^ Scroll to Top

Friday, September 4, 2009

Nur of Muhammad S.A.W

Lihat video yang diambil dari sebuah hotel dekat dengan Masjidil Nabawi.

Subhanallah.....


Lihat cahaya terang bendera di Masjidil Nabawi apabila di sebut nama Nabi Muhammad (SAW) ketika azan berkumandang...

This is taken at Medina, from one of the hotels there!
Look at the sudden shinning light, Masha'allah.....






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)



Ibadat hanya sempurna dengan Sunnah

UMAT Islam dinasihatkan berpegang teguh dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w jika mahu mendapatkan kesempurnaan beribadat dan tidak terpedaya dengan dakyah pihak tertentu yang memperkecilkannya.

Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Sunnah, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Fauzi Deraman, berkata sunnah memainkan peranan penting kerana ia memberikan penjelasan terhadap ayat al-Quran.

Menurutnya, jika tidak kerana sunnah Nabi Muhammad banyak perkara dalam Islam tidak dapat dilaksanakan.

"Contohnya seorang Muslim tidak dapat mengetahui waktu dan bilangan rakaat solat jika tidak ditentukan sunnah.

"Begitu juga dengan cara melaksanakan haji, tiada dalam al-Quran secara terperinci, tetapi diterangkan Rasulullah," katanya pada ceramah sambutan Maulidur Rasul di surau The New Straits Times Press (NSTP) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Fauzi berkata, bagi pihak yang mendakwa hanya perlu berpegang kepada al-Quran dan meninggalkan sunnah sudah tentu gagal melaksanakan ajaran Islam dengan sempurna kerana tidak mengetahui cara untuk beribadat.

Justeru, katanya, sudah semestinya setiap individu Muslim mengikuti Nabi Muhammad supaya kehidupan beribadat lebih sempurna.

Menurutnya, untuk mengikuti Nabi Muhammad sekali gus menjadi umat yang berjaya, setiap orang mesti menepati panduan seperti dibangunkan baginda yang membabitkan semua aspek.

"Pertama, setiap individu kena ada iman atau akidah, kerana apabila tidak ada iman, amalan akan tertolak walaupun beribadat dan bersolat begitu hebat. Aspek ini kena jelas bagi mengelakkan pelbagai masalah.

"Tauhid itu senang dan iman itu mudah. Kata seorang ulama kontemporari, iman dalam Islam mudah iaitu beriman pada Allah.

"Macam mana? Tengoklah biodata Allah seperti diterangkan dalam al-Quran. Misalnya melalui surah al-Ikhlas iaitu surah paling terkenal dan paling pendek, menceritakan mengenai diri Allah.

"Satu lagi ayat yang popular ialah ayat Kursi. Apabila kita faham ayat yang menceritakan mengenai diri Tuhan itu, kenallah kita terhadap Tuhan," katanya.

Beliau berkata, ilmu yang betul juga amat penting terutama membabitkan elemen halal dan haram, syurga dan neraka.

"Ilmu yang dipelajari dan dimiliki juga mesti bersepadu dan seimbang supaya seseorang manusia itu tidak hanyut," katanya.

Beliau melahirkan dukacita terhadap sesetengah remaja yang cemerlang dalam akademik sehingga mendapat pujian dan sebutan ramai, tetapi tidak pada keperibadian, malah hancur nilai akhlaknya.

Dalam usaha meletakkan diri dan masyarakat menjadi cemerlang, katanya, umat Islam juga perlu mementingkan harta dan kekayaan.

"Aset, modal dan kekayaan juga perlu. Kaya penting dan dengan sebab itu sahabat nabi ramai yang kaya.

