^ Scroll to Top

Monday, December 15, 2008

Korban yang diterima Allah

Salah satu ibadah amaliah yang dilaksanakan pada sekitar Hari Raya Haji ialah ibadah korban. Berkorban (dalam istilah fekah disebut udhiyah) adalah menyembelih binatang ternak pada Hari Raya Aidiladha dan Hari Tasyrik dengan niat mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Inilah peristiwa besar yang melambangkan sejarah agama tauhid, pengorbanan yang ikhlas kerana Allah dan usaha terus menerus untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Ia merupakan amalan tradisi para nabi sejak Adam hingga Nabi Muhammad SAW.
Kita gembira melihat ramai kaum Muslim yang menyambut panggilan mulia ini, mengorbankan sebahagian harta atau haiwan ternak mereka. Kita tanamkan niat murni dan ikhlas ini kerana Allah SWT dan jangan sekali-kali ia dilakukan supaya lebih dihormati oleh masyarakat. Lebih dari itu berkorban itu biarlah benar-benar sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW.
Dalam satu riwayat dari Aisyah disebutkan nabi SAW bersabda yang bermaksud: Tidaklah keturunan Adam melakukan suatu perbuatan pada hari nahr yang lebih dicintai Allah selain mengalirkan darah (menyebelih haiwan korban). Haiwan sembelihan itu akan datang pada hari Kiamat membawa tanduknya, kukunya dan bulunya. Sesungguhnya darah haiwan sembelihan itu sampai kepada Allah lebih dulu daripada sampai ke tanah. Maka sucikanlah diri kamu dengannya (hadis riwayat Ibnu Majah dan At-Tarmizi). Al-Allamah Al-Manawi berkata, maksud hadis tersebut adalah bahawa ibadah yang paling utama pada hari itu adalah mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban) dan pada hari Kiamat kelak, korban itu akan datang sebagaimana adanya ia di dunia, tidak berkurang sedikit pun. Dan orang yang berkorban akan diberi pahala dari setiap anggota tubuh haiwan korbannya itu.
Baginda Rasulullah sendiri dalam sebuah hadis mengungkapkan, orang- orang yang tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia berada dalam keadaan mampu, maka jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini. Hakikatnya kita sebagai manusia sering bergelumang dalam dosa dan memiliki jarak antara dia dengan Allah. Manusia berkewajipan mendekatkan diri kepada-Nya. Salah satu caranya dengan berkorban. Kerana itu Nabi SAW bersabda bermaksud: Barang siapa yang mempunyai keluasan rezeki, lalu tidak berkorban, maka janganlah mendekati tempat solat kami (hadis Ibnu Majah dengan sanad sahih).
Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah dari Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:
"Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?" ujar sahabat.
"Itulah sunah daripada nenekmu Ibrahim," jawab Rasulullah.
"Apakah keuntungan korban itu untuk kita?" tanya sahabat lagi.
"Tiap-tiap bulunya merupakan satu kebaikan (hasanah)," jawab Rasulullah.
Penyembelihan
Seandainya ada sesuatu yang lebih utama daripada penyembelihan haiwan korban yang menjadi penebusan manusia atas segala nikmat, tentunya Allah tidak akan menyebutkan penyembelihan haiwan korban itu dalam firmannya yang bermaksud: Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar, sebagai tebusan atas Ismail a.s. (surah as-Shaffat ayat 107).
Berdasarkan keterangan hadis dan firman Allah yang diungkapkan dalam al-Quran, amalan korban berasal daripada Nabi Ibrahim yang kemudiannya diwarisi oleh baginda sebagai ibadah dalam syariat Islam yang sangat dianjurkan untuk dilaksanakan. Ibadah korban ini berasal dari zaman Nabi Ibrahim. Tatkala Nabi Ibrahim bersama puteranya Ismail selesai membina Kaabah di Mekah di atas arahan Allah sebagai pusat kegiatan bagi menegakkan dasar-dasar tauhid, Allah menguji kekuatan iman kedua-dua nabi ini. Pengorbanan itu adalah pengorbanan yang paling tinggi dalam hidup iaitu pengorbanan jiwa dan raga.
Menurut Syafii, hukum korban adalah sunat muakad yang sangat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan umat Islam yang berada di kampung halaman sendiri, kerana ia amalan yang sangat dikasihi Allah pada hari nahar (Hari Raya). Namun begitu, terdapat sebahagian ulama menyatakan ia wajib kepada mereka yang mampu berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Kautsar ayat 2 yang bermaksud: Maka dirikanlah solat kepada Allah (Tuhanmu)dan berkorbanlah.
