^ Scroll to Top

Monday, November 10, 2008

APA YANG KITA SOMBONGKAN - SATU PENCERMINAN DIRI

Oleh :M. Rian Rahardi

Seorang lelaki yang bertamu ke rumah seorang guru terpegun kehairanan ketika melihat Guru tersebut sedang sibuk bekerja; ia mengangkut air dengan timba dan membersih lantai rumahnya dengan bersungguh-sunguh. Peluhnya bercucuran. Menyaksikan keganjilan itu lelaki berkenaan bertanya, apa yang sedang Anda lakukan ?. Si Guru menjawab, tadi saya didatangi serombongan tetamu yang meminta nasihat. Saya memberikan banyak nasihat yang bermanfaat bagi mereka. Mereka pun nampaknya berpuas hati. Namun, setelah mereka pulang tiba-tiba saya merasa menjadi orang yang hebat. Kesombongan mula muncul dalam diri saya. Kerana itu, saya melakukan ini untuk membunuh perasaan sombong saya.

Sombong adalah penyakit yang sering menghinggapi kita semua, yang benih-benihnya terlalu kerap muncul tanpa kita sedari.Ia penyakit yang diwarisi dari Iblis dan disebarkan oleh tenteranya Syaitan dan ia kekal sehingga kita menemui ajal. Di peringkat terbawah, sombong disebabkan oleh faktor material. Kita merasa lebih kaya, lebih rupawan, dan lebih terhormat daripada orang lain. Di tingkat kedua, sombong disebabkan oleh faktor kecerdasan. Kita merasa lebih pintar, lebih kompeten, dan lebih berwawasan dibandingkan orang lain. Di tingkat ketiga, sombong disebabkan oleh faktor kebaikan. Kita sering menganggap diri kita lebih bermoral, lebih pemurah, dan lebih tulus dibandingkan dengan orang lain. Kita lupa bahawa sombong adalah hak ALLAH, kerana ALLAH MAHA SEGALANYA.Yang menarik, semakin tinggi tingkat kesombongan, semakin sukar pula kita mengesannya. Sombong kerana material sangat mudah terlihat, namun sombong kerana pengetahuan, apalagi sombong kerana kebaikan, amat sukar dikesan kerana ia seringkali hanya berbentuk benih-benih halus di dalam batin atau naluri kita.

Akar dari kesombongan ini adalah ego yang berlebihan. Pada tahap yang lumrah, ego menampilkan dirinya dalam bentuk harga diri (self-esteem) dan kepercayaan diri (self-confidence). Akan tetapi, apabila kedua hal ini berubah menjadi kebanggaan (pride), Anda sudah berada sangat dekat dengan kesombongan. Batas antara bangga dan sombong tidaklah terlalu jelas. Kita sebenarnya terdiri dari dua kutub, iaitu ego di satu kutub dan kesedaran sejati di kutub lain. Pada masa kita dilahirkan ke dunia, kita dalam keadaan telanjang dan tak punya apa-apa. Akan tetapi seiring dengan pembesaran dan waktu, kita mulai memupuk berbagai keinginan, lebih dari sekadar yang kita perlukan dalam hidup. Keenam-enam indra kita selalu mengatakan bahawa kita memerlukan lebih banyak lagi.

Perjalanan hidup manusia cenderung menggiringi kita menuju ke kutub ego. Ilusi ego inilah yang memperkenalkan kita kepada dualisme, ketamakan dan kebencian . Inilah akar dari segala permasalahan. Perjuangan melawan kesombongan merupakan perjuangan menuju kesedaran sejati. Untuk dapat melawan kesombongan dengan segala bentuknya, ada dua perubahan paradigma yang perlu kita lakukan.

Pertama, kita perlu sedar bahawa pada hakikatnya kita bukanlah makhluk fizik, tetapi makhluk spiritual. Kesejatian kita adalah spirituality, sementara tubuh fizikal hanyalah sarana untuk hidup di dunia. Kita lahir dengan tangan kosong, dan (ingat!) kita pun akan mati dengan tangan kosong. Kita yang mencorakkan fizikal.Justeru itulah adanya istilah patung bernyawa bagi mereka yang rosak spiritualnya.

Pandangan seperti ini akan membuatkan kita melihat semua makhluk dalam kesetaraan universal. Kita tidak akan lagi terkelabui oleh penampilan, label, dan segala sifat luaran lainnya. Yang kini kita lihat adalah kesan dalaman. Pandangan seperti ini akan membantu menjauhkan kita dari berbagai kesombongan atau ilusi ego.

Kedua, kita perlu menyedari bahawa apa pun perbuatan baik yang kita lakukan, semuanya itu semata-mata adalah juga demi diri kita sendiri. Kita memberikan sesuatu kepada orang lain juga demi kita sendiri. Dalam hidup ini berlaku hukum tenaga kekal . Energi yang kita berikan kepada dunia tak akan pernah habis. Energi itu akan kembali kepada kita dalam bentuk yang lain. Kebaikan yang kita lakukan pasti akan kembali kepada kita dalam bentuk persahabatan, cinta kasih, makna hidup, maupun kepuasan batin yang mendalam. Jadi, setiap perbuatan baik kepada pihak lain, kita sebenarnya sedang berbuat baik kepada diri kita sendiri.

Kalau begitu, apa yang boleh kita sombongkan ?..









"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template