^ Scroll to Top

Thursday, December 18, 2008

Asal Hajarul Aswad putih

SETIAP tahun, apabila tiba musim haji, lebih dua juta umat Islam dari seluruh dunia bertamu di kota suci Makkatul Mukarramah, menyahut seruan Ilahi bagi menyempurnakan rukun Islam yang kelima itu.
Dalam ibadat itu, jemaah melakukan pelbagai ritual ibadat mengikut tertib, seperti tawaf, sai dan bercukur, dengan kemuncaknya melakukan wukuf di padang Arafah, yang jatuh pada 9 Zulhijjah.

Baitullah disebut juga Kaabah, yang terletak di tengah kota suci itu. Ia menjadi tumpuan utama pada musim haji, khususnya dalam pelaksanaan tawaf, dengan setiap jemaah mengelilinginya sebanyak tujuh kali.

Rumah Allah itu adalah kiblat kepada umat Islam seluruh dunia ketika menunaikan ibadat solat seharian dan Masjidil Haram yang menaungi kawasan itu menjadi masjid paling mulia dalam Islam.

Baitullah yang penuh berkat dan mulia itu dikenali juga dengan nama lain seperti al-Bait, al-Bait al-Haram, al-Bait al-Atiq dan Qiblat.

“Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.” (Ali-Imran: 96)

Ulama berbeza dalam mentafsirkan ayat berkenaan. Sesetengahnya mengatakan makna bait itu ialah Kaabah, sesetengahnya pula mengatakan bait itu ialah Masjidil Haram dengan dalil hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bermaksud:

“Daripada Abi Zar berkata: Aku bertanya Rasulullah s.a.w mengenai masjid yang paling awal dibina di bumi, sabdanya Masjidil Haram. Aku berkata, kemudian masjid mana? Sabdanya, Masjidil Aqsa. Aku bertanya berapa lama antara keduanya didirikan? Sabdanya, empat puluh tahun.”

Menurut cerita Ibn Zahirah al-Qarsyi, Kaabah dibina beberapa kali, iaitu oleh malaikat, Nabi Adam a.s, Nabi Ibrahim a.s, orang Quraisy, Ibn Zubair dan Hajjaj Yusuf as-Thaqafi.

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama Nabi Ismail meninggikan binaan asas Baitullah itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah:127)

Selain melakukan tawaf di rumah Allah itu, satu fenomena cukup ketara diperhatikan ketika musim haji, malah pada waktu lain ketika mengerjakan umrah, ialah tindakan sesetengah tetamu yang mengucup Batu Hitam atau lebih dikenali Hajarul Aswad.

Amalan itu didakwa sebagai mencontohi kucupan diterima daripada Nabi Muhammad s.a.w. Ulama menyatakan perbuatan istilam (melambai tangan) terhadapnya ketika memulakan tawaf atau mengucup Hajarul Aswad (sekiranya dapat) termasuk perkara sunat mengerjakan haji dan umrah.

Signifikan tindakan itu, sebagaimana digambarkan Saidina Umar al-Khattab, Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua: “Saya tahu anda adalah sebuah batu yang tidak mendatangkan bahaya dan faedah. Jika tidak aku melihat Rasulullah s.a.w mengucupmu, aku tidak akan mengucupmu.”

Nabi s.a.w menciumnya sebagaimana dilakukan nabi sebelumnya, sehingga Hajarul Aswad menjadi tempat bertemunya bibir kalangan nabi, orang soleh, jemaah haji dan mereka yang menunaikan umrah sepanjang sejarah.

Ia juga menjadi tempat permulaan dan akhir tawaf, sekali gus tempat mustajab dikabulkan doa.

Batu Hitam yang terletak di bahagian penjuru sebelah timur Kaabah adalah objek sangat disanjungi umat Islam. Secara kasar batu itu berukuran diameter 30 sentimeter dan 1.5 meter dari paras bawah.

Ia dikatakan pernah pecah kepada beberapa bahagian pada Zaman Pertengahan. Malah ada pihak mendakwa ia pecah menjadi berkeping-keping kepada lapan gugusan batu kecil.

Keadaan ini berlaku pada zaman Qaramithah, iaitu satu mazhab daripada Syiah Islamiyah al-Batiniyah daripada pengikut Abu Thahir al-Qarmathi yang mencabut Hajarul Aswad dan membawanya ke Ihsa' pada 319 Hijrah, tetapi kemudian dikembalikan lagi pada 339 Hijrah.

Gugusan terbesar dikatakan sebesar buah kurma dan tertanam di batu besar yang lain dikelilingi oleh ikatan perak dan diperkuatkan lagi dengan paku perak. Batu itulah yang dianjurkan untuk dikucup, bukannya batu di sekitarnya dan yang meliputi perak.

Antara keutamaan Hajarul Aswad kerana ia berasal daripada batu yang mulia (yaqut) dari syurga yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s agar diletakkan di satu sudut Kaabah.

Bahkan menurut tradisi Islam, batu itu berasal dari syurga pada zaman Nabi Adam a.s dan Hawa lagi, dalam keadaan putih berkilau dan bebas daripada unsur kejahatan, tetapi ia menjadi hitam kerana dosa yang diserap tahun ke tahun.



Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Hajarul Aswad itu diturunkan dari syurga, warna lebih putih daripada susu dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam.”

Dikatakan juga Nabi Ibrahim a.s yang menemui Batu Hitam dan apabila baginda membina semula Kaabah, Malaikat Jibril a.s membawa batu itu keluar dan memberikan kepada baginda.

Menurut cerita, apabila Nabi Ibrahim siap membina Kaabah, dengan bantuan puteranya, Nabi Ismail a.s, Allah memerintahkan baginda melakukan tawaf.

Baginda tidak dapat menetapkan bilangan yang tepat pusingan dilakukannya. Baginda berasa mereka yang lain juga akan keliru.

Justeru, baginda berdoa kepada Allah untuk memberikannya suatu tanda untuk digunakan bagi mengira pusingan. Malaikat Jibril membawakan batu hitam terbabit kepadanya.

Bahkan, Nabi Muhammad s.a.w turut memainkan peranan dalam sejarah Hajarul Aswad. Ini kerana pada waktu pembinaan semula struktur Kaabah, Hajarul Aswad dipindahkan sementara dan bagindalah yang meletakkan semula batu terbabit di tempat asalnya.

Satu cerita yang ditemui dalam Sirah Rasulullah Ibn Ishaq menunjukkan Nabi Muhammad s.a.w menyelesaikan satu pertelingkahan di antara suku Makkah, yang masing-masing berhak untuk meletakkan Hajarul Aswad di tempat asalnya.

Jalan penyelesaiannya ialah dengan memanggil semua pemimpin suku terbabit untuk mengangkat penjuru batu dengan satu kain dan kemudian Nabi Muhammad s.a.w meletakkan batu itu pada tempatnya dengan tangannya sendiri.

Umat Islam dari satu generasi ke generasi apabila mula tawaf dan selesai setiap pusingan, mengucup Hajarul Aswad, menyentuhnya dengan satu tangan atau sekadar memberikan isyarat kepadanya dari jauh.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template