^ Scroll to Top

Wednesday, June 4, 2008

Azab Bagi Pemakan Riba'

AL-MAGHAGHI berkata: Kalam Allah sebelum ini berkenaan dengan ayat
sedekah begitu juga orang yang bersedekah tanpa mengharapkan balasan
tetapi hanya mencari keredaan Allah seterusnya di sini membincangkan
berkenaan dengan riba.

Firman Allah: Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat
berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan
lantaran (tekanan) penyakit gila.

Sayyid Qutub berkata: "Tidak ada ancaman mental yang sampai ke hati
sehebat ancaman yang disampaikan dalam bentuk gambaran fizikal yang
hidup dan bergerak ini iaitu gambaran orang yang rebah kerana dirasuk
syaitan.

"Ini satu gambaran yang biasa dilihat orang ramai. Al-Quran membawa
gambaran ini untuk memberi saranan yang menakutkan hati dan
menyedarkan perasaan para pemakan riba serta menggerakkan mereka
dengan kuat agar mereka meninggalkan adat kebiasaan mereka (yang
buruk) di dalam sistem ekonomi mereka. Dan meninggalkan tamak haloba
mereka untuk mendapat faedah riba itu".

Gambaran ini merupakan satu cara memberi kesan didikan yang berjaya
di tempat-tempatnya yang sesuai. Pada waktu yang sama ia juga
menggambarkan hakikat yang berlaku di dalam kenyataan. Di masa yang
silam kebanyakan tafsir menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan
gambaran berdiri yang menakutkan itu ialah gambaran berdiri pada hari
manusia dibangkitkan dari kubur kelak, tetapi sebenarnya gambaran
berdiri seperti ini juga - menurut pendapat kami - telah berlaku
dalam kehidupan manusia di dunia ini.

Ini adalah sesuai dengan keterangan ayat selepas ini yang menyatakan
perisytiharan perang dari Allah dan rasul-Nya. Kita dapat melihat
bahawa peperangan ini sedang berlaku sekarang dan sedang dilancarkan
ke atas manusia sesat yang terhuyung-hayang jatuh seperti orang yang
dirasuk hantu yang tersepit dalam tindasan sistem riba.

Sebelum memberi huraian yang terperinci untuk membuktikan kebenaran
hakikat ini dalam realiti manusia pada hari ini, eloklah dimulakan
dengan membentangkan gambaran muamalah riba yang dihadapi oleh al-
Quran di semenanjung Tanah Arab dan fikiran-fikiran ahli jahiliah
mengenai muamalah itu.

Riba sangat terkenal pada zaman jahiliah. Diturunkan ayat-ayat ini
dan yang lain adalah bertujuan untuk menghapuskan riba. Ia mempunyai
dua bentuk iaitu riba tangguh bayaran (riba nasi'ah) dan riba lebih
tukaran (riba al-fadhl).

Adapun riba tangguh bayaran, Qatadah menjelaskan: "Riba ahli jahiliah
ialah seorang penjual menjual sesuatu jualan dengan bayaran yang
ditangguhkan kepada suatu masa yang tertentu. Dan apabila tempoh itu
sampai sedangkan pembelinya tidak dapat menjelaskannya, maka ia akan
menambahkan lagi bayaran itu ke atas pembeli dan memberi tempoh yang
baru kepadanya".

Kata Mujahid pula: "Mereka di zaman jahiliah dahulu apabila seorang
berhutang kepada seseorang yang lain ia akan berkata kepadanya: Saya
akan membayar kepada awak sekian-sekian dan awak tempohkan saya
sekian masa, lalu ia diberikan tempoh".

Ujar Abu Bakar al-Jassas: "Adalah dimaklumi umum bahawa riba jahiliah
itu ialah berupa hutang yang ditangguhkan bayarannya dengan dikenakan
bayaran lebih yang disyaratkan. Bayaran lebih itu ialah sebagai ganti
tangguhan bayaran. Oleh sebab itu Allah hapuskan riba ini."

Ujar al-Imam al-Razi dalam tafsirnya: "Riba tangguh bayaran (riba
nasi'ah) itulah yang masyhur di zaman jahiliah, kerana seorang dari
mereka memberi hutang kepada seseorang yang lain dengan bayaran yang
bertangguh dengan syarat ia mengambil faedah sebanyak yang tertentu
daripada orang itu pada setiap bulan sedangkan pokok hutang kekal
tidak terjejas apa-apa.

"Apabila sampai tempoh ia akan menuntut si yang berhutang itu
menjelaskan pokok hutangnya dan apabila ia tidak dapat
menjelaskannya, maka si pemberi hutang akan menambahkan bayaran dan
melanjutkan tempohnya."

