^ Scroll to Top

Friday, August 1, 2008

Jangan ukur Islam dengan logik

Setiap kali bulan Rejab, umat Islam akan kembali mengingati peristiwa Israk dan Mikraj, peristiwa luar biasa yang berlaku pada Nabi Muhammad SAW. Hakikat perjalanan tersebut tercatat dalam firman Allah: Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Israk: 1)
Israk itu adalah peristiwa perjalanan Rasulullah SAW pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Baginda menggunakan kenderaan yang dinamakan Burrak dan ditemani malaikat Jibril a.s. Ia juga adalah sabit dengan al-Quran dan hadis.
Mikraj pula Nabi dibawa naik dari Masjid al-Aqsa ke langit pertama hingga ketujuh dan akhirnya bertemu Allah SWT. Di setiap lapis langit itu baginda bertemu dengan para anbia di mana akhirnya baginda bertemu dengan Nabi Musa.
Peristiwa ini masyhur dengan penerimaan perintah solat fardu yang bermula dengan 50 waktu tetapi akhirnya dikurangkan kepada lima waktu sehari semalam.
Sebagai umat Islam, beriman kepada Israk ini adalah wajib dan berdosa jika tidak mempercayainya. Bagi peristiwa Mikraj pula, ia sabit dengan hadis tetapi ulama khilaf (tidak sepakat) sama ada ia sabit dengan al-Quran atau tidak. Oleh itu, jika tidak mempercayainya maka seseorang Muslim itu menjadi kufur.
Bagi mukmin, kita mesti percaya kerana peristiwa ini adalah ujian keimanan dan ketauhidan kepada Allah. Ia juga membuktikan mukjizat Nabi SAW.
Oleh itu, peristiwa luar biasa ini perlu dilihat secara luar biasa. Bab agama begini tidak boleh diukur dengan logik akal.
Pada waktu itu, perjalanan manusia biasa dari Mekah ke Baitul Maqdis memakan masa sebulan tetapi dalam kisah ini, perjalanannya hanya satu malam.
Dalam agama, sesuatu itu mungkin tidak logik pada zaman dahulu tetapi hari ini ia adalah perkara biasa. Seperti kita menaiki kapal terbang di mana pagi ini kita berada di Malaysia dan sebelah petangnya kita berada di Jeddah.
Allah berfirman: Dan katakanlah (wahai Muhammad) kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu. Maka sesiapa yang mahu beriman hendaklah ia beriman dan sesiapa yang mahu kufur, biarlah ia mengingkarinya kerana kami telah menyediakan bagi orang yang zalim itu api negara...(al-Kahfi: 29)
Para ulama khilaf tentang tarikh Israk tetapi boleh disimpulkan sebelum hijrah Rasulullah ke Madinah dan selepas baginda ke Taif.
Jika begitu hakikatnya, maka ada hikmah di sebaliknya. Sebabnya ketika itu baginda kematian isteri yang banyak membantu kerja dakwah Islam iaitu Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib. Sebab itu, tahun tersebut dikatakan sebagai tahun dukacita.
Oleh demikian, baginda tidak ada pilihan dan terpaksa berdakwah ke Taif. Malangnya penduduk Taif enggan beriman kepada Allah dan menolak kerasulan baginda. Ini membawa kepada Rasulullah bermunajat kepada Allah memohon kekuatan sebelum kembali semula ke Mekah.
Pada masa yang sama, Allah mewahyukan kepada baginda bagaimana para rasul sebelum beliau seperti Nabi Adam, Isa, Yunus dan lain-lain turut menghadapi pelbagai ujian yang pahit dan getir dalam menyebarkan ajaran Allah. Namun, tempat mereka kini adalah di syurga Allah.
Cerita ini secara tidak langsung menjadi hiburan dan menggembirakan Rasulullah SAW.
Yang kedua, peristiwa ini membawa khabar menggembirakan tentang masa depan Islam yang cerah dan akan diterima oleh penduduk Madionah dan Mekah.
Pada masa yang sama, ia adalah landasan menjelaskan hakikat Islam yang memberi isyarat tentang adanya ilmu sains.
Apabila membincangkan bab keimanan ada perkara dasar dalam Islam. Kalau kita percaya dengan peristiwa ini bermakna kita yakin dengan cerita Rasulullah SAW dan juga al-Quran.
Sebab itulah apabila ditanya oleh Abu Jahal sama ada percaya atau tidak dengan peristiwa itu, Saidina Abu Bakar berkata, jika itu yang dikatakan oleh Muhammad, aku percaya malah kalau lebih daripada itu pun aku percaya. Pendek kata, asas kefahaman Islam itu amat kukuh pada diri Abu Bakar.
Bagi umat Islam, jika sesuatu itu sabit dengan al-Quran dan sunah maka kita wajib terima tanpa banyak soal. Asas agama yang goyah akan membawa kepada orang mempertikaikan hukum Allah. Contoh, mengapa lelaki mendapat faraid yang lebih daripada wanita dan mengapa hanya lelaki dibenarkan berpoligami.
Barangkali ini disebabkan oleh kesilapan kita dalam menyampaikan maklumat.
Yang kita fokuskan adalah cerita yang dilihat semasa Israk sedangkan masih jadi perbahasan adakah Rasulullah melihatnya pada malam yang sama atau malam-malam yang lain. Sebabnya sabit yang paling kuat pun adalah hadis hasan tetapi yang banyak adalah hadis daif.
Perkara pokok dalam peristiwa ini adalah akidah. Selepas mantap bab akidah ini barulah kita boleh bincang bab syurga dan neraka.
Dalam masa yang sama, Allah menjadikan manusia ini ada yang baik dan ada yang jahat. Ia bertujuan memberi peluang kepada yang baik berjihad menyatakan kebenaran sehingga membetulkan kebatilan.
Sebab itu, apabila malaikat bertanya kepada Allah apakah Allah mahu melantik orang yang melakukan kerosakan dan menumpahkan darah sebagai khalifah di bumi ini, maka Allah menjawab, sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui. (rujuk al-Baqarah: 30)
Sepatutnya pendekatan kita harus lebih kepada mengetengahkan pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini dalam kehidupan. Contohnya bab orang makan riba, berzina, tidak tutup aurat, mengumpat dan memfitnah.
Perbuatan mengumpat dan memfitnah yang berleluasa kini menyebabkan golongan kufar berprasangka buruk terhadap umat Islam. Sebab itu amat penting untuk kita menjaga akhlak, lidah, mata dan tangan supaya kita jadi umat yang bertamadun. Yang menghalang menjadi umat bertamadun adalah perasaan dengki dan mengumpat.
Kalau kita dapat memfokus kepada bab-bab tersebut, insya-Allah banyak gejala sosial yang dapat ditangani.
Para penceramah perlu mengubah pendekatan kuliah daripada tradisional kepada yang baru. Contohnya dengan menggunakan multi media atau mengaitkan penemuan sains dengan Islam.
Yang banyak berlaku kini adalah kisah-kisah seperti Israk dan Mikraj hanya hangat dibincang dalam masjid dan surau tetapi bukan mendapat tempat dalam media massa terutama elektronik.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Apa Yang Ditanya Iblis Pada Allah SWT?

