^ Scroll to Top

Tuesday, March 24, 2009

Orang berharta tangguh hutang termasuk kategori zalim

SEJAK zaman Rasulullah SAW, amalan berhutang sudah berlaku seperti kisah Baginda yang berhutang seekor unta. Rasulullah SAW membayar hutang untanya dengan unta lebih besar dan lebih baik daripadanya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang melebihkan hutang dan memperelokkan pembalasan hutangnya (menambah daripada apa yang diambil)."

Kini, berhutang menjadi sebahagian cara hidup masyarakat kerana untuk memiliki kenderaan, perabot rumah dan keperluan lain dengan cepat, maka tidak dapat tidak seseorang perlu berhutang.

Malangnya, ramai antara kita yang hanya tahu berhutang, tetapi tidak pula berusaha melangsaikan bayaran mengikut perjanjian yang dibuat. Adakalanya orang yang membuat jaminan terpaksa memikul beban kerana kedegilan sipiutang.

Islam sebagai agama yang syumul dalam segala aspek menggariskan beberapa persoalan mengenai hukum berhutang, ganjaran pemberi hutang serta kaedah membayar hutang.

Rasulullah SAW mengingatkan kita semua orang berharta yang asyik menangguhkan pembayaran hutang termasuk dalam perbuatan zalim.
Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang. Perkara itu dijelaskan dalam hadis daripada Uqbah Amir yang bermaksud: "Jangan kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya. Mereka berkata: Apa itu wahai Rasulullah? Beliau bersabda: Hutang."

Hutang dalam bahasa Arab bermaksud al-qardhu atau potongan. Dari segi bahasa, ia membawa maksud potongan sebahagian harta dan diberi kepada seseorang yang memerlukan.

Dalam Islam hutang dan sedekah mempunyai pertautan amat rapat seperti dijelaskan dalam hadis bermaksud: "Hutang dari segi pahala, lebih dua pahalanya daripada pahala sedekah." (Hadis Hasan)

Kisah perjalanan Rasulullah SAW bersama Malaikat Jibril pada malam Israk Mikraj, tergantung di salah pintu syurga kata-kata bermaksud: "Sedekah bersamaan 10 kali ganda dan hutang bersamaan 18 kali ganda".
Lalu Baginda SAW bertanya kepada Jibril: "Mengapa demikian? Jawab Jibril: Sedekah diberikan kepada seseorang, semua atau sebahagiannya. Sementara hutang, orang tidak akan meminta berhutang jika tidak kerana sebab yang mendesak."

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Allah akan menolong hamba-Nya selama hamba itu suka menolong saudaranya." (Hadis riwayat Muslim)

Namun, memberi hutang boleh bertukar menjadi wajib apabila bertujuan memenuhi keperluan yang mendesak seperti membantu orang yang sangat memerlukan, menghadapi musibah atau apa juga bencana alam dan golongan kurang upaya.

Ini bersesuaian dengan kehendak Allah dalam firman bermaksud: "Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Orang yang berhutang pula Rasulullah SAW mengingatkan mereka terus terikat dengan pembayaran balik atas segala hutangnya. Dia mesti menjelaskan hutang ketika hidup kerana apabila seseorang yang berhutang meninggal dan masih menanggung hutang, rohnya akan tergantung di antara langit dan bumi sehingga dijelaskan hutang itu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jiwa orang mukmin itu tergantung dengan hutangnya (iaitu dia belum dihukum sama ada kebaikannya atau kejahatannya) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya." (Hadis riwayat Muslim)

Bagi mereka yang tidak mampu melangsaikan hutang sehingga meninggal dunia, maka soal hutangnya menjadi tanggungjawab Baitulmal seperti yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Ada juga ulama berpendapat hutang berpindah kepada waris simati. Jika anaknya juga miskin, kemungkinan hutang balik kepada cara yang pertama iaitu diserahkan kepada kerajaan.

Firman Allah bermaksud: "Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesusahan, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua) itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 280)

Pemberi hutang tidak patut meminta bayaran lebih banyak daripada hutangnya. Namun, Nabi Muhammad SAW amat menggalakkan jika seseorang yang berhutang itu berusaha untuk membayar lebih daripada diperolehnya. Ia juga sebagai tanda bersyukur atas bantuan yang dihulurkan pemberi hutang.

Dalam masalah hutang, sunat memberi hutang dalam keadaan biasa tetapi wajib dibayar oleh pengambil hutang jika sampai tempohnya. Jika belum cukup tempoh dijanjikan, pemberi hutang tidak boleh memintanya.

Selain itu, diceritakan oleh Anas: "Seorang lelaki antara kami memberi hutang suatu barang kepada temannya. Kemudian orang yang berhutang tadi memberi hadiah kepadanya. Hal ini diceritakannya kepada Rasulullah".

Jawab baginda: "Apabila salah seorang antara kamu memberi hutang sesuatu kemudian diberi hadiah atau dinaikkan ke atas kenderaannya, maka jangan diterimanya hadiah itu dan janganlah ia naik kenderaan itu, kecuali jika memang antara kedua-duanya itu biasa berlaku demikian sebelum terjadi hutang-piutang itu." (Hadis riwayat Ibnu Majah)







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template