^ Scroll to Top

Thursday, December 18, 2008

Pukul jangan sebarangan

DALAM surah an-Nisa, ayat 34, antara lain menerangkan: “Dan wanita-wanita yang kamu bimbang melakukan nusyuz hendaklah kamu menasihati mereka dan pulaukanlah mereka di tempat tidur dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka taatkanmu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.”

Ayat itu menerangkan cara menangani isteri yang menampilkan tingkah laku buruk, iaitu dengan menasihati, mengasingkan diri daripada tidur bersama dan memukul.

Bagaimanapun, bagi lelaki, yang dominan di sini ialah perkataan ‘pukul’.

Sesetengah suami menjadikan ia alasan mengambil tindakan terhadap isteri dengan memukulnya apabila mendapati perwatakan pasangannya tidak disukai, malah ada yang menggunakan sebagai senjata untuk menundukkan pasangan.

Dalam Islam, lelaki adalah pemimpin wanita. Suami sebagai ketua keluarga mempunyai bidang kuasa terhadap rumah tangganya. Tetapi dengan kuasa itu dia tidak boleh memperlakukan orang di bawah tanggungannya secara sewenang-wenangnya.

Bahkan, sebagai ketua keluarga, suami bertanggungjawab memberikan layanan baik dan lemah lembut kepada isteri dan anak, bersesuaian sebagai suatu amanah daripada Allah.

Sebahagian besar orang silap faham terhadap versa terbabit, yang memahaminya secara literal, lalu dengan mudah memberikan alasan dan mengambil tindakan untuk mengherdik, menampar, membelasah atau menendang isterinya.

Apabila ayat itu tidak difahami dengan tepat, maksudnya akan menyimpang daripada kehendak asal dan memungkinkan berlaku kekasaran, penderaan dan keganasan dalam rumah tangga.

Statistik kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tahun 2006 menunjukkan 463 wanita menjadi mangsa.

Bagaimanapun, jumlah itu dijangka meningkat jika mengambil kira mereka yang enggan membuat laporan.

Adalah lebih baik bagi seseorang suami cuba memahami kehidupan berumah tangga dengan sebaik-baiknya, malah memahami istilah ‘pukul’ dari sudut istilah Arab supaya apa yang disampaikan al-Quran membawa kebaikan.

Hubungan suami isteri yang dibina dengan ikatan suci ijab dan kabul sepatutnya berasaskan kasih sayang, lemah lembut, perlakuan baik dan menghargai antara satu sama lain.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan bagi orang yang berfikir.” (Ar-Ruum: 21)

Bekas Presiden Persatuan Islam Amerika Utara, Dr Muzammil H Siddiqi, berkata al-Quran mendesak suami melayan isteri dengan baik, malah apabila berlaku pergeseran keluarga, al-Quran menggesa suami melayan isterinya dengan baik dan tidak terlepas pandang terhadap aspek positif.

“Wahai orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi wanita-wanita dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana ingin mengambil balik sebahagian daripada apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara baik. Kemudian jika kamu bencikan mereka, kerana mungkin kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (an-Nisa':19)

Beliau menegaskan, adalah penting seorang isteri mengiktiraf kuasa suaminya di rumah kerana beliau adalah ketua dalam rumah tangga dan si isteri ditugaskan untuk mentaatinya.

“Tetapi suami sepatutnya menggunakan bidang kuasanya dengan penuh hormat dan kebaikan terhadap isterinya.

“Jika berlaku pertikaian dan perbalahan, ia sepatutnya diselesaikan dengan cara baik. Bahkan, kedua-dua pihak harus mendapatkan orang tengah yang lebih tua atau ahli keluarga dan rakan yang dihormati untuk memulihkan keretakan dan meleraikan kekusutan dialami,” katanya.

Menurutnya, ayat 34 hingga 35 dari surah an-Nisa' bukan untuk membenarkan keganasan terhadap isteri, sebaliknya membimbing kita bagaimana cara menangani masalah keluarga dengan lemah lembut dan penuh bijaksana.

