^ Scroll to Top

Thursday, September 4, 2008

Keberkatan Sahur Jangan Tinggalkan

BERDASARKAN beberapa hadis Rasulullah s.a.w., hukum makan sahur adalah sunat. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas r.a., Baginda bersabda: Bersahurlah kamu, sesungguhnya dalam sahur itu ada berkat.

Dalam riwayat Abdullah bin al-Haris, salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w. telah menceritakan ketika beliau masuk ke rumah Nabi, Baginda sedang bersahur lalu bersabda: Sesungguhnya (sahur itu) mempunyai berkat yang diberikan Allah kepada kamu sekalian, maka janganlah kamu meninggalkannya.

``Sahur ialah makan selepas waktu dinihari iaitu antara pukul 3.00 pagi sehingga sebelum terbit fajar bagi orang-orang yang hendak berpuasa pada bulan Ramadan atau pada bulan-bulan yang lain.

``Bagaimanapun, waktu yang sesuai ialah selepas waktu dinihari iaitu antara pukul 3.00 pagi sehingga sebelum masuk waktu imsak, iaitu 10 minit sebelum waktu Subuh,'' jelas Mufti Johor, Datuk Mohd. Nooh Gadot.

Tambah beliau, imsak bererti menahan diri daripada makan dan minum, bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari. Waktu imsak adalah kira-kira 10 minit terakhir sebelum masuk waktu Subuh, iaitu bersamaan dengan bacaan 50 ayat al-Quran.

Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawa sahabat yang bernama Zaid bin Tsabit berkata: ``Kami telah bersahur bersama Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian kami mendirikan sembahyang, lalu Anas r.a. bertanya:

``Berapakah jarak waktu antara kedua-duanya?'' Zaid menjawab: ``Kadar membaca lima puluh ayat.''

``Namun, seseorang yang makan dalam waktu imsak perlu berhati-hati dan tidak melebihi waktu terbit fajar kerana ia bertujuan sebagai peringatan kepada orang yang bersahur,'' katanya.

Beliau menjelaskan, tidak ada syarat-syarat tertentu untuk bersahur, seperti tidur dahulu dan kemudian bangun untuk bersahur. Begitu juga bersahur sekadar meminum air dan buah kurma. Memadailah jika mendapat berkat daripada amalan bersahur.

Daripada Abu Sa'id al-Khudri, Rasulullah s.a.w. bersabda: Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu kemudiannya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah s.w.t. berselawat ke atas orang-orang yang bersahur. (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Sekiranya terdapat buah kurma, ia adalah makanan sahur bagi orang-orang yang beriman sebagai mana riwayat daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: Sebaik-baik makanan sahur orang yang beriman ialah buah tamar (kurma). (Hadis riwayat Abu daud)

Dalam riwayat yang lain pula, daripada As-Saib bin Yazid, sabda Rasulullah s.a.w.: Sebaik-baik makanan sahur ialah buah tamar (kurma). Baginda bersabda lagi yang bermaksud: Allah merahmati orang-orang yang bersahur.

``Bagaimanapun, sebagai bekalan tenaga sepanjang hari, disarankan bersahur dengan makanan yang berkhasiat dan berzat supaya dapat menahan diri daripada kelaparan dan mendapat kekuatan,'' jelas beliau lagi.

Hadis riwayat al-Hakim, Rasulullah s.a.w. bersabda: Memohonlah kamu (kepada Allah kekuatan) melalui makan sahur supaya memperoleh kekuatan berpuasa pada siang hari.

Bangun dan berdoa pada waktu sahur sebenarnya mempunyai barakah yang besar dan merupakan ciri-ciri orang yang bertaqwa. Firman Allah s.w.t. dalam surah az-Zariyat, ayat 18, maksudnya: Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar), mereka selalu beristighfar kepada Allah memohon ampun.

``Bangun awal pagi untuk bersahur juga memberi peluang untuk melakukan amal ibadat seperti berwuduk, berzikir, membaca al-Quran dan menunaikan sunat tahajud dan sunat witir bagi yang belum melakukannya,'' ujarnya mengenai hikmah bersahur.

Surah Ali Imran, ayat 17 pula, Allah menjelaskan waktu yang sesuai untuk memohon keampunan daripada Allah s.w.t. Firman-Nya: Dan juga orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah) dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiaas taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah) dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.

Sahur juga merupakan salah satu daripada akhlak Rasulullah s.a.w., sebagaimana yang terkandung dalam terjemahan hadis berikut: `'Tiga perkara yang termasuk antara akhlak para rasul ialah bersegera berbuka puasa, melambatkan sahur dan meletakkan tangan kanan ke atas tangan kiri ketika dalam sembahyang.

Perbezaan antara puasa orang Islam dengan ahli kitab terkandung dalam hadis riwayat Muslim, sabda Baginda: Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahlul kitab ialah makan sahur.

Menurut Ibn Hajar al-'Asqalani, pengarang kitab Fath al-Bari dan Imam an-Nawawi di dalam kitab Sahih Muslim, bahawa sahur yang memberi keberkatan ialah memperoleh balasan dan ganjaran pahala daripada Allah s.w.t. dan mengikut sunah Nabi Muhammad s.a.w.

``Sahur juga menghalang perbuatan-perbuatan tidak sopan yang dipengaruhi oleh kesan lapar pada siang hari, selain memberi kekuatan untuk beribadat bagi menghadapi rasa lapar dan dahaga pada siang hari,'' ujar beliau tentang kelebihan-kelebihan bersahur.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template