"Tetapi apabila ada harta, kenalah membelanjakannya pada jalan yang betul kerana setiap antara kita akan ditanya, ke mana harta dibelanjakan," katanya.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Penyebar Fitnah Lebih Bahaya Daripada Syaitan

CORAK hidup masyarakat yang aman, harmoni dan penuh persefahaman menjaga hubungan baik dengan khaliq (hablun minallah), iaitu sentiasa melakukan ibadat dengan ikhlas dan taat. Pada masa sama, mereka menjaga hubungan baik sesama manusia (hablun minannas) tanpa mengira peringkat umur, taraf sosial dan warna kulit.

Jika hubungan ini tidak dititikberatkan, tentu kehidupan diidamkan gagal menjadi realiti bahkan dilanda kehinaan, dibelenggu pelbagai kesulitan dan dimurkai Allah. Hal ini dapat kita fahami menerusi ayat bermaksud:

"Mereka ditimpa kehinaan (dalam segala jurusan) di mana saja mereka berada, kecuali dengan sebab daripada Allah serta manusia, dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan (dalam segala jurusan)" (QS Ali Imran: 112).

Banyak bukti sepanjang zaman hubungan sesama manusia terputus disebabkan pelbagai faktor seperti fitnah dicetuskan segelintir manusia berhati kotor dan tidak bertanggungjawab. Akibatnya berlaku perpecahan, perbalahan dan permusuhan, malah sampai tahap pertumpahan darah.

Hidup masyarakat tidak aman dan mesra. Begitulah kepahitan hidup kesan fitnah. Lantaran, perbuatan itu dianggap pengkhianatan dan kejahatan sangat berbahaya dan perlu segera disingkirkan.

Imam Abu Laits As Samarqandi menyatakan: "Tidak ada perbuatan jahat lebih besar daripada fitnah". Ada ulama menyatakan penyebar fitnah lebih jahat daripada pembunuh, tukang sihir dan syaitan.

Seperti pernah diungkap Imam Yahya Aktsam: "Orang yang suka memfitnah dan mengadu domba lebih jahat daripada tukang sihir kerana kejahatannya dalam sesaat, pada hal tukang sihir memerlukan waktu banyak".

Perbuatan orang yang suka memfitnah dan mengadu domba lebih berbahaya daripada syaitan kerana perbuatan syaitan hanya dengan khayalan dan bisik sedangkan perbuatan memfitnah dan mengadu domba secara terang-terangan dan berdepan.

Akibat fitnah juga lebih merosak daripada pembunuhan kerana pembunuhan hanya mengorbankan satu atau dua orang sedangkan fitnah dan adu domba mampu menghancurkan masyarakat dan negara.

Mungkin ramai yang masih tidak mengetahui secara tepat apakah maksud fitnah. Mengikut Kamus Dewan, fitnah bermaksud tuduhan, khabar atau kisah yang diada-adakan atau dibuat-buat untuk memburukkan seseorang.

Dalam hadis Rasulullah daripada Abi Hurairah menerangkan secara jelas pengertian fitnah: "Tahukah kamu apakah memfitnah?" Sahabat berkata: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui."

Baginda bersabda: "Memfitnah adalah mengatakan sesuatu mengenai saudara (Muslim) ketika tiada yang dia tidak suka." Ditanya: "Wahai Rasulullah, jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang Muslim, maka apa yang harus kami katakan?" Baginda menjawab: "Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat." (Riwayat Muslim).

Ada ulama menafsirkan penabur fitnah sebagai memakan daging orang mati. Daging manusia yang disiat, digigit dan dikunyah mendatangkan kesakitan dan penderitaan yang amat sangat, begitulah perumpamaan mengumpat dan memfitnah yang menyakitkan hati orang lain.

Fitnah bukan perkara baru, bahkan berlaku sejak zaman silam. Rasulullah tidak sunyi daripada dilanda fitnah yang sengaja dicetuskan musuh Islam antaranya mereka menuduh Rasulullah gila, tukang sihir dan lelaki pemecah-belah masyarakat.

