^ Scroll to Top

Thursday, February 5, 2009

Amalan saling membantu tunjang utama hidup masyarakat

AKHLAK yang mulia sesungguhnya daripada pantulan keimanan yang mengisi dada seseorang. Jika tahap imannya rendah, maka akan tampak lemah akhlaknya begitulah jika tinggi nilai keimanan, budi pekertinya jelas terpuji.

Diri yang kaya dengan kebaikan akhlak mencerminkan kesempurnaan iman seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya.” - (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Manusia secara fitrahnya perlu hidup bermasyarakat dan tidak sempurna jika menjalani kehidupan sendirian. Bagi memastikan masyarakat terbina dalam keadaan selari kehendak Islam, maka setiap anggota masyarakat sewajarnya memiliki akhlak yang baik.

Dengan itu, hubungan antara sesama insan terjalin erat, hidup dalam suasana mesra, berkasih-sayang, selesa serta maju jaya. Sikap mementingkan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri adalah suatu keperluan hidup bermasyarakat.

Ia membayangkan adanya suasana persaudaraan jitu dan sewarna dengan arahan agama bahawa setiap Muslim itu semuanya bersaudara. Meskipun begitu, bukanlah bermakna harus mengabaikan kepentingan diri atau keluarga sendiri.

Ini adalah gambaran antara ciri orang beriman seperti dinyatakan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang kamu hinggalah dikehendakinya berlaku pada saudaranya apa yang dikehendakinya berlaku pada dirinya.” - (Hadis Muttafaqun ‘alaih)
Apabila berlaku sesuatu bencana, musibah atau kesusahan menimpa orang lain seperti kebakaran rumah, kematian ahli keluarga, dilanda banjir yang memusnahkan harta benda, kejadian tanah runtuh, kemalangan jalan raya, sebagai seorang Islam yang cintakan kebaikan hendaklah segera berlumba memberi pertolongan dengan rasa tanggungjawab mengikut kemampuan masing-masing.

Tindakan yang dilakukan atas dasar iman serta hubungan ukhuwah mencerminkan akhlak yang baik. Jika memilih sikap tidak peduli, tidak ingin ambil tahu, bermakna sombong dan mementingkan diri sendiri.

Kebaikan yang dilakukan mengikut syariat tidak sia-sia, tetap diberi ganjaran pahala seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu memperoleh (balasan) di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan paling besar pahalanya dan mohonlah ampunan kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” - (Surah al-Muzammil, ayat 20)

Jika kita renung halaman sirah Nabi SAW di Madinah, betapa tinggi dan mulianya akhlak kaum Ansar terhadap Muhajirin. Mereka sanggup mengorbankan apa saja demi keselesaan hidup kaum Muhajirin yang baru sampai dari Makkah. Ada yang rela menghulurkan makanan, pakaian, tempat tinggal dan menjadikan mereka saudara. Sungguh mengagumkan sekali.
Diceritakan ada seorang tamu baru balik dari sebuah keluarga dikunjunginya, tetapi keluarga itu tidak mempunyai apa-apa lalu berjumpa Rasulullah SAW. Lalu datang seorang lelaki dari kaum Ansar membawa tamu tadi ke rumahnya dan diletakkannya makanan di hadapan tamu itu sambil menyuruh isterinya memadamkan lampu.

Lalu ia (lelaki Ansar) menggapai tangannya kepada makanan seolah-olah ia makan tetapi (sebenarnya) ia tidak makan hinggalah tamu itu selesai makan kerana mengutamakan tamu daripada dirinya dan keluarganya.

Setelah kisah itu sampai kepada Rasulullah SAW, maka sabda Baginda kepadanya: “Sesungguhnya Allah berasa ajaib melihat kelakuanmu malam tadi terhadap tamumu.”

Maka ayat suci pun turun yang bermaksud: “Dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan, dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang yang beruntung.” - (Surah al-Hasyr, ayat 9)



Mengutamakan orang lain membuahkan suasana tolong-menolong dan terhapus sifat sombong atau mementing diri sendiri. Seterusnya akan hidup suburlah sifat berkasih-sayang kerana Allah dalam masyarakat.

Jika umat Islam menyedari bahawa gemar melakukan kebajikan dan mementingkan orang lain akan mendapat balasan baik di akhirat, sudah tentu setiap individu Muslim tidak berdiam diri dalam hal ini.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta menafkahkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka sama ada dengan senyap-senyap mahupun dengan terang-terangan mereka mengharapkan perniagaan yang tiada akan rugi, kerana Allah akan membayar hadiahnya kepada mereka dan akan memberi mereka tambahan dari kurnia-Nya, sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penerima syukur.” - (Surah Fatir, ayat 29-30)

Dalam masyarakat kita, bukan semua hidup mewah dan bahagia, pastinya ada yang tidak bernasib baik dan mengalami pelbagai masalah hidup serta memerlukan pertolongan. Seorang Muslim sejati memang tidak sanggup sama sekali melihat saudaranya terbiar hidup dalam derita tanpa berusaha membantu.

Oleh itu, jadilah Muslim yang selalu mempamerkan sahsiah diri dan akhlak mulia serta berlumba melakukan kebaikan dengan membantu saudara yang menghadapi masalah kerana pastinya kita ingin melihat saudara hidup selesa seperti mana hidup kita.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template