^ Scroll to Top

Tuesday, October 28, 2008

Seruan Suci

"MARILAH mendirikan solat, marilah menuju kejayaan!" Itu antara maksud lafaz azan yang bergema setiap kali masuk waktu solat, menyeru umat Islam bersegera melaksanakan perintah Allah.

Azan adalah satu syiar Islam yang mengingatkan Muslim mengenai waktu solat yang lima, sekali gus memberikan isyarat supaya meninggalkan seketika segala urusan dunia untuk sama-sama menuju kepada rahmat dan kasih sayang Allah.

Satu hadis Rasulullah s.a.w bermaksud: "Apabila tiba waktu solat hendaklah seorang daripada kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Panggilan suci itu adalah bersifat universal kerana lafaznya sama walaupun di dalam komuniti berbilang bangsa dan berbeza generasi dari dulu hingga kini, malah dengan pengertian yang sangat sempurna lagi menyeluruh, menjadikannya suatu simbol perpaduan umat Islam sejagat.

Secara harfiah, azan membawa maksud pemberitahuan ('al-i'lam) atau seruan (an-nida'. Al-Quran, sunnah dan ijmak menyatakan, laungan azan mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar.

Ia dihukumkan sebagai sunat muakkad ketika hendak mendirikan solat dan fardu kifayah bagi satu-satu kumpulan orang Islam.

Bagi muazzin, iaitu orang yang melaungkan azan ketika melafazkan "hayya `alassolah", hendaklah menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kanan dan ketika membaca "hayya `alal falah" menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kiri.

Disunatkan juga melakukan tarji' ketika mengumandangkan azan iaitu menyebut dua kalimah secara senyap sebelum dinyaringkan.

Malah, sunat muazzin memasukkan dua anak jarinya ke dalam kedua-dua telinganya dengan tujuan untuk meninggikan suara.

Ketika mengumandangkan azan, muazzin tidak boleh bercakap. Setiap lafaz azan dilaungkan sebanyak dua kali kecuali lafaz takbir yang awal disebut empat kali dan lafaz kalimah tauhid di akhirnya sekali sahaja.

Azan harus dilafazkan oleh seorang lelaki yang beragama Islam, berakal, dilafazkan dalam bahasa Arab dan dilaungkan ketika masuknya waktu solat.

Ia juga harus diseru oleh muazzin yang suci daripada hadas besar, hadas kecil dan najis, dengan mengadap ke arah kiblat dan suara yang nyaring ketika melaungkannya.

Azan disyariatkan pada tahun pertama hijrah di Madinah al-Munawarrah. Perkara ini diceritakan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Umar r. a:

"Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan solat. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi s.a.w telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat cara memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai ke masjid melakukan solat jemaah.

Dalam mesyuarat itu terdapat beberapa cadangan. Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat, ada yang mencadangkan ditiup serunai ataupun trompet; dan ada yang mencadangkan dibunyikan loceng. Semua usul itu ditolak Rasulullah s.a.w.

Umar bin al-Khattab mencadangkan diteriakkan ucapan: "Telah datang waktu solat". Usul ini diterima Rasulullah s.a.w tetapi baginda menukar lafaz itu dengan lafaz "assolatu jami`ah" yang bererti "marilah solat berjemaah."

Pada suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi mengenai cara yang lebih baik memberitahu solat dengan mengumandangkan Allahu Akbar... (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)".

Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui Rasulullah s.a.w dan baginda bersabda: "Mimpimu itu mimpi yang benar". Nabi s.a.w memerintahkan Bilal bin Rabah mengumandangkan azan terbabit. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan beliau juga bermimpi seperti Abdullah bin Zaid."

Inilah buat kali pertama azan dilaungkan dengan kalimah yang mempunyai gaya tersendiri lagi unggul, tanpa sebarang unsur peniruan, malah laungan kalimah suci ini lebih bermakna berbanding yang lain.

Lafaz azan mengandungi makna kesatuan yang merangkumi aspek akidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga aspek terbabit saling melengkapi dan sangat penting, kerana jika tiada satu daripada tiga aspek itu menjadikan seseorang Muslim tidak sempurna.

Akidah seseorang Muslim ialah tauhid, iaitu mengimani Allah, satu-satunya yang disembah. Tauhid ini terangkum dalam lafaz azan dan ini jelas memberitahu yang Allah Maha Besar, tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh-Nya.