Selain itu, dituduh kebijaksanaan Baginda hasil belajar daripada orang lain termasuk tuduhan dan bohong terhadap diri Baginda yang mulia. Hati setiap Muslim berasa sakit bagai ditusuk apabila mendengar fitnah itu. Pada hal Allah memberi keterangan bermaksud:

"Dan tiadalah yang diucapkannya itu (al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)." (QS an_Najm: 3-4)

Saidatina Aisyah juga pernah difitnah orang yang dengki dan anti- Islam. Saidatina Aisyah dituduh berdua-duaan dengan sahabat bernama Safuan Al-Muattal As-Sulami Az-Zakwani. Cerita sebenarnya isteri Rasulullah `tertinggal' (daripada pasukan tentera sedang berjalan) kerana leka mencari kalung yang tercicir.

Apabila menyedari Saidatina Aisyah keseorangan, Safuan (yang ditugaskan mengawal di belakang kumpulan kaum Muslimin) menumpangkan isteri Rasulullah itu di belakang untanya sementara dia mengheretnya sehingga mereka berjaya mendapatkan semula tentera yang berhenti rehat kerana cuaca panas terik. Mereka juga tidak bercakap sepanjang perjalanan itu.

Cerita ini disensasikan oleh Abdullah Ubai Salul yang berhati busuk. Namun, semua ini dihadapi Rasulullah dengan sabar sesuai dengan taraf Baginda sebagai nabi yang mendapat gelaran ulul`azmi.

Kabilah Aus dan Khazraj yang sudah bersatu serta berdamai, ada ketika menjadi tegang dan hampir berlaku perpecahan akibat fitnah dicetuskan Yahudi. Mereka memang tidak senang dengan perdamaian itu yang dilakukan Rasulullah di Madinah.

Oleh sebab jualan senjata orang Yahudi merosot selepas dua kabilah itu berdamai, maka tiada berperang. Namun rancangan orang Yahudi akhirnya dapat dihidu Rasulullah. Selepas dibicarakan, ternyata Huyay Akhtab daripada bani Nazir menjadi penghasut dan penabur fitnah.

Sesungguhnya fitnah adalah perbuatan khianat yang dibenci Allah kerana mengatakan sesuatu tidak benar boleh memporak-perandakan rumah tangga, tercetus perbalahan dan mencemar maruah seseorang.

Hari ini, fitnah bukan saja tersebar melalui lisan, bahkan keadaannya lebih meluas iaitu melalui media massa dan internet. Dalam sekelip masa, fitnah boleh tersebar ke seluruh dunia.

Dalam sekelip mata juga kita dapat melihat seorang pemimpin yang handal boleh jatuh, rumah tangga bahagia bergoncang dan berkecai atau orang berwatak baik boleh tercemar maruahnya angkara fitnah.

Memandangkan fitnah boleh membawa bahaya besar, setiap Muslim perlu menjauhi diri daripada perbuatan terkutuk itu. Sesungguhnya fitnah tidak berlaku jika masyarakat beriman, jujur, istiqamah dalam melakukan ibadat, tidak mementingkan diri, tidak tamak harta, tidak gila kuasa, tidak mengikut telunjuk syaitan dan tidak tunduk kepada nafsu.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Ahli Kitab Taurat Sembunyi Kebenaran Muhammad Demi Pangkat

"Hai bani Israel, ingatlah nikmat-Ku yang Aku kurniakan ke atas kamu dan sempurnakan perjanjianmu, nescaya Aku sempurnakan perjanjian kamu dan Akulah semata-mata hendaknya kamu takuti.

"Dan kamu beriman kepada barang yang Aku turunkan, menyetujui apa yang ada pada kamu dan jangan kamu jadikan orang yang mula-mula kufur kepada-Nya dan jangan kamu jual perintah-Ku padan harga yang sedikit dan Akulah semata-mata hendaklah kamu takuti".

