^ Scroll to Top

Tuesday, March 24, 2009

Kesempurnaan iman diukur dengan tiga sifat dimiliki individu

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu: menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain." (Hadis riwayat Ahmad).

Harta benda atau wang ringgit adalah kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Harta benda yang dimiliki adalah suatu himpunan amanah dan tanggungjawab yang perlu diurus dan dibelanjakan sewajarnya.

Oleh itu, manusia yang suka menyimpan harta kerana takut akan kehabisan dan tidak sanggup mengeluarkan sebahagiannya ke jalan yang hak seperti berzakat serta membelanjakan ke jalan yang bermanfaat pasti tidak akan mendapat keberkatan dan rahmat Allah walaupun dianugerahi nikmat melimpah ruah.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa juga yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkan (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-Nya.” (Surah al-Israk, ayat 30)

Adil dengan diri sendiri bermaksud seseorang itu menyeimbangkan antara keperluan spiritual (rohani) dan fizikal (material, intelektual dan lain-lain) di mana semua komponen ini saling berkait rapat serta penting bagi menjadikan kehidupan seseorang seimbang, tenang dan damai.

Memberi salam pula adalah simbol kekuatan ukhuwah yang dituntut oleh Islam untuk diamalkan selalu oleh setiap Muslim dalam menjalani kehidupan bermasyarakat.
Ia bagi memastikan masyarakat yang dihuni itu berkeadaan saling hormat menghormati, di samping mewujudkan perpaduan dan kasih sayang tanpa berlakunya cara hidup bersifat individualistik, menyombong diri, mementingkan diri tanpa menghiraukan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggillah ia dengan nama yang paling disenanginya.” (Hadis riwayat al-Tabrani).






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Orang berharta tangguh hutang termasuk kategori zalim

SEJAK zaman Rasulullah SAW, amalan berhutang sudah berlaku seperti kisah Baginda yang berhutang seekor unta. Rasulullah SAW membayar hutang untanya dengan unta lebih besar dan lebih baik daripadanya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang melebihkan hutang dan memperelokkan pembalasan hutangnya (menambah daripada apa yang diambil)."

Kini, berhutang menjadi sebahagian cara hidup masyarakat kerana untuk memiliki kenderaan, perabot rumah dan keperluan lain dengan cepat, maka tidak dapat tidak seseorang perlu berhutang.

Malangnya, ramai antara kita yang hanya tahu berhutang, tetapi tidak pula berusaha melangsaikan bayaran mengikut perjanjian yang dibuat. Adakalanya orang yang membuat jaminan terpaksa memikul beban kerana kedegilan sipiutang.

Islam sebagai agama yang syumul dalam segala aspek menggariskan beberapa persoalan mengenai hukum berhutang, ganjaran pemberi hutang serta kaedah membayar hutang.

Rasulullah SAW mengingatkan kita semua orang berharta yang asyik menangguhkan pembayaran hutang termasuk dalam perbuatan zalim.
Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang. Perkara itu dijelaskan dalam hadis daripada Uqbah Amir yang bermaksud: "Jangan kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya. Mereka berkata: Apa itu wahai Rasulullah? Beliau bersabda: Hutang."

Hutang dalam bahasa Arab bermaksud al-qardhu atau potongan. Dari segi bahasa, ia membawa maksud potongan sebahagian harta dan diberi kepada seseorang yang memerlukan.

Dalam Islam hutang dan sedekah mempunyai pertautan amat rapat seperti dijelaskan dalam hadis bermaksud: "Hutang dari segi pahala, lebih dua pahalanya daripada pahala sedekah." (Hadis Hasan)

Kisah perjalanan Rasulullah SAW bersama Malaikat Jibril pada malam Israk Mikraj, tergantung di salah pintu syurga kata-kata bermaksud: "Sedekah bersamaan 10 kali ganda dan hutang bersamaan 18 kali ganda".
Lalu Baginda SAW bertanya kepada Jibril: "Mengapa demikian? Jawab Jibril: Sedekah diberikan kepada seseorang, semua atau sebahagiannya. Sementara hutang, orang tidak akan meminta berhutang jika tidak kerana sebab yang mendesak."

