^ Scroll to Top

Friday, July 25, 2008

Meratap kematian di kubur menyeksakan jenazah

ISLAM menggalakkan umatnya untuk menziarahi saudara yang meninggal dunia atau menziarahi kubur bagi mengingati diri bahawa kematian juga akan datang apabila tiba waktu ditetapkan untuk mereka.

Antara adab disarankan untuk dilakukan ketika menziarahi atau menghadapi saat kematian ialah bersabar di atas kematian itu, jangan meratapi mayat, memberi ucapan takziah, menyembahyangkan mayat dan menghantar ke kubur.

Kita perlu bersabar menghadapi sesuatu kematian kerana Allah menjelaskan dalam kitab suci al-Quran bahawa setiap manusia akan sentiasa diuji keimanannya dari pelbagai aspek sama ada menerusi ketakutan, kelaparan, kesusahan, kesakitan, kekurangan harta atau kematian.


Perlu dijelaskan bahawa apabila kita ditimpa kesusahan atau musibah, kita sebagai umat Islam perlu menerimanya dengan penuh ketabahan dan kesabaran untuk memperoleh pahala, kasih sayang dan petunjuk Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Ucapan paling baik bagi seseorang yang ditimpa musibah seperti kematian sama ada keluarga terdekat atau sahabat handai ialah ‘Innaa Lillahi waina Illaihiraaji’uun.’ Ucapan itu disebut sebagai kalimat ‘Istirjaa’ yang bermaksud penyertaan kembali kepada Allah.

Saranan untuk membaca ucapan berkenaan apabila berhadapan sesuatu musibah, bencana sama ada kecil atau besar dijelaskan Allah dalam firman yang bermaksud: “Iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucap Ina Lillahi Wainna laihiraaji’uun - sesunguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 156)

Ternyata kesabaran itu penting apabila menghadapi sesuatu kematian khususnya seseorang yang amat kita sayangi seperti ayah, ibu, isteri atau anak. Jika seseorang itu bersabar dan reda terhadap apa yang berlaku, mereka akan memperoleh pahala besar.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud: “Allah berfirman yang bermaksud: “Tidak ada pembalasan bagi seseorang hambaku yang mukmin jika Aku mengambil kekasihnya di dunia, kemudian ia reda dan berserah kepadaKu melainkan syurga.” (Riwayat Imam Bukhari)

Selain, adab disaran melakukannya ketika menziarahi kematian ialah janganlah menangis terlalu kuat atau meratap kematian dengan menjerit-jerit, memukul badan atau mengoyak pakaian. Perbuatan itu dilarang sama sekali dan perlu diketahui bahawa mayat kita ratapi itu akan diseksa di kubur nanti seperti ratapan dan tangisan yang dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rasulullah SAW dalam mengambil bai’ah daripada kami wanita: Tidak boleh menangis, merintih, ketika kematian.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Adab selanjutnya yang perlu dilakukan ialah memberi ucapan takziah, iaitu ucapan atau kata-kata untuk menyabarkan dan meringankan kesusahan dideritai orang yang sedang ditimpa kesusahan, derita atau kematian.

Ucapan takziah itu disunatkan kepada semua individu yang sedang ditimpa musibah sama ada kecil, besar, lelaki atau perempuan.

Selanjutnya ialah sama-sama mendirikan sembahyang jenazah. Ternyata sekali aspek ini tidak banyak dilakukan. Amat sedih dalam masyarakat hari ini, tidak ramai solat jenazah sedangkan yang datang menziarah ramai.

Mereka berpendapat solat jenazah adalah fardu kifayah, maka memadailah sekelompok saja melakukannya. Jika yang turut menyembahyangkan jenazah seramai tiga saf, maka jenazah mendapat keampunan Allah, jika mencapai 40 orang, Allah pasti akan menerima doa mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang Muslim mati, maka berdirilah menyembahyangkannya 40 orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, melainkan dapat dipastikan Allah menerima syafaat dan permintaan ampun mereka itu.”









...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template