Ayat itu bermaksud, Allah memberitahu dan dituju kepada anak cucu Yaakub khusus kepada ahli kitab yang hidup pada masa Nabi Muhammad. Allah memberi ingatan kepada mereka supaya mensyukuri nikmat kurniaan Allah.

Allah mahu mereka menunaikan janji dan pesanan Allah yang terkandung dalam kitab Taurat. Jika mereka menunaikan pesanan itu nescaya Allah menunaikan janji-Nya kepada mereka dengan balasan syurga.

Allah mengingatkan mereka supaya beriman dengan kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sedangkan al-Quran mengakui kaum Yahudi daripada bani Israel mempunyai kitab Taurat.

Oleh itu, jangan mereka membeli ayat Allah dengan murah iaitu dilarang merahsiakan kandungan kitab Taurat kerana ingin mendapat kepentingan di dunia. Mereka sepatutnya takut kepada Alah dengan tidak melakukan perbuatan dilarang-Nya.

Sesungguhnya Allah mengingatkan orang Yahudi bahawa mereka berasal daripada anak cucu bani Israel iaitu Nabi Yaakub Ishak yang digelar Israel kerana perkataan Isra bererti hamba Allah. Oleh itu, Israel bererti hamba Allah.

Allah mengingatkan Bani Israel khususnya ahli kitab yang sezaman Rasulullah mensyukuri nikmat dikurniakan antaranya ramai kaum mereka menjadi nabi dan rasul serta diturunkan kitab.

Allah menyelamatkan mereka daripada kekejaman Firaun. Mereka ialah pengikut Nabi Musa yang diberi minum air terpancar dari batu dan diberi makanan dari langit bernama manna dan salwa.

Allah mengingatkan ahli kitab bani Israel supaya mengambil iktibar daripada tindak-tanduk datuk nenek moyang mereka yang mengingkari nikmat Allah. Mereka akhirnya diseksa kerana kufur.

Allah mengingatkan bani Israel supaya memberitahu manusia mengenai kelahiran Nabi Muhammad dan keistimewaan Baginda sebagai nabi dan rasul akhir zaman. Mereka dikehendaki beriman kepada Nabi Muhammad dan kitab yang dibawanya.

Jika menunaikan janji ditetapkan Allah mereka diberikan Allah balasan yang amat besar iaitu syurga. Mereka diberi amaran supaya takut kepada Allah dan tidak berdusta kepada Rasulullah.

Diceritakan dalam kitab Allah kepada rasul terdahulu yang menerangkan kepada manusia termasuk bani Israel supaya beriman dengan Nabi Muhammad dan selepas itu tidak mengikut kitab yang diturunkan kepadanya.

Jika Nabi Muhammad tidak mengikut kitab yang diturunkan kepadanya, nescaya Allah mengazabkan mereka seperti kaum yang mengingkari rasul terdahulu daripada Baginda.

Allah mengingatkan ahli kitab supaya beriman dengan al-Quran diturunkan kepada Muhammad SAW yang turut mengakui kitab Taurat diturunkan kepada bangsa Yahudi daripada bani Israel.

Oleh itu, tidak wajar ahli kitab menjadi orang pertama mendustakan Muhammad dan menafikan Baginda datang daripada Allah sedangkan mereka mengetahui kebenaran Muhammad dalam Taurat.

Ahli kitab seolah-olah menjual ilmu pengetahuan yang terkandung dalam kitab mereka pada harga terlalu murah kerana mahukan kepentingan di dunia yang terlalu rendah nilainya.

Mereka meninggalkan kenyataan dalam Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad dan juga al-Quran yang diturunkan untuk umatnya bagi mendapatkan jawatan ketua penganut agama Nasrani.

Mereka patut takut dengan perbuatan menjual ayat Allah pada harga murah kerana membeli sesuatu yang rendah nilainya untuk kepentingan di dunia. Mereka sanggup menjadi kufur dengan al-Quran dan Nabi Muhammad.

