^ Scroll to Top

Tuesday, October 28, 2008

Ganjaran akhirat tiada bandingan

Allah berfirman yang bermaksud : Katakanlah (Wahai Muhammad): “Mahukah supaya Aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya.
Disediakan juga pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan daripada Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan hamba-hamba-Nya. (Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada azab neraka”. (Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.. (ali-‘Imran: 15-17)
Sheikh Sya’rawi berkata: “Berdasarkan ayat sebelum ini kepelbagaian jenis nikmat dan perhiasan. Seterusnya dinyatakan ayat yang membicarakan berkenaan dengan tawaran Allah SWT yang jauh lebih baik bagi mereka yang bertakwa dengan anugerah syurga dan segala nikmatnya.”
Ayat Ke-15
Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Mahukah supaya Aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri Yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan daripada Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan hamba-hamba-Nya.
Sebab Nuzul.
Ibn Jauzi meriwayatkan dalam kitabnya Zad al-Masir daripada Ata’ bin al-Said daripada Abi Bakar bin Hafs katanya: “Apabila Allah SWT menurunkan ayat 14 daripada surah ali-‘Imran lantas kata Umar: “Hai Tuhanku, sekarang ketika kamu hiasinya?” Lantas turunnya ayat ini.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Sheikh Sya’rawi berkata: “Maksud perkataan Katakanlah (Wahai Muhammad): Mahukah supaya Aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Bahawa Allah SWT menceritakan kepada kita dengan kebaikan daripada perhiasan dunia. Seolah-olah ayat ini Allah SWT menjadikan perkara tersebut sebagai qias atau perbandingan antara nikmat dunia dengan nikmat akhirat.”
ii. Sheikh Sya’rawi berkata: “Di sisi Tuhan di sini jelas terpampang perbandingan antara ayat ini dan sebelumnya sebagai contoh:
nBeberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dibandingkan dengan nikmat tanaman tumbuhan di dunia.
nMereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih dibandingkan dengan sifat wanita di dunia sama ada dari segi akhlak dan kejadian.
iii. Al-Maraghi berkata: “Perkataan lebih baik (khayrun) memberi gambaran bahawa pelbagai jenis kesenangan tersebut pada asasnya adalah baik. Hal ini sememangnya tidak diragukan lagi, kerana nikmat-nikmat tersebut merupakan hasil kurniaan yang terpenting daripada Allah SWT kepada manusia”.
iv. Hamka berkata: “Semuanya ini beribu-ribu kali lebih baik daripada yang dihiaskan kepada kamu dari enam perkara tersebut. Allah SWT mengakui bahawa dunia mempunyai perhiasan dan manusia ditakdirkan mengingini perhiasan itu, tetapi Tuhan memperingatkan janganlah lupa akan tujuan dan terpesona oleh perhiasan luar kerana yang di sebelah dalam lebih hebat daripada perhiasan luar tersebut.”
Penulis berpendapat ayat ini jelas menunjukkan bahawa ganjaran dan kurniaan Allah SWT di akhirat jauh lebih baik daripada yang dimiliki di dunia.
Ayat Ke-16
Firman Allah SWT yang bermaksud: (Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa Kami dan peliharalah Kami daripada azab neraka.”
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Sheikh Sya’rawi berkata: “Doa ini menjadi dalil bahawa yang berdoa mengetahui kehendak iman seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW berkenaan tentang ihsan iaitu kamu ibadat kepada Allah SWT seolah-olah kamu melihatnya dan jika tidak melihatnya maka yakinlah Allah SWT melihatmu”.
ii. Ibn Jauzi berkata: “Makna istighfar dalam ayat ini dengan dua maksud-
nIaitu istighfar yang maaruf dengan lidah seperti pendapat Ibn Masud dan al-Hasan.
nIaitu solat, inilah pendapat Mujahid, Qatadah, al-Dhahaq dan Muqatil.
Atas dasar inilah solat dinamakan istighfar kerana sesiapa yang bersolat sudah pasti memohon keampunan.
iii. Al-Maraghi berkata: “Orang yang menjaga diri daripada melakukan perbuatan dosa dan tunduk kepada Allah SWT dengan penuh perasaan takut, mengucapkan doa dengan penuh kekhusyukan dan harapan agar dikabulkan iaitu, Wahai Tuhan kami, kami benar-benar mengaku beriman terhadap sesuatu yang Engkau turunkan kepada Rasul-rasul Engkau, dengan keyakinan yang mendalam.”
Ayat Ke-17
Firman Allah SWT yang bermaksud: ”(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.”
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: “Orang sabar ialah mereka yang mentaati dan meninggalkan perkara yang haram. Orang yang benar iaitu mereka beriltizam dengan amalan yang payah dengan sebab keimanan.
ii. Ibn Jauzi berkata: “Waktu sahur ialah sebelum keluarnya fajar di penghujung akhir malam. Allah SWT sifatkan mereka dengan segala ketaatan ini kemudian sifatkan mereka dengan takutnya mereka kepada Allah SWT”.
iii. Sheikh Sya’rawi berkata: “Segala sifat di atas bagi mereka yang bertaqwa kepada Allah SWT”.
Daripada ayat-ayat ini jelas menunjukkan kurniaan Allah SWT kepada golongan yang mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi golongan yang mendapat syurga Allah SWT yang bersifat dengan sifat sabar, benar, taat, rajin bersedekah dan beristighfar.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template