^ Scroll to Top

Thursday, September 11, 2008

Kecuaian boleh membawa kepada kehancuran

Kalamullah
DAN Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya hati kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya daripada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Ali-Imran: 126)

Huraian

Ayat ini menerangkan bahawa Allah SWT telah memberi bantuan dan pertolongan kepada tentera muslimin di dalam peperangan Uhud sehingga memperoleh kemenangan pada peringkat awalnya. Kemenangan awal ini dicapai kerana Allah SWT mengutuskan bantuan tentera-tentera-Nya yang terdiri daripada kalangan malaikat utusan Allah bagi membantu tentera muslimin. Walau bagaimanapun, keadaan sebaliknya berlaku apabila sifat tamak dan haloba pada harta rampasan menyebabkan kebanyakan tentera muslimin terpesona dan terpedaya dengan timbunan harta tersebut sehingga mereka meninggalkan barisan pertahanan masing-masing untuk berebutkan harta yang banyak itu.
Akibatnya, mereka diserang kembali oleh tentera Quraisy ketika mereka sedang alpa dan leka. Akhirnya kaum muslimin menerima kekalahan yang teruk dalam peperangan Uhud.
Jika kekalahan di medan perang di tangan tentera Quraisy amat menyakitkan, apalagi kekalahan dari segi spiritual yang amat memalukan seluruh kaum muslimin.
Kekalahan ini secara tidak langsung telah mencalarkan imej Islam di mata musuh. Ketaksuban dan ketamakan tentera Islam dalam berebutkan harta perang amat meninggalkan kesan tragis dan memalukan. Kerana harta manusia menjadi lupa diri.
Kerana harta , tentera muslimin tewas ditangan kafir Quraisy. Kerana tamakkan harta juga imej Islam tercalar dan terhina.
Kesimpulan
Kita hendaklah sentiasa bersederhana dalam segala hal, sentiasa bersyukur atas kenikmatan yang diperoleh, selalu rela, redha dan bersedia mengorbankan bukan sahaja jiwa raga bahkan harta dalam menggalakkan perjuangan Islam yang suci. Segala sifat mazmumah termasuk sifat tamak haloba perlu dijauhi kerana inilah antara faktor yang menjadi punca kejatuhan, kehancuran dan kebinasaan hidup kita.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template