Tindakan mereka membawa bencana kerana Allah murka seperti juga kepada datuk nenek moyang mereka yang ingkar.

Ahli kitab tidak perlu mencampur-adukkan perkataan benar dengan yang salah seperti mereka mencampurkan kebenaran kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa dengan kepalsuan yang ditulis sendiri.

Mereka tidak sepatutnya menyembunyikan hakikat yang sebenar sedangkan mereka mengetahuinya.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Nikmat Air Bertukar Bencana Jika tidak Disyukuri

AIR nikmat berharga dikurniakan Allah yang menjadi unsur penting diperlukan manusia dan seluruh jasad hidup. Tanpa air, bumi gersang dan tidak ada sesuatu pun yang boleh hidup. Firman Allah bermaksud: "Dan Kami turunkan dari langit air yang banyak manfaatnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pohon dan biji tumbuhan yang dikutip hasilnya." (Surah Qaf, ayat 9).

Dalam surah an-Nahl, ayat 10 hingga 11 Allah berfirman bermaksud: "Dialah (Allah) yang menurunkan hujan dari langit untuk kamu, sebahagiannya menjadi minuman dan sebahagiannya lagi (menyuburkan) tumbuh-tumbuhan, yang pada (tempat tumbuhnya) kamu menternak binatang ternakan. Dia (Allah) juga menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir."

Sumber air diperoleh secara semula jadi daripada hujan, sungai, tasik dan mata air. Biarpun diperoleh secara percuma, sumber air perlu diurus dengan baik bagi mengelak kesan buruk berkaitan dengannya.

Manusia mudah lupa jika tidak diturunkan bala. Masalah banjir kilat sering berlaku disebabkan gagal mengalir air hujan ke laut. Alur dan sungai banyak tersekat disebabkan proses pembangunan tidak mengambil kira laluan air apabila hujan.

Kita harus bersyukur dilimpahi rahmat dengan jumlah purata hujan yang banyak sepanjang tahun. Sumber air memberi kemakmuran dan kesenangan hidup kepada seluruh rakyat. Kegiatan ekonomi seperti pertanian, penternakan, perikanan, pelancongan, kegunaan domestik dan perindustrian berjalan baik hasil sumber air mencukupi.

Bagaimanapun, segala nikmat itu mungkin ditarik Allah dengan pelbagai cara jika manusia tidak menghargai nikmat air. Jumlah hujan yang banyak tidak menjamin bekalan air mencukupi sepanjang tahun.

Peringatan Allah dalam surah al-Mukminun ayat 18 bermaksud: "Kami turunkan air hujan dari langit dengan sukatan tertentu serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya."

Semua pihak menanggung kerugian dan kesukaran apabila bekalan air berkurangan. Ketika itu masing-masing sedar betapa pentingnya air. Masalah kekurangan bekalan air bukan kebetulan, tetapi akibat perbuatan manusia sendiri.

Tindakan pemantauan berkaitan bekalan air dilakukan bersungguh-sungguh hanya ketika berlaku krisis bekalan air. Malangnya, masalah itu dilupai selepas dapat diatasi buat sementara. Ini memberi peluang pihak tidak bertanggungjawab mengulangi kesalahan dan mengaut keuntungan. Mereka tidak takut didenda kerana mampu membayarnya.

Masalah berkaitan air bukan satu bencana alam semata-mata, malah peringatan disebabkan manusia tidak menunaikan amanah dan tanggungjawab.

Sikap tamak dan angkuh menjadikan manusia tidak rasa bersalah biarpun mengetahui perbuatan mendatangkan keburukan.

Allah menurunkan hujan sebagai anugerah kepada hamba-Nya. Oleh itu, kita wajib menghargai nikmat kurniaan itu. Jika nikmat itu tidak diendahkan, maka dibalas dengan azab yang pedih.

