^ Scroll to Top

Wednesday, September 17, 2008

Puasa sebagai perisai maksiat

TERDAPAT banyak kelebihan yang akan dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang berpuasa. Abu Hurairah ada meriwayatkan satu hadis daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: Puasa itu perisai, maka janganlah kamu mencela dan berkata-kata kotor, jika ada seseorang yang mahu mencelanya, katakanlah kepadanya : sesungguhnya aku ini berpuasa - 2 kali -. Demi diriku yang berada di tangan-Nya, bahawasanya bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih wangi di sisi Allah daripada bauan kasturi, dia berpuasa dengan meninggalkan makanan, minuman dan nafsu syahwatnya semata-mata kerana-Ku. Ibadat puasa itu adalah untuk-Ku dan Akulah yang akan memberi balasan pahala kepadanya, dan setiap satu kebajikan itu akan dilipat gandakan dengan 10 kali ganda. (riwayat al-Bukhari ).
Berdasarkan hadis ini sahaja, beberapa kelebihan akan dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang berpuasa.
Pertama: Puasa itu adalah perisai. Perisai yang dimaksudkan di sini ialah perisai daripada api neraka. Barang siapa yang mahu terdinding dirinya daripada api neraka, maka hendaklah ia berpuasa.
Ada ulama menyebut puasa itu sebagai benteng atau penahan bagi orang yang berpuasa daripada segala nafsu syahwat yang merosakkan puasanya. Apabila seseorang itu berpuasa, ia dapat mengekang nafsu yang buruk bagi dialihkan perhatian kepada perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebajikan dan pahala.
Orang yang berpuasa akan membina benteng daripada melakukan dosa dan maksiat. Di dalam hadis ini disebut secara jelas larangan mencela dan bercakap kotor. Secara lebih umum, larangan ini merangkumi segala perbuatan buruk sesuai dengan falsafah ibadat puasa untuk menghalang seseorang daripada perlakuan negatif.
Puasa bukan setakat tidak makan dan tidak minum bahkan anggota zahir dan batin turut berpuasa. Anggota badan seperti mata mesti dijaga daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan syarak. Mulut dan lidah pula hendaklah dikawal agar tidak memperkatakan perkara-perkara cela dan keji, begitu juga telinga, kaki, kemaluan dan seluruh anggota lain.
Seseorang yang berbohong atau berkata keji akan terhapus pahala puasanya, seperti hadis nabi yang bermaksud, “sesiapa yang tidak dapat meninggalkan daripada berkata-kata bohong, dan selalu beramal dengannya (berbohong), maka tiada dinilai oleh Allah akan puasanya”.
Puasa juga adalah perisai yang terhasil melalui sifat sabar. Dalam hadis ini, nabi mengajar orang yang berpuasa agar bersabar apabila ada cubaan untuk mencela dan mengejeknya. Ini untuk mengelakkan daripada perbuatan yang lebih buruk jika tiada sifat sabar kerana berkemungkinan akan berlakunya pergeseran, pergaduhan dan perbalahan sesama muslim.
Sesungguhnya berlapar itu sendiri adalah latihan dan tarbiah Allah kepada manusia agar sentiasa bersabar menangkis serangan-serangan yang boleh menghilangkan pahala puasanya.
Untuk menjaga nilaian dan harga puasa yang dilaksanakan, kaum muslimin diingatkan agar kurang berkata-kata. Lebih-lebih lagi apabila bau mulut orang yang berpuasa itu agak kurang menyenangkan apabila terhidu oleh orang lain, tetapi sebenarnya di sisi Allah ia amat wangi dan harum bahkan lebih wangi dari bauan kasturi.
Ada ulama berpendapat, wangian kasturi tersebut akan dikurniakan oleh Allah di hari akhirat. Ini juga menunjukkan bahawa puasa itu adalah sebagai perisai daripada berkata-kata yang tidak sopan.
Ada ulama berpendapat, pahala yang sebenarnya akan dianugerahkan oleh Allah itu adalah lebih wangi melebihi wangian kasturi. Semua ini adalah kiasan dan perumpamaan daripada Allah sebagai dorongan kepada mereka yang berpuasa.
Biasanya seseorang itu akan malu dan segan jika bau mulutnya yang kurang enak itu akan menyebabkan manusia lain menjauhkan diri daripadanya, tetapi apabila adanya jaminan Allah akan keharuman di sisi-Nya, sekurang-kurangnya dapat memberi keinsafan bahawa sebenarnya keredaan Allah itu adalah lebih penting mengatasi keredaan manusia.
Pernyataan Allah dalam hadis melalui lisan nabi-Nya, “dan puasa itu bagi-Ku dan Akulah yang akan membalasnya” adalah bukti jelas betapa besarnya kelebihan dan banyaknya pahala berpuasa.
Ini kerana Allah itu sendiri sifatnya Maha Pemurah. Maka apabila hamba- hamba-Nya diperintah melakukan kebaikan dan kebajikan, Dia sendirilah yang akan membalas pahalanya, dengan sendirinya ini menunjukkan betapa besar kadar balasan dan luas pemberiannya kepada manusia.
Para ulama ada menerangkan alasan kenapakah Allah SWT menyebut bahawa “puasa itu adalah bagi-Ku dan Akulah yang akan membalasnya”. Ini kerana puasa yang dilaksanakan itu adalah ibadat yang jauh dari sifat riak dan tersembunyi kerana semua orang diwajibkan berpuasa dan tiada peluang untuk orang lain berbangga dengan puasa yang dilakukannya.
Ia tidak seperti solat, zakat, haji, bersedekah dan ibadat-ibadat zahir yang lain, perlakuan ibadat tersebut akan menjadi perhatian manusia lain dan berkemungkinan pelaksanaannya akan menarik perhatian orang yang melihat.. Seterusnya melahirkan perasaan riak kepada orang yang melakukannya.
Sebahagian ulama lagi berpendapat, hadis tersebut bermaksud hanya Allah SWT yang mengetahui kadar pahalanya dan hanya Dia yang berhak menggandakan pahala tersebut sebanyak-banyaknya daripada segala jenis ibadat lain.
Sebahagian ulama lain pula berpendapat kenyataan hadis tersebut adalah sebagai tanda ketinggian ibadat puasa berbanding dengan ibadat-ibadat lain..
Kebajikan dan pahala kurniaan Allah di dalam bulan puasa akan dilipatgandakan oleh-Nya dengan 10 kali ganda. Gandaan ini merangkumi segala amalan sunat dan kebajikan lain seperti sedekah, bacaan al-Quran, zikir, iktikaf dan sebagainya.
Berusahalah sebaik mungkin untuk memanfaatkan bulan Ramadan dengan berpuasa di siang harinya dan menghidupkan malamnya.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template