilaporkan, bahawa Abdullah ibnu az-Zubair me ngupah wanita tua
untuk merawatnya ketika beliau sakit dan wanita itu pura-pura tidak
melihat dan membuang kutu daripada kepalanya.

Malah, ini juga berasaskan apa yang dijelaskan dalam al-Quran
membabitkan wanita tua yang mandul, diberikan pengecualian.

Allah berfirman, maksudnya: "Dan mana-mana perempuan tua yang telah
putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi
maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan
tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka, dalam pada itu menjaga
kehormatan lebih baik bagi mereka, dan ingatlah Allah Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui." (an-Nuur:60)

Justeru, objek perbincangan yang ingin dikongsi bersama al-Qaradwi di
sini membabitkan yang luar daripada dua kes berkenaan.

"Berjabat tangan dengan wanita adalah haram menurut pandangan mereka
yang berpegang bahawa menutup semua badan wanita, termasuk muka dan
dua tangannya adalah wajib.

"Jika memandang kepada mereka adalah haram, menyentuh pun haram
kerana sentuhan lebih kuat daripada memandang, ia menimbulkan berahi.

"Tetapi mereka yang menyokong pandangan ini adalah sedikit, sementara
majoriti pakar undang-undang Muslim, termasuk Sahabat berpendapat
muka dan tangan tidak ter masuk dalam larangan," katanya.

Pandangan mereka berdasarkan pandangan firman Allah dalam surah an-
Nur, ayat 31, maksudnya: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan
yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang
diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka
menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan
hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala
mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka
melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mentua
mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-
saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak
bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam,
atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang lelaki yang telah
tua dan tidak keinginan kepada perempuan atau kanak-kanak..."

Jadi, al-Qaradawi mempersoalkan, di mana nas mengenai larangan
berjabat tangan jika ia membangkitkan keinginan nafsu?

"Saya mencari nas menyakinkan untuk menyokong la rangan itu tetapi
saya tidak menemuinya. Hujah paling kuat di sini ialah bagi
menghalang maksud fitnah dan ini tidak syak lagi diterima apabila
membangkitkan nafsu atau takut fitnah," katanya.

Bagi sesetengah ulama, mereka menjadikan tindakan Ra sulullah
membiarkan wanita pergi selepas menerima ikrar taat setia pada hari
penaklukan Makkah sebagai satu sandaran dalam memutuskan hukum ini.

Mereka berpendapat, Rasulullah meninggalkan sesuatu per kara bukan
menunjukkan ia adalah larangan, seperti baginda meninggalkannya
kerana haram, makruh atau kerana tidak disukai.

Kemudian mereka mendakwa, Nabi s.a.w menahan diri daripada berjabat
tangan dengan wanita (selain isterinya) tidak menjadi nas larangan.

Jadi, menurut mereka, sepatutnya ada hujah lain untuk menyokong
pendapat mereka yang mendakwa berjabat ta ngan dilarang sama sekali.

Bagaimanapun, ada pihak yang tidak bersetuju Rasulullah menahan diri
daripada berjabat tangan dengan wanita yang berikrar setia itu. Ini
kerana Umm Atiyah al-Ansariyyah dilaporkan dalam riwayat lain,
menunjukkan Nabi berjabat tangan dengan wanita terbabit.

Ini nyata berbeza dengan hadis diriwayatkan Ummul Muk minin, Aisyah
r.a yang menafikan perkara terbabit dan menyatakan akuan ia tidak
berlaku.

Dalam kes ini juga ada ulama mengatakan larangan terbabit tidak dapat
dibuktikan jika tiada dalil qatie seperti dari nas al-Quran dan hadis
sahih.

Malah, jika sekadar mengandaikan hadis itu sahih, ia masih tidak
jelas hadis berkenaan menyatakan larangan lelaki dan wanita bukan
mahram berjabat tangan.

Bagaimanapun, daripada perbincangan di atas, al-Qaradawi memberikan
dua keadaan hukum, iaitu:

"Pertama, berjabat tangan di antara lelaki dan wanita yang bukan
mahram hanya diizinkan apabila tiada keinginan nafsu dan kebimbangan
fitnah.

"Tetapi jika takut berlaku fitnah, keinginan nafsu dan keseronokan,
kemudian berjabat tangan tidak diragui men jadi haram.

"Jika satu daripada dua syarat itu tidak ada (yakni akan menimbulkan
keinginan nafsu atau menimbulkan fitnah) di antara seorang lelaki dan
mana-mana wanita mahram, seperti ibu saudara dan lain-lain, berjabat
tangan menjadi haram (walaupun pada asalnya dibenarkan).

"Kedua, berjabat tangan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram
seharusnya terbatas keadaan tertentu, seperti antara hubungan
persaudaraan atau mereka yang mempunyai hubungan disebabkan
perkahwinan," katanya.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Pembahagian harta pusaka

