^ Scroll to Top

Tuesday, October 28, 2008

Seruan ke Baitullah wajar dilaksana tanpa bertangguh

MENURUT catatan sejarah, suatu ketika Rasulullah SAW ditanya oleh sahabatnya, “Ya Rasulullah, mana antara amal yang banyak itu yang lebih utama? Rasulullah menjawab: Iman kepada Allah dan Rasul-Nya. Kemudian ditanya lagi: Apa lagi, ya Rasulullah? Dijawab lagi: Berjihad di jalan Allah. Kemudian ditanya lagi: Apa lagi, ya Rasulullah? Dan Baginda SAW menjawab: Haji yang mabrur.” - (Hadis riwayat Bukhari)

Musim haji datang lagi dan Kota Makkah akan menerima kunjungan jutaan umat Islam seluruh dunia untuk mengerjakan ibadat haji bagi tahun 1429 hijrah. Jemaah haji negara kita yang terpilih mengerjakan ibadat haji akan mula berangkat ke Tanah Suci Makkah akhir Oktober ini untuk menyempurnakan Rukun Islam kelima itu. Ibadat haji wajib dilakukan umat Islam yang berkemampuan dari segi kewangan serta sihat tubuh badan.

Mereka yang akan pergi mengerjakan haji tahun ini pasti sudah siap sedia dengan persiapan fizikal serta mental, tentu tidak sabar untuk segera berada di Tanah Suci Makkah sebagai tetamu Allah. Menjadi tetamu Allah adalah sesuatu yang cukup bermakna dalam hidup seseorang Muslim. Tidak semua insan dijemput Allah sebagai tetamu-Nya. Mereka yang terpilih adalah hamba-Nya yang dikira beruntung dan sewajarnyalah mereka itu berasa bersyukur kepada Allah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji (dengan) mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu) maka sesungguhnya Allah Maka Kaya (tidak berhajat sesuatu pun) dari sekian makhluk.” - (Surah Ali-Imran, ayat 97)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” - (Surah al-Baqarah, ayat 196)

Ibadat haji diwajibkan kepada umat Islam pada tahun kelima atau keenam Hijrah, akan tetapi mula dilaksanakan pada tahun kesembilan Hijrah. Pada tahun itu, Rasulullah SAW mengarahkan Saidina Abu Bakar al-Siddiq mengetuai rombongan 300 umat Islam supaya mengerjakan haji.
Imam Qurthubi mengisahkan riwayat daripada Ibnu Abas bahawa ketika Nabi Ibrahim selesai membangunkan Kaabah, beliau memperoleh perintah langsung dari Allah supaya melaksanakan perintah menunaikan haji kepada manusia. Nabi Ibrahim menjawab, “Bagaimana suaraku didengar oleh manusia? Maka Allah berfirman: Serulah mereka, maka Aku yang akan menyampaikannya.”

Nabi Ibrahim lalu naik ke Jabal Abu Qubais dan menyeru dengan suara keras: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kamu untuk berhaji ke rumah ini (Baitullah), nescaya Allah akan memberi pahala syurga dan menjauhkan kamu daripada api neraka.”

Saat itu seluruh manusia menjawab, baik yang ada di dalam sulbi lelaki mahupun yang ada dalam rahim wanita, dengan jawapan talbiyah yang bermaksud, “Aku siap melaksanakan dan memenuhi perintah-Mu, ya Allah.”

Kelebihan bagi mereka mengerjakan haji dapat dilihat melalui Ali bin Abi Talib yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menghendaki (kebaikan) dunia dan akhirat, maka hendaklah dia mengunjungi Baitullah sebab setiap orang yang mendatanginya seraya memohon kepada Allah akan (kebaikan) dunia, nescaya Allah akan mengurniakannya dan setiap orang yang memohon kepada-Nya akan (kebaikan) akhirat, nescaya Dia akan menyimpan sebahagiannya untuknya. Ingatlah wahai manusia, kerjakan olehmu haji dan umrah, perturutkanlah antara keduanya, sebab keduanya akan mencuci dosa, ibarat air mencuci kotoran yang melekat pada baju. Keduanya juga akan menghilangkan kefakiran, ibarat api menghilangkan kotoran besi.”
Mengerjakan haji tidak hanya bergantung kepada tubuh badan yang sihat, cergas dan bertenaga, tapi ketahanan minda juga perlu kuat. Jika tubuh badan saja sihat serta mampu melakukan rukun dan wajib haji tetapi minda sakit dan lemah, maka dibimbangi jemaah tidak mendapat haji mabrur. Justeru, persediaan fizikal, mental dan spiritual perlu diberi perhatian jemaah yang akan ke Tanah Suci.

Mengerjakan ibadat haji nampak mudah, tetapi oleh kerana ia dilakukan di tempat berlainan, maka semuanya itu memerlukan kekuatan fizikal kerana ibadat tawaf di Baitullah, sa’ie pula di Safa dan Marwah, wukuf di Arafah, mabit di Mudzalifah dan melontar jamrah di Mina. Semuanya itu memerlukan tenaga dan sekali gus menguji ketabahan serta kesabaran jemaah.

Sepanjang mengerjakan ibadat haji, seseorang itu sentiasa diuji Allah dengan pelbagai ujian yang boleh mencacatkan ibadahnya kepada Allah seperti cepat marah, tidak sabar, riak, sombong, bermegah-megah, berkata dusta, umpat dan mengata, hasad dengki dan sifat tercela lain. Semuanya boleh berlaku jika jemaah tidak ikhlas melakukan ibadat semasa berada di Makkah dan Madinah.

Apa yang baik seharusnyalah diamalkan jemaah sewaktu berada di Makkah dan Madinah sepanjang mengerjakan ibadat haji, hendaklah sentiasa bersikap sabar dalam apa juga keadaan yang mereka hadapi.

Selain sabar, hendaklah selalu ikhlas melakukan serta reda serta perlulah rajin, amanah, jujur, tolong menolong, bersedekah, penyayang dan yang penting hendaklah sentiasa mengucap syukur kepada Allah atas nikmat yang diberikan-Nya selama ini.

Diriwayatkan daripada Abi Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menunaikan haji ke Baitullah sedangkan ia tiada melakukan persetubuhan dan perkara yang dilarang maka bersihlah ia daripada dosanya seperti pada hari ia dilahirkan oleh ibunya.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Dosa yang berlaku di antara umrah adalah dihapuskan dan tidak ada balasan bagi haji yang mabrur (haji yang diterima) melainkan syurga.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Melihat kepada ganjaran diberikan Allah kepada mereka yang pergi mengerjakan ibadat haji seharusnyalah seruan mengunjungi Baitullah itu disambut secepat mungkin tanpa bertangguh. Jika ada kemampuan bersegeralah menyempurnakan Rukun Islam kelima itu tanpa memberi alasan belum sampai seru, usia masih muda atau sibuk dengan tugas.

Yang penting adalah niat, kemahuan dan azam untuk menziarahi Baitullah walaupun sekali dalam hidup. Oleh demikian, mulai saat ini tanamkan niat, kemahuan dan azam yang bulat dalam hati untuk mengunjungi Baitullah secepat mungkin sebelum datangnya sakit.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template