Dari Anas bin Malik r.a berkata :

Iblis telah bertanya pada Allah SWT:

"Wahai Tuhanku, Engkau telah memberikan anak Adam tempat kediaman untuk mereka berteduh dan berdzikir padaMu, oleh karena itu tunjukkanlah padaku tempat kediaman untukku".

Firman Allah SWT : "Tempat kediamanmu adalah di dalam tandas".

" Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan anak Adam berkumpul di Masjid, dimanakah pula tempatku berkumpul?"

Firman Allah SWT : "Tempatmu berkumpul ialah di pasar-pasar, pesta, pusat membeli pecah belah, klub2 malam, tempat hiburan, serta majlis-majlis maksiat".

"Wahai Tuhanku, Engkau berikan anak Adam itu kitab Al-Quran untuk mereka membacanya, tunjukkanlah apa bahan bacaanku?"

Firman Allah SWT: "Bacaan untukmu ialah syair dan sajak yang melalaikan".

"Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan adzan kepada anak Adam untuk mereka memanggil orang sembahyang, apa pula adzan untukku?"

Firman Allah SWT: "Adzan untukmu ialah seruling dan muzik yang melalaikan".

"Wahai Tuhanku,Engkau telah menghantar utusanMu dari para Rasul dan juga Nabi, siapakah yang menjadi utusanku?"

Firman Allah SWT: "Para utusanmu terdiri dari tabib dan dukun yang menduakan Aku".

"Wahai Tuhanku, Engkau berikan kitab suci Al-Quran yang bertulis kepada mereka, apakah pula tulisan bagiku?"

Firman Allah SWT: "Tulisanmu ialah tato, gincu (makeup pada wanita) serta lukisan di badan".

"Ya Tuhanku, Engkau berikan mereka minuman yang halal yang disebut nama-Mu, apakah pula minuman untukku?"

Firman Allah SWT: "Minumanmu ialah sesuatu yang memabukkan serta tidak disebutkan nama-Ku padanya".

"Ya Tuhanku, Engkau berikan anak Adam perangkap, apakah pula perangkap bagiku?"

Firman Allah SWT: "Perangkap bagimu ialah wanita".