UNTUK laki-laki ada bahagian daripada yang ditinggalkan oleh ibu bapa dan keluarga yang dekat dan untuk perempuan-perempuan pun ada bahagian daripada apa yang ditinggalkan oleh ibu bapa dan keluarga dekat dari (peninggalan) yang sedikit ataupun banyak menurut bahagian yang sudah ditetapkan. (al-Nisaa’: 7)
KETIKA zaman jahiliah banyak berlaku penindasan dan penganiayaan. Penganiayaan ini akan berlaku ke atas kanak-kanak, wanita dan orang-orang miskin.
Sekiranya berlaku kematian pada zaman itu, harta-harta pusaka tidak akan diwariskan kepada kaum perempuan, malah anak-anak si mati pun tidak mendapat hak yang sewajarnya seperti hari ini. Mereka bukan sahaja mengasingkan hak kepada kaum wanita sahaja malah kanak-kanak lelaki pun tidak akan diberikan harta sehinggalah mereka telah dewasa.
Pada suatu hari, ada seorang daripada golongan Ansar telah meninggal dunia. Namanya Aus bin Tsabit. Dia meninggalkan dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki yang masih kecil.
Selepas berita kematiannya dihebahkan, ramailah orang datang menziarahinya. Daripada kalangan mereka itu turut hadir juga adik-beradik kepada Aus bin Tsabit iaitu bapa saudara kepada kanak-kanak tersebut.
Mereka telah mengambil kesemua harta tersebut sesuka hati. Tidak ada sedikit pun yang ditinggalkan untuk bekalan kanak-kanak terbabit.
Melihat keadaan itu, isteri Aus bin Tsabit pun pergi menemui Rasulullah. Dia pun menceritakan keadaan sebenar kepada Rasulullah SAW, baginda pun menyuruhnya menunggu dahulu kerana pada masa itu, hukum dan cara penyelesaiannya belum diperoleh lagi.
Selepas itu Rasulullah SAW pun menerangkan tentang hak ke atas harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati kepada anak-anak. Setiap orang mempunyai bahagian masing-masing. Bahagian seorang anak lelaki akan menyamai dua bahagian anak perempuan.
Dengan terlaksananya hukum ini, maka tidak akan timbul penindasan dan penganiayaan terhadap sesiap pun. Agama Islam bukan sahaja merangkumi upacara ibadat semata-mata malah terangkum juga dalam tatacara kehidupan sehari-hari







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Monday, August 25, 2008

Marah...???

Rupa ketika marah lebih buruk daripada perlakuan haiwan IMAM Syafie ada menegaskan:

"Marah adalah satu di antara panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya."

Apabila marah dituruti, ia akan membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tertinggal kecuali debu. Bagi menghilangkan perasaan marah ada beberapa panduan yang boleh diikuti, iaitu:


1. Perlu berasa malu dengan Allah atas segala tindakan kita. Allah memerhatikan segala tindakan dan sikap biadab kita.

2. Apabila datang perasaan hendak marah, ingatlah kita ini hanya manusia yang hina.

3. Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah supaya Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

4. Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah. Ia mungkin membawa kepada permusuhan dan balas dendam daripada orang yang kita marahi.

5. Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika marah. Ia lebih buruk daripada perlakuan seekor haiwan apabila kita dalam keadaan marah.

6. Apabila datang perasaan marah, banyakkan membaca isti'azah kerana marah itu datang daripada syaitan.

7. Apabila marah sedang memuncak, ambillah wuduk kerana ia dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.


8. Jika marah tidak dapat hilang dengan melakukan perkara seperti di atas, hendaklah tidur. Ini kerana ia dapat meredakan perasaan marah apabila bangkit dari tidur nanti.

9. Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah?

10. Apabila kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Begitu juga dengan orang lain yang melakukan kesilapan, tidak suka dimarahi, sebalik ditegur secara baik.

11. Satu cara lagi, apabila marah datang, sedangkan kita berdiri, duduklah. Apabila duduk, bersandarlah. Insya-Allah marah akan mula reda.

Jangan Kamu Marah! Hadith :

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah berkata kepada nabi SAW yang maksudnya:

" Berwasiatlah kepada ku." Sabda Rasulullah SAW: "Jangan kamu marah." Maka lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang kali.

Sabda Rasulullah SAW:" Jangan kamu marah.." (al-Bukhari) Huraian Hasan al-Basri pernah berkata: Empat perkara jika sesiapa memilikinya maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkan ke atasnya api neraka: (iaitu) Sesiapa yang mampu mengawal dirinya ketika dalam keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan."

Sesungguhnya kemarahan akan mengumpulkan segala keburukan. Reaksi seorang yang sedang marah dapat dilihat pada wajah dan anggota badannya seperti warna mukanya bertukar merah, urat-urat lehernya menegang, tubuh badan seakan-akan menggigil kerana geram, suara menjadi nyaring manakala lidah mula mengeluarkan perkataan yang buruk sama ada mengutuk atau mengeji. Ada kemungkinan patah-patah perkataan itu berupa penghinaan atau yang seumpama dengannya yang haram diucapkan termasuklah menuduh orang lain sebagai kafir dan lai-lain.

Selain itu, seseorang itu juga akan melakukan perbuatan yang di luar kawalannya sendiri seperti memukul, menumbuk, menampar dan sebagainya. Semua ini berkemungkinan akan mendorong kepada perbuatan yang menyakitkan orang lain yang akhirnya mewujudkan permusuhan dan kebencian di antara satu sama lain. Justeru walaupun sifat marah adalah sifat semula jadi manusia namun sebagai seorang Muslim kita hendaklah berusaha untuk menjauhkan diri daripada segala sebab yang menyebabkan kemarahan.

Tak guna ada mata kalau tak dapat melihat.Tak guna ada hati kalau tak tahu menilai..... .. "







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Berapa ramai lelaki boleh jadi IMAM..

Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja. Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati.

"Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!"
Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan
sejawat kami. Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja. Sementelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.

"Habis sekarang kenapa tidak belajar?" Tanya sang lelaki lagi dengan penuh semangat.


"Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!" Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala. Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak. Wanita sepatutnya buat begitu juga.



Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam. Walau ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup. Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai.

Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya. Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami. Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam. Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih perlu.

Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal. Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah standard yang telah ditetapkan. Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada lelaki juga. Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah. Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga.

"Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?" Dengus teman wanita yang lain.Betul juga. Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya? Maka bertanyalah wanitakini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.

Ternyata ramai yang menjawap tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal. Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri. Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam.

Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami.
Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa queen control. Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apa salahnya lelaki!






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template