Manusia perlu menghargai air dengan melakukan usaha ke arah memelihara dan memulihara sumber air.

Perbuatan mendatangkan keburukan kepada sumber air perlu dihentikan. Penggunaan air juga perlu dikawal agar tidak berlaku pembaziran sumber. Sekiranya Allah menarik balik nikmat air, tiada siapa dapat mengatasi kekuasaan Allah untuk mengubah ketentuan-Nya.

Masalah berkaitan air adalah bala. Ia satu peringatan supaya kembali insaf dan tidak berterusan melakukan dosa.

Jika manusia tidak insaf dan tidak memperbetulkan kesalahan dilakukan, bala lebih besar ditimpa seperti diceritakan dalam al-Quran mengenai kehancuran menimpa kaum Saba akibat ingkar mematuhi perintah Allah.

Kaum Saba mendapat limpah kurnia melakukan kegiatan pertanian secara besar-besaran dengan ada bekalan air mencukupi. Negara Saba mendapat kemakmuran dan kehidupan mewah sehingga menjadi tumpuan penduduk dari kawasan sekitar.

Balasan berkaitan air tidak saja melalui banjir. Masalah kekurangan bekalan air, tanah runtuh, banjir lumpur, hakisan tanah dan penyakit bawaan air juga satu bentuk balasan. Kejadian itu disebabkan manusia melakukan perbuatan menyalahi hukum alam sehingga peranan air tidak terkawal.

Tanah runtuh berlaku disebabkan kemusnahan struktur semula jadi disebabkan kegiatan pembinaan bangunan, jalan raya dan penempatan yang dibuat di lereng atau atas bukit tanpa kawalan. Bukit yang menjadi paksi bumi mengalami perubahan ketara tidak mampu mengekalkan peranannya.

Masalah hakisan tanah mendatangkan kesan buruk biarpun berlaku perlahan. Kejadian hakisan menyebabkan air sungai dicemari kelodak dan unsur tidak larut. Sungai menjadi cetek dan mengganggu ekologi hidupan air.

Kegiatan pembalakan haram dan tidak terkawal sering mengganggu kawasan diwartakan tadahan hujan. Pokok ditebang sehingga kawasan hutan menjadi gondol. Keuntungan diperoleh pencuri balak, sedangkan orang ramai mengalami padahnya.

Kawasan hutan tadahan hujan yang dibersihkan tidak lagi menyimpan air. Simpanan air dalam tanah berkurangan dan mudah kering apabila musim kemarau. Loji air menghadapi kekurangan bekalan air sehingga tidak memenuhi keperluan domestik.

Kekurangan bekalan air dalam tanah juga menyebabkan tumbuh-tumbuhan tidak subur dan mati. Haba di kawasan meningkat dengan mendadak dan menyebabkan kebakaran hutan mudah berlaku yang mendatangkan kerugian besar kepada negara.

Manusia perlu mematuhi dan bertanggungjawab menjaga alam agar sumber utama tidak diganggu secara keterlaluan. Sifat melampaui batasan memang ditegah dalam semua hal. Kemusnahan dan kecelakaan mudah berlaku dalam keadaan melampaui batasan.

Soal pengurusan air adalah fardu kifayah yang perlu dipandang serius untuk kepentingan semua. Semua pihak perlu memainkan peranan bagi menjamin kepentingan umum tidak dirosakkan.

Tindakan proaktif dan berterusan menjaga dan memulihara sumber air perlu dilakukan tanpa kompromi terhadap pihak yang mengambil kesempatan tidak mematuhi peraturan supaya sumber air berada pada tahap lebih lestari dan berkualiti.

Alam ini perlu dipelihara dan diuruskan dengan baik. Tugas ini sebahagian daripada tugas yang diamanahkan terhadap manusia sebagai khalifah. Allah menjelaskan kemusnahan dan penderitaan bakal ditanggung manusia jika melakukan perbuatan menyalahi aturan alam.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template