Sabda Rasullah SAW: "Wahai manusia, laksanakanlah amalan-amalan menurut kemampuan kamu, sesungguhnya Allah SWT tidak akan bosan sebelum kamu merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah SWT ialah amalan yang ringan namun berterusan /istiqomah." (Hadish Riwayat Muslim)








"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Biodata Iblis, siapa di kalangan kita?

Sebagai renungan, mungkin ada baiknya umat Islam menyelidiki sama ada dalam diri tiap-tiap individu mempunyai ciri-ciri yang dimiliki oleh Iblis laknatullah yang mengingkari perintah Allah SWT.

Seandainya ada, hindari segera dan kiranya ada kaum kerabat, saudara mara dan rakan taulan memiliki keperibadian dan sifat mahkluk Allah yang sesat itu, maka nasihatilah dan cegahlah mereka, supaya mereka terselamat di dunia mahupun di akhirat kelak.

Berikut cebisan tentang biodata musuh utama umat Islam, Iblis:-

Pengenalan diri

Nama sebenar : Iblis Laknatullah

Nama glamour : Hantu,syaitan,pelesit,
jembalang,langsuir dll

Kelahiran : Bermula dari keengganannya sujud kepada Nabi Adam a.s

Status diri : Fasik kelas pertama

Agama : Kufur

Tempat Tinggal : Di hati-hati mereka yang lalai

Alamat Tetap : Neraka jahanam

Isteri : Setiap wanita yang tidak menutup aurat, tidak mentaati Allah,Rasul dan suaminya

Kaum kerabat : Semua golongan yang menentang dan memusuhi Allah

Cita-Cita

Modal pusingan : Angan angan kosong dan tipu daya yg halus

Tempat pertemuan : Konsert-konsert hiburan,Pasar-pasar dan di semua tempat jual beli

Musuh ketat : Setiap orang Islam yang beriman dan bertakwa

Sahabat karib : Anak-anak Adam

Motto kerja : 'Hipokrasi asas akhlak'

Hobi : Melalaikan orang dari mengingati Allah, menggoda manusia lalu menyesatkannya

Cita cita : Supaya semua makhluk di muka bumi ini menjadi kafir

Tempat Operasi & Rakan setugas

Sukan (yg tidak digemari) : Acara Langkah seribu (Semasa Malaikat Maut ingin mencabut nyawa)

Kelemahan diri : Bila Manusia membaca istighfar

Mentor yg dikagumi : Manusia yg mempunyai berkelebihan lebih dari dirinya

Logo : Sebarang tatoo

Pejabat operasi : Tandas,bilik air, tempat yang bernajis dan kotor serta tempat-tempat maksiat

Rakan kongsi : Golongan munafik serta syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia

Sumber pendapatan : Segala harta yang diperoleh dengan jalan haram dan riba

Jenis perkhidmatan : Menggalakkan manusia mengerjakan kemungkaran dan derhaka terhadap Allah SWT

Tempoh perkhidmatan: Sehingga hari khiamat

Matlamat Sebenar : Membawa Anak cucu Adam bersama-sama ke Neraka Jahanam

Teman sejawat : Orang yang suka mendiamkan dirinya dari menyatakan kebenaran

Ganjaran : Dosa-dosa kecil/besar dan kemurkaan Allah

Pembantu setia : Orang yang suka mengumpat, mencaci, memaki hamun, menghasut, pendengki dan pendendam

Pengalaman & Kenangan

Peristiwa yg tak dapat dilupakan : Semasa Allah menjadikan Nabi Adam a.s

Kenangan manis : Di waktu manusia diambang shakratulmaut, mati dalam kekafiran

Kenangan pahit : Manusia yg digodanya mati dalam keimanan

Makanan kegemaran : Daging orang mati, segala najis dan kotoran

Minuman yg digemari : Wiski,brandi,taqila,todi,wine,arak dan semua minuman yg memabukkan

Yang paling ditakuti: Orang mukmin yang bertakwa

Yang paling dibenci : Orang yang sentiasa berzikir dan mengingati Allah

Alat perangkap : Wanita-wanita cantik,model,pelacur,pragawati,dan sebagainya

Saat ajal : Bila tiba waktu yang ditentukan Allah di hari kiamat kelak

Saat mendukacitakan

Yg paling membosankan : Bila tiada lagi manusia yg mahu mengikuti kemahuannya

Tugas yg paling meletihkan : Menganggu manusia kearah kebaikkan kerana Allah Taala