Lafaz itu juga menjadi kalimah syahadah bagi mereka yang mahu memeluk Islam dan ia adalah slogan utama yang wajib dipegang dari awal hingga akhir hayat.

Bagi mereka yang memerhatikan dengan teliti pengertian kalimah azan, dengan sendiri akan menjadi orang yang bersemangat, cergas dan rajin kerana kalimahnya menerangkan erti suatu kebesaran Ilahi dan sebuah kehidupan insani, yang bertanggungjawab memelihara amanah terhadap dunia dan akhiratnya.

Justeru, terdapat sesetengah golongan yang bersih hatinya akan bersegera mendirikan solat apabila azan dikumandangkan, kerana mengetahui urusan Allah lebih utama, berbanding urusan duniawi sesama manusia.

Mengimani Nabi Muhammad s.a.w sebagai pesuruh Allah memberi pengertian baginda adalah utusan yang dihantar Allah untuk memimpin dan memberi pertunjuk kepada seisi alam, sekali gus menuntut kepatuhan kepada syariat yang diajarkannya.

Azan mempunyai keunikan kerana gema keagungannya mampu menyentap fitrah manusia yang leka dan lalai daripada mengingati Allah, malah membuatkan seseorang itu terdiam seketika kerana menghormatinya.

Di sesetengah negara seperti di Malaysia, rakaman azan turut disiarkan melalui radio dan televisyen bagi memberikan makluman kepada Muslimin, sesuai dengan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi yang sewajarnya dijulang semua pihak.

Kemuliaan azan dapat dilihat melalui anjuran Nabi s.a.w terhadap umatnya, malah diceritakan dalam satu hadis diriwayatkan al-Bazzar, bermaksud:

"Rasulullah s.a.w pada malam Israk diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s dan Nabi Nuh a.s, Allah s.w.t menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi."

Disebabkan kemuliaan azan, orang yang mendengarnya hendaklah menghormatinya, dengan diam seketika bagi memberikan laluan azan dikumandangkan, di samping menyahut seruannya secara perlahan-lahan dengan lafaz yang diucapkan oleh muazzin, kecuali pada lafaz "hayya `alassolah" dan "hayya `alal falah" disahut dengan 'la haula wala quwwata illa billah' yang bermaksud 'tiada daya dan kekuatan kecuali daripada Allah.'

Pada azan Subuh, iaitu setiap kali dilaungkan 'assolatu khairun minannaum' (solat lebih baik daripada tidur) dijawab orang yang mendengar dengan 'sodaqta wa barirta' , maksudnya engkau benar dan engkau berbuat baik."

Selesai azan, umat Islam dianjurkan berdoa, seperti: "Wahai Allah, Tuhan yang menguasai seruan yang sempurna ini dan solat yang didirikan. Berikanlah kepada Nabi Muhammad kurnia dan keutamaan serta kedudukan yang terpuji yang Engkau janjikan untuknya."

Azan tidak hanya dilafazkan bagi tujuan solat fardu, malah ia juga disunatkan saat kelahiran bayi, mencontohi tindakan Nabi Muhammad s.a.w yang mengazankan Hasan ketika beliau dilahirkan oleh Fatimah.

Ia juga dapat dimanfaatkan sebagai isyarat untuk memaklumkan sebarang kejadian besar, seperti kebakaran dan waktu perang dan ketika pengebumian jenazah dan bagi memulakan perjalanan (musafir).

"Daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya): Apabila dilaungkan azan untuk solat, syaitan akan menjauhkan dirinya sambil terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak terdengar lagi azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan kembali lagi sehinggalah iqamat untuk solat diserukan dia akan menjauhkan diri. Sehinggalah selesai iqamat itu barulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi antara seseorang itu dengan dirinya (mewas-waskan). Dia akan berkata : Ingatlah begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap sesuatu yang tidak sewajarnya diingati sehinggalah lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia bersolat." (Riwayat Imam Bukhari)

Azan juga boleh diamalkan untuk mengubati orang yang dalam kerasukan serta menghindari mereka daripada kejahatan jin dan syaitan, bahkan sunat mengazankan orang yang buruk sifatnya sama ada daripada manusia atau haiwan dan orang yang resah gelisah kerana azan itu boleh menghilangkan keresahan.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template