^ Scroll to Top

Thursday, August 13, 2009

Menyimpang daripada cahaya iktikad zahirkan pekerti buruk

Umat pada zaman silam yang tenggelam dalam kesesatan
dan perhambaan, hina dan rosak moralnya, tidak ada
prinsip dan kepercayaan diselamatkan oleh Islam.
Diluruskan budi pekerti dan kepercayaannya diangkat ke
satu martabat yang tinggi dan diberi kemerdekaan serta
perikemanusiaan sejati.

Tidak terdapat dalam sejarah satu kepercayaan dan
iktikad, bersih daripada agama yang dapat berkembang
dari sempadan Perancis di sebelah barat hingga ke
tembok besar China di sebelah timur dalam jangka masa
melebihi 125 tahun kecuali agama Islam.

Islam berjaya tersebar luas dalam jangka masa itu
dengan keadilan, penuh kebajikan dan kemuliaan. Dalam
daerah itu, Islam membersihkan masyarakat manusia
daripada kekotoran syaitan, kesesatan, penindasan dan
kezaliman yang kejam.

Fakta ini jelas menunjukkan Islam adalah agama yang
mampu memperbaiki masyarakat manusia dari segi
kepercayaan, akhlak dan amalannya.

Satu hal yang tidak dapat dinafikan, jiwa dan hati
manusia adalah bagi akhlak dan amalannya. Sedangkan
budi pekerti dan amalan serta tindakannya itu yang
menentukan kebaikan atau keburukan seseorang.

Daripada situ akan lahir individu yang baik atau buruk
untuk menjelma menjadi satu masyarakat manusia yang
baik atau rosak. Tegasnya, jiwa dan hati seseorang itu
adalah menjadi punca baik buruknya akhlak dan
amalannya.

Andainya akhlak dan kepercayaan seseorang itu rosak
dan sesat maka tindakannya juga rosak dan memberi
implikasi buruk ke atas orang lain dan masyarakat
umumnya.

Andainya akhlak serta amalan seseorang itu benar dan
lurus, maka tingkah laku serta tindakannya juga baik,
dapat memberi sumbangan yang baik kepada masyarakat.

Seseorang mempunyai jiwa yang rosak dan hati tidak
bersih sering melakukan tindakan liar dan songsang,
daripada keadaan inilah tindakan manusia menjadi hebat
dan berat. Manusia berperang dan berselisih faham
sehingga terjadi peperangan saudara, pembunuhan dan
penyembelihan manusia yang semakin rakus, serta segala
malapetaka ciptaan manusia moden hari ini.

Semuanya itu kerana manusia sudah jauh menyimpang
daripada cahaya iktikad dan kepercayaan yang tulen.
Manusia sudah jauh tersesat di bawa arus material,
gelombang kebendaan tidak bertepi, mata hati mereka
tertutup daripada seruan kebajikan dan kebaikan.

Pendengaran mereka juga tertutup daripada mendengar
suara keamanan. Suara perdamaian dan kebahagiaan,
suara ihsan dan rahmat yang dibawa oleh Islam untuk
manusia sejagat. Sering ditegaskan Islam adalah agama
fitrah yang mengajar manusia supaya selamat daripada
ajaran sesat dan kufur.

Islam sesuai dengan diri manusia, jiwa dan tabiat
semula jadi inilah maka seorang Muslim sejati tidak
akan berpaling tadah dan berkompromi dalam kepercayaan
serta iktikadnya. Islam memberi penghormatan kepada
pemeluknya sebagai individu yang berdiri menegakkan
kebenaran, menjadi hakim serta saksi dengan ajaran
berbeza tidak selamanya dapat hidup tanpa agama.

Menyedari hal inilah maka seorang penulis Perancis
dalam sebuah bukunya mengenai alam Islam di wilayah
Perancis menulis bahawa Muslim tidak akan berpaling
tadah daripada agamanya Islam kepada agama Nasrani.

Jalan yang sebaiknya dapat dilakukan untuk
menasranikan orang Islam, pertamanya dengan
menjatuhkan mereka ke alam al-had. Alamathis, tidak
percayakan tuhan, apabila mereka tidak beragama dan
tidak lagi dikuasai ajaran al-Quran, mudahlah ketika
itu dinasranikan mereka, kerana manusia yang sesuai
dengan tabiat semula jadi manusia.

Demikianlah kita dapat melihat betapa kuatnya pengaruh
Islam yang menjadi kepercayaan kepada manusia itu,
sehingga musuhnya terpaksa mencari jalan lain yang
amat sulit dan sukar untuk menggoncangkan
kepercayaannya itu.

Kepercayaan orang Islam hanyalah pada Allah Tuhan Yang
Maha Esa dan berkuasa atas segalanya. Hati dan jiwa
orang Islam sentiasa sihat, bersih dan jujur. Hati
inilah yang menapis dan mengawal tindakan serta gerak
langkahnya di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Saban hari alam ibadat sembahyang seorang Muslim itu
mengingati rahmat tuhannya, mengingati kebesaran dan
keadilan tuhannya, serta kewajipan yang harus
ditunaikan terhadap tuhan-Nya.

Kemungkaran yang harus dihindarkan, saban tahun ia
berpuasa dan berzakat untuk membersih hati dan jiwanya
daripada sifat bakhil, bongkak dan sombong.

Semua itu melahirkan rasa cinta dan kasih terhadap
saudaranya dan mengeratkan tali persahabatan dengan
umatnya, serta menambahkan iltizam yang kuat untuk
mengongkong hawa nafsunya.








"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template