Tugas yang paling disukai : Mengajak melakukan Homoseks,lesbian dan berzina

Janji kepada manusia : Janji janji kosong,angan angan dan tipu daya

Yang membuatnya gembira : Manusia yg mengikut jejak langkahnya

Saat yg mendukacitakannya : Manusia yg mempunyai cita cita untuk bertaubat

Yang membuatnya menangis : Bila Manusia yg disayanginya sujud kepada Allah SWT







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Dialog Iblis dengan Rasulullah SAW

Allah swt telah memerintahkan seorang Malaikat berjumpa Iblis supaya dia berjumpa dengan Rasulullah saw untuk memberitahu segala rahsianya; samada yang disukai mahupun yang dibencinya. Hikmatnya ialah untuk meninggikan darjat Nabi Muhammad saw dan juga sebagai peringatan dan perisai kepada umat manusia. Maka Malaikat itu pun berjumpa Iblis dan berkata,

"Hai Iblis! Bahawa Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke hadrat Rasullullah saw. Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau dan apa-apa yang disoal oleh Rasulullah hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan pun, nescaya akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu, uratmu serta disiksa dengan azab yang amat keras"

Demi mendengar sahaja kata Malaikat yang dahsyat itu, Iblis sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah saw dengan menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih 10 helai; panjangnya seperti ekor lembu. Iblis pun memberi salam,sehingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah saw. Maka sembah Iblis (alaihi laknat),

"Ya Rasulullah! Mengapa tuan hamba tidak mejawab salam hamba? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah?"

Maka jawab Nabi dengah marah

"Hai Aduwullah seteru Allah! Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku sebagimana engkau tipu Nabi Adam a.s sehingga keluar dari syurga Habil mati teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara beberapa lama, kisah Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan engkau. Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza wajalla, cuma salam engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah Iblis, raja segala iblis, syaitan dan jin yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?"

Sembah Iblis,

"Ya Nabi Allah! Janganlah tuan hamba marah. Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan hamba. Kedatangan hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya hamba terhadap umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya Nabi Allah! Setiap apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu persatu dengan sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan."

Maka Iblis pun bersumpah menyebut nama Allah dan berkata

"Ya Rasulullah! Sekiranya hamba berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba menjadi abu"

Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun tersenyum dan berkata dalam hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat segala perbuatannya agar didengar oleh sekelian sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi perisai kepada sekelian umatku.

Soalan Nabi pertama

"Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar musuh engkau dan bagaimana aku terhadap engkau?"

Jawab Iblis

"Ya Nabi Allah! Tuanlah musuh hamba yang paling besar di antara segala musuh hamba di muka bumi ini" Maka Nabi pun memandang muka Iblis, dan Iblis pun mengeletar kerana ketakutan. Sambung Iblis,"Ya Khatamul Anbiya! Adapun hamba dapat merupakan diri hamba seperti sekelian manusia, binatang dan lain-lain hingga rupa dan suara pun tidak salah sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang tidak dapat hamba tiru kerana ditegah oleh Allah. Kiranya hamba menyerupai diri tuan, maka terbakarlah diri hamba menjadi abu. Hamba cabutkan iktikad anak Adam supaya menjadi kafir kerana tuan berusaha memberi nasihat dan pengajaran supaya mereka kuat untuk memeluk agama Islam; begitu jugalah hamba berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba akan tarik sekelian umat Islam dari jalan benar kepada jalan yang salah supaya masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya bersama hamba"

Soalan Nabi ke 2

"Hai Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk Allah"

Jawab Iblis

"Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya hingga mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat durhaka, hamba lalaikan dengan harta benda daripada emas, perak dan permata, rumahnya, tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan ke jalan haram. Demikian juga ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ hamba lepaskan sebesar - besar godaan supaya hilang maruah dan minum arak. Apabila terminum arak itu maka hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba hulurkan tali cinta dan terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan hasad dengki hingga kepada pekerjaan zina. Apabila terjadi kasih antara mereka, terpaksalah mereka mencari wang hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka teringat akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan galang mereka supaya mereka menangguhkannya. bertambah keras hamba goda supaya menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda hatinya, datanglah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengahkan amalnya. Bila pada lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat Demikianlah hamba goda mereka setiap saat."

Soalan Nabi ke 3

"Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah payah dan berpenat melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat yang besar serta siksa yang besar di neraka yang paling bawah? Hai kutuk Allah! Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang melanjutkan usia engkau? Siapa yang menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi pendengaran engkau? Siapa yang memberi kekuatan anggota badan engkau?"