“Perkataan ‘pukul’ digunakan dalam ayat terbabit, tetapi tidak bermaksud penderaan fizikal,” katanya sambil menegaskan Nabi s.a.w menjelaskan “dharban ghaira mubarrih” yang bermaksud ‘pukulan perlahan yang tidak meninggalkan tanda.’

Beliau berkata, baginda juga mengingatkan, bahagian muka perlu dihindari jika mahu memukul, manakala sesetengah ulama mengatakan, had kebenaran memukul isteri tidak lebih daripada sentuhan ringan dengan siwak atau berus gigi.

Secara umum, Nabi s.a..w tidak menggalakkan umatnya memukul isteri. Bahkan, baginda sendiri tidak pernah memukul wanita dan baginda menegaskan lelaki terbaik ialah mereka yang tidak memukul isteri-isterinya.

Dalam satu hadis, baginda menempelak perbuatan jijik ini dengan katanya yang bermaksud: “Bagaimana seseorang daripada kamu memukul isteri seperti memukul unta dan kemudian memeluk (tidur dengannya).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Nabi Muhammad s.a.w menghargai dan mengasihi isteri-isterinya dengan menunjukkan sifat bertimbang rasa, hormat dan sabar tanpa mengasari mereka, bahkan dalam menghadapi gelagat isteri, baginda menanganinya dengan penuh pengertian dan kemaafan.

Baginda menunjukkan model suami cemerlang, dengan watak penyabar dan ringan tulang. Baginda tidak keberatan membantu isteri melakukan kerja rumah seperti menjahit pakaian, memerah susu kambing dan tidak lupa memberikan penghargaan kepada isteri yang menyediakan makanan.

Al-Hafiz Ibnu Hajar pernah berkata bahawa Saidatina Aisyah r.a ada meriwayatkan daripada Ahmad dan Ibnu Hibban, katanya:

“Baginda (nabi) yang menjahit pakaiannya, menjahit sepatunya dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan oleh lelaki di rumah mereka.”

Dr Muzammil berkata, perlu juga diambil perhatian, walaupun pukulan yang ringan disebut dalam ayat terbabit, ia bukan untuk memperbetulkan masalah yang kecil.

“Tetapi dibenarkan untuk menggunakannya bagi situasi yang serius apabila teguran terhadap isteri tidak berkesan dan meninggalkan tempat tidur bersamanya juga gagal.

“Jika tindakan disiplin ini dapat memperbetulkan situasi dan menyelamatkan perkahwinan, ia seharusnya digunakan.”

Satu lagi hadis Rasulullah s.a.w bermaksud: “Janganlah seorang mukmin lelaki membenci seorang (isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang dia suka.” (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Wanita mempunyai kedudukan mulia dalam Islam. Dalam tubuh wanita ada satu bahagian begitu mulia, iaitu rahim. Perkataan ini dikatakan daripada sifat yang Maha Penyayang.

Rahim ini menjadi penghubung kepada makhluk. Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaan Tuhan dan memberi makan kepada apa yang Tuhan ciptakan.

Profesor dari Universiti Saint Mary di Halifax, Nova Scotia, Kanada, Dr Jamal Badawi, berkata suami boleh membuat gesaan, jika timbul masalah berkaitan perangai isteri.

“Dalam kebanyakan kes, tindakan ini adalah memadai. Dalam kes apabila masalah berterusan suami boleh melahirkan perasaan tidak senang hati dengan cara yang baik, seperti dengan tidur di tempat berasingan dengannya.

“Bagaimanapun, ia sekiranya isteri berterusan menunjukkan tingkah laku yang buruk dan kebencian kepada suami, malah tidak mempedulikan tanggungjawab berumah tangga.

“Tindakan itu lebih tepat digambarkan sebagai pukulan yang lembut dan penuh beradab terhadap badan, bukannya pada muka, lebih kepada simbolik saja, bukannya untuk menghukum atau menyakiti,” katanya.

Katanya, bagi mengelak perceraian, suami boleh menggunakan cara lain yang boleh menyelamatkan perkahwinan.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template