^ Scroll to Top

Saturday, September 20, 2008

Kehebatan Al-Quran

FIRMAN Allah, maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah)...” (al-Baqarah: 185)

Penurunan al-Quran atau masyhur disebut nuzul al-Quran pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad s.a.w peristiwa yang sangat besar dan tidak dilupakan generasi umat Islam.

Nuzul bererti penurunan atau perpindahan dari atas ke bawah (turun) manakala al-Quran bererti bacaan atau himpunan.

Ulama meletakkan takrif al-Quran sebagai kalam Allah yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad s..a.w dengan perantaraan Jibril a.s serta menjadi ibadat dengan membacanya.

Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara membabitkan persoalan tauhid (ketuhanan), ibadat, jenayah, muamalat dan kemasyarakatan, sains teknologi dan banyak lagi.

Al-Quran suatu mukjizat terbesar kepada Nabi Muhammad s.a.w yang abadi hingga hingga hari kiamat dan ia kitab yang sangat sempurna diturunkan sebagai manual kehidupan manusia di dunia, dengan tiada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal darinya.

“Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka.” (al-An’am: 38)

Istilah penurunan ini dipanggil sebagai nuzul al-Quran yang membawa maksud amat mendalam, kerana al-Quran diturunkan dari tempat yang tinggi dan mulia iaitu Luh Mahfuz, kemudian diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w secara berperingkat mengikut keadaan dan keperluan semasa.

Perantara bagi penurunan al-Quran kepada Nabi s.a.w ialah Jibril. Jangka masa penurunan itu selama 23 tahun, iaitu 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah.

“Dan sesungguhnya al-Quran (yang di antara isinya kisah tersebut) diturunkan Allah Tuhan sekalian alam.

“Ia dibawa turun malaikat Jibril yang amanah. Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang daripada pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.” (asy-Syuarak:192-195)

Ayat al-Quran yang mula diturunkan Allah kepada baginda melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada surah al-‘Alaq.

Nabi s.a.w sentiasa dikunjungi Jibril pada Ramadan, seperti dijelaskan dalam hadis di bawah:

“Daripada Ibnu Abbas r.a katanya, Rasulullah s.a.w seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ketika baginda didatangi Jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada baginda. Sesungguhnya baginda bersifat pemurah dengan segera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Al-Quran sebenar-benar wahyu yang diturunkan Allah dan ia bukan suatu rekaan Nabi Muhammad s.a.w seperti didakwa musuh yang sentiasa mencemburui Islam dan umatnya dari dulu hingga kini.

Dakwaan itu nyata tidak benar sama sekali kerana gaya dan seni keindahan al-Quran tidak mampu direka atau ditandingi daya intelektual manusia.

Allah ada mencabar manusia, malah jin menandingi kehebatan al-Quran, sekiranya mereka mampu berbuat demikian, tetapi mereka tidak mampu.

“Katakanlah: Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka saling bantu-membantu.” (al-Isra:88)

Al-Quran bukan hanya sebuah kitab, tetapi menjadi petunjuk (hidayah) kepada manusia, memberikan rahmat, syifa (penyembuh kepada penyakit), nur (cahaya yang menerangi), furqan (pembeza di antara hak dan batil), az-zikr (memberi peringatan) dan memberi penjelasan bagi manusia.

Ia wajar dibaca dan ditatap lebih kerap, malah diperhalusi dan dikaji bagi mendapatkan sari pati kandungannya untuk manfaat seisi alam.

Pada Ramadan, umat Islam sangat digalakkan membaca al-Quran kerana ganjaran pahala yang berganda. Nabi s.a.w sendiri gemar membaca al-Quran pada Ramadan.

Daripada Aisyah r.a katanya: “Rasulullah (saw) memperbanyakkan amalan apabila sampai hari ke-10 terakhir daripada bulan Ramadan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya). Baginda menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kitab suci ini amat penting bagi memandu kehidupan manusia. Walaupun manusia dilengkapi akal dan pancaindera yang lima, tetapi manusia tidak dapat memikirkan kebenaran tauhid, perkara ghaib dan hakikat di luar daerah kemampuannya.

Imam al-Ghazali menegaskan, sesungguhnya akal itu tidak dapat memberi hukum ke atas sesuatu perkara melainkan perkara itu mempunyai dua sifat, masa dan tempat. Akal akan bertanya ‘bila’ dan ‘di mana’. Selagi dua soalan itu tidak terjawab, akal tidak mengakui kewujudannya.

Oleh itu, akal semata-mata dengan capaian yang cukup terbatas tidak dapat menerima kewujudan Allah, tidak mempercayai sifat Allah serta tidak mengakui qada dan qadar kerana akal itu terhad sifatnya dan kewujudan Allah itu tidak bersifat tempat dan masa.

Justeru, ada manusia mengambil jalan falsafah mencari tuhan, sehingga mencipta teori sendiri dalam soal ketuhanan, namun pegangan ini tidak sama antara satu sama lain.

Di sini sudah nampak manusia memerlukan satu petunjuk yang boleh menunjukkan jalan kepada manusia mengenai hakikat ketuhanan sebenarnya.

Petunjuk itu ialah agama Islam sebagai agama benar lagi lurus. Agama Kristian dan Yahudi tidak boleh menjadi petunjuk kepada manusia kerana kedua-duanya diselewengkan penganutnya.

Dalam persoalan ketuhanan, Islam yang unggul dan ajaran Islam datangnya dari al-Quran. Al-Quran yang memberi petunjuk kepada manusia untuk menunjuk jalan kebenaran.

“Kitab al-Quran ini, tiada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.” (Ini sebagaimana ditegaskan pada ayat 2, surah al-Baqarah.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template