Jawab Iblis

"Sekelian itu adalah anugerah daripada Tuhan Yang Maha Besar juga. Tetapi hawa nafsu dan takbur menceburkan hamba menjadi sebesar-besar jahat. Tuan lebih tahu bahawa hamba telah beribu-ribu tahun menjadi ketua kepada sekelian Malaikat dan pangkat hamba telah dinaikkan dari satu langit ke satu langit yg tinggi. Kemudian hamba tinggal di dunia ini beribadat bersama sekelian Malaikat beberapa lama. Tiba-tiba datang firman Allah SWT hendak menjadikan seorang Khalifah di dunia ini, maka hamba pun membantah. Lalu Allah mencipta lelaki (Nabi Adam) lalu dititahkan sekelian Malaikat memberi hormat kepada lelaki itu, kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu Allah murka kepada hamba dan muka hamba yang cantik molek dan bercahaya itu bertukar menjadi keji dan hodoh. Hamba berasa sakit hati. Kemudian Allah menjadikan Adam raja di syurga dan dikurniakan seorang permaisuri (Siti Hawa) yg memerintah sekelian bidadari. Hamba bertambah dengki dan berdendam kepada mereka. Akhirnya dapat juga hamba tipu melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam memakan buah Khuldi, lalu keduanya dihalau dari syurga ke dunia. Kedua mereka berpisah beberapa tahun dan kemudian dipertemukan Allah (di Padang Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang anak. Kemudian kami hasut anak lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya Habil. Itu pun hamba masih tidak puas hati dan berbagai tipu daya hamba lakukan hingga Hari Kiamat. Sebelum tuan lahir ke dunia, hamba serta bala tentera hamba dengan mudah dapat naik ke langit untuk mencuri segala rahsia serta tulisan yg menyuruh manusia berbuat ibadat serta balasan pahala dan syurga mereka. Kemudian hamba turun ke dunia, dan memberitahu manusia yang lain daripada apa yang sebenarnya hamba dapat, dgn berbagai tipu daya hingga tersesat dengan berbagai kitab bidaah dan karut-marut. Tetapi apabila tuan lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak dibenarkan oleh Allah untuk naik ke langit serta mencuri rahsia, kerana banyak Malaikat yang menjaga di setiap lapisan pintu langit. Jika hamba berkeras juga hendak naik, maka Malaikat akan melontar dengan anak panah drp api yang menyala. Sudah banyak bala tentera hamba yang terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya terbakar menjadi abu. Maka besarlah kesusahan hamba dan tentera hamba untuk menjalankan tugas hasutan."

Soalan Nabi ke 4

"Hai Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu akan manusia?"

Jawab Iblis

"Pertama sekali hamba palingkan iktikadnya imannya kepada kafir sama ada dari segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau hatinya. Jika tidak berjaya juga, hamba akan tarik dengan cara mengurangkan pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut kemahuan jalan hamba"

Soalan Nabi ke 5

"Hai Iblis! Jika umatku sembahyang kerana Allah, bagaimana hal engkau?"

Jawab Iblis

"Sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah badan hamba dan lemah tulang sendi hamba. Maka hamba kerahkan berpuluh-puluh iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota badannya. Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat, hilangkan khusyuknya, matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya sentiasa mendengar orang brcakap serta bunyi-bunyi yang lain. Setengah Iblis duduk di belakang badan orang yang sembahyang itu supaya dia tidak kuasa sujud lama-lama, penat atau duduk tahiyat dan dalam hatinya sentiasa hendak cepat habis sembahyang itu, semua membawa kepada kurang pahala. Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda manusia itu, maka hamba sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat hukuman"

Soalan Nabi ke 6

"Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah, apalah rasa engkau?"

Jawab Iblis

"Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah, maka rasa terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala urat hamba lalu hamba lari daripadanya."

Soalan Nabi ke 7

"Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, bagaimana rasa engkau?"

Jawab Iblis

"Binasalah diri hamba, gugurlah daging dan tulang hamba kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya"

Soalan Nabi ke 8

"Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana hal engkau?"

Jawab Iblis

"Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling besar bahayanya kepada hamba. Apabila masuk awal bulan Ramadhan, maka memancarlah cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut dengan kesukaan. Bagi orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan dosanya selama dia berpuasa. Yang menghancurkan hati hamba ialah segala isi langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, burung dan ikan-ikan semuanya siang malam mendoakan keampunan orang yang berpuasa. Satu lagi kemuliaan orang berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap masa dari azab neraka. Bahkan semua pintu neraka ditutup manakala semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya, serta dihembuskan angin dari bawah Arasy yang bernama Angin Syirah yang amat lembut ke dalam syurga. Pada hari umat tuan mula berpuasa, dengan perintah Allah datanglah sekelian Malaikat dengan garangnya menangkap hamba dan tentera hamba; jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan besi panas dan dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana pula beberapa azab yang lain telah menunggu kami. Setelah habis umat tuan berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan amaran agar tidak mengganggu umat tuan. Umat tuan sendiri telah merasa ketenangan berpuasa seperti mana mereka bekerja dan bersahur seorang diri di tengah malam tanpa rasa takut berbanding bulan biasa."

