^ Scroll to Top

Wednesday, June 4, 2008

Bersederhana Amalan Mulia

SETIAP manusia mengimpikan kehidupan yang baik dan sempurna. Jaminan kebahagiaan hidup menurut kaca mata Islam bukan sekadar keuntungan diperoleh di dunia semata-mata, tetapi wawasan lebih jauh harus difokuskan kepada hidup yang kekal abadi dalam alam akhirat.

Justeru, manusia digalakkan mengamalkan sifat istiqamah atau konsisten dalam beramal. Dorongan itu sebenarnya bertitik tolak daripada petunjuk wahyu al-Quran dan hadis.

Firman Allah bermaksud: “Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan juga orang yang bertaubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Hud, ayat 112) .

Ayat ini menjelaskan konsep istiqamah melaksanakan sesuatu perbuatan. Al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami Li Ahkam al-Quran menyatakan, istiqamah bermaksud berterusan dalam mendirikan perintah agama yang diperintahkan Allah kepada manusia.

Pada masa sama, manusia diberi amaran untuk tidak bersikap berlebih-lebihan atau melampaui batas dalam beramal dibimbangi akan mendatangkan kesan tidak baik seperti penat dan jemu.

Sehubungan itu, amaran selanjutnya ditegaskan Allah menerusi firman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka.” (Surah Hud, ayat 112)

Kedua-dua ayat saling kait mengait antara satu sama lain kerana ia nampak sinonim mengaitkan hubungan membentuk budaya istiqamah dalam tindakan dengan pemilihan suasana yang baik untuk penerusan amal.

Pastinya, golongan zalim akan sentiasa mencari peluang memalingkan individu beriman yang sering berada dalam kebaikan secara berterusan ke lubang kebinasaan yang mendatangkan dosa dan perkara sia-sia.

Mewujudkan persekitaran yang baik dan harmoni serta menjauhi golongan melakukan kezaliman perlu digandingkan secara bersama sebagai faktor penentu kejayaan atau kegagalan amal yang direncanakan.

Istiqamah dalam amal perbuatan berkait rapat dengan kemampuan hamba melaksanakan sesuatu yang diperintahkan. Syarak menggalakkan ketaatan dilakukan mengikut kadar termampu dari sudut fizikal mahupun mental kerana yang penting adalah kualiti ibadat bukannya kuantiti.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang dilakukannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Pemahaman terhadap objektif di sebalik pensyariatan sesuatu hukum juga mesti diketahui untuk mengelakkan daripada melampau-lampau beramal secara membuta tuli. Kegagalan umat Islam memahami objektif syarak antara punca salah konsep dalam beramal.

Contohnya, ketaatan kepada pemimpin adalah wajib selama mana pemimpin tidak menyuruh kepada dosa dan kemungkaran. Namun, apabila ketaatan itu melampau-lampau sehingga sampai ke tahap berbunuhan antara satu sama lain dengan sebab arahan kepemimpinan, tentulah konsep imamah itu sudah jauh terpesong. Begitu juga sikap terlalu mengagung-agungkan pemimpin hingga menganggap semua kata-kata pemimpin itu betul dan tiada silapnya.

Dalam soal ibadah, pembahagian hukum diperjelaskan menerusi sistem nilai kepada lima iaitu wajib, sunat, makruh, haram dan harus. Di sini pentingnya pemahaman keutamaan, iaitu mengutamakan yang lebih penting daripada kurang atau tidak penting. Hal ini nanti berkaitan pula dengan lima keutamaan hidup iaitu dari sudut menjaga agama, harta, nyawa, keturunan dan akal.

Semua konsep ini perlu difahami dan diketahui sebagai langkah awal menyusun keutamaan dalam beribadah secara konsisten serta mengelakkan melampau batas dalam beramal.

Kecelaruan memahami realiti ini menyebabkan ramai Muslim tidak jelas untuk apa dia beribadah. Dibimbangi juga sangkaan sudah sempurna amal, tetapi sebenarnya banyak ruang kosong yang terdedah sini sana.

Ada juga yang tersalah faham kononnya yang penting dalam beribadah adalah jumlah dan bukannya kualiti ibadah. Lantaran itu, sering berlaku pertelingkahan dan perbalahan dalam soal menentukan jumlah rakaat solat sunat.

Daripada Saidatina Aisyah yang bermaksud: “Datang seorang perempuan yang ingin menemui Rasulullah SAW, lantas Baginda bertanya: Siapakah perempuan ini? Jawab Aisyah, perempuan ini menyebut mengenai banyak dan baik solatnya. Sabda Baginda SAW: Hentikan. Bagi kamu atas apa yang kamu mampu. Demi Allah, Allah tidak akan berasa jemu sehingga kamu yang sebenarnya berasa jemu. Perkara paling disukai Allah dalam urusan agama seseorang kamu ialah apa yang dilakukannya secara berterusan.” (Hadis muttafaq alaih)

Teguran Rasulullah SAW terhadap solat seorang wanita yang disangkakan cukup sempurna, namun dibimbing Baginda kerana yang penting bukanlah banyak atau panjangnya solat, tetapi nilai ibadah itu kerana yang terbaik ialah ibadah dilakukan, walaupun sedikit tetapi berterusan daripada yang panjang, tetapi terhenti-henti.

Rasulullah SAW juga pernah menegur tiga lelaki yang datang ke rumah Baginda bertanyakan mengenai ibadah Baginda. Mereka juga membanding-bandingkan ibadah mereka dengan ibadah Nabi SAW yang disangkakan panjang kerana Nabi SAW maksum.

Lelaki pertama menyebut dirinya yang solat sepanjang malam tanpa tidur, lelaki kedua pula berpuasa sepanjang hari tidak berbuka dan lelaki ketiga tidak berkahwin dan menjauhi wanita. Mereka melakukan sedemikian kerana menyangkakan itulah bentuk ibadah yang baik.

Lantas diperbetulkan Rasulullah SAW dengan menyatakan bahawa Baginda berpuasa dan berbuka, bersolat dan duduk berehat serta mengahwini wanita. Hadis ini sebagai paduan dan pedoman bagaimana untuk beramal dengan cara yang betul dan sempurna menurut al-Sunnah.

Sesungguhnya ajaran Islam bukanlah untuk memberatkan mana-mana individu kerana Allah sebagai Pencipta syariat amat luas pengetahuan terhadap keperluan hamba-Nya. Justeru, setiap hukum yang dipertanggungjawabkan kepada Muslim adalah yang mampu dilaksanakan dan bersesuaian fitrah kejadiannya.

Benarlah firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: “Toha, tidaklah apa yang Kami turunkan kepadamu wahai Muhammad apa yang ada dalam al-Quran itu untuk memberatkan.” (Surah Toha, ayat 1)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Allah menghendaki kepada kamu kemudahan dan Dia tidak menginginkan kesukaran buatmu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Kedua-dua ayat memberi isyarat kemudahan dan kemampuan melaksanakan ibadah dalam Islam. Maka, kita digalakkan melakukan ibadah secara seimbang. Ibadat sunat menampung yang wajib, kelonggaran juga dibenarkan dalam keadaan tertentu supaya manusia tidak terasa bebannya.

Justeru, dalam melahirkan ummah gemilang sebagai aset terpenting pembinaan bangsa yang berjaya, penekanan terhadap konsep bersederhana perlu ditumpukan berpaksikan nas syarak dan pemahaman fiqh semasa bertunjangkan matlamat syariah.

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template