^ Scroll to Top

Sunday, June 28, 2009

Menggilap akhlak demi keselesaan hidup

Individu buruk perangai rosakkan agama, ancam kehidupan masyarakat di sekelilingnya

SEBARIS bait syair Arab bermaksud: 'tidaklah bumi akan sempit kerana keluasannya; tapi yang membuatkannya sempit adalah akhlak penghuninya'.

Dengan keluasan bumi diciptakan Allah SWT adalah mustahil secara logik tidak ada tempat bagi seseorang untuk hidup. Bagaimanapun, keluasan ini tidak menjamin manusia tidak rasa sempit. Dengan pelbagai kerenah hasil akhlak yang wujud dalam diri seseorang, dunia yang luas boleh menjadi sempit. Begitu juga sebaliknya, dengan akhlak dalam diri yang menghasilkan pelbagai kerenah dalam tingkah laku seseorang, dunia sempit boleh menjadi luas.

Kita hidup dalam persekitaran masyarakat dan jika dalam kehidupan itu anda mempromosikan akhlak mulia, maka kehidupan menjadi selesa. Namun, jika anda mengotorkan diri dengan akhlak tercela, masyarakat dan anda menjalani kehidupan tidak selesa seolah-olah dunia ini sempit.

Di sini kita memahami tujuan ibadat adalah akhlak seperti sabda Nabi Muhammad SAW bahawa Baginda tidaklah diutus Allah SWT melainkan untuk menyempurnakan akhlak mulia. (Hadis riwayat Malik)

Akhlak mulia dalam istilah penggunaan bahasa Melayu adalah elok budi seperti dalam pantun 'Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga; yang elok itu budi, yang indah itu bahasa.. Dengan budi baik kita boleh menawan hati manusia bak kata pepatah 'mati ikan kerana umpan, mati saya kerana budi' yang mempunyai pengertian setiap manusia mudah dipujuk dengan kata-kata manis atau dengan budi baik.

Akhlak dalam bahasa Arab adalah kata jamak daripada 'khuluq' bererti budi pekerti, kelakuan, tabiat dan watak tertentu dalam diri seseorang yang mendorongnya berbuat baik atau buruk.

Oleh itu, ada akhlak dikenali sebagai mahmudah atau terpuji dan mazmumah atau akhlak tercela. Namun dalam penggunaan sehari-hari akhlak mempunyai pengertian positif. Jika dikatakan seseorang berakhlak, maknanya dia baik budi pekerti.

Dalam Islam, akhlak memainkan peranan amat penting dalam perjalanan hidup penganutnya di samping akidah dan fikah atau syariah sebagai cabang ilmu Islam. Tanpa akhlak, kedua-dua cabang ini tidak ada ertinya.

Akidah yang tertumpu kepada keimanan terhadap keesaan Allah semata-mata; ibadat bersifat ritual khas seperti solat, puasa, zakat dan haji; munakahat yang dikhaskan untuk mengatur kelangsungan berketurunan manusia; muamalat yang tertumpu dalam pengaturan kelangsungan hidup manusia; dan uqubat yang terhad pada cara penyelesaian masalah yang timbul dalam masyarakat – semua itu tidak akan bermanfaat selagi tidak disertai akhlak mulia yang mempengaruhi semua tindakan manusia agar bersesuaian dengan kehendak Ilahi. Oleh itu dikatakan agama tanpa akhlak akan runtuh dan akhlak tanpa agama menjadi sia-sia.
Hakikat ini boleh kita amati daripada beberapa ayat al-Quran termasuk yang maksudnya: "Dan orang-orang yang kafir pula, amal mereka adalah umpama riak sinaran panas (fatamorgana) di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu dia menuju ke arahnya) sehingga apabila dia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir yang tidak mendapat faedah daripada amalnya seperti yang disangkanya) dan dia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya; dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisab-Nya)." (Surah al-Nur: 39)

Sebagai natijahnya, akhlak yang terpuji bertujuan memelihara umat tidak cukup hanya dengan ada pengetahuan bahawa 'kejujuran adalah baik' atau 'pengkhianatan adalah buruk'. Akhlak harus ada sikap positif yang tumbuh subur dalam hati dan jiwa serta mampu mempengaruhi setiap individu sehingga dia akhirnya mengerjakan sesuatu yang sepatutnya dikerjakan dan meninggalkan segala patut tinggalkan.

Antara anugerah yang diberikan Allah kepada Nabi Muhammad SAW adalah Baginda memiliki akhlak mulia. Allah berfirman maksudnya: "Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia.." (Surah al-Qalam: 4)

Dengan akhlak amat mulia ini, kita sebagai umatnya diperintah mengikuti jejak Baginda. Dalam ayat lain, Allah berfirman maksudnya: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab: 21)

Pelbagai ibadat yang disyariatkan dalam Islam dan dinyatakan sebagai bahagian daripada keimanan seseorang, bukan pekerjaan yang tanpa makna dan gerakannya tanpa tujuan. Segala itu laksana latihan yang diulang pada waktu tertentu demi membiasakan manusia hidup dengan akhlak mulia, disiplin tingg, dan tingkah laku terpuji, bila dan di mana pun dia berada.

Solat sebagai contoh, mendidik individu menjadi seperti difirmankan dalam hadis qudsi maksudnya: "Sesungguhnya Aku hanya akan menerima solat daripada orang yang dengan solatnya itu, merendahkan diri di depan keagungan-Ku; tidak bersikap sombong terhadap makhluk-Ku; dan idak berkeras hati dalam pembangkangan terhadap-Ku; dan dia melalui hari-harinya dengan berzikir kepada-Ku; mengasihani orang miskin, orang yang terlonta-lonta, perempuan janda, serta yang tertimpa musibah." (Hadis riwayat Malik)

Akhlak yang baik tidak cukup ditanamkan pada masyarakat hanya dengan pengajaran, imbauan, indoktrinasi, latih atau hanya dengan larangan atau ancaman. Tidak cukup seorang guru, ayah, majikan atau pemimpin mengatakan: "kerjakan ini!" atau "jangan lakukan itu!" kerana pendidikan akhlak memerlukan waktu dan pengawasan berterusan. Bahkan lebih daripada itu, seorang penganjur akhlak yang baik tidak akan berjaya kecuali dengan menjadikan dirinya sebagai teladan.

Amalan muafakat sebagai contoh akhlak yang terpuji di Nusantara dijadikan pepatah yang berbunyi 'tuah kerbau gemuk, tuah lumbung berisi, tuah manusia semuafakat' yang mempunyai pengertian kerbau terpuji kerana gemuk, lumbung berisi padi dan manusia jika sepakat. Ini diperkukuh lagi dengan kata hikmat 'muafakat membawa berkat' yakni dengan bermesyuarat, sesuatu persetujuan akan tercapai dan kerja yang bakal dilakukan menjadi mudah.

Jadi, supaya budi bahasa kita yang baik tidak dilupakan orang maka pepatah Melayu merakamkan 'hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga'.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template