Soalan Nabi ke 9

"Hai Iblis! Bagaimana sekelian sahabatku kepada engkau?"

Jawab Iblis

"Sekelian sahabat tuan hamba juga adalah sebesar- besar seteru hamba. Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu tipu daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata yang "Sekelian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikut mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk." Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya inikan pula setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu percaya atas kebenaran tuan hingga dia menjadi wazirul a'zam. Bahkan tuan sendiri telah mengatakan jika ditimbang sekelian isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan lebih berat amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah menjadi mertua tuan kerana tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak menghafaz Hadis tuan. Saidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba pandang akan wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam dengan saksama. Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi hamba kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apalagi tuan telah mengatakan, "JIKALAU adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh menggantikan aku" kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai membezakan antara kafir dan Islam hingga digelar 'Al-Faruq'. Saidina Usman Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa bergerak membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu orang mati syahid dan menjadi menantu tuan sebanyak dua kali. Kerana taatnya, banyak Malaikat datang melawat dan memberi hormat kepadanya kerana Malaikat itu sangat malu kepadanya hingga tuan mengatakan,"Barang siapa menulis Bismillahir rahmanir rahim pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala seperti pahala Usman mati syahid" Saidina Ali Abi Talib pun itu hamba sangat takut kerana hebatnya dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat bersopan, alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka terbakarlah kedua mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau adalah budak pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menundukkan kepalanya kepada sebarang berhala. Digelar 'Ali Karamullahu Wajhahu' - dimuliakan Allah akan wajahnya dan juga 'Harimau Allah' dan tuan sendiri berkata "Akulah negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya". Tambahan pula dia menjadi menantu kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya.

Soalan Nabi ke 10

"Bagaimana tipudaya engkau kepada umatku?"

Jawab Iblis

"Umat tuan itu ada tiga macam.

Yang pertama seperti hujan dari langit yang menghidupkan segala tumbuhan iaitu ulama' yang memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan laranganNya seperti kata Jibrail a.s "Ulama' itu adalah pelita dunia dan pelita akhirat"

Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu orang yang sabar, syukur dan redha dengan kurniaan Allah. Berbuat amal soleh, tawakal dan kebajikan.

Yang ketiga umat tuan seperti Firaun; terlampau tamak dengan harta dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba pun sukacita lalu masuk kedalam badannya,hamba putarkan hatinya ke lautan derhaka dan hamba hela ke mana sahaja mengikut kehendak hamba. Jadi dia sentiasa bimbang kepada dunia dan tidak hendak menuntut ilmu, tiada masa beramal ibadat, tidak hendak mengeluarkan zakat, miskin hendak beribadat. Lalu hamba godanya minta kaya dulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya, maka dilupakan beramal, tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam dengan istana mahligainya. Bila umat tuan terkena penyakit tidak sabar dan tamak, dia sentiasa bimbang akan hartanya dan setengahnya asyik hendak merebut dunia harta, cakap besar sesama Islam, benci dan menghina kepada yang miskin, membelanjakan hartanya untuk jalan maksiat, tempat judi dan perempuan lacur"

Soalan Nabi ke 11

"Siapa yang serupa dengan engkau?"

Jawab Iblis

"Orang yang meringankan syariat tuan hamba dan membenci orang belajar agama Islam"

Soalan Nabi ke 12

" Siapa yang mencahayakan muka engkau?"

Jawab Iblis

"Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu, pemungkir janji"

Soalan Nabi ke 13

"Apakah rahsia engkau kepada umatku?"

Jawab Iblis

Jika seorang Islam pergi buang air besar serta tidak membaca doa pelindung syaitan, maka hamba gosok-gosokkan najisnya sendiri ke badannya tanpa dia sedari"

Soalan Nabi ke 14

"Jika umatku bersatu dengan isterinya, bagaimana hal engkau?"

Jawab Iblis

"Jika umat tuan hendak bersetubuh dengan isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka larilah hamba dari mereka. Jika tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi anak maka anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, durhaka. Ini semua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan tanpa Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka makan, tiadalah rasa kenyang."

Soalan Nabi ke 15

"Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya engkau?"

Jawab Iblis

"Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kepada Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila marah segeralah mengambil air sembahyang, maka padamlah marahnya."

Soalan Nabi ke 16

"Siapakah orang yang paling engkau lebih suka?"

Jawab Iblis

"Lelaki dan perempuan yang tidak mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu ari-ari(bulu kemaluan) selama 40 hari. Di situlah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat pada bulu itu"

Soalan Nabi ke 17

"Hai Iblis! Siapakah saudara engkau?"