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Allah akan menolong hamba-Nya selama hamba itu suka menolong saudaranya." (Hadis riwayat Muslim)

Namun, memberi hutang boleh bertukar menjadi wajib apabila bertujuan memenuhi keperluan yang mendesak seperti membantu orang yang sangat memerlukan, menghadapi musibah atau apa juga bencana alam dan golongan kurang upaya.

Ini bersesuaian dengan kehendak Allah dalam firman bermaksud: "Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Orang yang berhutang pula Rasulullah SAW mengingatkan mereka terus terikat dengan pembayaran balik atas segala hutangnya. Dia mesti menjelaskan hutang ketika hidup kerana apabila seseorang yang berhutang meninggal dan masih menanggung hutang, rohnya akan tergantung di antara langit dan bumi sehingga dijelaskan hutang itu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jiwa orang mukmin itu tergantung dengan hutangnya (iaitu dia belum dihukum sama ada kebaikannya atau kejahatannya) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya." (Hadis riwayat Muslim)

Bagi mereka yang tidak mampu melangsaikan hutang sehingga meninggal dunia, maka soal hutangnya menjadi tanggungjawab Baitulmal seperti yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Ada juga ulama berpendapat hutang berpindah kepada waris simati. Jika anaknya juga miskin, kemungkinan hutang balik kepada cara yang pertama iaitu diserahkan kepada kerajaan.

Firman Allah bermaksud: "Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesusahan, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua) itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 280)

Pemberi hutang tidak patut meminta bayaran lebih banyak daripada hutangnya. Namun, Nabi Muhammad SAW amat menggalakkan jika seseorang yang berhutang itu berusaha untuk membayar lebih daripada diperolehnya. Ia juga sebagai tanda bersyukur atas bantuan yang dihulurkan pemberi hutang.

Dalam masalah hutang, sunat memberi hutang dalam keadaan biasa tetapi wajib dibayar oleh pengambil hutang jika sampai tempohnya. Jika belum cukup tempoh dijanjikan, pemberi hutang tidak boleh memintanya.

Selain itu, diceritakan oleh Anas: "Seorang lelaki antara kami memberi hutang suatu barang kepada temannya. Kemudian orang yang berhutang tadi memberi hadiah kepadanya. Hal ini diceritakannya kepada Rasulullah".

Jawab baginda: "Apabila salah seorang antara kamu memberi hutang sesuatu kemudian diberi hadiah atau dinaikkan ke atas kenderaannya, maka jangan diterimanya hadiah itu dan janganlah ia naik kenderaan itu, kecuali jika memang antara kedua-duanya itu biasa berlaku demikian sebelum terjadi hutang-piutang itu." (Hadis riwayat Ibnu Majah)







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Kristian Ortodoks.



Sebuah sektsa dalam agama Kristian, cara peribadatannya hampir sama dengan Islam. Sukar membezakan kristian gaya baru? Bila waktu Maghrib tiba, beberapa orang di Hotel Sahid Surabaya bergegas bersholat. Semuanya berkopiah dan dipimpin seorang imam. Jangan keliru,mereka bukan kaum Muslimin yang sedang menunaikan kewajiban sholat Mahgrib. Mereka adalah jamaah Kristian Ortodok.


Kristian Ortodok, sebuah sektsa dalam agama Kristian. Boleh jadi, orang awam akan terkeliru sebab , sektsa ini memang sangat mirip Islam.Bukan saja asalnya serumpun,Timur Tengah, tapi juga ritual dan tatacara peribadatannya nyaris sama.Tengoklah saat mereka sholat. Selain berkopiah dan dipimpin seorang imam,bila berjamaah,juga memakai bahasa Arab. Rukun sholatnya pun hampir sama. Ada ruku' dan sujud. Bezanya,bila kaum Muslimin diwajibkan sholat 5 kali sehari, penganut Kristian ortodok lebih banyak lagi, 7 kali sehari setiap 3 jam; masing-masing dua rakaat. Mereka menyebutnya: Sa'atul awwal (fajar/shubuh), sa'atuts tsalis(dhuha), sa'atus sadis (dhuhur), sa'atut tis'ah (ashar), sa'atul ghurub (maghrib), sa'atun naum (Isya'), dan sa'atul layl (tengah malam).


