^ Scroll to Top

Monday, November 10, 2008

Tabiat asal manusia cenderung pada kebaikan

ORANG yang berakhlak dirujuk mereka yang sopan budi bahasa dan elok tingkah laku, manakala tidak berakhlak iaitu mereka yang berperibadi buruk.

Tetapi, apakah orang yang dikatakan tidak berakhlak itu tiada sisa kebaikan, sehingga dia memang jahat, tiada belas ihsan dan adab langsung?

Suatu hakikat yang diakui, manusia mempunyai kesedaran akhlak.

Ini menunjukkan manusia ada akhlaknya, walaupun kadang kala dengan mudah mengatakan seseorang itu tidak berakhlak.

Bukti tersematnya perasaan ini ialah adanya di dalam diri kita yang mencela tindakan tidak berakhlak, sehingga kita tidak senang dengan nilai dan amalan tidak berakhlak.

Malah, keadaan itu memaksa kita menyerahkan diri kepada pihak yang berkuasa supaya diambil tindakan dan hukuman.

Demikian juga, perasaan yang mendorong orang ramai membantu golongan susah dan teraniaya.

Begitu juga kebiasaan untuk menilai dan mengukur orang lain dengan ukuran kebaikan atau keadilan dalam semua bentuk kegiatan hidup manusia.

Oleh kerana perasaan ini begitu mendalam di dalam diri manusia, kebanyakan cerdik pandai berpendapat perasaaan akhlak ini adalah fitrah semulajadi yang sedia ada sejak awal kejadiannya. Pendapat ini dapat dibahagi kepada tiga, iaitu:

1. Pendapat yang mengatakan asal manusia ialah jahat. Maksudnya di sini, manusia dijadikan dengan tabiat asalnya memang jahat, manakala tabiat baik hanya datang kemudian. Pendapat ini menurut pengkaji jelas dalam fahaman Buddha dan Kristian melalui konsep “Penebusan Dosa Anak Adam” dengan menyalib seorang yang dikatakan Nabi Isa a.s.

2. Pendapat yang mengatakan tabiat asal manusia ialah baik. Maksudnya ialah manusia dijadikan dengan tabiat asal yang baik. Tabiat jahat yang ada hanyalah datang kemudian. Pendapat ini mula dikemukakan Socrates dan aliran Stoicisme di zaman Greek Tua, yang kemudian ditonjolkan oleh Jan Jack Ronsaux.

3. Pendapat yang mengatakan manusia dijadikan dengan tabiat asal baik dan jahat, iaitu mempunyai dua persediaan semulajadinya, persediaan untuk baik dan jahat.

Pendapat ini adalah agak sederhana berbanding dua pendapat di atas dan ia dipersetujui banyak pihak.

Sebelum ini pendapat yang ketiga ini dikemukakan dua tokoh ahli fikir Islam, Imam al-Ghazali dan Ibn Khaldum, dengan sedikit penambahan di antara kedua-dua tabiat semula jadi yang ada pada diri seseorang, mereka lebih cenderung kepada kebaikan daripada kejahatan.

Jika diperhalusi, ketiga-tiga pendapat itu melihat dari sudut berlainan. Aliran pertama melihat dari sudut jasmani semata-mata, kedua melihat dari unsur rohani manakala ketiga dari kedua-dua sudut jasmani dan rohani.

Dibandingkan di antara ketiga-tiga pendapat itu, aliran ketiga lebih tepat kerana ia membabitkan jasmani dan rohani.

Ada beberapa nas al-Quran yang bertepatan dengan pendapat ketiga, seperti firman-Nya, bermaksud:

“Serta bumi dan yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-Nya). Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan ketakwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya susut dan terbenam kebersihannya. (as-Syams:6-10)

Terdapat juga ayat yang menjelaskan lagi pendapat mengatakan manusia lebih cenderung kepada kebaikan daripada kejahatan, seperti maksud ayat ini, yang bermaksud:

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik.” (Ali 'Imran: 110)

Sama ada tabiat baik lebih dulu lahir pada seseorang atau tabiat jahat, tabiat semulajadi itu boleh menerima perubahan dan pembentukan.

Ketiga-tiga aliran ini juga berpendapat tabiat baik dan jahat tidak diberikan dengan sama rata.

Tetapi, sebenarnya ada yang dijadikan dengan tabiat baiknya lebih mendahului daripada tabiat jahatnya. Demikian juga sebaliknya.








"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template