Jawab Iblis

"Orang yang tidur meniarap, orang yang matanya celik di waktu subuh tetapi menyambung tidur semula. Lalu hamba ulit dia lena hingga terbit fajar. Demikian jua pada waktu zohor, asar, maghrib dan isyak, hamba beratkan hatinya untuk solat"

Soalan Nabi ke 18

"Apakah jalan yang membinasakan diri engkau?"

Jawab Iblis

"Orang yg banyak menyebut nama Allah, bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus Al-Quran dan solat tengah malam"

Soalan Nabi ke 19

"Hai Iblis! Apakah yang memecahkan mata engkau?"

Jawab Iblis

"Orang yang duduk di dalam masjid serta beriktikaf di dalamnya"

Soalan Nabi ke 20

"Apa lagi yang memecahkan mata engkau?"

Jawab Iblis

"Orang yang taat kpd kedua ibubapanya, mendengar kata mereka, membantu makan-pakai mereka selama mereka hidup, kerana tuan telah bersabda,'Syurga itu di bawah tapak kaki ibu' "

Rasulullah s.a.w pernah bertanya kpd iblis, "Wahai iblis!Apakah ikhtiarmu ke atas umatku?Aku telah dibangkitkan utk menyelamatkan semua umat manusia agar beriman kpd Allah s.w.t."

Jawab iblis "Ya Rasulullah, demi kemuliaanmu aku akan bersungguh2 menyesatkan umat manusia dari mengikuti ajaranmu.Aku akan mencampurkan lelaki dan perempuan agar mudah aku mencelah di tengahnya."

Tanya Rasulullah lagi "Wahai iblis! Apa lagi yg engkau mushkilkan?"

Jawab iblis "Ya Muhammad! Sebenarnya aku amat hairan dgn sikap umatmu dalam 2 perkara: Mereka mengakui mencintai Allah ttp pada masa yg sama mereka masih lg melakukan maksiat dan perbuatan mungkar. Kedua, mereka sangat benci akan tabiatku tetapi mereka masih mahu mengikut segala hasutanku."

Firman Allah kpd iblis: "Sememangnya engkau adalah makhluk terkutuk, demi kemuliaanKu, akan Aku beritakan kpd umat Muhammad 2 kegembiraan iaitu : kecintaan mereka terhadapKu akan Aku jadikan penebus dosa di atas kesalahan yg mereka lakukan krn helahmu. Kedua, marahnya mereka terhadapmu akan Aku jadikan penebus dosa bagi maksiat yg telah mereka lakukan."

Maka tercenganglah iblis mendengar penjelasan sedemikian dari Allah SWT. Sedarlah iblis bahawa umat Muhammad adalah umat yg disayangi Allah SWT yg Maha Pengampun.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Tangisan ahli neraka amat dahsyat

PENJENAYAH di penjara memiliki gelaran paling buruk yang diberi oleh masyarakat kerana membenci perbuatan mereka. Si pencuri, perompak, perogol dan pembunuh. Walaupun bertaubat atau tamat tempoh tahanan, jarang masyarakat boleh menerima bekas banduan ini. Kalau pun boleh, pasti mereka akan sentiasa berwaspada dan curiga. Betapa hebatnya kebencian kepada perbuatan jenayah.

Dapatkah bayangkan keadaan manusia ketika berada di mahkamah Allah nanti?

Pada hari penghisaban, apakah akan terasa malu seperti si penjenayah yang malu apabila kesalahannya menjadi bahan laporan dalam akhbar? Bolehkah muka ini ditutup?

Bolehkah mengupah peguam paling hebat untuk menghadapi segala pertuduhan ke atas diri sendiri? Mungkinkah semua orang boleh dibeli dengan wang dan pengaruh? Adakah ada jalan untuk melarikan diri?

Kita manusia yang kerdil, tetapi mengapa berlagak seperti Tuhan Pemilik segalanya? Manusia bertingkah seperti syaitan, padahal dia berada dalam genggaman Tuhannya. Ketika dia merampas hak orang lain, segala rekod perbuatannya itu disimpan kukuh sebagai bukti.

Mengapakah Allah SWT tidak menurunkan bala-Nya terus menerus pada saat seseorang itu melakukan dosa? Jawapannya adalah firman Allah bermaksud: "Berapa banyak penduduk negeri yang telah Aku beri tempoh, sedangkan mereka berbuat zalim, kemudian Aku seksa mereka dan kepada-Ku mereka kembali." (Surah al-Hajj, ayat 48)

Biarlah pelaku dosa itu diberi tempoh selagi hayatnya di atas bumi ini belum berakhir. Allah Maha Penerima Taubat. Tetapi, sayang sekali, mereka suka menunda taubat, menganggap peluang itu untuk berpuas-puas terlebih dulu dan bertaubat kemudian.

