^ Scroll to Top

Thursday, August 13, 2009

Arak dan dadah perosak manusia

ORANG yang mabuk selalunya tidak dapat berdiri dengan stabil, berjalan terhuyung-hayang, bercakap bukan-bukan, bahkan yang jelas kelihatan samar dan yang jauh nampak dekat.

Gambaran fizikal itu sudah jelas menunjukkan penggunaan arak lebih banyak memberikan kesan negatif, walaupun ada mendakwa ia memberikan kebaikan dari sudut lain.

Arak atau minuman keras ialah alkohol dalam bentuk 'ethyl alcohol' yang bertindak ke atas otak manusia dan sering kali menyebabkan ketagihan. Biasanya ia dihasilkan sel ragi yang bertindak ke atas karbohidrat di dalam buah dan bijian.

Tiga jenis arak popular di pasaran iaitu bir seperti ale dan lager, wain dan liquor atau spirit. Jenis spirit paling popular seperti brandi, gin, rum, tequila, vodka dan whiski.

Bir diperbuat daripada bijian, mengandungi empat hingga enam peratus alkohol, wain daripada buah (sembilan hingga 16 peratus alkohol) dan spirit dihasilkan dengan memeram atau mendidihkan bahan (sekurang-kurangnya 20 peratus alkohol).

Realitinya, pemabuk dan peminum arak dipandang negatif masyarakat umum, khususnya dalam budaya masyarakat Timur, lebih-lebih lagi bagi orang Islam kerana ia dilarang agama.

"Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah perbuatan keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Sesungguhnya syaitan itu berkehendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti?" (al-Maaidah:90-91)

Abdullah Nasih Ulwan dalam buku Pendidikan Anak-anak Dalam Islam menegaskan, hukum Islam pada mengambil benda yang memabukkan dan merosakkan otak, hukumnya sudah tetap haram dengan ijmak sekalian ulama.

Hadis diriwayatkan Abu Daud bermaksud: "Allah telah melaknati arak, peminum arak, penuang arak, penjual arak, pembeli arak, pemeras arak, pembantu pemeras arak, pembawa arak dan orang disampaikan kepadanya arak."

Ideologi lain seperti Sikhism, Jainism, Bahai, Theravada dan kebanyakan aliran Mahayana Buddha, sesetengah mazhab Protestan dan Hindu juga dilaporkan melarang dan tidak menggalakkan minuman keras.

Begitupun, dalam komuniti Barat, arak dijadikan sebagai minuman utama pada sesuatu majlis, bahkan ia sudah menjadi budaya sebagai minuman harian bersama menu hidangan yang lain, diminum termasuk remaja dan kanak-kanak di rumah.

Orang Arab Jahiliah dahulu berhubung rapat dengan arak, bukan saja meminumnya, malah mereka memuji minuman itu dalam puisi indah, contohnya dalam bait berikut:

"Kalau ku mati kuburkanlah daku di samping pohon-pohon anggur itu. Tulang belulangku yang mati akan disirami urat-urat pohon anggur itu."

Mereka juga memberikan pelbagai gelaran kepada arak seperti madaamah, sulaafah, raah, sahbaa' dan ibnatul 'anquud. Tetapi apabila datang Islam, mereka meninggalkan tabiat itu.

Dari sudut kesihatan, penggunaan arak boleh menyebabkan penyakit jantung, radang paru-paru, batuk kering, barah mulut dan kerongkong, kerosakan dan barah hati serta melemahkan sistem pertahanan badan.

Malah, menurut Dr Danial Zainal Abidin, dalam buku Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, arak boleh menyebabkan sawan dan halusinasi, sehingga merosakkan otak selama-lamanya apabila pengambilannya berlaku dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata, apabila seseorang meminum arak, ia terus bertindak ke atas sel otak dengan merangsang otak itu sebelum mengganggu fungsinya sehingga menyebabkan gangguan kepada penglihatan dan hilang ingatan.

"Pengambilan dua hingga tiga gelas alkohol dalam masa sejam sudah mencukupi untuk menjadikan seseorang tidak stabil," katanya.

Satu laporan pada 2001 menganggarkan penggunaan alkohol secara sederhana dan keterlaluan menyebabkan kematian sehingga 75,754 di Amerika Syarikat.

Menurut Dr Danial, walaupun ada pihak mendakwa pengambilannya secara sedikit baik bagi jantung dan ada kebenaran, kerana pengambilan alkohol yang sedikit menambahkan kolesterol baik di dalam darah, ia hanya benar bagi wain merah dan bukannya bir.

Beliau berkata, bukanlah alkohol menyihatkan jantung, sebaliknya bahan flavonoid yang terdapat di dalamnya dan bahan itu diperoleh daripada buah yang digunakan untuk menyediakan arak.

"Justeru, cara yang lebih selamat untuk menyihatkan jantung adalah dengan memakan sayuran dan buah-buahan seperti anggur, epal dan bawang yang kaya dengan bahan flavonoid, bukannya meminum arak," katanya.

Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Muslim dan Ahmad dan lain-lain, ketika ditanya mengenai penggunaan arak oleh seseorang, baginda melarangnya.

Orang itu berkata: "Saya hanya menggunakannya sebagai ubat." Bersabda Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya ia bukanlah ubat, tetapi ia adalah penyakit."

Ini menunjukkan secara pasti penggunaan arak sebagai penawar juga adalah haram dan orang yang menggunakannya berdosa.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a mengisytiharkan dari atas mimbar Rasulullah kepada sekalian manusia, katanya: "Arak itu ialah segala sesuatu yang menukar sifat akal itu."

Kisah seorang ahli ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah sejak sekian lama seperti diceritakan Saidina Uthman bin Affan dalam khutbahnya wajar dijadikan iktibar dalam persoalan ini.

Pada suatu hari, kata Uthman, ahli ibadat itu didatangi seorang wanita cantik. Selepas berkenalan dan hatinya tertarik kepada wanita itu, dia diberi tiga pilihan; pertama, mengambil minuman memabukkan; kedua, berzina atau ketiga, membunuh.

Dengan sisa sifatnya yang sekian lama suka beribadat, lelaki terbabit gerun dengan tawaran kedua dan ketiga itu.

Atas dasar suka kepada wanita cantik berkenaan dan menganggap meminum arak lebih kecil kesalahannya, dia mengambil tawaran pertama. Selepas mengambil arak, kewarasan ahli ibadat itu hilang.

Dengan desakan nafsu dan bisikan syaitan dia melakukan zina dengan wanita berkenaan. Atas keterlanjurannya, wanita itu hamil dan cemas dengan tindakannya, dalam keadaan masih di bawah pengaruh arak, dia membunuh wanita terbabit.

Akhirnya dia sedar melakukan banyak dosa hanya daripada memandang ringan terhadap amalan mengambil minuman keras. Pada peringkat awal, dia menganggap meminum arak kesalahan ringan berbanding berzina dan membunuh, tetapi ternyata tidak.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template