^ Scroll to Top

Friday, August 29, 2008

Umat Islam digesa ikut cara tabiin untuk capai kesempurnaan hidup

MENUNTUT ilmu agama tidak cukup dengan hanya bermodalkan semangat. Seseorang Muslim patut mengetahui juga segala bentuk prinsip asas dan cabangnya seperti digariskan syariat yang sempurna.

Tujuannya supaya seseorang Muslim itu tidak kebingungan dalam menghadapi seruan daripada kepelbagaian kelompok dakwah. Apa yang penting, mereka tidak mudah terjerumus ke arah pemahaman menyeleweng.
Dewasa ini ada banyak ‘ruang’ dan ‘jalan’ ditawarkan bagi mempelajari agama Islam. Sudah pasti semua pihak mendakwa cara dan gaya mereka adalah yang terbaik dan paling benar. Melalui pelbagai cara dan gaya ini jugalah mereka berusaha menambat pengikut seramai boleh.

Lihatlah dalam masyarakat kita sendiri, ada pihak menawarkan cara dengan motivasi diri dan hati, ada mengajak untuk ikut serta dalam persoalan politik, ada golongan menyeru supaya segera mendirikan Khilafah Islamiyah kali kedua, ada secara santai menantikan kehadiran al-Mahdi dan ada pula bermusafir dari satu tempat ke tempat lain mengajak manusia untuk berjemaah di masjid.

Tetapi, cuba perhatikan di persekitaran tempat tinggal dan masyarakat sekeliling kita. Keadaan masyarakat Islam masih lagi pada takuk lama, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai objektif hidup dan tidak mengerti kerana apa mereka dihidupkan di atas muka bumi ini.
Pada jiwa dan sanubari mereka, tiada perkara penting melainkan kemewahan hidup. Kejahilan masih lagi menyelimuti seolah-olah mereka akan hidup kekal di dunia ini. Bahkan, keluarga serta sanak saudara terbabit pelbagai isu keruntuhan akhlak dan kebejatan moral yang bertambah parah.

Adakah perkara yang salah dalam tindakan mereka? Jawapannya sudah pasti ada yang salah, apabila kita dapat menyaksikan saban hari berlaku pelbagai kepincangan di sisi umat yang semakin jauh daripada panduan diserukan Islam.

Golongan Ahli Sunnah yang menjadi pewaris Nabi SAW sering kali menyeru dan tetap berusaha mengamalkan apa diwasiatkan Rasulullah dalam mengajak umat Islam kembali mempelajari agamanya.

Dalam pelbagai situasi yang ditempuhi, Ahli Sunnah tidak akan keluar dari jalan yang dilandaskan berdasarkan sunnah Rasulullah SAW untuk mengambil dan memahami apa yang ditunjukkan Nabi SAW dalam persoalan agama.
Keselarasan kita dalam menurut segala aspek ditonjolkan Nabi SAW berdasarkan hadis diriwayatkan ulama hadis sejak dulu adalah sesuatu yang utama dalam kehidupan seorang Muslim. Inilah yang sebenarnya sangat diperlukan oleh umat Islam.

Justeru, untuk mencapai kesempurnaan ilmu agama, seseorang Muslim perlu memahami ajaran agama yang dianuti sejak sekian lama dan berpegang kepada perkara asas mencari ilmu antaranya:

l Mengambil ilmu agama daripada sumbernya yang asal. Sumber utama ilmu Islam yang menjadi prinsip asasnya adalah berpandukan kepada petunjuk al-Quran dan al-Sunnah.

Hal ini jelas difahami daripada firman Allah yang bermaksud: “Ikutilah daripada apa yang diturunkan kepada kamu semua oleh tuhan kamu (Allah) dan janganlah kamu mengikuti panduan selain-Nya.” (Surah al-A’raf, ayat 3)

Rasulullah SAW pula bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah bahawasanya aku diberi al-Quran dan yang serupa dengannya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

l Memahami al-Quran dan al-Sunnah sesuai dengan pemahaman golongan salaf. Golongan salaf yang dimaksudkan adalah sahabat serta orang yang mengikuti mereka dari kalangan tabiin dan generasi selepas mereka.

Hal ini jelas seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah generasiku kemudian generasi yang datang setelah mereka, kemudian generasi lain yang datang setelah mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mereka ini bukanlah golongan yang mengaku dirinya ‘salaf’ seperti yang ada hari ini kerana jauhnya zaman itu. Golongan kini hanya layak digelar sebagai salafi kerana menasabkan diri mereka dengan akidah salafiyah yang dibawa generasi awal Islam.

Golongan salaf atau generasi awal Islam ini perlu diteladani memandangkan segala kebaikan yang berada pada mereka adalah kebaikan mencakup segala hal berkaitan agama, sama ada daripada aspek keilmuan, pemahaman, pengamalan dan strategi dakwah berkesan.

Ibn al-Qayyim pernah merumuskan bahawa: “Nabi SAW pernah menyatakan bahawa sebaik-baik generasi adalah generasinya secara mutlak. Itu bermaksud merekalah yang paling utama dalam segala bentuk kebaikan. Jika bukan yang sedemikian, sudah pasti mereka adalah golongan yang baik dari beberapa aspek saja (seperti generasi lain) dan mereka sudah pasti bukan tergolong sebaik-baik generasi secara mutlak.”

Dengan demikian, pemahaman mereka terhadap agama sudah dijamin oleh Nabi SAW tanpa perlu meraguinya lagi bahawa kebenaran itu pasti bersama mereka. Kewajaran ini jelas kerana mereka adalah golongan yang paling mengetahui selok-belok ajaran Islam selepas Nabi SAW.

Bahkan, mereka menyaksikan sendiri di mana dan bilakah turunnya wahyu serta mengetahui kaitan peristiwa terlafaznya sesebuah hadis. Keadaan sebegini sudah tentu membuatkan ulama selepas era mereka sangat menghormati generasi terbaik ini.

Oleh demikian, sesetengah ulama sendiri menyatakan bahawa jika sahabat bersepakat terhadap sesuatu urusan, maka menjadi kesalahan bagi seorang Muslim berselisih dengan kesepakatan mereka.

Jika mereka sendiri berselisih pendapat dalam sesuatu urusan agama, maka seseorang Muslim itu tidak boleh mencari pendapat lain daripada mengetahui titik perselisihan mereka. Ini bermaksud bagi seorang Muslim, beliau harus memilih salah satu daripada pendapat mereka dan tidak boleh membuat pendapat yang lain di luar pandangan mereka.

Imam Syafii sendiri menyatakan: “Mereka (sahabat) adalah golongan paling tinggi berbanding dengan kita dari segala aspek keilmuan, ijtihad, warak (sikap penuh berhati-hati), berakal dan pada setiap perkara yang mendatangkan ilmu atau diambil daripada mereka ilmu. Pendapat mereka lebih baik dan lebih utama buat kita dari pandangan kita sendiri…”

Jika kita mampu kembali ke arah tatacara pelaksanaan yang dilandaskan generasi terbaik ini dalam mengkaji usul agama, sudah pasti kita mampu mengubah masyarakat dan membetulkan mereka dengan sandaran petunjuk Ilahi.

Kesatuan dan kesepaduan yang dijalinkan berasaskan hujah dan contoh teladan itu pasti mampu menghindarkan umat Islam daripada pengaruh kesesatan. Perkara ini sudah dijamin Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah melindungi umatku dari berkumpul di atas kesesatan.” (Hadis riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ibn Abi Asim)







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template