Hal yang sama juga pada amalan puasa. Puasa wajib bagi orang Islam dilakukan selama sebulan dalam setahun, dikenal dengan shaumu ramadhan. Sedang pada Kristian ortodok disebut shaumil kabir (puasa 40hari berturut-turut) yang dilakukan sekitar bulan April. Jika dalam Islam ada puasa sunnah Isnin dan Khamis, pengikut kristian ortodok dilakukan pada Rabu dan Juma'at, dalam rangka mengenang kesengsaraan Kristus. Selain sholat dan puasa, jamaah Kristian ortodok juga mengenakan zakat. Zakat, dalam ajaran Kristian ortodok, adalah satu persepuluh dari pendapatan. Gambar-gambar ajaran kristian ortodok yg mungkin anda keliru, jadi berhati-hati kita tentang ajaran kristian ortodok.




Oleh yang demikian marilah kita bersama meningkatkan lagi amalan dan iman kita agar tidak tergolong di dalam golongan orang-orang yang sesat. Firman Allah dalam Al-Quran :

"Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya." (Surah Ali-Imraan : Ayat 2)

"Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan bahawa mereka yang menyembah sesuatu yang lain Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak menurut (sesuatu keyakinan), mereka hanya menurut sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta."
(Surah Yunus : Ayat 66)

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya".
(Surah Adz Dzariyaat ayat 56 – 58)



Oleh : Mujahidin cyber






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Ihsan sifat mulia

ANTARA sifat kesempurnaan dan kemuliaan yang menyeluruh dalam Islam ialah ihsan. Ia adalah sifat kesempurnaan Allah yang sangat dituntut supaya dicontohi manusia sejagat.

Sifat ini mendapat kedudukan tinggi dalam Islam.

"Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan dan telah mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya." (an-Nisa':125)

Di dalamnya juga terkandung sifat kemuliaan yang asas seperti sifat rahmat, ikhlas, pengorbanan, teliti serta ada pengawasan dalam usaha dan amalan.

Apa itu ihsan? Ihsan ialah sifat hati yang mempunyai daya penggerak untuk berkorban melakukan kebaikan zahir dan batin semata-mata untuk mendapat keredaan Allah.

Istilah ini lebih mudah difahami sekiranya melalui perbandingan, misalnya antara sifat ihsan dan adil.

Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan saksama sama ada pada perkara tersurat atau tersirat.

Tabiat keadilan seperti diketahui adalah tegas, keras dan tepat dengan peraturan yang termaktub tanpa mengira perasaan belas dan simpati, suasana yang mempengaruhi suatu perbuatan atau kesalahan dilakukan.

Keadilan adalah keperluan dalam kehidupan, kerana ia suatu cara penting bagi mengawal ketenteraman dan kesejahteraan.

Tetapi, keadilan semata-mata tidak memadai, sebagai manusia kita tetap memerlukan sifat ihsan.

Sifat ihsan Allah melimpahi dan mengatasi daripada sifat adil. Cuba lihat maksud ayat 58, dari surah al-Kahfi: "Dan Tuhanmulah yang maha pengampun lagi mempunyai rahmat. Jika Dia hendak mengazab mereka kerana perbuatannya, tentu Dia akan menyegerakan azab baginya, tetapi bagi mereka ada waktu yang tertentu (untuk mendapat azab) yang mereka sekali-kali tidak akan menemukan tempat berlindung daripadanya."

Masyarakat yang dapat melaksanakan keadilan dalam lingkungan daya kemampuan manusia adalah masyarakat yang masih belum mencapai tahap kesejahteraan sempurna, kerana mereka menunaikan setakat had yang dituntut.

Justeru, adalah suatu yang bersifat tabii bagi masyarakat yang ingin mencapai taraf kesejahteraan sempurna melaksanakan sifat ihsan, iaitu sifat yang melebihi adil.

Dalam Islam ada tiga sikap yang semuanya diakui tetapi berlainan dari segi nilai akhlaknya, iaitu:

1. Orang teraniaya dan dizalimi. Ia berhak mendapat pembelaan dan keadilan dengan mengenakan balasan setimpal ke atas pihak yang menganiayanya. Ini disifatkan sebagai adil.

2. Orang teraniaya dan berhak mendapat keadilan, malah mampu untuk mengenakan balasan setimpal, namun tidak mahu mengambil tindakan terbabit, sebaliknya dengan kerelaan hati bersedia memaafkannya.