Di dalam al-Quran disebut tentang pengorbanan dua anak Adam. Anak pertama memberi korban dengan tulus ikhlas atas dasar niat untuk mematuhi perintah Allah SWT dan mendekatkan diri kepada-Nya. Sementara anak yang lain juga berkorban tetapi tidak berdasarkan ketulusan hati dan usaha sungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu korban anak yang pertama diterima di sisi Allah manakala anak kedua tidak diterima oleh Allah. Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 27 yang bermaksud: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Haabil dan Qaabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang antaranya (Haabil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qaabil). Berkata (Qaabil): "Sesungguhnya aku akan membunuhmu." (Haabil) menjawab: "Hanya sanya Allah menerima (korban) dari orang- orang yang bertakwa."
Praktik ibadah korban ini kemudiannya diteruskan oleh Nabi Ibrahim sebagaimana firman Allah dalam surah As-Shaffat ayat 102.
Maka tatkala anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-samanya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkan apa pendapatmu? Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintah kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.
Mengapa Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih Ismail kemudian membatalkan dan menebus dengan kibas? Ini bukan hanya ujian untuk kedua-duanya, bukan juga untuk membuktikan ketabahan keluarga Ibrahim tetapi juga untuk menjelaskan kepada siapa saja bahawa tiada sesuatu yang mahal untuk dikorbankan bila panggilan Ilahi telah datang. Inilah bukti iman sejati. Akan tetapi harus diingat bahawa pembatalan tersebut bukan kerana manusia terlalu mahal untuk berkorban atau dikorbankan kerana Allah, tetapi ia dibatalkan demi kasih sayang Allah kepada manusia.
Amalan berkorban bertindak mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah dan mendekatkan hubungan manusia dengan Allah ini dikenali sebagai amaliah yang bersifat vertikal. Sementara amaliah yang bersifat horizontal pula, ibadah penyembelihan korban meningkatkan hubungan antara manusia dengan manusia melalui pembahagian daging-daging korban terutama kepada golongan fakir dan miskin. Ini sebagai petunjuk bahawa takwa yang bersifat personal dan vertikal (hubungan hamba dengan Tuhan) sering tidak terpisah dengan hubungan hamba itu dan persekitarannya. Justeru, amal sosial seperti korban harus didasarkan kepada Allah. Melalui ibadah korban terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Ibadah korban memanifestasikan rasa syukur dan puncak takwa. Ia sebagai tanda kembalinya manusia kepada Allah SWT setelah menghadapi ujian sehingga ada yang terpedaya dengan pujukan syaitan, menjauhkan diri daripada Allah serta mengerjakan larangan-Nya. Korban disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Akan tetapi yang dikorban bukan manusia, bukan pula nilai-nilai kemanusiaan tetapi binatang sebagai petanda bahawa pengorbanan harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan adalah sifat-sifat kebinatangan dalam diri manusia saperti sifat rakus, tamak, ego, mengabaikan norma, nilai dan sebagainya. Secara hurufiahnya, kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat kebinatangan yang terdapat dalam diri manusia.
Korban
Berpandukan kisah Haabil dan Qaabil tentang korban yang diterima oleh Allah, jelas menunjukkan, keikhlasan itu adalah satu sifat yang paling utama dalam ibadah. Amalan berkorban harus menggunakan haiwan yang baik dan tinggi kualitinya, tidak cacat, cukup umur serta banyak dagingnya. Meskipun, hal-hal berkaitan 'darah' atau daging itu tidak sampai kepada Allah, tetapi yang lebih penting adalah ketakwaan kepada Allah. Korban itu tidak memberi erti sama sekali untuk Allah kerana ia adalah Allah, yang Maha Agung, yang tidak memerlukan.
Dengan korban tersebut diharapkan agar takwa kita kepada Allah semakin meningkat. Oleh hal yang demikian, kunci kepada semua amalan sama ada sosial mahupun yang bersifat individual ialah takwa. Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu (surah Al-Hajj ayat 37)
Bila pengorbanan binatang ternak sebagai ritual keagamaan dilakukan pada hari-hari tertentu pada bulan korban, maka segala bentuk pengorbanan yang dilakukan umat Islam pada hari-hari yang lain juga dapat disebut pengorbanan bila disertai sikap takwa kepada Allah. Sikap itulah yang akan membezakan dari pengorbanan lain yang dilakukan demi kekasih, keluarga dan bangsa yang belum tentu diredai Allah.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template