Semakin dihulur setiap peluang, maka semakin buta matanya, pekak telinganya, keras hatinya dan hebat bergaya mengalahkan syaitan.

Diteguk segala kemanisan syahwat duniawi sehingga lupa kepanasan buah zaqqum tanaman neraka yang akan diletakkan di dalam kerongkongnya nanti.

Hatinya puas menikmati kesenangan yang memuncak pada hujung keghairahan. Tetapi, dia lupa di dasar lubang jahanam yang gelap itu nanti terpaksa melalui aksi pembakaran manusia, penyeksaan dan pembunuhan yang tidak pernah berhujung dengan kematian.

Jurang neraka terlalu curam, setiap penderhaka akan merasai seksa dihumbankan ke dalamnya. Pernahkah kita membayangkan jatuh dari ketinggian sejauh 70 tahun perjalanan baru sampai ke dasar lantainya? Jika kejadian itu di dunia ini, bagaimana pula keadaan orang yang jatuh ke dasar jurang neraka itu nanti?

"Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh. Lalu Baginda bertanya: "Tahukah kamu semua suara apakah itu?" Kami menjawab: "Allah (SWT)dan rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda bersabda yang maksudnya: "Itu adalah suara batu yang dilemparkan ke dalam neraka jahanam sejak 70 tahun yang lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya." Hadis riwayat Imam Muslim

Sesungguhnya mereka yang berada dalam neraka itu hidup dan merasai setiap kesakitan itu sedikit demi sedikit. Diganti setiap kulit yang hangus dengan kulit yang baru. Sehari di sana sama seperti seribu tahun di dunia ini.

Mengapakah mereka memilih kesenangan haram yang sebentar saja di dunia ini? Pada hal mereka pandai mengira, tahu membezakan makna sengsara dan bahagia, berakal tajam dalam menganalisis segala sesuatu. Allah mengingatkan kita bahawa azab dan sengsara yang akan diderita itu bukan sebentar. Firman-Nya bermaksud; "Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu seperti seribu tahun daripada apa yang kamu hitung." (Surah al-Hajj, ayat 47)

Bagaimanakah suara tangisan ahli neraka? Pernahkah anda mendengar tangisan orang yang dipisahkan daripada keluarganya? Tangisan orang yang menderita sakit dan terpaksa disuntikkan ubat penahan sakit? Tangisan orang yang kematian anak yang disayang? Tangisan orang yang gagal dalam kerjaya? Tangisan perempuan yang disakiti suaminya? Tangisan orang kaya yang muflis? Tangisan ibu dan bapa yang disakiti anaknya?

Semua jenis tangisan di atas dunia ini tidak sehebat tangisan ahli neraka. Tangisan yang mengalirkan penyesalan tidak berhujung. Tiada harapan dan peluang.

Mereka merayu kepada Tuhan: "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (kembalikanlah kami ke dunia) maka jika kami kembali kepada kekufuran, sesungguhnya kami adalah orang yang zalim." (Surah al-Mukminun, ayat 107)

Allah menjawab rayuan mereka itu dengan firman-Nya bermaksud: "Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kalian bercakap dengan Aku." (Surah al-Mukminun, ayat 108)

Oleh itu, jika anda menangis di dunia ini, pastikan tangisan itu adalah tangisan penyesalan dan taubat kepada Allah .

Barang siapa yang banyak menangis di sini, nescaya tiada air mata lagi yang akan jatuh menitis di Padang Mahsyar nanti.

Balasan Allah sangat adil. Saksi yang dipanggil adalah anggota badan kita sendiri. Menunduklah wajah yang dulunya terngadah sombong, kecutlah hati yang dulunya bongkak dan bengkak serta menggigil sekujur badan bagai hendak melepaskan kulit.

Lalu kita bertanya, layakkah aku mendapat perlindungan Allah ? Jawapannya payung Allah itu hanya untuk tujuh golongan saja.

  1. Pemimpin yang adil.
  2. Pemuda yang sentiasa beribadah kepada Allah semasa hidupnya.
  3. Seseorang yang hatinya sentiasa terpaut dengan Masjid.
  4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah , keduanya berkumpul & berpisah kerana Allah .
  5. Seorang lelaki yang diajak oleh seorang perempuan cantik & berkedudukan untuk berzina tetapi dia berkata, "Aku takut kepada Allah ".
  6. Seorang yang memberi sedekah tetapi dia merahsiakannya seolah-olah tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.
  7. Seseorang yang mengingat Allah di waktu sunyi sehingga bercucuran air matanya.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template