Dengan memaafkan kesalahan terbabit, terlepaslah orang yang sepatutnya menerima hukuman yang adil atas kezalimannya. Tindakan ini termasuk dalam peringkat ihsan.

Sifat ihsan jika diterima dengan penuh rasa insaf dan tanggungjawab dapat membuka jalan kebaikan yang lain seperti melepaskan banyak kesusahan kepada diri dan keluarga yang dimaafkan, memberikan peluang kepada yang salah untuk memperbaiki kesilapan dan menyuburkan sifat tolak ansur.

3. Orang merasakan tidak memadai hanya dengan memberikan kemaafan, sekalipun sudah termasuk dalam golongan sifat ihsan.

Tiga sifat itu disimpulkan dalam ayat al-Quran yang bermaksud: "Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka sesiapa memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim." (as-Syuuraa:40)







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Bani Israel

KISAH mengenai Bani Israel jelas dinyatakan di dalam al-Quran melalui pelbagai ayat dan surah. Banyak teks yang menerangkan perihal mereka, terutama membabitkan ajaran diperjuangkan nabi dan rasul di kalangan mereka.

"Wahai Bani Israel! Kenangkanlah nikmat-nikmat-Ku yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang (yang ada pada zamannya). (al-Baqarah:47)

Dalam kamus Inggeris orang Yahudi atau Israel dikenali sebagai Jew, dari istilah Perancis giu. Jew asalnya istilah Hebrew, merujuk kepada orang Yahudi, etnik dari Israel atau Hebrew (ahli kaum Semit Arab dan Yahudi).

Bahasa Latin ringkasya bermaksud Judaean, dari perkataan Judah, iaitu nama kerajaan Judah dan satu suku kaum Israel.

Jerman memanggilnya Jude, Juif (Perancis), Jode (Denmark) dan Judio (Sepanyol).

Mengikut sejarah, Yahudi yang difahami merujuk dari zaman dahulu kala, malah mengikut adat mengembalikan kepada zaman millennium kedua Sebelum Masihi, dari Nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan Yaakub a.s.

Nabi Yaakub, putera kepada Nabi Ishak, yang dilahirkan di Kan'an (bahasa Hebrew, nama lama bagi Palestin), dinasabkan dengan keturunan Bani Israel dan baginda dinamakan juga Israel.

Isra' membawa erti hamba, kesucian, manusia, manakala 'el' bererti Allah. Perkataan Israel merujuk kepada hamba kesucian Allah.

"Segala jenis makanan dulu halal bagi Bani Israel, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israel (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat..." (Ali Imran: 93)

Begitupun, dalam pemahaman moden, Yahudi merujuk kepada tiga kumpulan; orang yang dilahirkan dalam keluarga Yahudi sama ada mengikuti atau tidak agama itu; mereka yang mempunyai keturunan; dan tiada keturunan Yahudi tetapi memeluk agama itu.

Fakta penyelidikan seorang sarjana Yahudi, Arthur Koestler, menunjukkan lebih daripada 80 peratus Yahudi hari ini langsung tidak mempunyai kaitan sejarah dengan bumi Palestin.

Majoriti Yahudi sekarang berketurunan Yahudi Khazar iaitu puak Tartar-Turki kuno, di utara Kaukaz (kawasan bekas Soviet) yang asalnya mengamalkan kepercayaan Shamanisme. Cuma sekitar abad kesembilan menjadikan Judai (Yahudi) sebagai agama.

Kemudian Khazar dianggap sebagai satu daripada empayar kegemilangan Yahudi manakala penduduk Khazar dipercayai menjadi antara moyang bangsa Yahudi moden ketika ini.

Pendeta Benedictine, Christian dari Stavelot dalam bukunya yang ditulis pada abad kesembilan, "Expositio in Matthaeum Evangelistam' merujuk Khazar sebagai bangsa nomad yang berasal daripada keturunan Yakjuj dan Makjuj.

Seorang pengembara Arab, Ibnu Fadlan dalam catatan perjalanannya ketika mengadakan misi diplomatik untuk menghadap orang suruhan Raja Khazar menyatakan beliau percaya Yakjuj dan Makjuj adalah moyang kepada Khazar.

Berbanding bangsa Palestin, dikenali juga sebagai bangsa Kan'an yang diperakui mendiami tanah itu dari awal sejak sekian lama sebelum orang Israel mendatangi lokasi terbabit.