Firman Allah: Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan
mereka berkata (berpendapat) sesungguhnya jual beli itu sama dengan
riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan
riba. orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya,
lalu terus berhenti (dari mengambil riba), Maka baginya apa yang
telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya
(terserah) kepada Allah.

Al-Sya'rawi berkata: Bahasa yang digunakan al-Quran daripada kalimah
syaitan, penyakit gila dan lain-lain menggambarkan ketidakseragaman
dan stabil begitulah dengan bandingan orang yang makan riba kerana
menyamakan yang halal dan yang haram.

Firman Allah: Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu
adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.

Sayyid Qutub berkata: "Ancaman dengan hakikat azab di akhirat itu
menguatkan lagi sifat-sifat metodologi pendidikan al-Quran yang telah
kami sebutkan sebelum ini dan mendalamkan tunjangnya di dalam hati.

"Namun mungkin ramai yang tertipu dengan kelambatan masa kedatangan
kiamat dan dengan waktu kedatangannya yang tidak diketahui itu. oleh
sebab itulah mereka ketepikan akhirat daripada perhitungan mereka.

"Kini al-Quran mengancam mereka pula dengan kemusnahan di dunia dan
di akhirat dan menjelaskan bahawa hanya sedekah-sedekah, bukannya
riba, yang subur badan bertambah kebaikan dan kebajikannya. Kemudian
al-Quran mengecap orang yang tidak menyambut pengharaman riba itu
sebagai orang yang kafir dan berdosa serta menyarankan kepada mereka
bahawa Allah amat benci kepada orang-orang yang kafir yang berdosa".

Firman Allah: "Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. dan
Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan
selalu berbuat dosa".

Sayyid Qutub berkata: "Apa yang diancam dan dijanjikan Allah adalah
tepat dan benar. Kini kita dapat melihat tidak ada masyarakat yang
bermuamalat dengan riba yang dapat hidup dengan keberkatan,
kemewahan, kebahagiaan atau keamanan atau ketenteraman, kerana Allah
menghapuskan kebaikan riba.

"Oleh itu, mana-mana masyarakat yang mengamalkan sistem kotor ini,
maka Allah tidak akan melimpahkan ke atasnya melainkan keadaan yang
kemarau dan celaka. Mungkin yang dilihat mata pada lahirnya
masyarakat itu mewah, penuh dengan pengeluaran dan cukup dengan
sumber-sumber ekonomi. Tetapi keberkatan itu bukannya terletak pada
sejauh mana ia dapat dinikmati dengan baik dan aman tenteram.

"Sebelum ini telah disentuh tentang penderitaan batin yang malang
yang mengongkong hati manusia di negeri-negeri yang kaya-raya dengan
sumber-sumber ekonomi, juga tentang kegelisahan jiwa mereka yang
tidak dapat ditolak dengan kekayaan malah menambahkannya lagi. Dan
dari negeri-negeri yang kaya inilah, melimpahnya kegelisahan,
ketakutan dan kekacauan ke atas seluruh dunia pada hari ini, di mana
umat manusia sentiasa hidup dalam ancaman perang yang membawa
kemusnahan.

"Orang yang tidak melihat hakikat ini dalam realiti umat manusia
sekarang itulah orang yang sengaja tidak mahu melihat kerana nafsu
mereka tidak ingin melihat atau itulah orang yang mempunyai mata yang
telah diselaputi oleh kesesatan dan kekeliruan yang ditaburkan dengan
sengaja oleh pihak-pihak yang berkepentingan dalam menegakkan sistem
riba yang terkutuk itu. Dan kerana inilah mereka lemah untuk melihat
hakikat ini."

Firman Allah: Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam
kekafiran, dan selalu berbuat dosa.

Al-Baghawi berkata: "Allah tidak suka kepada setiap yang kufur dengan
itu diharamkan riba dan juga yang berdosa dengan sebab memakan riba.

Sayyid Qutub berkata: Kenyataan ini cukup jelas dan tegas
menanggapkan orang yang terus berdegil bermuamalat dengan riba
selepas diharamkan oleh Allah SWT sebagai orang yang tergolong di
dalam golongan kafir yang berdosa yang tidak disukai Allah".

Tidak syak lagi mereka yang menghalalkan perkara yang diharamkan
Allah itu termasuk di dalam golongan orang kafir dan berdosa walaupun
dia telah mengucap dua kalimah syahadah 1,000 kali dengan lidah
mereka, kerana Islam itu bukannya kata-kata yang diucapkan dengan
lidah. Malah ia adalah satu sistem hidup dan satu cara beramal.
Menolak sebahagian sistem Islam bererti menolak seluruh sistem itu,
maka itu adalah perbuatan yang kafir dan berdosa. Wal'iyazubillah!"

Oleh DR. ZULKIRLI MOHAMAD ALBAKRI

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template