^ Scroll to Top

Thursday, July 3, 2008

Allah tolak amalan individu mengungkit setiap pemberian, sakiti hati penerima

"BANDINGAN (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti biji benih yang menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnianya lagi meliputi ilmu pengetahuannya." (Surah al Baqarah, ayat 261)

Ayat itu diturunkan Allah berkaitan dua peristiwa sahabat Rasulullah SAW iaitu Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf.

Suatu ketika Abdul Rahman bin Auf menghadap Rasulullah SAW sambil membawa wang sebanyak empat ribu dirham untuk disedekahkan. Abdul Rahman berkata, "Aku mempunyai lapan ribu dirham, aku simpan empat ribu dirham daripadanya untuk diriku dan keluargaku, empat ribu dirham lagi aku pinjamkan untuk Tuhanku. Lantas Rasulullah SAW bersabda: "Semoga Allah memberkati kamu pada apa yang kamu simpan dan apa yang kamu berikan."

Saidina Uthman pula berkata: "Menjadi tanggungjawab saya menyediakan kelengkapan untuk orang yang tidak memiliki kelengkapan dalam peperangan Tabuk." Lalu beliau menyediakan seribu unta siap dilengkapi tali hidung dan pelananya. Beliau juga mewakafkan perigi miliknya yang bernama Bir Ruumah kepada kaum Muslimin. Bersempena dua peristiwa itu, Allah menurunkan ayat di atas.

Abu Said al Khudri berkata, "Saya melihat Rasulullah SAW menadah tangan ke langit seraya berdoa untuk Uthman. "Ya Tuhan, sesungguhnya aku meredai Uthman bin Affan, maka engkau redailah dia." Baginda terus menadah tangan sehingga terbit fajar.

Allah SWT kemudian berfirman bermaksud: "Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah..." (Surah al Baqarah, ayat 261)

Ayat sebelumnya banyak berkaitan dengan hari kebangkitan. Allah memberikan penegasan berhubung semua manusia akan dibangkitkan di suatu tempat untuk disempurnakan ganjaran mereka sesudah dihisab.

Ayat di atas pula diturunkan dengan memfokuskan kelebihan dan ganjaran infaq di jalan Allah. Ia boleh dianggap sebagai usaha atau amal kebaktian yang bakal menjadi sebahagian pertimbangan pada hari kebangkitan kelak.

Ada banyak kupasan kebaktian yang boleh dikategorikan 'pada jalan Allah' seperti disebutkan dalam ayat itu antaranya ialah menyebarkan ilmu, usaha membasmi kejahilan, kemiskinan dan penyakit.

Tahap yang tertinggi ialah jihad memartabatkan kalimah Allah (agama Islam). Sesiapa berjihad selepas mengenal pasti dalil seperti ditunjukkan Nabi SAW, maka ia akan mendapat ganjaran besar.

Al-Quran berkali-kali menggalakkan supaya melakukan infaq kerana ia adalah satu wasilah bagi menghimpun kekayaan dan menjamin kesenangan untuk semua. Ia adalah satu-satunya cara memelihara kekuatan dan kemuliaan umat, di samping mengalahkan musuh yang menindas mereka.

Seandainya umat bersikap bakhil dengan hartanya, pastilah mereka akan dicengkam kehinaan dan kemelesetan. Ibn Umar berkata, "Tatkala ayat di atas diturunkan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Ya Allah, tambahkanlah untuk umatku."

Susulan itu diturunkan firman Allah bermaksud: "Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya?" (Surah al-Baqarah, ayat 245)

Infaq (mengeluarkan harta pada jalan kebajikan) sebenarnya mempunyai kedudukan dan peranan penting dalam sistem ekonomi. Istilah infaq ini termasuk zakat, sedekah dan segala perbelanjaan untuk jalan kebajikan (termasuk sedekah jariah dan wakaf).

Infaq juga boleh meraih keredaan Allah (merealisasikan perhambaan diri) serta membersih dan menyucikan harta (mengikis sifat cintakan harta, bakhil dan tamak) serta menetapkan matlamat sebenar penguasaan harta.

YaPEIM menerusi misi besarnya 'Membangun Ummah Melalui Budaya Beramal Jariah' mempunyai peranan besar dalam membudayakan amalan sadaqatul jariah ini.

Di negara kita, amalan ini dipraktikkan secara meluas sama ada menerusi saluran diinstitusikan, mahupun saluran tidak rasmi. Ada banyak institusi ibadah, pendidikan dan kebajikan didirikan atas asas amal jariah ini.

Dua perkara penting yang harus diberi perhatian ialah:

l Semangat beramal jariah ini jika digerakkan secara bersungguh-sungguh dan melalui penyediaan prasarana beramal jariah secara profesional (seperti di YaPEIM) dan didukung semua lapisan masyarakat berdasarkan tahap keupayaan masing-masing akan dapat mewujudkan sebuah dana besar serta boleh berperanan dengan lebih berkesan bagi membantu pembangunan sosioekonomi umat dan negara.

l Pelaksanaan Program Amal Jariah berdasarkan tafsiran yang luas, akan memungkinkan kita dapat menyelesaikan sebahagian permasalahan masyarakat di samping mempamerkan keindahan Islam yang sebenar.

Firman Allah bermaksud: "Kebaktian itu bukan hanya menghalakan mukamu ke arah Timur atau Barat, tetapi kebaktian ialah mereka yang beriman kepada Allah, hari Akhirat, malaikat, kitab suci, nabi dan memberi harta disayanginya kepada kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, orang meminta bantuan, membebaskan hamba abdi, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan janji apabila mereka berjanji. Merekalah orang yang benar-benar berbakti dan merekalah orang yang benar-benar bertakwa."

Infaq merangkumi sunat dan wajib. Justeru, ada banyak jenis sumbangan kepada jalan Allah termasuk berasaskan amalan wajib iaitu zakat. Ayat di atas adalah khusus kepada infaq sunat dan digalakkan pada sebarang waktu.

Ayat berkenaan juga menjadi dalil bahawa pertanian adalah pekerjaan mulia dan sumber rezeki manusia yang baik sehingga Allah menjadikannya sebagai perumpamaan dalam al-Quran.

Infaq di jalan Allah tanpa mengungkit-ungkit dan menyakiti si penerima akan menjadi sebab kepada penerimaan Allah seperti Rasulullah SAW bersetuju dengan Uthman yang meletakkan seribu dirham di hadapan Rasulullah SAW untuk tujuan membeli kelengkapan perang Tabuk.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak akan menimpa mudarat Ibn Affan dengan apa yang dilakukan selepas hari ini. Ya Allah janganlah engkau lupakan Uthman."

Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan mengungkit-ungkit dan kelakuan yang menyakiti…" (Surah al-Baqarah, ayat 264)

Allah memberikan ganjaran infaq di jalan-Nya dengan tiga perkara iaitu jaminan syurga; menghilangkan rasa takut selepas mati dan menghilangkan rasa sedih atau kemurungan atas apa-apa yang berlaku termasuk musibah di dunia.

Allah berfirman: "Mereka mendapat pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita." (Surah al-Baqarah, ayat 262)

Kata-kata yang baik adalah lebih mulia daripada sedekah diiringi dengan perbuatan menyakiti. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kalimah yang baik adalah sedekah, sebahagian dari perbuatan yang baik ialah anda menemui sahabat dan wajah yang ceria."

Allah SWT menolak sedekah yang diikuti ungkitan dan perbuatan menyakiti. Allah menggunakan perkataan merosakkan atau membatalkan bagi mengungkapkan betapa Dia tidak menerima amalan berkenaan.



...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template