Orang Yahudi moden berusaha menubuhkan Tanah Israel (Land of Israel), khususnya mereka berhaluan utama untuk dikongsi semua golongan terbabit.

Istilah Tanah Israel bukannya negara Israel, iaitu sebuah negara geopolitik moden yang lebih kecil, tetapi ia dikatakan wilayah menurut Injil Hebrew dijanjikan Tuhan kepada pengikut Ibrahim melalui puteranya Isa dan orang Israel, pengikut Yaakub.

Negara moden Israel hari ini terbentuk pada 14 Mei 1948. Peringkat awal pembentukannya menyaksikan perpindahan besar-besaran, termasuk saki baki Holocaust (pemusnahan oleh Nazi Jerman, 1941-1945 membabitkan korban enam juta Yahudi).

Kerajaan Israel dikenali juga sebagai rejim Zionis, iaitu pergerakan politik antarabangsa yang menyokong tanah air orang Yahudi di Land of Israel. Pergerakan rasminya diasaskan seorang wartawan Austria, Theodor Herzl pada akhir kurun ke-19.

Menurut Agensi Yahudi, pada 2007 ada 13.2 juta Yahudi seluruh dunia, dengan 5.3 juta tinggal di Israel, 5.3 juta di Amerika Syarikat dan bakinya bertaburan di pelbagai negara, mewakili 0.2 peratus populasi semasa dunia.

Yahudi terkenal sebagai suatu bangsa yang mengingkari perintah Tuhan, golongan yang melampau dalam banyak aspek, keras kepala dan taksub. Teks al-Quran dan lipatan sejarah membuktikan kenyataan itu.

Sebagai contoh, ketika pemergian Nabi Musa a.s selama 40 hari ke Thur Sina, sesetengah mereka menyembah patung anak lembu. Walaupun dinasihati, mereka tidak mempedulikannya.

Kehidupan orang Yahudi terbahagi kepada beberapa zaman, dengan yang pertama berakhir apabila rumah ibadat pertama dimusnahkan orang Babylon. Rumah ibadat itu dibangunkan Nabi Sulaiman.

Mereka ditakluki pelbagai kuasa besar, seperti orang Assyrians (dari bahagian atas Sungai Tigris di Iraq), Babylon, Parsi, Empayar Roman dan Islam. Cuma di bawah kekuasaan Islam mereka dilayan dengan adil.

Di wilayah Iberia misalnya, pemerintahan Muslim memberi kebebasan kepada Yahudi memajukan diri dalam matematik, astronomi, falsafah, kimia dan filologi, sehingga zaman itu sering dirujuk sebagai zaman emas Yahudi.

Pada masa awal Islam, Leon Poliakov menulis, orang Yahudi mendapat banyak keistimewaan dan masyarakat mereka bertambah maju.

Dalam tempoh penaklukan pelbagai kuasa besar, mereka acap kali diusir, malah dijual dalam pengabdian pada masa Empayar Roman.

Pada kurun kedua Maharaja Roman Hadrian membina semula Jerusalem yang hancur sebagai kota orang jahiliah dan dijadikan tempat upacara agama orang Yahudi. Marah dengan penghinaan itu, mereka memberontak.

Hadrian bertindak balas, memadamkan pemberontakan dengan membunuh lebih setengah juta Yahudi.

Kemudian pada zaman Roman Legions, orang Yahudi tidak dibenarkan memasuki kota Jerusalem (dikenali Muslim sebagai al-Quds atau Baitulmaqdis) dan kebanyakan ibadat mereka dilarang. Pada tahun 212, semua orang Yahudi dijadikan rakyat Roman.

Pada akhir kurun empayar Rom, orang Yahudi dan Kristian mengamalkan tolak ansur, tetapi arah tuju yang bertentangan.

Orang Yahudi pernah bersekutu dengan orang Parsi yang menceroboh Palestin pada 614, tetapi apabila perintah Kristian diasaskan semula akhirnya mereka disembelih dan dilupuskan dari Jerusalem.

Ternyata mereka tidak pernah belajar daripada penaklukan, penghinaan dan pemusnahan dialami sepanjang sejarah, akibat suka membuat onar dan bersengketa.

Hari ini mereka bersengketa pula dengan orang Islam, terutama rakyat Palestin.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template